28 Februari 2010

9. Ayak Gunung.

Telah ramai panglima datang mengunjungi kami untuk berkenalan setelah siap latihan pencak.Panglima yang mula-mula sekali sampai ialah Laksamana Hang Tuah dan diikuti oleh Hang Jebat dan selepas itu baharulah saudara-saudaranya yang lain. Mereka berlima datang bersempena kami dirancangkan menggantikan mereka lima bersaudara. Demikian keterangan Tok Itam. Semuanya ini adalah rancangan dari guru.

Tok Itam memberitahu kami, pada suatu hari guru teringin untuk melihat cucu-cucunya yang bakal menggantikan Hang Tuah lima bersaudara itu. Tok Itam memberitahu, guru tidaklah perlu pergi ke Raub, ke rumah hijau kami, tetapi memadai melihat pada anak mata Panglima Hitam sahaja dan dapatlah dia melihat seorang demi seorang cucu-cucu Panglima Hitam.

Sambil duduk-duduk bersimbang itu, kami minum-minum dan makan-makan kueh-kueh yang kami beli pada siang tadi. Selalunya kami menyediakan air Sarsi atau Rot Beer. Ada kalanya Fanta. Oleh kerana kami tidak memiliki peti sejuk, jarang-jaranglah kami minum air bersama ais.Memanglah lebih nikmat minum air bersama ais terutama sewaktu badan masih berpeluh walaupun pada tengah malam. Pada malam ini Piei tiba-tiba terilham menyediakan ketul-ketul ais untuk dicampurkan ke dalam air minuman.

Bila Panglima Hitam meminumnya, dan pada malam itu ialah Root Beer, tok tiba-tiba spontan memberikan reaksi.

`Sedapnya! Sejuk!’, dia memuji.`Macam ayak gunung!’

Kami tersenyum dengan gelagat tok.Tok memang menggunakan dialek Kedah, maklumlah panglima dari negeri Kedah yang masyhur itu.

`Ambil dari mana?’,tok bertanya.

`Kami beli ais’, jawab Piei.

`Apa? Aaa...es?’, tok tercengang.

`Air batu’, Piei menjelaskan. Piei lalu mengambil ketul-ketul ais dari gelasnya lalu memberikan satu daripadanya kepada tok.

`Oooo’, tok baru faham bila memegang ketul air batu itu.`Ayak keras ya? Sejuk! Macam ayak atas gunung!’

Tok duduk di atas tilam spam yang tadinya kami gunakan sebagai pelapik badan sewaktu aktiviti jatuh bergulingan di atas lantai. Hamdilah yang paling memerlukannya kerana tak cukup tangkas dalam beraksi, hingga menyebabkan bahunya melecir terhempas pada lantai papan yang keras dalam latihan minggu yang lalu.Ini menyebabkan Hamdi enggan untuk melakukannya lagi. Malam ini dia ternyata semakin kurang memberikan tumpuan.Dia enggan samasekali melakukan jatuh bergulingan walau disuruh beberapa kali oleh tok.

Tok kelihatan menghenjut-henjutkan punggungnya sambil duduk di atas tilam itu.

`Lembut’, dan tok masih berhenjut-henjut.`Macam tempat duduk raja-raja’, tok berkata lagi.

Kami sekadar tersenyum.Kami sedar pada zaman dahulu mana ada tilam spam seperti sekarang? Pada zamannya tok memberitahu tidak ada apa-apa kemajuan seperti sekarang. Tidur cuma di atas lantai bilah atau lantai batang pinang yang dibelah empat atau di alas dengan kulit kayu. Rumah pun sekadar pondok-pondok yang ketahanannya untuk beberapa tahun sahaja.Bila buruk atau rosak, mereka pergi ke dalam hutan semula untuk meramu dan bergotong-royong mendirikan pondok yang baru. Semua komponen membuat rumah boleh didapati dengan senang dari dalam hutan.

