Perjuangan Suci Akhir Zaman ... Menegakkan Kalimah:

Tanah Air Ku Yang Aku Sayangi

Demi Zat dan Sifat Mu:

13 Januari 2014

HINDUISME AGAMA TAUHID TERAWAL?


 HINDUISME AGAMA TAUHID TERAWAL? 

Sudah sekian  lama ilmu Tasauf dipandang dengan penuh prasangka, dianggap sebagai ilmu yang sesat dan menyeleweng. Ilmu Tasauf dianggap ekstrim dan  terkeluar dari akidah Ahlul Sunnah wal Jamaah, serta dilemparkan pula dengan tuduhan-tuduhan yang teramat berat, betapa ia dipengaruhi dan dicemari oleh falsafah dan dogma dari agama Hindu.
Benarkah dakwaan dan sangkaan sedemikian?
Impaknya lantas orang-orang Melayu/Islam  teramat sangsi untuk mempelajarinya. Lalu tersingkirlah Tasauf dari perhatian majoriti ummah. Terpinggirlah ilmu Tasauf dari arus perdana sistem pendidikan negara.
Namun berasaskan bukti dari ayat-ayat mutasyabihat, nas al-Quran, al-hadis dan mutiara kata-kata para hukama,  buku ini akan merungkaikan persoalan, dan sekali gus menghidangkan jawapan-jawapannya. Buku ini akan membuktikan bahawa agama Hindu adalah  agama   yang sarat dengan ilmu dan konsep  Tasauf yang abstrak, seni dan mendalam!
Inilah bidang  ilmu tertinggi yang paling mulia yang menjadi pegangan para Nabi dan Rasul Alaihimussalam tu-Wassalam, para Sahabat, para aulia Allah yang agung, dan para ulama salaf Radiallahu Anhum.
Bacalah buku ini untuk mengenali Tasauf dan kemurniannya sebagai  inti agama  yang terpendam selama ribuan tahun di dalam keberhalaan agama Hindu!


Penerbit:
PUSTAKA KANZUN MAHFIYYAN, Kuantan, Pahang.
Harga: RM18.00 satu naskah
Boleh didapati di semua kedai-kedai buku utama di seluruh Semenanjung Tanah Melayu mulai Februari 2014 atau beli secara on line melalui sms kepada HP:013-9098135
E-mel: pustakakanzunmahfiyyan@gmail.com


22 November 2013

Lidah dan Ketajamannya


(Disiarkan dalam majalah FardhuAin Edisi 20)

