30 Ogos 2010

69. Bertarung Dengan Panglima Hitam

Permainan pencak kami telah semakin mantap.Tidak ada lagi waktu menunggu lama-lama untuk mendapat sentuhan pencak. Tidak perlu lagi menadah lama-lama dan ternanti-nanti kedatangan seninya. Niat dan angkat tangan saja, dan dalam sekejap masa sahaja akan adalah seni gerak. Bahkan kalau tak mahu tadah tangan pun tak mengapa. Kami terus sahaja boleh membuka pencak dan berpencak mengikut sekehendak kami pada sebarang ketika. Pencak akan tiba secara spontan membuka mana-mana satu pencak panglima, dan boleh pula untuk meminta persilatan taraf biasa, sederhana atau pun pantas dan garang.

Sewaktu memencak kami boleh pula menukar-nukarkan permainan. Maksudnya kalau pada mulanya kami berpencak dengan persilatan Panglima Kembar Ali dan tiba-tiba kami mahu menukarkan kepada persilatan Panglima Hang Nadim, kami boleh melakukannya. Perubahan pencak akan berlaku dengan cukup segera bagaikan tidak ada tempoh menunggu. Ini teristimewa kalau kami sedang bertarung sesama sendiri bilamana kami mendapati persilatan yang digunakan tidak mampu menyaingi lawan, kami boleh saja meminta pertukaran kepada persilatan panglima yang lebih tinggi tarafnya.

Dengan Wan aku memang sentiasa perlu menggunakan persilatan yang tinggi tarafnya kerana Wan adalah saingan ku. Kalau sewaktu bertarung, aku agak sukar untuk menentangnya, maka aku perlu menukar persilatan yang lebih hebat. Ini dapat dikesan apabila serangannya terlalu hebat, dan aku tidak mampu membalasnya.Pada ketika itu aku perlu menukarkan permainan kepada persilatan panglima yang lebih perkasa.

Berbanding dengan pertarungan dengan Dol atau Piei – dan ini memang tidak dilakukan – seandainya mereka menggunakan persilatan yang seampuh pesilatan Panglima Hitam atau Hang Jebat sekalipun; mereka tetap tidak mampu menandingi kami yang barangkali sekadar menggunkanan persilatan Ah Chong. Ini disebabkan taraf kami yang tidak sama. Aku dengan Wan sentiasa bersaing-saing dahului-mendahului untuk berada di barisan terkehadapan sementara Piei dan Dol bersaing-saing di tempat ketiga dan keempat. Yassin walaupun telah menjadi cucu tok, tetapi persiatannya hanyalah pada Silat Tapak Empat dan memang kami bukan tandingannya. Walau bagaimanapun sekali-sekala dia terlibat juga untuk bertarung dengan kami.

Malam ini Panglima Hitam tiba-tiba menawarkan kepada sesiapa sahaja di antara kami yang sebelum ini pernah belajar apa jua persilatan teramasuk silat kayu untuk bertarung dengannya. Aku yang sebelum ini memang belajar silat kayu dan memang yakin dengan kemampuan ku itu, ternyata tidak sanggup menawarkan diri. Aku percaya tok tahu tentang pelajaran ku sebelum ini kerana bukankah telah terbukti, tok tahu apa-apa sahaja mengenai kami cucu-cucunya – kesah-kesah kami pada masa yang lalu kerana katanya seluruh rekod kami ada dalam simpanan mereka?

`Malam ini tok mahu uji kemampun cucu’, begitu kata tok kepada ku.

Aku sedikit tersentak.

`Cucu juga’, ditujukan kepada Wan pula. Wan tersengih.

`Bangun!’, perintah Panglima Hitam.

Maka aku pun bangun. Aku terus meminta permainan Panglima Hitam.Aku mahu menguji persilatannya sendiri menentang persilatannya.Aku dapat merasakan pada malam ini pergerakan ku begitu kemas, tangkas dan mantap. Panglima Hitam terus memencak dan kami saling berbalas serangan – sepak-menyepak, tendang-menendang dan tepi-menepis. Tapi aku dapat merasakan serangn tok terlalu hebat sehingga aku terpaksa sentiasa membuka ruang untuknya mengasak lalu akhirnya terkunci di penjuru bilik. Sebelah kaki ku terangkat sambil tangan mendepang menanti serangan.