Pada suatu ketika sebelum ini, tok meminta izin untuk berjalan-jalan di dalam rumah dan melintasi peti television yang sedang terpasang.Aku cukup geli hati bila tok berhenti di sisi peti television lalu memegang peti TV tersebut sambil mengintai-ngintai di bahagian belakangnya. Dia begitu kehairanan melihat sebuah peti yang boleh bersuara dan bergambar hidup itu. Spontan tok berkata.

`Pandai Portugis ini’, tok berkata sambil cuba menggoncang-goncangkan peti tv itu. `Boleh berbunyi! Ada gambar pula tu! Macam ada orang!’

Begitulah tok. Tok sentiasa merujuk kepada Portugis bila bercakap mengenai teknologi moden. Yang paling menggelikan hati ialah tok menggelarkan besi terbang apabila merujuk kepada kapal terbang.

`Bagai nak gamat tok bila melihat ada besi boleh terbang’, tok mengingatkan kesahnya bila pertama kali melihat kapal terbang.`Tok panggil semua tok-tok yang lain. Berkeriau semuanya mendongak melihat ada besi terbang’

Dan kami tergelak dengan kesah yang tok ceritakan.

Satu ketika kami bercakap mengenai orang sakit. Lalu Piei berkata:

`Selepas diperiksa, nampaknya terpaksalah orang itu di masukkan ke dalam rumah sakit’.

Tok tiba-tiba terkejut.

`Ha! Masuk ke mana?’

`Ke rumah sakit’

`Rumah sakit?’, tok tercengang.`Orang dah sakit? Masukkan pula ke dalam rumah sakit? Tak pasal-pasal dapat dua kali sakit!’

Kami semua geli hati. Terpaksalah Piei dan Wan bersusah-payah menerangkan konsep rumah sakit. Bila diterjemahkan istilah hospital, tok terdiam.Tok tak berapa berani menyebutkan istilah itu. Samalah juga dengan telefon, lampu letrik, radio, seterika dan sebagainya. Semua istilah tersebut begitu asing bagi tok dan bila dia sebutkan kami akan ketawa beramai-ramai.Supaya tidak ditertawakan, tok selalu menyebut `benda itu’,` `benda yang boleh bercakap dari jauh tu’, bagi telefon, `peti yang ada gambar itu’, bagi tv.

Apa jua produk moden tok sentiasa kaitkan dengan Portugis – `pandai Portugis ini’. Agaknya tok mungkin tidak dapat membezakan penjajah-penjajah yang lain seperti Inggeris yang datang kemudiannya. Tetapi mengenai Belanda tok tahu pula kerana tok mengatakan dia mati dalam peperangan melawan Belanda.

`Tok terkena peluru’, Tok Itam menerangkan.`Tapi tok bukanlah mati serta-merta. Bila terkena peluru, tok jatuh demam dan seminggu kemudian, tok meninggal dunia.Ertinya tok mati bukanlah kerana peluru Belanda, tetapi kerana demam’

`Di mana kubur tok?’, aku bertanya. Hasrat di hati, kalau ada kuburnya mahu juga aku menziarahnya.

`Sudah hilang. Sudah beratus tahun...Tak dapat dicari lagi’, tok menerangkan.

24 Februari 2010

8. Enam Orang Panglima.

Selepas penat berpencak kami bersimbang bersama Tok.Demikianlah selalunya.Sambil sembang-sembang dan membasah tekak.

Aku lalu membuka topik perbualan merujuk kepada kenyataan seorang kawan sewaktu balik dari Batu Malim.Batu Malim adalah tempat tragedi berdarah pada zaman kominis memerintah Tanah Melayu selama dua minggu pada tahun 1946 dahulu. Aki Abu Jamal yang mengamuk di sana, sewaktu Kiai Salleh bangkit di Batu Pahat dalam kebangkitan Melayu pada waktu itu, telah mengorbankan hampir seratus orang Cina kominis.Selama lebih tiga bulan air sungai di Batu Malim tidak boleh digunakan kerana berbau hanyir dan busuk oleh darah dan danor bangkai manusia.Demikian keterangan rakan sekerjaku,Cikgu Salam yang mengajar di sekolah yang sama.Dia memang anak jati di sana.

