28 April 2010

34. P.Ramlee.

Dengan Tok Itam kami pernah bersembang mengenai beberapa nama orang-orang terdahulu yang telah kembali. Di antaranya ialah Tun Razak dan P.Ramlee.Ini berpunca apabila Tok Itam menerangkan mengenai P. Ramlee yang bagus kedudukannnya. Walaupun tidak sampai pada taraf `terpilih’ seperti tok, tetapi P. Ramlee berada pada tempat yang baik. Ini disebabkan P. Ramlee mengamalkan Tasauf.
`Boleh panggil P.Ramlee?’, sponton Wan bertanya. Aku dan Piei serta Dol terkejut juga dengan permintaan yang tidak diduga itu.
`Boleh!’, begitu kata Tok Itam.
Jawapannya itu begitu mengejutkan kami. Sejurus kemudian P. Ramlee dipanggil.Ketibaannya berbeza dengan tok.Dia tidak membuka apa-apa bunga pencak. Terus sahaja duduk setelah memberi salam sekali. Duduknya tidaklah dalam sila panglima. Duduk bersila biasa. Perbualan dengannya adalah mengenai sejarahnya dalam dunia perfileman dan hiburan. Bila bertanya apakah kawannya dalam siri filem Do Re Me duduk terkumpul di alam barzah yang sama, P. Ramlee menjawab.
`Tidak. Cuma abang seorang sahaja’
`Ke mana dia’
`Tak tahu’.
`Kenapa agaknya?’
`Entah.Barangkali sebab dia kuat main judi...’
Dia lalu menerangkan sebab dia meninggal dunia secara mengejut dan usianya ketika kematian. Kami memberitahunya mengenai namanya yang masih segar dalam ingatan semua lapisan masyarakat dan menjadi tokoh yang tidak lagi dapat dicari ganti.
`Dengan kedudukan yang begitu popular, kalau abang masuk politik tentu abang menang’, aku cuba mengusik jiwanya kerana politik adalah topik yang aku sangat suka membicarakannya kerana pada waktu itu aku mulai diseret ke dalam gerakan politik PAS oleh Cikgu Salam, rakan sekerja.
`Kalau abang masuk politik, tentu abang boleh sampai ke taraf menteri....’, Piei mengusik.
`Perdana Menteri pun tidak mustahil....’

24 April 2010

33. Raden Putera.

Raden Putera bukanlah guru kepada Hang Tuah dan rakan-rakannya. Hang Tuah dan rakan-rakannya memang permulaan mereka dalam persilatan adalah bersama Raden Putera tetapi guru yang sebenarnya bukanlah Raden Putera kerana Raden Putera bukanlah seorang yang bertaraf guru.
Raden Putera bukanlah seorang guru kerana dia juga berguru dengan Guru.
Raden Putera sebenarnya hanyalah pada taraf seorang panglima sahaja, akan tetapi taraf persilatan dan kehebatannya mengatasi semua panglima yang lain termasuklah Hang Tuah atau Hang Jebat atau Panglima Hitam sendiri.
Walaupun sedemikian hebat dan tinggi taraf persilatan Raden Putera, tapi taraf kepanglimaan tidak dapat mengatasi taraf kepetandaan .

34. Tok Petanda dan Guru.

Yim menerangkan ada tiga orang Tok Petanda dan ada tiga orang Guru.Petanda Ketiga adalah taraf paling rendah dalam kepetandaan. Demikian juga Guru, ada tiga mertabat Guru. Taraf Guru Ketiga adalah yang paling rendah berbanding dengan taraf Guru Kedua dan Guru Pertama.
Seorang panglima terhebat setaraf Raden Putera tidak akan dapat menewaskan Pertanda Ketiga. Demikian juga Pertanda Pertama, walau sedemikian hebat kebolehan pencaknya, tidak akan mampu menewaskan keperkasaan Guru Ketiga.
Panglima Hitam menerangkan kalau di ibu kota (Kuala Lumpur) pada waktu itu (1978), seandainya berlaku peperangan pada tahun 1980, cukup seorang Guru sahaja untuk mengamuk kerana kehebatan serangannya jauh lebih hebat berbanding dengan kehebatan amuk Panglima Salleh.
Tapi guru jarang ikut berperang....Tapi Tok Itam memberitahu, kalau berlaku perang yang sehebat misalnya 1980, semuanya akan keluar berperang kerana peperangan tersebut adalah untuk membunuh semua musuh bangsa dan agama kerana mereka tidak jujur berada di bumi Melayu ini.