Lidah mempunyai dua dimensi  iaitu  samada  pada dimensi kebajikan atau kejahatan, kebaikan atau kemaksiatan  dan pahala atau dosa yang kedua-duanya tidak ada batas sempadannya. Seperti anggota-anggota tubuh yang lain, lidah juga adalah di antara nikmat-nikmat Allah Taala yang  teramat besar yang dikurniakan kepada manusia. Walaupun kecil sahaja bentuk fiziknya tapi  impaknya sangat jelas dan nyata melalui kesaksiannya, terkhususnya pada saat penghabisan hayat seseorang anak Adam, samada berkesudahan dengan  iman atau kufur, ketaatan atau kemaksiatan.
Lidah sebenarnya adalah  senjata dan alat perkakas setan yang terbesar untuk menipu manusia. Seseorang yang hidupnya tidak dikawal oleh ajaran agama atau  dalam lafaz yang lain -  seseorang yang lemah imannya atau imannya hanya di bibir,  lidahnya akan menjerumuskan yang empunya diri kepada bahaya-bahaya besar dalam kehidupan penuh dosa yang membawanya ke  neraka. Lidah yang tidak bertulang akan berkata dengan kata-kata yang tidak terkawal kekejian dan  kelucahannya. Orang-orang  seumpama ini akan mengumpat, memfitnah, menghina, mengejek dan menyindir semaunya. Lidah individu seperti ini  tidak pernah merasa bersalah untuk berkata bohong dan dusta, berkata-kata dengan ria, nifak, berjanji bohong, bersumpah bohong, menipu, mengadu-domba dan memaki-hamun. Mereka  sangat membesarkan permusuhan, suka menyakiti orang lain dan merosakkan kehormatan orang dengan lidahnya yang berbisa.Mereka juga  suka berbantah-bantahan, suka bertengkar  sambil membersihkan diri, sambil juga menokok-tambah dan mengurangi, dan akan mengutuk semau-maunya baik  kepada binatang, benda-benda beku dan manusia.
Selain hal yang jelas besar di dalam dosa, lidah juga merbahaya sebagai alat setan kerana akan menyebabkan tuannya berbicara mengenai perkara-perkara yang tidak penting, berbual kosong terutama pada perkara-perkara  yang batil,. Lidah juga akan mengeluarkan kata-kata yang berlebihan, berkata dengan memek mulut yang  dibuat-buat, memaksakan kata-kata dengan bersajak, bersyair, berpantun dan nyanyian yang diharamkan serta memperagakan kepandaian berkata-kata.Tidak ketinggalan pula bahaya suka memberikan pujian, mengabaikan penggunaan kata-kata yang sesuai dalam kandungan perkataan, lebih-lebih lagi   yang bersangkutan dengan Allah dan sifat-sifat-Nya dan yang bertalian dengan pokok-pokok agama.Tidak terkecuali juga bersabit pertanyaan orang-orang awam dari hal sifat-sifat Allah Azzawajalla dari hal kalam Allah dan huruf-hurufnya, apakah qadim atau baharu.
Kesemua yang  tersebut adalah keenakan pada hati yang meluncur melalui lidah yang  semestinya  ada penggerak-penggeraknya samada dari sifat dan tabiat manusia  itu sendiri atau dari  setan yang bermastautin di hatinya. Lidah yang seumpama ini  akan mendatangkan bencana kepada yang empunya diri, sehingga Rasulullah SAW bersabda: ‘Tiada suatu pun dari tubuh yang tiada mengadu kepada Allah tentang lidah di atas ketajamannya’. Ini menunjukkan betapa lidah sangat besar bencananya kepada yang empunya diri berbanding anggota-anggota tubuh yang lain iaitu mata, telinga,perut, kaki, tangan dan kemaluan.
Dari Ibnu Mas’ud diriwayatkan, bahawa ia berada di atas bukit Shafa membaca talbiah seraya mengatakan:    ‘Hai lidah! Katakanlah yang baik, nescaya engkau  beruntung. Diamlah dari yang jahat, nescaya engkau selamat sebelum engkau menyesal’.Lalu orang bertanya kepada Ibnu Mas’ud tadi:    ‘Hai ayah Abdul Rahman! Adakah ini engkau katakan sendiri atau engkau dengar dari yang lain?’.Ibnu Mas’ud menjawab:    ‘Tidak! Tapi aku dengar dari Rasulullah SAW yang bersabda:    ‘Bahawa kebanyakan dosa anak Adam itu pada lidahnya’.
Nabi SAW bersabda seterusnya:    ‘Barangsiapa menjaga dari kejahatan qabqabnya, dzabdzabnya dan laqlaqnya, nescaya ia terjaga dari kejahatan seluruhnya’. Qabqab ialah perut, dzabdzab ialah kemaluan dan laqlaq ialah lidah.