`Ada kawan cucu beritahu tok’, aku berkata kepada tok.`Ada seorang kawannya boleh memanggil tok syeikh. Syeikh tersebut memberitahunya di Negeri Pahang ini tak lama lagi akan muncul enam orang panglima. Betulkah tok?’

Tok tersenyum.

`Tahu sendiri kut!’, tok menjawab dalam senyumannya.Jawapan tok itu menghilangkan syak sangkaku. Dan aku memang gembira dengan jawapannya itu kerana maksudnya, tentulah aku bersama rakan-rakan termasuk Yim seramai enam orang yang akan muncul di negeri Pahang sebagai panglima nanti.Yim memang telah pun berada pada tapak itu.

Kawan sekerjaku itu tiga belas tahun lebih tua dari usiaku. Dia seorang aktivis politik yang terlibat dalam politik Islam. Dialah teman yang telah mengheret aku untuk perjuangan Islam pada waktu itu sehingga aku bukan sahaja mendaftar menjadi ahli tetapi memegang jawatan AJK Cawangan.

Sambil duduk-duduk itu tok berkata lagi seperti selalunya memberikan informasi yang menambahkan motivasi dan semangat perjuangan.

`Bila berlaku perang nanti, bila cucu terasa penat, cucu semua duduk macam cara tok duduk ini’, cara duduk tok ialah sila panglima.

`Ini!’, tok lalu menunjukkan bulu-bulu roma yang panjang pada bahagian belakang ibu kakinya.

`Ada rahsia besar pada bulu roma di ibu jari kaki kita’, tok menerangkan. `Cucu cabut satu, kemudian cucu kemam di dalam mulut’

`Buat apa?’, Dol bertanya.

`Musuh tak nampak. Musuh terus berjalan meninggalkan kita. Bolehlah kita berehat sambil menghilangkan penat’

`Tak perlu baca apa-apa, tok?’

`Mestilah baca! Nanti tok berikan’

`Kalau berlaku perang tok, apa kata kalau gunakan ilmu Mat Kilau sahaja’, aku bagaikan memberikan usul

`Cucu dikhabarkan’, aku melanjutkan.`Dalam satu peperangan, Mat Kilau pernah menjadi penonton sahaja dan tidak perlu berperang. Dia cuma melihat sahaja musuh bertempur sesama sendiri’

Kesah ini aku dengar dari ramai sumber termasuk dari aruah ayahku sendiri.Mat Klau dalam satu peperangan menentang Inggeris telah meggunakan ilmu `nampak dirinya semua’. Ilmu ini menjadikan pandangan musuh keliru kerana mereka tidak melihat selain wajah yang sama – wajah Mat Kilau.Akibatnya mereka berbunuhan sesama sendiri.

Bapa saudaraku Aingah Jantan pernah juga menceritakan pengalamannya yang sama.Sewaktu menjadi SC – satu unit pengawal keselamatan khas di bawah tentera British - pada suatu waktu dia terpaksa pulang sendirian ke rumah kerana isterinya Mak Ngah Kecik sakit hendak bersalin. Dan sewaktu menempuh kawasan kawalan kominis, pihak kominis tidak melepaskan sebarang tembakan kepadanya kerana takut dan takjub melihat terlalu ramai orang yang berwajah sama lengkap bersenjata dan beruniform. Begitu dakwaannya berdasarkan maklumat risikan.

`Tok tak suka begitu! Tak sedap!’ , tok menjawab pantas.`Tok suka kalau tok sendiri yang memarang musuh!’.

Sejurus tok berdiam diri sambil memandang kami.