`Lari!!’, tok menjerkah.`Buat apa tunggu di situ, nanti kena....Nampak ini!’, tok mengisyaratkan betapa aku akan menerima berbagai-bagai serangannya kalau aku menunggu dalam posisi begitu. Aku lantas melompat keluar dari kepungan itu dan sampai di medan terbuka. Ternyata aku tidak mampu menghadapi saingan tok.

Selepas itu Wan pula bertarung tapi ternyata Wan akhirnya melarikan diri sambil ketawa mengelekek kerana tidak mampu menghadapi asakan dan serangan tok.

`Tak puas tok kalau bertarung macam ini!’, tok meluahkan rasa kecewanya. Wan yang dipandangnya dengan geram sekadar tersengih.

Sewaktu bertarung tadi, persaingan antara tok dengan Wan agak menarik dan hebat, tetapi cuma sejurus sahaja. Bila Wan di asak dengan bertubi-tubi serangan seperti yang aku alami, Wan akhirnya menyerah kalah dengan melarikan diri.

`Sekarang cucu bertiga lawan tok’, Tok Hitam memberi perintah kepada aku, Wan dan Piei.

`Minta permainan yang ganas!!’

Aku tiba-tiba rasa berdebaran. Kalau meminta permainan yang garang ertinya kami akan menghadapi suasana yang pastinya sengit. Kalau pada malam-malam sebelum ini Yim pernah membuka pencak yang garang dan kami melihatnya berpencak dengan dada yang berdebaran. Itu tarian sendirian. Sebelum ini pernah juga Hang Jebat menunjukkan pertarungannya dengan Hang Tuah. Walaupun kami tidak melihat kalibat Hang Tuah, tetapi pertarungan Hang Jebat melalui tubuh Yim sangatlah hebat. Kami bagaikan dapat membayangkan betapa hebatnya Hang Jebat bertarung dengan Hang Tuah sehingga satu penampang dinding papan di rumah hijau itu berderaian jatuh ke tanah.Malam itu terpaksalah kami memakunya kembali.

Apakah yang akan terjadi pada malam ini? Panglima Hitam akan berpencak dengan garang menentang kami yang tidak pasti lagi sekadar mana garangnya.

Wan nampaknya telah memencak. Aku tidak tahu persilatan siapa yang digunakannnya, tapi aku yakin Wan tentunya menggunakan persilatan tanah seberang. Yang paling disukainya ialah Panglima Gondrong iaitu persilatan yang mengenai rusuk kiri ku sewaktu persandingan Yim dengan Emi dahulu.

Piei pun aku nampak tak kurang juga hebatnya. Aku terus sahaja meminta pencak secara garang persilatan dari Panglima Awang yang aku ketahui tidak banyak bezanya dengan kehebatan silat Panglima Hitam.

Tiga lawan satu! Masakan kami dapat dtundukkan! Aku memencak dengan garang menghampiri tok yang tampak cukup lincah. Kaki tok bergerak dengan begitu pantas bagaikan tidak jejak di bumi. Itu bentuk permainan yang sangat aku sukai dari persilatan Panglima Hitam – pantas dan lincah.Aku sendiri yang memencak silatnya tidak kurang juga lincahnya kaki ku menari di lantai.

Aku tiba-tiba melihat Wan dengan Piei sedang memerangkap tok dan tok bagaikan akan terdedah kepada satu serangan melalui ruang yang aku nampak terbuka. Aku sempat melihat tok yang berada dalam keadaan kritikal itu sempat menangkis serangan kaki kanan Wan dan libasan Piei.Pada saat itulah aku menyaksikan ruang dan peluang terbuka, lantas melancarkan serangan tangan kanan yang cukup bertenaga kepada tok. Tapi aneh!

Tok yang bagaikan tidak ada cara untuk mempertahankan dirinya, sempat menangkis serangan tangan kanan ku dan dalam masa yang sama sempat pula membalas serangan dengan kakinya yang menjungkit, nyaris mengenai dada ku.

Dengan tiba-tiba sahaja tok dapat membebaskan dirinya dan sekarang berada dalam ruangan terbuka. Kami bertiga menyerangnya secara serentak, tapi tiba-tiba aku mendapati Pei telah jatuh tersasar oleh satu sepakan dan ketika Tok mengelak serangan dari Wan, pada ketika itulah kaki ku melancarkan satu libasan sisi ke tengkok tok. Tapi ajaib! Pada ketika itulah pula tangan tok sempat menangkis libasan ku melalui putaran badannya dan dalam sekelip mata kakinya melayah ke udara tepat mengenai bibir ku walaupun ketika itu tok sedang bergelut dengan Wan.