22 April 2010

32. Panglima Salleh

Panglima Salleh bila datang buat kali permulaan, terus mengajar kami mengenai hal-hal agama disebabkan aku memulakan bicara mengenai Tasauf.
Dalam hal mengambil wudhuk, dia menunjukkan caranya sambil membaca bismillahirrahmanirrahim pada setiap ketiga-tiga kali membasuhi bahagian-bahagian anggota wudhuk.Sejak itu aku mulai mengamalkannya dan membiasakan membaca bismillah pada setiap permulaan melakukan perkara-perkara yang baik.
Sebelum ini kami pernah bertanya kepada Panglima Hitam mengenai Panglima Salleh – satu nama yang sangat aku sanjungi oleh kemasyhuran tentera Selendang Merahnya apakah Panglima Salleh juga terkumpul bersama panglima-panglima yang lain.
Tok Itam memberitahu Panglima Salleh sebenarnya tidak pandai bersilat dan tidak juga memiliki ilmu kebatinan sebagaimana panglima-panglima yang lain. Dia bukanlah seorang panglima dalam persilatan Melayu tetapi dia mencapai maqam Tasauf yang tinggi. Memiliki Ilmu Taauf yang tinggi menyebabkan tarafnya hampir menyamai taraf guru. Dengan hanya menggunakan pedangnya dia memiliki keupayaan amuk yang teramat hebat dan dahsyat.
Aku telah mengetahui kesah panglima atau Kiai Salleh ini melalui Pak Abu bin Darasan. Pak Abu yang mendakwa sebagai murid kanannya dan menyimpan sebahagian kitab yang digunakan oleh Panglima Salleh, terlibat sama dalam peristiwa amuk di Batu Pahat pada tahun 1946. Sewaktu berperahu menyeberangi sungai, Pak Abu melihat sendiri Kiai Salleh bagaikan terbang untuk sampai di pengkalan. Belum pun sampai ke pengkalan, Panglima Salleh telah melompat, bagaikan terbang dari perahunya membiarkan anak-anak murid yang bersamanya masih berkayuh di perahu. Ketika Pak Abu dan rakan-rakannya berkejar-kejaran menuju kongsi-kongsi Cina (tempat tinggal beramai-ramai), untuk mengamuk dengan pedang masing-masing, Pak Abu memberitahu semua orang-orang Cina telah bergelempangan mengeletik bagaikan ikan tersadai di daratan. Pak Abu dan anak-anak muridnya bagaikan kempunan untuk membunuh kerana Kiai Salleh telah membunuh semuanya.
`Saya sendiri hairan’, kata Pak Abu.`Bagaimana dia…betapa pantasnya dia mengamuk…’
Pak Abu yang terkilan kerana tidak dapat membunuh walaupun seorang musuh, untuk melepaskan geram dan rasa terkilan, cuma dapat sekadar memenggal leher seorang lelaki Cina yang sedang menggelepar menunggu saat kematian.
Semua orang Melayu pada sekitar lima puluh tahun yang lalu memang mengetahui kesah Panglima Salleh dan rakan-rakanya dalam kebangkitan Melayu tahun 1946 yang terkenal dengan tentera Selendang Merah.
Demikian kehebatan Tasauf pakaian Kiai Salleh.

20 April 2010

31. Kesah Tok Ali Lawak

Nama Tok Ali Lawak yang sebenarnya ialah Panglima Ali. Tapi dia mendapat nama yang lebih serasi dengan perwatakannya yang suka melawak.
Panglima Ali Lawak amat serasi dengan Panglima Ah Chong. Mereka sentiasa berteman baik.Kerana teramat suka melawak, pada suatu hari Tok Ali Lawak melawak dengan puteri yang sedang berada di sungai menyebabkan semua puteri berkeriau dan berlaku keriuhan dan kegemparan oleh sangkaan adanya harimau.
Kegemparan ini sampai ke pengetahuan guru.
Akibat lawaknya itu Tok Ali Lawak bersama Ah Chong telah dihukum berendam selama sekerat hari oleh guru di dalam telaga yang airnya begitu sejuk.
`Yang tok hairan’, Tok Ali bercerita.`Air di dalam telaga itu mengikut tok. Bila tok naik ke atas, air itu naik. Bila tok turun, air pun turun. Air sentiasa di paras leher’
`Tok tak cuba lompat?’, Piei bertanya.
`Tak boleh!’
`Bukankah tok boleh terbang?’
`Tak boleh! Itulah yang tok hairankan.Tak dah cuba berkali-kali. Ajaibnya bila sampai tengah hari iaitu bila habis tempoh hukuman, tiba-tiba mudah sahaja untuk keluar’
Kami mempersilakan Tok Ali Lawak mengambil kueh yang dihidangkan. Biasanya kalau kami akan memanggil panglima, Tok Ali Lawak adalah yang terakhir kerana kalau dia yang terawal, alamat tak ada atau hampir tak ada apa-apa lagi yang tinggal untuk orang yang terkemudian kerana dalam lawaknya dia akan sapu bersih segala yang terhidang. Tentang ini kami memang gagal untuk menyekat lawaknya.
Seronok dan ceria dengan Tok Ali Lawak.
Pada masa berzikir iaitu sewaktu kami diminta berzikir oleh tok, dato-dato panglima berzikir sama di tempat mereka untuk membantu kami supaya segera mencapai taraf-taraf tertentu dalam persilatan.Pada ketika seperti itu tidak ada sesiapa yang mahu duduk berdekatan dengan Panglima Ali Lawak kerana dalam berzikir pun Tok Ali Lawak sempat melawak. Sambil berzikir, Tok Ali Lawak akan mengangkatkan kedua-dua belah tangannya merayakan kemenangan sebagai seorang juara.
`Ali! Aali! Aaalii’, itulah di antara kalimat di antara celah-celah zikirnya.
Ini berpunca apabila Tok Ali Lawak melihat juara tinju heaviweight dunia Muhammad Ali sentiasa meraih kemenangan dalam kejuaraan tinju. Tok Ali Lawak berbangga dengan nama itu yang sama dengan namanya. Lalu sambil berjalan dia akan berjeritan:
`Ali! Ali! Aaaliii!’, sambil kedua-dua belah tangannya mendepang tinggi tanda kejuaraan.Ini terbawa-bawa pula semasa berzikir.
Ada dua panglima yang Tok Ali Lawak tidak berani membuat lawak. Apabila dua orang panglima ini ada dalam suasana bersama, Tok Ali Lawak hanya akan berdiam diri. Dua orang panglima tersebut ialah Hang Jebat dan Wan Ndik. Dengan mereka berdua, Tok Ali Lawak tidak berani melawak kerana belum pun habis lawaknya, kaki Jebat atau Wan Ndik telah pun sampai hampir mencecah pipi.
Hang Jebat dan Wan Ndik adalah dua orang panglima yang terkenal dengan garangnya. Mereka berdua jarang kami panggil kerana kehadiran mereka selalunya akan menghilangkan suasana ceria. Tapi Hang Jebat atas sifatnya sebagai panglima tersohor, tetap juga datang atas sebab-sebab tertentu terutama soal-soal latihan persilatan atau hal-hal yang serius. Bila dia datang, kami biasanya menyusun kata apabila berbicara.