Ditanyakah kepada Rasulullah SAW sebab terbesar yang membawa manusia masuk ke sorga.Lalu Rasulullah SAW menjawab: ‘Takwa kepada Allah dan bagus akhlak’.Dan ditanyakan pula sebab terbesar yang membawa manusia ke neraka. Maka Rasulullah SAW menjawab:   ‘Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan”.Maka dengan ini jelaslah betapa lidah, bila amanahnya untuk berzikir dan bertahmid, bertilawah al-Quran, berselawat dan berkata dengan perkataan yang baik dikhianati, maka si empunya diri semakin  menghampirkan dirinya untuk bermastautin di dalam neraka Allah.
Ubat bagi menyelamatkan diri sebelum terlambat, terutama sewaktu lidah tidak digunakan untuk perkara-perkara yang makruf seperti disebutkan di atas, cuma satu sahaja.Tidak ada jawapan lain atau penawar lain, selain dari berusaha sedaya mungkin, sekuat jiwa untuk  mengelakkan diri dari bencana besar di Yaumil Mahsyar nanti selain dengan diam.Nabi SAW menjelaskan:   ‘Barangsiapa diam,nescaya ia terlepas (dari bahaya)’
Sabda Nabi SAW lagi: ‘Apakah tidak aku khabarkan kepadamu, ibadah yang paling mudah dan paling ringan kepada  badan? Iaitu diam dan bagus akhlak’.Nabi Isa a.s. dalam hal ini pernah bersabda:   ‘Ibadat itu sepuluh bahagian.Sembilan bahagian daripadanya pada diam.Dan sebahagian lagi pada lari dari mausia’.Imam Ghazalli r.a. pula berkata: ‘Berbicaralah apabila engkau ingin diam dan diamlah apabila engkau ingin berbicara’.
Demi sesungguhnya dengan diam, bukan sahaja seseorang itu selamat dari bahaya-bahaya lidah, tetapi akan mendatangkan fikir, zikir dan kejernihan hati.Inilah diam yang berguna iaitu umpama ubi, ‘diam-diam ubi, berisi’. Bukan diam yang sia-sia dan percuma, tanpa fikir dan zikir seumpama ‘diamnya besi’ yang semakin lama semakin berkarat.
Nabi SAW berpesan lagi: ‘Barangsiapa suka selamat, maka hendaklah dia membiasakan diam’.Selain itu Nabi SAW juga mengingatkan:    ‘Barangsiapa diam, nescaya ia terlepas dari bahaya’.Orang-orang yang sempurna imannya terutama dalam soal beriman kepada para malaikat,  akan sentiasa ingat akan firman Allah SWT:    “Tiada suatu perkataan yang diucapkan  manusia  melainkan didekatnya ada pengawas, siap-sedia (mencatatkan)” – al-Qaf:18. Inilah tugas malaikat Raqib dan Atiq yang mencatatkan kesemua amalan baik dan buruk dari semua perbuatan dan percakapan manusia sehingga tidak tertinggal walau sehuruf pun.
Tersebut pada hadis mengenai suatu yang teramat berat oleh bencana yang berpunca dari lidah sebagaimana disebutkan oleh Anas r.a.:    ‘Seorang anak-anak dari kami (golongan Ansar) telah syahid pada hari perang Uhud. Lalu kami dapati di atas perutnya batu terikat lantaran lapar.Maka ibunya menyapu tanah dari mukanya seraya berkata:   ‘Selamat sorga bagimu wahai anakku!’.Lalu Nabi SAW menjawab:    ‘Di mana engkau tahu?  Mungkin ia berkata-kata yang tak diperlukan dan ia tidak berkata-kata apa yang tidak mendatangkan melarat baginya’.
Pada hadis lain tersebut:   ‘Bahawa Nabi SAW kehilangan Ka’ab bin ‘Ajrah.Lalu  beliau tanyakan di mana Ka’ab sekarang.Mereka menjawab:   ‘Ia sakit’. Lalu Nabi SAW keluar bejalan sehingga sampai kepada Ka’ab.Sewaktu Nabi SAW masuk ke tempat Ka’ab, lalu beliau bersabda:   ‘Gembiralah hai Ka’ab!’. Maka sahut ibu Ka’ab:    ‘Selamat bagimu sorga hai Ka’ab!’. Lalu Nabi SAW bertanya:    ‘Siapakah wanita yang bersumpah ini terhadap Allah?’. Ka’ab menjawab:   ‘Ibuku, wahai Rasulullah!’. Lalu Nabi SAW  menyambung: ‘Apakah yang memberitahukan kepada engkau, wahai ibu Ka’ab? Mungkin Ka’ab berkata perkataan yang tidak diperlukan atau tidak berkata yang diperlukan’.
Ini menunjukkan betapa lidah menjadi penghalang untuk  seseorang masuk ke sorga tanpa hisab walaupun mencapai darjat setinggi syahid apabila lidahnya berbicara pada hal-hal yang tidak diperlukan atau pun tidak pula berbicara pada perkara-perkara yang diperlukan! Dan bayangkan  petaka  bagi seseorang anak Adam yang tidak mengawal lidahnya pada sepanjang hari dan malam!