Cucu bagaimana?’, tok tiba-tiba menujukan soalannya kepada Wan.

`Tak sedap tok!’, Wan menjawab pantas menyokong tok.

`Sedap bertempur sendiri’, Wan menjawab dengan semangat pahlawan sejati.

`Bagus! Anak jantan!’, mendengar jawapan Wan itu, tok lantas menepuk paha Wan. Wan tersengih.

`Ilmu seperti itu ada pada tok?’, aku bagaikan belum berpuas hati kerana bagaikan masih tertarik dengan teknik pertempuran yang tidak memenatkan itu.

`Ada!’, tok merenungku sejurus.

`Tapi jangan pakailah, cucu’ katanya kemudian. `Biar kita sendiri yang berperang! Biar kita betul-betul jadi orang jantan!’

Sambil sembang-sembang itu kami makan kueh dan pisang. Setiap kali memanggil tok kami memang menyediakan juadah,

`Ada cucu semua dengar kesah tahun 1969 dulu?’, tok tiba-tiba bertanya kami.

`13 Mei?’, Wan bagaikan tak tahu.

`Tahun 1969 dulu, tok terlibatkah?’,Piei pula mencungkil lebih jauh sejarah 13 Mei dari tok.

`Terlibat!, tok menjawab pantas. `Semua panglima keluar’

Dan wajah Piei yang bermisai tebal itu direnung oleh tok.

`Cucu ada terdengar kesah orang berpakaian serba hitam terbang di udara? Pernah dengar?’

Kami tidak menjawab. Cuma mata sahaja yang terkebil-kebil.

`Ada orang berpakaian sepasang hitam terbang dan mengamuk! Terbang lagi dan mengamuk lagi. Ada terdengar kesah itu?’.

Kami tidak menjawab pertanyaan itu, tetapi kami memang ada mendengar kesah-kesah yang ajaib dan hebat mengenai tragedi 13 Mei. Aki Abu Jamal yang tinggal di Batu Malim diberitahu oleh Cikgu Salam kepadaku, hilang selama satu minggu dari rumahnya.Orang tidak tahu dia pergi ke mana. Seminggu selepas Tragedi 13 Mei tiba-tiba orang melihat sebuah teksi dari ibu kota menghantarnya pulang ke rumahnya. Dikatakan dia entah pada waktu bila dan bagaimana tiba-tiba telah berada di Kuala Lumpur dan mengawal rumah Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu – Tun Ab.Razak Hussin.

`Cucu mungkin juga mendengar kesah ada bas berjalan, tapi tidak nampak pemandunya.Bukan sahaja tidak ada pemandu, tapi tidak ada juga penumpangnya.....’

`Bas berjalan sendiri?’, Dol bertanya.

Kami memandang tok dengan hairan.

`Semua itu kerja kamilah....’,tok menegaskan.

Kami terkebil-kebil mendengar maklumat yang hebat dan mengkagumkan itu.Maklumat yang menjadikan aku dan rakan-rakan bertambah bersemangat untuk belajar dengan bersungguh-sungguh silat peperangan ini.Silat yang bakal melahirkan kami berlima sebagai panglima mirip atau pengganti Hang Tuah Lima Beraudara,yang berjuang untuk mempertahankan agama,bangsa dan negara bila berlaku Tragedi 1980 nanti.

22 Februari 2010

7. Silat Panglima Hitam

Jam menunjukkan pukul 12.30 malam. Hari Sabtu malam Ahad.

Kami semuanya telah berpeluh kasar sekarang.Nafas mencungap-cungap.Latihan persilatan baru saja ditamatkan dan sekarang kami sedang berehat. Begitulah kami pada setiap malam pada hujung-hujung minggu khasnya malam Sabtu dan Ahad atau bila-bila hari cuti, kami akan berlatih pencak.Kami berlatih pencak Panglima Hitam kerana Panglima Hitamlah pemegang amanah persilatan.Dia adalah kepercayaan guru dalam perguruan.