18 April 2010

30. Panglima Choyoboyo.

Maklumat mengenai panglima ini secara detail diketahui pada sekitar 2006/2007 apabila isteri ku mengalami mimpi berada di satu kawasan istana lama di Jawa.Dia bertemu dengan seorang yang bernama Coyoboyo yang sedang duduk sendirian di pinggir kolam.Dalam mimpi itu isteri ku tahu bahawa orang itu adalah seorang raja dan juga seorang panglima.
Bila mimpi itu diceritakan kepada ku, aku memberitahunya memang ada seorang panglima Jawa yang bernama Coyoboyo.
Kami berkesempatan mengujungi Yim dan pada malamnya kami memanggil Tok. Tok memberitahu bahawa Coyoboyo adalah berkaitan dengan kesah bagaimana ada sebuah negeri di Jawa pada zaman yang lalu telah ketiadaan pengganti raja apabila raja negeri tersebut mangkat. Maka diutuslah seekor gajah kebesaraan diraja untuk mencari sesiapa sahaja dari kalangan yang ditemui oleh gajah tersebut untuk dirajakan.
Bila sampai di hujung negeri dan terlihat Coyoboyo, gajah berkenaan terus sahaja merendahkan badannya lantas duduk bagaikan memberi isyarat supaya Coyoboyo naik ke belakangnya. Coyoboyo yang memang tahu dia adalah dari keturunan raja enggan untuk naik ke atas belakang gajah tersebut dan enggan untuk dirajakan. Coyoboyo lebih bersedia untuk jadi orang biasa sahaja.
Selepas penerangan rengkas oleh tok itu, Coyoboyo langsung dipanggil. Dia mengakui bahawa pertemuan isteri ku dengannya pada malam tersebut memang benar dan dialog antara mereka berdua juga adalah benar.
Bertambah yakinlah isteri ku kebenaran titisannya adalah dari darah Bugis kerana Coyoboyo adalah titisan dari darah diraja Bugis yang membawa diri merantau ke Jawa kerana tidak mahu mewarisi kehidupan penuh kebesaran.

15 April 2010

29. Panglima Nayan Robin Hood Melayu.

Panglima Nayan adalah panglima yang digeruni oleh orang-orang di sekitar negeri-negeri utara Semenanjung Tanah Melayu pada waktu dahulu terutamanya di Negeri Kedah.Orang-orang kaya yang memperolehi harta kekayaan melalui pemerasan kepada rakyat bawahan atau orang-orang kaya yang tidak bertimbangrasa kepada rakyat yang miskin, mengingati Panglima Nayan dengan ingatan dan igauan yang menakutkan.
Dikatakan Panglima Nayan akan menggunakan kehandalannya dalam pertarungan untuk merampas harta-harta yang tidak bersih dan tidak halal dari orang-orang kaya lintah darat. Orang-orang yang melawan akan mendapat balasan yang dahsyat.Nyawa akan melayang!
Harta-harta yang dirampas ini tidak menjadi milik Panglima Nayan. Dikatakan dia tidak memerlukannya. Sebaliknya beliau membahagi-bahagikannya kepada orang-orang miskin yang hidup melarat dan memerlukan bantuan. Dia sanggup menggalang-ganti nyawanya demi membela keadilan dan mengembalikan hak rakyat yang tertindas.Beliau adalah wira untuk menegakkan keadilan.Beliau sastria bagi rakyat bawahan. Dia menjadi wira orang-orang yang tertindas.
Bila Inggeris datang mereka memperkenalkan sistem kepolisan untuk menegakkan keadilan cara Barat. Melalui undang-undang polis menyebabkan orang-orang seperti Panglima Nayan dianggap sebagai orang yang bersalah dan akan dihukum di bawah undang-undang common law Barat walaupun menjadi wira bagi rakyat jelata
Demikianlah kesah yang diceritakan bukan oleh Yim tetapi oleh Pak Long Awang di Mercong, Pahang – orang Kedah yang mengusahakan padi sawah di sana dan merupakan pakar dalam perubatan tradisional. Pak Long Awang terlibat sama dalam Tragedi 1969.Demikian secebis latar dirinya yang diceritakan kepada ku.

12 April 2010

28. Panglima Naga Mengaum dan Panglima Gagak Di Rimba.

Panglima Naga Mengaum seperti Panglima Monyet juga – panglima yang kena sumpahan.Dia juga seperti Panglima Monyet mengalami desakan semulajadi iaitu gatal, tetapi Panglima Naga Mengaum tidaklah menggaru dengan tangannya.
Bila pertama kali kami ingin berkenalan, dia meminta sesuatu untuk menggaru badannya. Kami memberikan beberapa benda tapi semuanya tidak dipersetujuinya. Setelah kami menghulurkan sebilah parang pendek, baharulah dia berkenan. Dengan menggunakan parang pendek tersebut, dia menggaru-garu badannya.Kami seakan-akan dapat membayangkan, parang tersebut bergesel dengan satu benda yang keras. Bersiseik?
Dia bercakap dengan suara di dalam rengkung. Sepatah-sepatah Kami tidak dapat bersimbang lama dengannya kerana kesukarannya untuk berkomunikasi.
Persilatannya sangat merbahaya kerana serangannya teramat keras kerana apabila dia membuat serangan dengan libasan kaki dan tangan, libasan tersebut teramat kuat dan tidak mampu ditangkis. Badannya pula teramat kuat kerana serangan kaki dan tangan bagaikan tidak dapat mencederakannya. Tubuhnya bagaikan tidak terjejas oleh apa jua serangan.
Seorang lagi panglima yang ganjil ialah Panglima Gagak Di Rimba yang menjadi orang utan setelah juga terkena sumpahan. Panglima Gagak Di Rimba hampir tidak lagi boleh berkomunikasi dengan kami kerana perbendaharan katanya begitu terhad. Persilatannya begitu merbahaya kerana dia seolah-olah seekor burung yang sedang meragut mangsa kerana apabila dia menyerang, jalan yang paling selamat ialah menjauhinya.
Kedua-dua panglima yang aneh ini juga dikumpulkan untuk tujuan menghadapi 1980.

10 April 2010

27. Panglima Monyet

Inilah panglima yang paling sukar untuk datang. Telah berkali-kali Yim cuba memanggilnya tetapi dia tetap enggan. Malu, begitu kata Yim. Namun kami tidak berputus asa. Kami tetap berusaha memanggilnya dengan membuat persiapan menyediakan makanan kegemarannya. Akhirnya Panglima Monyet datang juga.
Bila Panglima Monyet datang, kami dapati dia tidak duduk sebagai seorang panglima. Dia tidak duduk dalam sila panglima. Sebaliknya dia duduk dalam sila biasa sahaja. Sejurus bersimbang, dia pun mula mahu menggaru badannya. Pada mulanya dia berusaha untuk tidak menggaru – sekadar menggosok-gosok. Tetapi akhirnya dia terpaksa akur dengan desakan semulajadinya. Dia menggaru juga.
`Inilah yang tok tak mahu datang ini’, dia bersuara merendah diri. Suaranya memang halus sahaja.
`Malu!’, dia mengaku.
`Tak boleh tahan.Gatal!’, dan dia menggaru-garu persis seekor monyet juga.Garu pipi, garu lengan, garu kaki dan berulang-ulang kali pula.
`Jemput makan, tok’, aku mempelawa.
Dengan malu-malu Panglima Monyet lantas mengambil sebiji pisang mas yang masak menguning. Dia mengoyakkan kulitnya. Bila semua kulit telah terkoyak, dia lantas memakan isinya.
Sambil makan-makan itu kami terus berbual-bual. Dia menceritakan dia telah terkena sumpahan oleh sebab mungkir janji. Dia telah mengadakan satu perjanjian dengan Puteri Gunung Ledang, tapi ada satu janji yang dia tidak dapat tunaikan yang menyebabkan Puteri Gunung Ledang murka dan enggan memaafkannya lalu disumpahnya.(Sayangnya saya terlupa kesah detailnya)
`Tak bolehkah dipulihkan?’, aku bertanya dengan penuh simpati.
`Tak boleh’
`Puteri Gunung Ledang kan ada bersama di tempat tok?’
`Dia tak mahu maafkan....’
`Jadi sampai bila tok akan jadi begini?’
Panglima Monyet menggeleng-geleng.Aku cukup bersimpati kepadanya.
Tok Panglima Monyet seterusnya menceritakan kehidupannya dalam kehidupan seekor moyet.Tapi tidaklah memakan makanan yang kotor seperti seekor monyet. Bentuk fizikalnya sahaja seperti monyet sedangkan yang selainnya masih seperti manusia biasa iaitu tetap berjwa kemanusiaan.Cuma dia tidak makan seperti manusia.Tabii makannya adalah seperti monyet.
`Tok selalu termasuk habuk di dalam mata’, tok menerangkan latar sosiobudaya kehidupannya.
`Kalau cucu termasuk habuk di dalam mata’, Panglima Monyet menerangkan.`Cucu bacalah begini supaya habuk keluar:
Awang kenit-Awang kenit
Tolong buangkan habuk dalam biji mata aku,
Kalau engkau tak buang habuk dalam biji mata aku,
Aku picit anak engkau sampai mati.
Pada malam itu aku memang mengidap sedikit batuk. Dan aku selalu terbatuk sewaktu berbual-bual itu. Bila aku terbatuk, Tok Panglima Monyet lalu berkata:
`Kalau batuk cucu baca begini:
Hai batuk-batuk
Mengapa kau jadi batuk
Kalau engkau ibu batuk
Keluarlah engkau dari tubuh aku, supaya aku tidak jadi batuk.
Hampir habis satu sikat pisang mas di makan oleh Tok Panglima Monyet, walaupun kadar kehadirannya cuma sekitar sepuluh minit. Dia keberatan untuk berbual lama walaupun kami mendesaknya kerana malu kepada tabiinya yang suka menggaru
Menurut Yim, silat Panglima Monyet sangat merbahaya. Dalam persaingan persilatan di kalangan murid-murid di tempat tok, silat Panglima Monyet jarang dibenarkan untuk dibuka pencaknya. Selain disebabkan seni silat tersebut mirip kehaiwanan dan kurang mempamerkan ketinggian seni, tapi amat merbahaya sebab dia pantas mengelak dan akan melompat ke atas kepala musuh untuk melancarkan serangan mautnya.
Saingan yang menarik bagi persilatan ini ialah silat Panglima Naga Mengaum dan Gagak Di Rimba.

09 April 2010

26. Panglima Kumbalik Melangkah Rumah

Tok Itam menceritakan pada tahun 1940an orang-orang di Sumatera gempar melihat ada satu makhluk/orang yang tersangat besar dan tinggi.Orang-orang melihat ada seseorang berjalan sambil melangkah rumah-rumah (dalam konteks dahulu pondok).
`Itulah Panglima Kumbalik’
`Berapa tinggi tubuhnya tok?’
Tok Itam lantas memandang siling rumah dan kemudiannnya memandang lantai.
`Tinggi...atas pada siling itu lagi. Sampai bumbung kut’
Aku lantas teringat tentang Nabi Adam as dan Nabi Ibrahim as yang dikatakan lebar dadanya adalah tujuh hasta dan tingginya sehingga 30 kaki. Rupa-rupanya masih ada manusia yang begitu besar dan tinggi pada beberapa ketika yang lalu.Demikian fikir ku.
`Apa keistimewaan Panglima Kumbalik, tok?’
`Gagah..Kuat..Kudratnya macam gajah’
`Kalau Kumbalik setinggi itu, tok’, Wan berkata.`Tentulah orang dulu-dulu besar-besar dan tinggi-tinggi belaka...’
`Ha! Memang!’, tok bersuara pantas.`Cuma orang-orang sekarang kematut-kematut. Makin kecil..’
Tok lantas mencapai gelas air Root Beer dan meminum air yang disejukkan oleh ketul-ketul ais itu. Tok tidakseperti dahulu lagi. Sekarang tok sudah biasa dengan air sejuk yang dipanggilnya ayak gunung itu. Tok sudah biasa dengan kehidupan moden kerana telah acap kali keluar merayau. Sejak kami diasuh oleh tok, tok semakin terdedah dengan dunia nyata. Menurut tok, dia dengan izin guru boleh keluar dengan bebas untuk ke mana-mana. Demikian juga dato-dato panglima yang lain. Sebab itulah tok lebih tahu daripada kami sendiri mengenai tempat-tempat atau perkara-perkara tertentu.Bila kami ke mana-mana untuk apa-apa perkara penting, tok akan ikut serta dan bila bersembang pada malamnya tok akan menceritakan dan menghuraikan dengan lebih terperinci kepada kami kerana tok bebas untuk ke mana-mana tanpa sesiapa pun mengetahui atau melihatnya.
`Kalau tok sendiri, setinggi mana?’, Piei bertanya untuk mengetahui pula ketinggian Panglima Hitam berbanding Tok Kumbalik yang boleh melangkah rumah.
Tok Itam lantas memandang ke arah pintu. Dia cuba menyukat dengan matanya ketinggian pintu rumah hijau dari lantai.
`Sampai kat palang pintu itu...’
Bila tok memberikan gambaran begitu, aku lalu menganggarkan ketinggian Panglima Hitam sudah pasti lebih dari enam kaki atau hampir tujuh kaki.

07 April 2010

25. Serban Hijau dan Pulau Serai.

Aku amat memandang tinggi dan menghormati panglima yang dikatakan berjubah ini, kerana jubah bagi ku adalah lambang orang-orang alim. Orang-orang yang memakai jubah menurut hemat ku adalah orang-orang yang penuh dengan ilmu, warak, berakhak mulia, seorang orang soleh dan istiqamah dalam ibadah. Bagi ku,bila seseorang itu mengenakan jubah ertinya, dia bukan sembarangan Demikian juga yang memaki kupiah putih kerana menurut sangkaan ku sekurang-kurang mencapai taraf lebai iaitu orang yang juga berilmu dan alim, boleh memimpin orang ramai dan tempat rujukan masyarakat.Itulah tafsiran ku dulu.
Menurut kata Tok Itam, Panglima Surban Hijau mendapat nama demikian kerana dia memang memakai surban hijau selain jubahnya yang juga hijau.
`Tok boleh baca apa yang ada di dalam hati cucu semua’, itulah di antara kalimat awal yang diucapkan oleh Panglima Surban Hijau apabila beliau sampai. Kalimat itu agak memukau kami.Belum ada para panglima yang datang sebelum ini boleh melakukan demikian.Tok Itam selalunya apabila kami mahu mengetahui mengenai sesuatu permasalahan akan meminta semangkuk air dan melihat ke dalam air. Selepas itu baharulah dia menjawab sebarang permasalahan.Kadang-kadang dengan melalui asap keminyan.Tanyalah mengenai urusan apa atau mengenai sesiapa! Tok kadang-kadang memberikan informasi yang cukup jelas termasuk hal-hal yang melibatkan aspek pensejarahan.
Tok Surban Hijau lantas memandang ku. Kemudian dia pun berkata.
`Cucu ini nampaknya risau megenai buah hati`. Aku lantas tersentak. `Risau... Entahkan jadi entahkan tidak’
Memang aku cukup tersentak dengan pembocoran rahsia hati itu.Pada ketika itu aku sedang dilamun cinta kepada Zaharah Hamid yang berasal dari Karak dan sedang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Mendi, Triang. Pada minggu yang lalu aku telah pergi ke rumah neneknya bersama Yim kerana – Tok Itam memberitahu - pada waktu cuti penggal dia memang duduk bersama neneknya. Lalu kami ke rumah neneknya untuk bertemu dengannya bagi mengesan sejelasnya apakah dia sudah dimiliki.
Yang pasti dia memberitahu ku sewaktu kunjungan itu `hatinya masih kosong’. Tapi aku tetap dalam kerisauan kerana al maklumlah, gula-gula di dalam mulut pun boleh terjatuh keluar! Inikan pula burung yang sedang terbang!
`Cucu ini pula’, Tok Surban Hijau merujuk kepada Wan.`Risau dan tertanya-tanya bilakah duit gaji yang lama-lama akan dibayar. Kalau dapat, hajat di hati nak beli pula benda yang ada empat roda itu. Bolehlah bergaya sedikit di jalan raya...’.
`Motokar’, Piei menjelaskan.
`Ha!’, tok mengiyakan.
Bila Tok Surban Hijau menyebut mengenai duit tunggakan, tergeraklah di hati kami semua – aku, Piei dan Wan iaitu semua guru-guru muda yang belum lagi mendapat gaji penuh walaupun sudah hampir dua tahun mengajar, ingin meninjau khabar darinya mengenai bilakah akan menerima gaji baru serta gaji kebelakang (arrears).
Begitulah kami dengan dato-dato panglima semua, terutama Tok Itam, bila mereka sampai , kami akan sentiasa mengemukakan apa-apa juga masalah untuk mendapat pandangan, khidmat nasihat bahkan pertolongan.Ini kerana Tok Itam telah berjanji dia dan dato-dato semua akan memberikan apa-apa jua pertolongan, perlindungan dan bantuan kepada kami cucu-cucu mereka.Cucu-cucu yang dididik khas bagi menghadapi suasana pada tahun 1980. Bukan sahaja kepada kami, tetapi bahkan kepada kedua ibu-bapa, keluara dan adik beradik kami semuanya akan mendapat perlindungan.Kami dijanjikan rumah tempat kediaman pun akan ghaib dari pandangan musuh.
`Agak-agak bila tok? Agak-agak bila duit akan sampai?’, Wan pantas memberi reaksi.
Aku dengan Piei juga bagaikan tidak sabar.
`Kalau soal duit...tak sabar-sabar....’, Tok Surban Hijau tiba-tiba bagaikan menyindir. Lalu tok menunjukkan rasa tidak sukanya membicarakan mengenai duit. Tok.mengatakan duit adalah daki dunia. Jadi janganlah asyik dengan duit....
Tapi dia menerangkan juga kemusyikilan yang Wan ajukan iaitu semua proses telah siap. Dia menjangkakan pada bulan hadapan semuanya akan selesai.Kami bersorak riang kerana maklumlah akan dapat gaji penuh dan beberapa ribu duit tunggakan.Bolehlah kaya dan raya sakan sekejap.
`Sewaktu tok mula-mula datang ke Tanah Melayu dahulu, sewaku kapal layar berada di lautan Hindi, tanah daratan yang mula-mula sekali kelihatan ialah Pulau Serai’, tok menceritakan kesah silamnya. Tok menjelaskan bahawa dia memang keturunan Arab tulin.
`Pada waktu itu kebanyakan bumi masih tenggelam’, tok memberikan informasi seterusnya.`Pada masa dahulu kapal-kapal laut boleh berlabuh sejauh di Ulu Dong ini’. Tok merujuk Ulu Dong dan Latar Jarum yang menjadi tempat perkelahan yang cantik di Raub.
`Kalau cucu amati masih ada bekas-bekas dan kesan khazah pinggiran laut di Ulu Dong ini’, tok menerangkan lagi.
`Ada bekas-bekasnya.Bila lautan menjadi kering, bumi perlahan-lahan timbul. Pulau Serai semakin lama menjadi semakin tinggi dan akirnyaa telah menjadi puncak gunung. Sekarang ini dinamakan Gunung Jerai’
`Ha?’,kami terkejut.
Aku tba-tiba teringin untuk mengetahui siapakah nama sebenar Tok Surban Hijau.Tok lantas menjawab.
`Nama tok, Abdul Qadir’
`Abdul Qadir al Jailani?’
`Bukan...Itu Sultan Auliya. Tok tidaklah setinggi itu’
Tok Surban Hijau bersuara merendah diri. Walaupun demikian, tok adalah tergolong juga dari kalangan wali-wali Allah. Tok Itam sebelum ini memberitahu, mereka semua adalah golongan terpilih – dipilih untuk dikumpulkan di situ dengan amanah.Amanah tahun 1980 tentunya.
`Tok tinggal di Pulau Serai dan belayar ke merata-rata tempat di Alam Melayu terutama ke Pulau Besar.Pulau Besar pada waktu itu adalah tempat berkumpulnya ulama-ulama Tasauf’.
Maklumat yang disampaikan menyebabkan aku terfikir sebab itulah Hang Tuah lima bersaudara bertumpu ke Pulau Besar untuk mendalami ilmu persilatan mereka
`Tok meninggal di mana?’
`Di Pulau Serai’
Demikian Tok Surban Hijau mengakhiri kesahnya.

05 April 2010

24. Celaka 11 dan Celaka 13.

Panglima Indonesia yang memang menjadi sanjungan ialah Si Pitung dan Si Gondrong.
Bila pertama kali mereka datang kami dihidangkan dengan komunikasi dialek Jawa. Yang mula-mula sampai ialah Celaka Tiga Belas iaitu Si Gondrong atau Panglima Gondrong.
`Betulkah tok berambut gondrong sehingga dinamakan Si Gondrong?’, Wan bertanya.
`Benarrr’
`Sampai ke mana panjangnya rambut tok?’, Dol bertanya.
Lalu Panglima Gondrong menunjukkan sampai ke paras di bawah bahunya.
Tok Gondrong menceritakan kesah zaman lalunya mengenai pertarungan dengan Belanda bersama Si Pitung atau panglima Si Pitung. Selepas berakhir satu pertempuran, lalu mereka berdua bertemu.
`Berapa engkau dapat bunuh Belanda?’, Si Gondong bertanya Si Pitung. Si Pitung lalu menjawab.
`Sebelas’, Si Pitung bangga dengan pencapaiannya.Kemudian dia bertanya pula kepada Si Gondrong.
`Kamu berapa?’
`Tiga belas’, jawab si Gondrong.
`Celaka kamu!’, Si Pitung sedikit kecewa kerana temannya berjaya membunuh jumlah yang lebih ramai darinya.
`Kamu Celaka Tiga Belas!’, tempik Si Pitung.
`Kamu Celaka Sebelas!’, jerit pula si Gondrong
Sejak itu mereka berdua mendapat nama baru.
`Kejap lagi Si Celaka Sebelas mau sampe’, Si Celaka Tiga Belas atau Panglima Gondrong memberitahu. Kami sangat bergembira kerana dapat pula berkenal-kenalan dengan Panglima Pitung.Sejurus kemudian Si Pitung sampai.
Si Pitung memberitahu kami dia memang tidak pernah berkahwin dan oleh kerana itu apabila dia hampir meninggal dunia, dia telah mewakaf dan membahagi-bahagikan semua harta miliknya kepada waris,orang-orang miskin dan teman.
Si Pitung kemudiannya menceritakan pula kesah siri pertarungannya dengan tentera Belanda bersama Si Gondrong.Kami lalu menanyakan mengenai kesah yang masyhur mengenainya apabila terkepung di dalam rumah.
`Betulkah, dato terkepung?’
`Betul dong’, tok Si Pitung menjawab pantas.`Bajingan-bajingan melaporkan kepada Belanda dato berada di mana.Dato tak ada tempat bersembunyi lalu naik ke dalam rumah. Tapi si celaka soldadu Belanda terus memburu dato lantas masuk ke ruang dalam rumah’
Kami mendengar dengan seronok bercampur cemas.
`Mereka tak nampak tok?’
`Di dalam rumah mereka tak jumpa dato. Mereka cari ke sana-ke sini’
`Betulkah tok bertukar menjadi ayam?’ Piei bertanya.
`Oh! Tidak dong! Mana bisa!’
Si Pitung lalu menerangkan tentera Belanda tidak melihat dirinya kerana yang kelihatan bagi mereka adalah seekor ayam jantan yang terbang keluar rumah sambil berkokok.Tok si Pitung menerangkan, dia terus lari ke dalam hutan untuk menyelamatkan diri.
`Boleh berikan cucu ilmu dato itu?’, Wan cuba merayu
`Oh! Ngah boleh!’.
`Berilah pada cucu, tok’,aku pula merayu.
`Ngak boleh! Itu keistimewaan dato saja’
Demikianlah cerianya bila bersama si Pitung dan si Gondrong.Mereka berdua cukup ceria dan menghidupkan suasana dengan loghat Jawa mereka.Kami seronok bila saat-saat bersama mereka yang sentiasa riang dan ceria.Kedatangan mereka kami sediakan buah nenas, kerana mereka suka dengan buah nenas.

04 April 2010

23. Pak Wan Selampit dan Badak Berendam.

Di Kuala Kedah ada sepucuk meriam purba yang sentiasa berendam di dalam air dan terapong-apong mengikut rentak air pasang surut. Pernah ada orang cuba untuk memindahkannya ke atas daratan, atau ke kawasan yang berhampiran dengan pantai, tetapi tidak ada kemampuan untuk melakukannya.
Meriam tersebut menjadi terlalu berat untuk diangkat.Pernah juga orang berjaya mengalihkannya ke tempat lain tapi pada keesokan harinya akan kembali semula ke tempatnya yang asal terapung-apung di dalam air. Demikian maklumat yang Tok Itam berikan. Meriam berkenaan dinamakan Badak Berendam yang merupakan sebuah meriam puaka pada anggapan masyarakat tempatan.
Meriam berkenaan adalah milik Panglima Pak Wan Selampit dan dialah yang mengawalnya. Tok Itam memberitahu kami Badak Berendam adalah meriam yang mengawal perairan tersebut dan akan meletup dengan sendirinya bila sampai saat peperangan.
Aku bersama Piei pernah ke tempat tersebut menyaksikan Badak Berendam yang terpung-apung dibuai oleh air aut. Ini adalah kunjungan pada tahun 1978. Aku tidak lagi pasti keadaannya sekarang, apakah meriam Badak Berendam masih berada di lokasinya.

02 April 2010

22. Panglima Ah Chong Karam di Selat Melaka

Panglima Ah Chong adalah satu-satunya panglima berbangsa Cina yang terkumpul di tempat tok. Pernah kami panggil untuk mengetahui kesah dirinya. Katanya pada zaman Kerajaan Melayu Melaka dahulu dia terlibat dalam urusan dagang iaitu berdagang dengan sebuah tongkang dari Melaka ke Cina.Barang dagangannya ialah barangan tembikar.
Pada suatu musim pelayaran kapalnya terbalik dan karam di Selat Melaka apabila dipukul ribut. Semua barang dagangannya yang kebanyakannya terdiri dari tembikar tenggelam di dasar Selat Melaka.Sejak peristiwa itu dia tidak dapat berdagang lagi lalu menetap di Melaka sehinggalah dia meninggal dunia.
Dia memberitahu kami, dia masuk Islam apabila menetap di Melaka dan apabila meninggal dunia dia terkumpul bersama dato-dato panglima yang lain.Dalam pelat Cina bercakap Melayu, Panglima Ah Chong berkata:
`Walaupun saya olang Cina tapi saya benci olang Cina’
`Kenapa?’
`Sebab mereka kafir.Mereka jahat. Mereka mahu ambil ini negeri Melayu’
Pada satu perjalanan pulang ke kampung ku bersama Yim dan Piei untuk mengubati adik dan ibu ku yang terkena sihir, di kala menyeberangi Sungai Pahang, Ah Chong tiba-tiba datang untuk berkayuh perahu.
`Saya sudah biasa’, katanya bila aku mengatakan biar aku sahaja yang berkayuh kerana aku memang boleh berkayuh dan mengemudi perahu.
`Tak apa. Saya sudah lama tadak kayuh. Biar saya kayuh’
Mengenai teknik mempertahankan diri, dengan nada rendah diri, Panglima Ah Chong mengakui kung funya tidaklah sehebat silat Melayu. Dia sebelum ini tidak memiliki kebolehan kebatinan dan oleh kerana itu dia mempelajari banyak ilmu kebatinan melalui panglima-panglima Melayu.
Dengan ilmu-ilmu kebatinan tersebut, Panglima Ah Chong memiliki kebolehan tempur hampir setaraf dengan panglima-panglima Melayu yang lain untuk menghadapi suasana negara yang dijangka akan mengalami tragedi besar pada tahun 1980.

01 April 2010

21. Kesah Haji Wan Ndik Naik Haji.

Haji Wan Ndik ada kesah istimewa bagaimana dia naik haji. Ini diceritakan oleh Panglima Hitam.
Dikatakan pada suatu hari ada seseorang bertanya kepadanya apakah dia mahu ke Mekah. Tanpa sebarang keraguan, Haji Wan Ndik lantas bersetuju.Lalu diberitahukan kepadanya oleh seseorang orang itu kalau dia hendak pergi, terjunlah ke dalam kolam di hadapannya itu. Mempercayai 100% kebenaran kata-kata dari orang yang tidak dikenalinya itu, Haji Wan Ndik terus terjun ke dalam kolam.Dan menurut Tok Itam, Wan Ndik memang betul-betul sampai ke Mekah. Selama berbulan-bulan orang-orang kampung kehilangannya. Wan Ndik pulang semula ke tanah air bersama kapal layar yang membawa jemaah haji pulang. Orang-orang di Kampung Luit, Maran, Pahang yang selama ini kehilangan Wan Ndik terkejut mendapati Wan Ndik tiba-tiba pulang bersama-sama jemaah haji. Selama ini orang bersangkaan dia telah mati. Orang-orang kampung serba-salah untuk mempercayainya. Namun sejak itu namanya bertukar kepada Haji Wan Ndik.
Tapi tidak dapat dipastikan bilakah kesah ini berlaku kerana nama Haji Wan Ndik belum pernah kesahnya ditanyakan atau diceritakan kepada orang-orang di Kampung Luit, Maran apakah orang-orang di situ dapat mengesan namanya.