05 Ogos 2013

Masih Adakah Teman Bersaudara di Jalan Allah?


(Disiarkan dalam majalah FardhuAin Edisi 19) 

Bersaudara atau tepatnya ikatan tali persaudaraan  adalah bersahabat sesama mukmin atas kehendak  sendiri yakni bukan persahabatan  kerana kebetulan sebagai tetangga, kebetulan sebagai teman sepersekolahan atau sepermainan. Berteman atas sifat kebetulan sedemikan sebenarnya adalah sekadar berteman biasa sahaja.
Ikatan persahabatan yang terbina atas kehendak dan pilihan sendiri adalah seumpama mengikatkan tali perkahwinan antara suami-isteri.Sebagaimana suami-isteri, teman juga mempunyai hak atas harta dan jiwa, lidah dan hati, dengan kemaafan dan doa, keikhlasan dan kesetiaan, dengan tidak meringan-ringankan atau meninggalkan sifat mengambil berat serta mengambil tahu  terhadap teman.
Nabi saw menyerupakan dua orang yang bersaudara itu dengan dua tangan kerana kedua-duanya tolong menolong atas sesuatu maksud.Maka kedua-duanya dari satu segi adalah umpama orang seorang, yang menghendaki untuk bersama-sama bagi berkongsi suka-duka, sehati sejiwa dalam menghadapi  keperluan bersama pada masa sekarang dan masa depan. Sabda Baginda saw:`Dua orang yang bersaudara itu adalah seumpama dua tangan yang satu membasuh yang lain”.
Seorang lelaki datang kepada Abu Hurairah ra seraya berkata: ` Saya ingin bersaudara dengan engkau pada jalan Allah.Maka Abu Hurairah menjawab:` Tahukah engkau apakah hak bersaudara itu?’ Orang itu menjawab:`Beritahukanlah kepadaku akan hak itu’.Abu Hurairah menerangkan:`Bahawa tidaklah engkau lebih berhak dengan dinarmu dan dirhammu daripadaku’.Orang itu menyambung:`Aku tidak akan sampai kepada tingkat itu’.
Ali bin Husin ra berkata kepada seorang lelaki:`Adakah  kamu sanggup, seumpama seseorang yang memasukkan tangannya ke dalam  saku baju temannya, lalu ia mengambil  apa-apa sahaja yang dia kehendakinya dengan tidak seizin temannya?’Laki-laki itu menjawab: `Tidak!’ Lalu Ali bin Al Husin menyambung:`Kalau begitu tidaklah kamu bersaudara’.
Abu Sulaiman ad Darani berkata: ‘Aku mempunyai seorang teman di Irak.Maka aku mengunjungnya pada setiap musibah yang menimpa atas dirinya. Pada suatu waktu aku mengatakan kepadanya:`Berikanlah sedikit kepadaku dari hartamu’.Lalu diberikan dompetnya kepadaku.Maka aku mengambil dari dompet itu apa-apa saja yang aku kehendaki.Pada suatu hari yang lain aku datang lagi kepadanya lalu aku mengatakan:`Aku memerlukan sesuatu!’ Maka dia menjawab:`Berapakah yang kamu kehendaki?’Maka keluarlah kemanisan persaudaraannya dari hatiku.
Maka demikianlah hakikat berteman atau bersaudara pada jalan Allah pada tahap yang paling asas dan rendah!
Bersaudara atau berteman pada jalan Allah pada tingkat yang lebih tinggi ialah menempatkan teman pada tingkat setaraf dirimu sendiri dan merelakan berkongsikan harta engkau dengannya.Fathul-Maushuli datang ke tempat temannya dan kebetulan temannya itu tidak ada di rumahnya.Lalu Fathul-Maushuli menyuruh isteri temannya mengeluarkan peti simpanan wang.Maka isteri temannya mengeluarkan peti wang dan menyerahkannya kepada Fathul Maushuli. Lalu Fathul Maushuli membukanya  dan mengambil menurut hajat keperluannya.
Maka budak temannya itu melaporkan  kepada tuannya mengenai kelakuan Fathul Maushuli.Lalu tuannya berkata:`Jikalau engkau benar, maka engkau merdeka kerana Allah’, kerana kegembiraannya dengan apa yang diperbuat oleh Fathul-Maushuli tadi.
Diriwayatkan bahawa Masruq mempunyai banyak hutang dan temannya Khaitsamah juga mempunyai hutang. Maka orang yang meriwayatkan itu menceritakan  bahwa Masruq lalu pergi membayar hutang Khaitsamah, sedangkan Khahitamah tidak mengetahuinya.Dan Khaitsamah sendiri pula, pergi membayar hutan Masruq, sedang Masruq tidak juga mengetahuinya.
Tingkat tertinggi dalam berteman ialah  memberi keutamaan kepada  teman, lebih daripada diri sendiri.Engkau mendahulukan keperluannya di atas keperluanmu! Inilah darjat orang-orang siddikin yang merupakan darjah penghabisan dari orang-orang yang berkasih-kasihan di jalan Allah.Abu `Ali ar Ribathi berkata:`Aku menemani Abdullah ar Razi untuk memasuki sebuah desa.Maka beliau berkata:`Haruskah engkau amir atau aku?’Lalu aku menjawab:`Tuanlah’.Maka Abdullah ar Razi berkata seterusnya:`Haruslah engkau patuh kepadaku’.Lalu aku menjawab:`Ya, baik’.Maka beliau lalu mengambil sebuah keranjang rumput dan mengisikan ke dalamnya segala barang perbekalan kami  berdua.Kemudian dia mengangkat keranjang itu lalu dipikulnya di atas bahunya. Melihatnya berbuat demikian lalu aku katakan kepadanya:`Serahkanlah kepadaku biar aku yang membawanya’. Maka beliau menjawab:`Bukankah aku telah mengatakan:`Aku amir! Maka engkau harus patuh?’.
Pada suatu malam  kami ditimpa hujan.Maka beliau berdiri melindungi kepalaku sampai pagi dengan meletakkan pakaian diatas kepala kami sedangkan aku duduk sahaja di bawahnya yang membolehkan aku tercegah  daripada terkena basah hujan.Maka aku mengatakan di dalam hatiku:`Semoga kiranya aku mati, dan tidak lagi  akan mengatakan : ‘Engkau amir!’
Demikanlah darjah persahabatan  tertinggi dari seorang siddikin setaraf Abdullah ar Razi!
Bandingkanlah kemuliaan berteman pada jalan Allah dalam zaman kemuliaan dan keagungan roh Islam,  berbanding kehidupan berteman dalam masyarakat pada  akhir zaman ini – sewaktu Islam telah menjadi dagang -  apakah masih ada terbinanya konsep berteman pada jalan Allah? Masih adakah teman-teman sejati? Masih adakah kualiti orang-orang Islam sedemikian setelah umat sekarang berada dalam bencana moral,  krisis adab dan akhlak yang sedemikian dahsyat?
Semoga adalah bagi yang memilikinya!












09 Jun 2013

Bebaskah Dari Sifat Sombong?


(Disiarkan dalam Majalah FARDUAIN Edisi 18)
Sifat sombong dinamakan juga sifat bangga diri atau takbur.Sesungguhnya tiadalah seseorang itu menyombongkan diri kecuali manakala  ia membesarkan dirinya.Dan ia tidak membesarkan dirinya kecuali dia merasakan bahawa dirinya memiliki salah-satu daripada sifat-sifat kesempurnaan iaitu kesempurnaan keagamaan dan kesempurnaan keduniaan.Kesempurnaan keagamaan  bersabit soal ilmu sementara kesempurnaan keduniaan ialah berkaitan dengan keturunan, kecantikan, kekuatan dan kekuasaan, pangkat dan kebesaran, banyak harta, banyak pembantu dan pengikut.
Dengan memiliki  ilmu yang tinggi,  baik  ilmu duniawi atau ilmu agama menyebabkan  seseorang itu merasa bangga dengan ilmunya sehingga merasakan dialah yang paling berilmu lalu enggan mendengar pendapat yang berlainan teristimewa dari orang biasa yang rendah kelulusan dan darjatnya. Orang-orang yang memiliki ilmu agama juga, kalau tidak memiliki hati yang ikhlas dan makrifah, akan bersifat demikian terutama kalau  dia seorang  abid,  akan beranggapan bahawa dialah yang  terlebih baik berbanding orang-orang yang lemah amalnya.
Apabila ada di dalam hati perasaan  merasakan diri sendiri `lebih’ berbanding dengan orang lain, maka itulah membesar diri namanya; dan akan menyebabkan orang lain dipadang hina dan rendah. Akhirnya hilanglah sifat tawadhuk, sedangkan inilah sifat yang sangat utama  sebagai  seorang hamba di sisi Allah yang insyaallah akan menghakis sepenuhnya sifat sombong.Orang-orang kafir, oleh kerana tidak mengenal Pencipta dirinya menjadi kafir akibat  tidak mahu merendahkan  dirinya dengan Allah, lalu enggan mengakui Allah sebagai Tuhan  tetapi sebaliknya mengambil tuhan-tuhan lain selain Allah. Ada juga jenis kafir yang  mengakui Allah dari sudut Rububiyah tetapi mengengkari dari sudut Ubudiyah dan Uluhiyyah. Mereka  menyembah  Allah  tetapi  enggan tunduk kepada Syariat Allah dan Syariat Nabi Muhammad saw lalu mengamalkan sistem hidup yang lain, menyembah Allah tetapi mengabdi juga kepada tuhan-tuhan  selain Allah dengan maksud taat setia kepada akal, nafsu, pemimpin, sistem atau ideologi.
Kepada mereka Allah  mencela  dengan firmanNya: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang sombong”  (An Nahl:23).
Dan firmanNya lagi: “Sesungguhnya orang yang menyombongkan dirinya dari menyembah Aku,akan masuk neraka Jahanam dengan kehinaan” (Al Mukmin:60).
Maksud menyembah dalam ayat di atas ialah kerelaan dan keikhlasan jiwa untuk tunduk mematuhi tauhid Rububiyah, Uluhiyyah dan Ubbudiyah.
Orang-orang yang bersifat sombong dapat dilihat dari pergaulan dan cara hidup sehariannya.Cara dan gaya dia berbicara, nada suara dan bahasa serta liuk-lagaknya. Boleh juga dikesan melalui memek wajahnya, air mukanya dan sinar matanya.Selain itu boleh  juga dikesan melalui gaya berjalannya, gaya duduk dan berdirinya, gaya berpakaiannya, kenderaan, rumah, perhiasan diri dan perhiasan rumahnya.
Orang-orang yang  menyombongkan diri itu teradatnya tidak mahu menyapa,  tidak mahu bertegur-sapa, atau disapa oleh orang-orang yang rendah di matanya, tidak ada ramah tamah,  tidak mahu memberikan senyuman dan masam mukanya, bila berjalan tidak mahu memandang orang-orang di kanan dan kiri, selalu  buat-buat tidak nampak teristimewa  apabila nampak orang-orang  yang memang dikenali tapi tidak setaraf dengannya, enggan mendahului salam atau  menjawab salam,  tidak mempedulikan atau tidak mengacuhkan orang-orang yang tidak dikenali walaupun lalu dihadapannya.
Orang-orang yang  sombong  amat  suka dihormati, diraikan, diutamakan, didahulukan, diberi  pujian dan sanjungan. Kalau tidak diberikan layanan yang diharapkannya, atau terkurang keraian untuknya, nescaya  akan masamlah mukanya, merahlah wajahnya dan akan tergambarlah kebencian  diwajahnya, atau akan terus  mengeluarkan kata-kata kemarahannya  yang kesat, mengejek, mencerca  dan menghina atau  terus sahaja meninggalkan majlis dan tidak akan bertegur sapa lagi sehingga putuslah silaturrahim.
Bagi anak-anak  yang selalu  tidak mengacuhkan  perintah, suruhan, teguran dan larangan terutamanya dari ibu-bapa dan orang-orang yang wajib dihormati, wajiblah dididik, ditegur, dimarah dan didenda supaya tidak ada seberat biji sawi  pun sifat sombong, bangga diri dan takbur.Jadikan kesah berikut sebagai bekalan:
Dari Abu Salmah bin Abdul Rahman yang mengatakan:’Telah berjumpa Abdullah bin Amr dengan Abdullah bin Umar di atas bukit Safa.Lalu keduanya berhenti sejenak.Kemudian Abdullah bin Amr pergi dan  Abdullah bin Umar terus berdiri di situ dan menangis.Lalu mereka (orang-orang yang berada di situ) bertanya:”Apakah yang menyebabkan engkau menangis, hai Abu Abdul Rahman?” Abdullah bin Umar menjawab:”Itu!” Yakni Abdullah bin Amr mendakwakan, bahawa ia mendengar Rasulullah saw bersabda:’Barangsiapa ada dalam hatinya seberat biji sawi dari takbur  nescaya ditelungkupkan oleh Allah Taala dalam api  neraka mukanya’.
Nabi saw bersabda:`Tidak akan masuk sorga orang yang di dalam hatinya seberat atom dari kesombongan’.
Dari Abu Bakr Al-Hadzali (wafat 67H) yang mengatakan:”Sewaktu kami berada bersama Hassan al Basri, tiba-tiba lalu dekat kami Ibnul-Ahtam yang bermaksud ke al-maqsyurah  di kanan mihrab masjid.Ia memakai baju jubah sutera yang berlapis-lapis pada betisnya.Dan terbuka baju qabanya.Ia berjalan dengan menyombong.Tatkala Hassan al Basri memandang kepada Ibnul-Ahtam, lalu beliau mengatakan:”Cis! Cis! Kembang hidungnya, melipat lembungnya dan memalingkan pipinya! Ia memandang pada dua lembungnya.Hai orang dungu! Engkau memandang kepada dua lembung engkau, pada nikmat yang tidak disyukuri dan tidak diingati.Yang tidak diambil padanya dengan perintah Allah dan tidak dilaksanakan hak Allah  daripadanya.Demi Allah! Bahawa seseorang berjalan menurut tabiatnya, yang bergoncang badannya, sebagaimana bergoncangnya badan orang gila.Pada setiap anggota dari anggota badannya itu nikmat Allah.Dan setan menoleh kepadanya”.
Maka didengar oleh Ibnul-Ahtam, lalu ia kembali dan meminta maaf kepada Al Hassan al Basri ra.Maka Al Hassa al Basri menjawab:”Janganlah kamu meminta maaf kepadaku.Bertobatlah kepada Tuhanmu.Apakah kamu tdak mendengar firman Allah Taala?:`Janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan sombong, sesungguhnya engkau tiada dapat menembusi bumi dan takkan sampai setinggi gunung’ ( Al Israa:37)
Diriwayatkan bahawa Mathraf bin Abdullah bin Asy-Syukhair melihat al Mahallab.Dia itu menyombong memakai baju jubah sutera.Lalu Mathraf mengatakan:”Hai hamba Allah! Ini adalah perjalanan yang dimarahi Allah dan RasulNya”
Lalu Al Muhallab menjawab:”Apakah engkau tidak mengenali aku?”
Mathraf menjawab:”Ya, aku kenal engkau! Permulaan engkau itu air hanyir (nutfah) yang berubah.Dan kesudahan engkau itu bangkai yang busuk.Dan engkau di antara yang dua itu membawa taik”
Maka  Al-Muhallab lalu dari situ dan meninggalkan perjalanannya yang demikian.
Nabi saw bersabda:’Barangsiapa menarik kainnya dengan angkuh, nescaya Allah tidak memandang kepadanya pada hari kiamat’
Maka kiaskanlah sifat sombong  oleh Ibnul-Ahtam dan  al Mahallab,  dengan lain-lain bentuk kesombongan yang semuanya adalah  pada kadar seberat biji sawi atau seberat atom.