Kami berlatih di dalam rumah hijau. Rumah hijau yang dahulunya kami sewa cuma sebahagiannya sahaja, kini kami sewa semuanya. Orang India Islam yang sudah bekeluarga dan memiliki dua orang anak yang bersekolah rendah yang menyewa di sebelah kami, nampaknya tidak selesa dengan kami anak-anak muda yang kadang-kadang mengganggu keselesaan mereka. Dia yang menyewa ruang sebelah sebagai jiran kami hanya mampu bertahan beberapa waktu sahaja dan beruntungnya apabila beliau berpindah, Yim dan Dol bersetuju untuk tinggal bersama kami. Sejak Yim dan Dol berpindah, satu dari bilik tersebut telah dijadikan gelanggang untuk kami berpencak. Bilik tersebut menjadi bilik terkawal yang telah `dipagar’ sepenuhnya untuk dijadikan sebuah gelanggang.

Ini adalah untuk ke sekian kalinya kami berlatih pencak sejak tiga bulan yang lalu. Tiga bulan yang lalu rasmilah kami berlima menjadi murid Panglima Hitam. Kami diminta menyediakan uniform silat berwarna hitam keseluruhannya dengan bahagian setiap tepi baju dan seluar berwarna merah. Kami juga diminta menyediakan sehelai kain bengkong juga berwarna merah untuk dijadikan selempang. Selain itu, kami juga diminta menyediakan sebilah pisau lipat setiap orang. Itulah persiapan bagi istiadat memulakan persilatan tersebut.

Itulah pakaian rasmi kami bila berlaku peperangan nanti. Kami merasmikannya pada malam pertama berpencak dengan pakaian tersebut. Pakaian itu kemudiannya kami simpan sahaja dan tidak lagi memakainya sewaktu latihan seterusnya.Begitulah juga pisau lipat. Uniform silat dan pisau walaupun pada zahirnya ada dalam rumah kami, tetapi pada hakekatnya semuanya telah tersimpan di alam tempat tok.

Menurut Paglima Hitam bila terjadi peperangan pakaian silat berkenaan akan terpakai dengan sendirinya pada tubuh kami. Ketika saat memerlukan senjata dalam peperangan, kami sekadar perlu menadahkan tangan di atas kepala sambil menengadah langit, dan menyeru atau meniatkan supaya didatangkan apa-apa saja senjata yang kami kehendaki samada keris, pedang atau sebagainya.Senjata yang diminta akan sampai ke tangan kami dan selepas itu bolehlah mengamuk dengan senjata sehebat pedang Panglima Salleh sewaktu mengamuk Cina Kominis di Batu Pahat pada tahun 1946 dahulu.Demikian penjelasan Panglima Hitam. Itulah rahsia pisau lipat kami yang diserahkan kepada tok sewaktu istiadat memulakan persilatan dahulu.

Persilatan Panglima Hitam akan memakan masa tidak kurang dari satu tahun. Dalam jarak masa itu kami akan menempuh beberapa siri istiadat misalnya mandi minyak, mandi apong, mandi embun, berzikir dalam tapa, tanam dalam bumi dan sebagainya. Setiap istiadat tersebut memberikan keistimewaan tersendiri kepada kami. Selepas mandi apong misalnya, tubuh kami akan menjadi rengan sehingga boleh berdiri di atas sehelai daun pisang dan memungkinkan kami untuk terbang dan mengamuk dalam peperangan.

Demikian gambaran yang Tok Itam berikan.Sungguh bersemangat kami bila mendengarnya.

20 Februari 2010

6. Silat Tapak Empat.

Yim memberi pilihan kepada kami berlima apakah mahu belajar Silat Tapak Empat.Silat Tapak Empat adalah silat yang boleh menghadapi serangan ramai musuh sekaligus. Silat Tapak Empat masa belajarnya tidaklah begitu lama.Dijangkakan dalam tempoh tiga bulan sahaja sudah tamat. Memandangkan masa yang agak terbatas dan kesibukan, Yim mengesyurkan silat tersebut sahaja.

Kami terlebih dahulu meminta Yim menunjukkan kepada kami teknik pertarungan Silat Tapak Empat untuk membolehkan kami membuat penilaian.Bila ditunjukkan, kami memang begitu tertarik dan kagum. Silat Tapak Empat memiliki teknik serangan yang hebat. Juga teknik bertahan yang mantap. Permainannya pelbagai. Ada cara merendah dan juga meninggi. Pergerakannya juga lincah.

`Kalau dibandingkan dengan silat panglima, mana yang lebih hebat?’, Piei bertanya.

`Ooo.Tentulah Silat Panglima’, Yim menjawab segera.

`Tapi Silat Panglima banyak sangat, Yim’.

Yim merenungku.Mungkin kurang pasti.

`Panglima ramai! Mana satu yang sesuai untuk kami? Megat Terawiskah? Panglima Hitamkah? Atau Silat Hang Tuahkah?’

`Mana-mana pun boleh’, Yim menjawab.

`Sama sajakah?’

Yim merenungku lagi.

`Maksudnya sama-sama hebatkah silat-silat panglima tersebut?’

`Ooo. Tidak’

`Silat panglima mana yang paling hebat?’, Wan pula bertanya.

`Hang Jebatlah’, Yim menjawab dengan tegas.

`Hang Tuah?’, aku menyoal.

`Hebat! Tapi Hang Jebat ganas dan garang!’

`Kalau dibandingkan dengan Silat Panglima Hitam?’, Dol pula bertanya.

`Panglima Hitam pantas dan lincah’

Itulah tiga panglima yang terhebat menurut keterangan Yim. Lebih hebat berbanding dengan Silat Megat Terawis, Megat Panji Alam dan beberapa lagi nama yang disebutkan.

`Kalau untuk menghadapi suasana seperti 13 Mei Yim, mampukah Silat Tapak Empat menghadapinya?’, Piei inginkan kepastian.

`Oooo tak boleh. Silat Tapak Empat adalah untuk pertarungan biasa sahaja. Untuk berperang perlulah Silat Panglima’

Bila mendengar informasi begitu, kami ternyata lebih meminati Silat Panglima berbanding Silat Tapak Empat.

`Tapi ada masakah?’, Yim mempersoalkan kami bila mendapati kami lebih meminati Silat Panglima. Menurutnya Silat Panglima akan mengambil masa bertahun-tahun sedangkan Yim pula ternyata belum cukup terpikat dengan Raub. Dia berminat untuk berhijrah ke mana-mana sahaja menurut peluangnya dalam kerjaya.Tugasnya sebagai Pengawal Keselamatan di Hong Kong Bank cumalah untuk sementara sahaja iaitu sementara belum mendapat peluang yang lebih baik.

Kami berbincang sesama sendiri sekali lagi setelah mendengar suara hati Yim. Namun pada akhirnya kami memilih Silat Panglima kerana ternyata lebih sesuai untuk menghadapi suasana persis 13 Mei. Aku sendirilah yang paling banyak memberikan pandangan dan cadangan kerana sebelum ini telah mendengar nama kiai-kiai yang hebat dalam peperangan di zaman kominis seperti Kiai Salleh dari muridnya Abu bin Darasan.Selain itu nama-nama Kiai Selamat dan Kiai Pilus yang banyak menurunkan ilmu kepada orang-orang yang handal dan berilmu di tempatku. Bapa saudaraku yang mengajarku Silat Lian pun bukan kepalang banyaknya ilmu kepahlawanan selain Cikgu Abdul yang tok aki aku, Tok Aki Bakar berikan jolokan pongkar ilmu kerana banyaknya memiliki ilmu yang handal-handal.Semua ini mempengaruhi jiwaku untuk mempengaruhi rakan-rakan supaya memilih Silat Panglima.

Wan, Dol dan Piei pun bersetuju dengan cadanganku. Cuma Hamdi yang agak ragu-ragu dan tidak memberikan jawapan yang pasti.Apa pun dia ikut sahaja rancangan kami.

14 Februari 2010

5. Tentera Tahun 1980.

Malam Jumaat.

Tok telah tiba dengan cara memanggilnya seperti dahulu juga. Tidak ada bicara yang banyak. Kami lantas diberikan ilmu yang berbunyi:

Bismillahirrahmanirrahim

Seunduk-unduk seindah-indah

Batu salah bawah lembah

Hang tunduk aku langkah

Aku salah hang sembah.

Selepas itu tok lantas memberikan tafsiran mengenai ayat-ayat yang berupa bait-bait pantun itu untuk membuktikan ianya tidak salah di sisi budaya bahasa dan agama.Selepas berpuas hati dengan penjelasan tok itu, aku bertanya kepada tok mengenai apakah benar bahawa pada tahun 1980, sebagaimana tersebar khabar angin bahawa akan terjadi pergaduhan besar di antara orang Melayu dengan Cina. Sejak tragedi 13 Mei 1969 api perkauman ternyata belum dapat dipadamkan dan ianya adalah umpama api di dalam sekam.

`Orang Cina sebenarnya telah bersumpah akan mengambil Tanah Melayu’, tok memberikan reaksinya.`Mereka bersumpah untuk memerintah Tanah Melayu.Tak dapat lama, sekejap pun cukup’, tok menjawab. Aku, Wan dan Piei saling berpandangan dengan maklumat yang mengejutkan itu.

`Mereka telah membuat ramalan di sebuah tokong Siam di Kedah selepas peristiwa 1969’, tok melanjutkan.

`Kominiskah tok?’ Wan bertanya.

`Ya’, tok menjawab segera.`Yang di dalam hutan itu. Yang berlawan dengan pihak keselamatan. Cina kominis’.

Pada ketika itu wilayah Pahang Barat masih merupakan kawasan hitam. Daerah Raub dan Bentong selalu dikenakan perintah berkurung pada waktu malam. Tidak kurang juga bagi Daerah Jerantut dan Kuala Lipis.

Pada waktu itu perjalanan untuk ke Raub samada mengikut Bentong atau Jerantut, terpaksa menempuh begitu banyak sekatan dan pemeriksaan tentera. Pada setiap sempadan dan daerah ada tentera dan polis yang siap bersenjata mengawal lalu-lintas.Trak tentera dan kereta perisai selalu membuat rondaan ke sana ke sini.

Aku bersama rakan-rakan, sewaktu mula-mula sampai di Raub dahulu memang terasa juga cemasnya apabila terpaksa menempuh beberapa kali pemeriksaan keselamatan. Kadang-kadang tentera naik sehingga ke dalam bas untuk mengesan sesiapa yang disyaki. Walaupun aku orang Melayu, tapi aku tetap juga rasa cemas dan khuatir. Manalah tahu, kalau tiba-tiba disangkakan orang Cina atau pelanduk dua serupa. Mereka – pasukan polis hutan atau tentera - naik ke dalam bas dan kadang-kadang meminta kami menunjukkan kad pengenalan. Ini dilakukan terutama kepada orang-orang Cina yang pada waktu itu di daerah Pahang Barat ramai yang menyokong kegiatan kominis di dalam hutan dengan memberikan bekalan makanan dan informasi.

Pada waktu malam kadang-kadang ada pertempuran terutama di sekitar Sungai Ruan dan Teras, antara pasukan keselamatan dengan kominis. Sewaktu aku melapor diri bertugas di SMJK(c) Chung Ching dahulu, aku diberitahu, Guru Besar pada waktu itu mendiang Chew Swee Boon menggeletar ketakutan apabila disoal-siasat oleh polis apabila mendapati ada murid-murid dari tingkatan empat dan lima yang terlibat dengan kegiatan kominis sehingga ditemui risalah kominis tersimpan di atas siling sekolahnya.