Bila terkena serangan secepat kilat itu, aku lantas berundur dan pada ketika itu Piei meluru dengan garangnya menyerang tok yang sedang bergelut dengan Wan.

Aku terasa bibirkan kebas. Aku kemam kedua-dua bibirku dan aku terasa ada satu denyutan yang menyakitkan.Lalu tangan kanan ku menyapu bibir ku dan bila aku perhatikan, ada darah di tangan ku.Tahulah aku bahawa bibir ku telah berdarah oleh serangan tok tadi.

`Tok! Bibir cucu berdarah!’,aku bagaikan seorang kanak-kanak manja melaporkan kepada tok.

Bila mendengar aduan ku itu. Tok lantas memberhentikan pencaknya. Wan dan Piei ikut sama. Tok lantas mendekati ku dan aku menunjukkan bibir bawah ku. Terasa masih sakit. Bagaikan bibir bawah ku kebas dan tebal. Terasa denyutan bisanya.Aku mengemam bibir ku lantas menuju ke tingkap dan membuka daunnya untuk berludah.

Tok tidak memberi komen apa-apa mengenai luka ku itu kerana aku sekadar cedera rengan.

`Itu pun tok bukan minta yang ganas`, tok memaklumkan.

`Belum ganas lagi?’, Wan bagaikan tidak percaya.

`Belum’

`Huh!’, Wan mendengus.

Dalam mindanya barangkali dia tentu membayangkan kalau tok membuka permainan ganas, aku pasti bibir ku akan cedera dengan lebih teruk pada malam itu. Bukan aku sahaja barangkali kami bertiga akan mendapat petakanya.

Sebelum ini tok telah mengingatkan, persilatan yang kami pelajari ini, gurunya adalah Malaikat Maut. Setiap serangan tertakluk kepada dua martabat: kalau tak mati, patah! Inilah yang tok katakan silat peperangan dan kami dalam latihan untuk menghadapi peperangan 1980.

6 ulasan:

  1. "Sebelum ini tok telah mengingatkan, persilatan yang kami pelajari ini, gurunya adalah Malaikat Maut. Setiap serangan tertakluk kepada dua martabat: kalau tak mati, patah!"

    Sejak bila Izraail buat kerja Jibraail? err silap...sejak bila pulak malaikat yang hanya taat pada tugasnya buat tugas lain? ke kita tak cukup info tentang tugas sebenar malaikat Izraail a.s.

    Surah al Alaq - " Allamal insaana ma lam ya'lam" Hakikatnya siapa guru?

    BalasPadam
  2. Tq.Demikianlah kejayaan perdayaan di atas kejahilan.
    Semoga selepas kesa-kesah saya dibaca, semua orang-orang muda yang mengacah-ngacah untuk belajar silat Melayu/ilmu batin Melayu untuk jadi handal dan hebat wp atas tujuan agama, berhati-hatilah....

    BalasPadam
  3. cerita ini bagus sekali..ada ilmu dan pengajaran..tuan penulis masih ingat detail dengan bagus walaupun sudah lama..terimakasih kerana cerita ini dibuat tanpa rahsia jalan cerita dapat diikuti dgn baik..kalau buat buku rasanya boleh terkenal mcm cerita siri cerita Tamar Jalis...saya menanti episod ceritanya..

    BalasPadam
  4. Tq.Insyaallah sy akan usahakan utk diterbitkan supaya lebih tersebar luas kepada anak-anak muda kerana sy ada message agama utk Bangsa Melayu terutama dalam soal Tasauf, silat dan kebatinan Melayu.
    Sy telah melalui tempoh yg panjang terpenjara minda dalam bidang-bidang tersebut oleh permainan syaitan.
    Inilah hasrat saya menulis RANJAAU-RANJAU DALAM KEMBARA dan TENTERA AKHIR ZAMAN untuk semoga menjadi iktibar.

    BalasPadam
  5. Assalamualaikum saudara, harap dpt jalin persahabatan dan berkenalan, krn saya ada minat kearah yg sama. Bagaimana nak berhubung dgn saudara.

    BalasPadam