02 September 2010

70. Pertarungan Bersenjata

Setelah pertarungan dengan tangan kosong telah kian mantap, tok lalu meminta kami berlatih memantapkan diri dengan menggunakan senjata pula. Pertarungan dengan menggunakan senjata terserahlah kepada kami iaitu samaada mahu menggunakan keris, parang,lawi ayam dan kerambit atau pedang. Semua kemahiran persilatan tersebut ada dalam persilatan semua panglima.

Setelah berbincang sesama sendiri, kami membuat keputusan untuk menggunakan keris. Kami akan bertarung sesama sendiri dengan menggunakan keris.

`Sebenarnya cucu, kita tidak begitu perlu membawa senjata’, tok mengatakan .`Biarkan lawan sahaja yang bersenjata’.

`Jadi ertinya kita melawan mereka dengan tangan kosong, tok?’, begitu pertanyaan ku kepada tok. Tok yang membimbing persilatan senjata kali ini ialah Hang Tuah iaitu setelah beberapa kali di bawah seliaan Tok Itam.

`Terpulanglah! Tapi tok lebih suka merampas senjata musuh sehingga musuh mati di tangan senjata sendiri’

`Senjata makan tuan!’, Wan bernada gembira.

`Nanti bila bertarung dengan permainan pencak senjata, cucu lakukan semuanya sekali’.

`Maksud tok?’

`Gunakan semua jenis pertarungan; pertarungan sesama menggunakan senjata dan pertarungan dengan tangan kosong melawan orang yang bersenjata’.

Kami seronok mendengar kehebatan yang bakal kami tempuhi.

`Pertarungan melawan orang bersenjata memang seronok kerana cucu nantinya akan berjaya merampas senjata dari tangan lawan. Di sini banyak menggunakan teknik tangkapan’

Dengan pesanan-pesanan tersebut maka kami bersedia untuk berlatih bertarung dengan menggunakan senjata.Tok lantas meminta kami mengeluarkan senjata yang telah dibeli pada pekan sehari pada siang tadi.Nasib baik Piei dapat mencarinya iaitu senjata mainan yang terdiri dari keris plastik.

Sebagaimana biasa kami akan meminta apa-apa persilatan yang kami kehendaki tetapi pada kal ini adalah permainan senjata. Dengan senjata terhunus di tangan, Piei dan Dol memulakannya. Disebabkan kami telah begitu maju dalam menerima sinaran gerak, aku dapat menyaksikan pertarungan senjata antara Dol dan Piei nampak lebih mencemaskan berbanding dengan pertarungan tangan kosong.

Pertarungan senjata ada gerak seninya tersendiri. Ada tepis, ada kilas, ada tangkap dan kilas, ada serangan menerusi tangan yang memegang senjata serta juga serangan tangan kosong selain sepak dan terajang.Ertinya pertarungan bersenjata mempersembahkan pakej pertarungan yang lebih lengkap, lebih berseni berbanding silat pertarungan dengan tangan kosong.Justru lebih seronok untuk ditonton kerana lebih mencemaskan. Pada ketika inilah rupa-rupanya muncul pelbagai aksi - bergulingan dan gerak akrobatik, tangkap-menangkap, cekak-mencekak, pulas-memulas berlaku. Aku dapat menyaksikan Piei dan Dol bagaikan sama-sama hebat dalam aksi mengunakan senjata.

Tiba giliran aku dengan Wan.Bila pertama kali pertarungan ini aku gunakan, aku sudah dapat merasakan keindahan seninya. Aku dapat merasakan langkah pencak pertarungannya begitu berbeza dengan cara pertarungan tangan kosong. Seni gerak tangan yang bersenjata rupa-rupanya begitu lincah dengan tipu-helah, di samping kaki yang juga lincah mengatur langkah. Gerakan tangan begitu seni bagi memperdaya atau mengelirukan lawan.

Wan juga tidak kurang lincahnya. Sewaktu aku sedang ternanti-nanti bagaikan akan menyerang lantas Wan tiba-tiba menyerang ku.Aku dapat merasakan keindahannya – keindahan bagaimana aku mengelak sambil menepis serangan bertubi-tubi kali; sambil juga menyerang. Tikam-menikam, tepis-menepis, elak-mengelak dan tangkap-menangkap berlaku dengan begitu pantas sehingga akhirnya tanpa aku sedari badan ku rebah ke lantai dan Wan menerpa ku dengan pantas. Rebah bukan kerana tewas tetapi adalah sebahagian dari cara pertahanan. Dan dengan satu gerakan mengelirukan dari kaki, aku berjaya berdiri dengan pantas dan anehnya aku tiba-tiba berada dalam langkah yang cukup bersedia untuk menyerang Wan yang terlentang pula kini di atas lantai. Entah bagaimana dari badan yang rebah rupa-rupa aku telah berdiri dan cukup bersedia untuk menyerang. Sepantas kilat aku menerkam untuk menikam dada Wan yang bagaikan terdedah tiada pertahanan, dan persis pada saat itulah kaki kanan Wan menolak tangan kanan ku sehingga aku terdorong melepasi kepalanya lalu jatuh dengan gerak akrobatik di hujung kepalanya di tepi dinding.

Permainan ditamatkan setelah baju kami berdua basah oleh peluh. Tok sangat berpuas hati.

`Gila aku! Gila!’

Begitu kata tok kepada Yim – seperti dikatakan oleh Yim kepada kami - oleh seronoknya dia bila melihat aksi aku dengan Wan terutama ketika Wan bagaikan telah tertewas tetapi masih sempat menyelamatkan dadanya dari tikaman melalui sanggaan kaki kanannya!

Pertarungan menggunakan senjata – seninya sungguh menakjubkan! Kalaulah seni ini boleh dipamerkan, tentulah sangat mempesonakan. Tapi pertarungan silat ini bukan untuk pameran dan mainan.

Tok telah memberi pesanan, seni silat ini bukan silat mainan dan jangan dibuat mainan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan