27 September 2010

75. Pertempuran Panglima.

`Kalau engkau dapat melihat panglima bertempur sesama sendiri, engkau tentu seronok’, Yim berkata merujuk kepada pertarungan yang pernah berlaku di rumah hijau antara sesama panglima.

`Di sini kawasannya sangat terhad. Lagipun mereka tidak menggunakan kebatinan’

Kami mendengar dengan penuh minat penerangan dari Yim itu. Walaupun tidak pernah melihat pertarungan yang hebat dan menarik secara mata zahir, terutama dengan menggunakan kebatinan, tapi aku mempercayainya kerana aku telah mengalami permainan batin bersama Wan. Selain itu aku pernah pula diserang oleh Lee Soon Ngen lantas pukulan angin tahap ketiga digunakan.

`Di tempat tok kita boleh nampak dengan mata kita bila pukulan batin dilepasan’,Yim menerangkan selanjutnya.

`Ada bermacam-macam warna yang meluncur keluar bagaikan cahaya laser’

`Adakah seperti dalam filem?’

`Lebih kurang macam itulah. Tapi hebat tok lagi’

Yim menerangkan bahawa ada ketika-ketika tertentu, para panglima akan menunjukkan permainan mereka di hadapan anak-anak murid. Biasalah pertarungan pada mulanya berjalan dengan baik dan tenang tetapi apabila mereka telah sama-sama terkena pukulan, mereka akan menjadi lebih berangsang dan marah.

Dari permainan yang tenang lama kelamaan akan bertukar menjadi ganas. Bila sudah terlalu ganas panglima yang lain yang sedang menonton akan lari berserakan untuk mengelakkan diri dari terjebak. Bila pertarungan telah sampai kepada tahap maksima, semua panglima akan melarikan diri dari terjebak dan terperangkap.

`Tak adakah dari kalangan mereka yang akan cuba meleraikan?’

`Nak lerai macam mana? Tak boleh!’, dan Yim ketawa.

`Tak boleh?’

`Kenapa?’ Piei bagaikan tak puas hati.

`Ketika panglima sedang bengis dan garang, tak akan ada sebarang panglima yang boleh meleraikan mereka’

Aku terasa agak sukar untuk mempercayainya.

`Katakanlah’, aku berkata.`Panglima setaraf Pendekar Tujuh Belas sedang bertarung dengan Panglima Sunda dan mencapai tahap keganasan tertinggi. Tak bolehkah Hang jebat atau Hang Tuah yang lebih hebat meleraikan mereka?’

`Tak boleh!’

`Kenapa?’,Piei juga tak puas hati.

`Sebab Jebat dan Tuah tidak boleh!’

Kami belum juga begitu mengerti.

`Bukankah mereka lebih hebat berbanding Sunda dan Pendekar Tujuh Belas?’

`Tak boleh’

`Kenapa?’

`Jebat dan Tuah juga pada makam panglima.Sebab itu tak boleh!’

`Jadi kalau begitu siapa yang boleh meleraikan mereka?’

`Cuma Tok Petanda sahaja’

`Kalau Petanda tak ada?’

`Gurulah! Tapi biasanya Tok Petanda akan sentiasa ada bersama iaitu samada Petanda Pertama atau Kedua atau Ketiga.Bila Petanda ada, biasanya Tok Petanda tidak akan membiarkan pertarungan mencapai tahap keganasan’

`Bagaimana agaknya kalau dibiarkan’, Wan mencelah.

``Ha! Itulah saat yang seronok’, Yim berkata.`Bila wajah panglima telah sama-sama merah, mereka akan bertempur dengan teramat ganas sehingga habis berserakan bangsal-bangsal silat.Kemudian masing-masing akan terbang dan melancarkan serangan kebatinan. Bila seseorang panglima menggunakan pukulan jarak jauh, kita akan nampak cahaya serangannya menuju kepada panglima yang diserang. Kita akan terasa ngeri.Kita akaan menyangka panglima yang diserang akan terbunuh tapi tidak! Tak jadi apa-apa!’

`Kenapa?’

`Sebab cahaya maut itu akan ditampan atau ditolak ke atas. Bila terkena daun-daun kayu nescaya akan terbakarlah daun-daun kayu di atas. Kemudian panglima tersebut akan membalas pula dengan serangan kebatinan yang sama dan akan berlaku seperti tadi jugalah, akan ditampan atau ditolakkan ke udara sehingga menjadi terbakarlah pokok tersebut. Seronok tapi ngeri!’

Kami bagaikan berkhayal di lautan khayal mendengar adegan pertarungan kebatinan tersebut.

`Kadang-kadang ada juga serangan kebatinan tidak sempat di tampan oleh seseorang panglima, tapi dia sempat mengelak, lalu serangan tersebut terbabas kepada panglima-panglima lain yang sedang menonton’,Yim menerangkan selanjutnya.`Itu lagi seronok kita tengok. Tetapi kita akan menjadi lebih ngeri kerana melihat tampan-menampan berlaku antara sesama panglima untuk mengelakkan terkena serangan api maut tersebut. Bila begitu keadaannya, kecoh dan hingar-bingarlah di gelanggang’

Kami bagaikan terlopong membayangkan adegan maut itu.

`Tetapi yang paling merbahaya ialah bila pangllma menepuk bumi’,Yim melanjutkan ceritanya yang begitu mengasyekkan kami itu.

`Bila mana-mana panglima berada pada tahap serangan kemuncak, yang paling digeruni ialah bila dia menepuk bumi. Bila bumi ditepuk, jangan ada sesiapa yang masih berada di bumi. Ketika itu semuanya mesti terbang’

`Engkau pun terbang sama?’

`Tentulah’

`Kalau tak terbang kenapa?’

`Putus jantung’, Yim berkata tegas`Bila bumi ditepuk, bumi bagaikan terbakar dan bergetaran. Cahaya merah menyembah persekitaran dan akan membunuh sesiapa jua yang berdiri di atasnya’

(Inilah rupa-rupanya ilmu kesudahan tertinggi milik aruah bapa saudara ku yang menggunakan silat Lian/Buah Pukul. Dia menerangkan kepada ku sewaktu aku belajar dengannya dahulu, kalaulah diandaikan dia tewas sewaktu bertarung, dia mengharapkan sebelum dia mati, dia sempat menepuk bumi terlebih dahulu. Kalau dia sempat menepuk bumi dia percaya, lawannya akan sama-sama mati juga. Bapa saudara ku pernah berkata dia kecewa dalam pelajarannya kerana cita-citanya untuk menjadi seorang panglima tidak kesampaian. Dia hanyalah seorang yang bertaraf pendekar. Demikian menurut ilham yang diterimanya dan aku percaya kata-katanua itu kerana aruah bapa saudara ku itu mungkin tidak boleh terbang sebab tidak pernah dia menyebut hal itu kepada ku. Sekadar melenting sewaktu tidur apabila diserang curi, dia ada memberitahu ku dan ilmunya pun telah dianugerahkan kepada ku semasa hayatnya dulu)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan