07 Julai 2012


DEBAT DI PERANTAUAN
 (Disiarkan oleh HARAKAH dalam ruangan Sastera dan Budaya pada 21-23 Rejab 1433/11-14 Jun 2012 dan 25-27 Rejab 1433/15-17 Jun 2012)

”Bila sistem Islam tidak terlaksana, sistem apa yang UMNO jalankan?”,  si  gadis   pelajar  Ph.D jurusan  Chemical  Toxicology   di Universiti Edith Cowan meneruskan asakannya yang bertubi-tubi sejak  beberapa minit yang lalu.
”Tentulah sistem bukan Islam!”, dia menjawab sendiri soalannya.”Hanya ada dua  pilihan sistem sahaja untuk menguruskan negara iaitu samada sistem Islam atau sebaliknya.  Sistem yang bukan Islam itu banyak versinya tapi yang paling dominan ialah: sistem   Barat Yahudi dan  Komunisme.  UMNO tidak memilih sistem Islam untuk Malaysia. Akan tetapi memilih sistem  Barat Yahudi. Sistem Islam, UMNO tidak mahu melaksanakannya! Ini fakta yang sangat jelas, tidak perlu berhujah lagi. Jadi, kalau tidak memilih Islam ertinya UMNO samalah dengan Barat!”.
”Jadi kalau begitu UMNO kafirlah sebab Barat itu kafir?”
”Saya tidak  bermaksud begitu!”
”Barat adalah Kristian! Jadi kalau UMNO sama dengan Barat, ertinya UMNO Kristianlah? Kalau Barat itu Yahudi, UMNO Yahudilah? Begitu?”
”Saya tidak pernah menuduh begitu!”
Begitulah  hujahan yang saling berantakan di antara  kedua-dua  gadis  Melayu itu. Panas dan berbahang! Si pemudi yang berbaju kurung  biru gelap itu aku lihat sejak sedari tadi bagaikan tertekan dengan hujah-hujahan asakan dari si pemudi yang berbaju kurung hijau itu.Telah lebih  setengah jam mereka berdebat di atas puncak dataran tinggi Nasional Park menghadap kejauhan  pinggir Swan River yang di hadapan mereka terbentang pencakar-pencakar langit bandaraya Perth yang cantik itu.
Aku tidak kenali mereka  dengan mendalam  dan tidak pula mengetahui  nama mereka berdua. Tetapi yang aku pasti kedua-dua mereka  berasal dari negeri yang sama iaitu Pahang dan daerah yang sama iaitu Kuantan dan sama-sama pula  melanjutkan pelajaran dalam bidang doktor falsafah.
Aku – secara kebetulan sahaja bila menghampiri mereka, tertarik mendengar penghujahan, lalu meminta izin untuk ikut serta sebagai pendengar yang pasif. Disebabkan mereka berdua bagaikan  mewakili dua puak Melayu yang telah cukup lama bercakaran oleh sistem demokrasi yang amat berjaya memecahbelahkan umat Islam di serata dunia, maka aku namakan mereka si pemudi berbaju kurung hijau dan si pemudi berbaju kurung biru gelap sahaja,  sesuai dengan pakaian yang mereka pakai.
Aku kagumi kedua-dua mereka ini yang tinggi jati diri Melayunya kerana tetap berbaju kurung dan bertudung sopan walaupun berada jauh di perantauan.
”Walaupun telah lebih lima puluh tahun diberi amanah kekuasaan oleh Allah, Tuhan yang UMNO sembah, tapi UMNO tetap enggan tunduk kepada Tuhannya. Kenapa UMNO....”.
”Siapa kamu? Siapa kamu yang berani  berkata UMNO enggan tunduk kepada Tuhan?”, si pemudi  berbaju biru gelap itu menyanggah.Agak keras nadanya.
”Banyak buktinya!”, si gadis berbaju kurung hijau bernada tenang.
”UMNO orang Islam seperi PAS juga!”, pantas si gadis  yang berbaju biru gelap itu berkata dengan nada yang juga tegas.”Kamu jangan berani bermain soal iman dan akidah! Sejak sedari tadi kamu nampaknya suka mempersoalkan soal keimanan kami.Ini urusan Tuhan! Kamu tidak berhak untuk mempersoalkan keimanan kami.  Kami juga bersembahyang, berpuasa....”
”Memang kamu juga bersembahyang!”, yang berbaju hijau pula memintas bicara. ”Memang kamu juga berpuasa.UMNO juga mengerjakan haji, membaca Quran! Tapi bukan bererti semua orang yang bersembahyang dan beribadah  itu tunduk kepada Tuhannya! Kamu dengar firman ini? ‘Di antara manusia ada yang mengatakan:”Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”, pada hal sesungguhnya mereka itu bukan orang-orang beriman’ – Al Baqarah: 8.
Dan  satu lagi firmanNya:  ‘Orang-orang Arab Badui itu berkata: “Kami telah beriman”,Katakanlah (kepada mereka): “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu’ - Al-Hujuraat:14. Orang Badwi tersebut walaupun belum beriman, tapi telah tunduk kepada Islam.Tapi  saya amat  khuatirkan UMNO. Apakah UMNO  tunduk kepada Islam? Idea Yahudi dan budaya  Barat yang songsang  terus kekal dan kian meresapi jiwa dan minda Melayu dalam sistem politik yang masih berteraskan demokrasi! Sistem ekonomi yang  mengekalkan riba dan berteraskan falsafah kapitalisme terus   menindas umat Islam! Undang-undang al Quran dan sistem kehakiman Islam masih belum terlaksana. Dan seribu satu isu lagi.Apa maknanya mengaku Islam?”
Si  pemudi berbaju kurung biru  terkebil-kebil. Bila dia berdiam diri, si gadis berbaju kurung hijau melanjutkan.
”Tunduk dalam solat bukan semestinya bererti telah  tunduk  kepada Allah. Boleh jadi  cuma badan dan jasad saja yang tunduk! Belum tentu akalnya, jiwanya, rohnya dan  hatinya!  Dan bila hatinya tidak tunduk, maka individu tadi tentunya akan menjadi manusia yang engkar walaupun solat!”
”Engkar?”
”Ya! Kamu bersolat, tapi   yang bersolat  itu  cuma jasadmu!”
Gadis berbaju kurung biru mengerutkan kening untuk kesekian kalinya.
 ”Yang bersolat bukan  jiwamu! Bukan rohmu! Jiwamu dan rohmu  tidak bersolat.Bila hatimu tidak solat, bibirmu sekadar pandai berikrar dan berjanji di hadapan Tuhanmu,  tapi hatimu menafikan”
Si gadis berbaju kurung biru berkerut keningnya lagi.Seolah-olah terpacul pertanyaan di wajahnya:bagaimana ini?
”Bibirmu mengatakan dalam doa aftitah:`sesungguhnya solatku,ibadahku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan  semesta alam, tapi hatimu sebenarnya  menafikan.Lalu solatmu lebih bermaksud untuk kesihatan, ibadahmu  lebih untuk  pameran, hidupmu kerana harta dan matimu dalam angan-angan akan ke sorga.Kalau ikrarmu di dalam solatmu,  benar di bibir dan juga di hatimu, kamu tidak akan menentang cita-cita membentuk negara Islam BALDATUN THOIYYIBATUN  Warabbun Ghafuur”
Si gadis berbaju kurung biru nampaknya  berdiam diri.Gadis berbaju kurung hijau lantas menyambung ujaran.
”Kalau solatmu  tidak di bibir,  kamu tidak akan mempersiakan permintaanmu terhadap Tuhanmu dalam al Fatehah:tunjukkan aku jalan yang lurus.Kalau solatmu ikhlas masakan sebanyak  tujuhbelas kali sehari atau lebih daripada itu,  kamu pohonkan permintaan yang sama kepada Tuhanmu, mustahil kamu masih  berkekalan di atas jalan Yahudi di negara ini dalam mengurus sistem kehidupan”
Si gadis berbaju kurung biru terdiam lagi.
”Kalau UMNO mahu dan ikhlas terhadap negara Islam BALDATUN THOIYYIBATUN,  sejak dulu-dulu lagi, atau masih belum terlambat, sekaranglah, boleh dilaksanakan sistem Islam”.
”Bagaimana?”
”Usulkanlah  musyawarah sesama umat Islam dari semua  bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan dan lain-lain warga Islam, untuk menukarkan sistem negara ini kepada sistem Islam sepenuhnya, insyaallah sistem Islam  boleh dilaksanakan”.
”Kenapa mesti UMNO?”
”Sebab kuasa di tangan UMNO!”
”Tapi orang bukan Islam akan bantah!”
”Siapa kata? Siapa yang akan bantah?”
”MCA, Gerakan, MIC bahkan DAP!”
” Itulah masalah kamu! Itulah masalah  yang UMNO ciptakan!  Kenapa UMNO tidak menerangkan kepada mereka mengenai Islam setelah  sejak sekian lama berkuasa?”
Terdiam lagi  si gadis berbaju kurung biru gelap itu.
”Saya percaya PASlah parti politik pertama yang akan membubarkan partinya demi menyahut seruan UMNO untuk menubuhkan  negara  Islam. Inilah cara untuk UMNO  kembali ke pangkal jalan demi integrasi Melayu dan Islam.Inilah yang dikatakan ’biduk lalu kiambang bertaut’, air dicincang, manakan putus’, atau `carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga’. Indahnya peringatan nenek moyang kita kepada anak cucu-cicit mereka – satu bangsa, satu budaya, satu bahasa dan satu  agama tapi berpecah-belah atas nama  UMNO, PAS, PKR dan sebagainya kerana faktor pecah dan perintah  di bawah demokrasi pilihanraya yang  UMNO masih  mempertahankannya”.
”UMNO boleh lakukan sistem Islam sekarang”, aku pula tiba-tiba mencelah. ”Sebagaimana Barat menjalankan sistem Yahudi dalam kehidupan mereka;maka sekarang  UMNO boleh menjalankan sistem Islam di tanah air kita. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang! Malaysia adalah bumi umat Islam!  Tapi kalau sekarang UMNO masih tidak mahu melaksanakan Islam, apakah UMNO menunggu Barat  yang memang tidak akan melaksanakannya? Inilah masalah Melayu  dalam UMNO sejak dari dahulu hingga sekarang, fanatik melulu mengikut Barat. Aku amat  khuatirkan  UMNO, menyembah Barat yang menyembah dunia! Malaysia sebenarnya  berhadapan dengan masalah  segolongan orang-orang Melayu yang tidak mahu kepada sistem Islam walaupun mengaku Islam.Malaysia berhadapan dengan masalah sebahagian orang-orang  Melayu yang menolak sistem Islam, tetapi begitu selesa dengan ideologi Yahudi”.
Selesai bicaraku itu,  mereka – si baju kurung hijau dan si baju kurung biru gelap -   berdiam diri. Akhirnya kesepian dan kesunyian melanda di antara kami. Sejurus kemudian aku mempelawa mereka berjalan bersamaku,  beriringan untuk memanggil teksi pulang ke kampus.