Suasana keselamatan negara pada ketika itu terutama di kawasan yang ramai penduduk Cina seperti di Raub ini, menyebabkan semangatku terhadap keselamatan diri, bangsa dan agama sentiasa tinggi.Lalu bila kesempatan berkenalan dengan panglima Melayu silam melalui Yim aku memunafaatkan sebaiknya kesempatan tersebut demi agama, bangsa dan watan tercinta.

Kami memerhatikan tok yang tersembunyi di sebalik wajah Yim yang kami percaya tentulah Panglima Hitam, menyambung bicaranya.

`Mereka pergi kepada tok ca untuk melihat ramalan apakah yang akan terjadi kepada mereka kalau berlaku peperangan dengan orang-orang Melayu’, tok menerangkan selanjutnya.

Aku, Wan dan Piei diam mendengar maklumat rahsia yang bakal diterangkan itu.

`Mereka memasang dua batang lilin. Satu melambangkan Melayu dan yang satu lagi melambangkan Cina.Selepas beberapa ketika lilin dinyalakan, ternyata lilin Cina lebih dahulu terpadam berbanding dengan lilin Melayu’

Tok memandang kami.

`Tahu apa maknanya?’, tok tiba-tiba bertanya.

Kami mengeleng-geleng.

`Maknanya, Cina tidak dapat menewaskan orang-orang Melayu’, tok berkata dengan nada yakin. Selepas merenung kami seorang demi seorang, tok berkata lagi.

`Kalau lilin Melayu padam terlebih dahulu, sudah tentu mereka tidak menunggu lama. Mereka sudah tentu mengganas dan membuat huru-hara lagi sebaik-baik selepas tragedi 1969’

`Kalau begitu tok’, Piei mencelah.`Adakah pada tahun 1980 nanti mereka merasakan bahawa mereka boleh merampas kuasa?’.

`Mungkin!’

Tok tidak memberikan gambaran yang benar-benar pasti, tetapi begitulah keyakinannya bahawa pada tahun 1980 akan berlaku peperangan besar antara Melayu dengan Cina.Kaum Cina akan menggunakan peluang itu untuk merampas kuasa bagi memerintah negara. Bila Cina memerintah, maka akan berulanglah kembali keganasan mereka terhadap orang-orang Melayu seperti pernah berlaku dalam tahun 1946 apabila mereka berkuasa selama dua minggu memerintah Tanah Melayu sebelum ketibaan pihak Inggeris setelah Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Orang Melayu disembelih hidup-hidup terutama alim ulama dan yang disyaki membantu Jepun! Orang Melayu teramat lemah untuk bangkit menentang orang-orang Cina yang berfahaman kuminis yang lengkap bersenjata.Hinggalah munculnya gerakan Selendang Merah yang dipimpin oleh Kiai Salleh di Batu Pahat, Aki Abu Jamal di Raub dan lain-lain rakan seangkatan mereka termasuk di Perak, baharulah semua penjahat ini dapat dihambat ke dalam hutan.Dikhabarkan kalaulah tidak campur tangan pihak istana Johor dan Dato On Jaafar, matlamat Kiai/Panglima Salleh adalah untuk melakukan penghapusan etnik ini dari bumi Melayu ini.

Aku lantas memohon pertolongan tok untuk memberikan kepada kami apa-apa saja cara yang sesuai untuk keselamatan dan pertahanan diri menghadapi nyalaan api yang bakal tiba itu.

Tok nampaknya berdiam diri sebentar. Dia bagaikan berfikir atau bagaikan sedang mendengar informasi rahsia kerana kepalanya mengangguk perlahan-lahan. Sejurus begitu tok memandang kepadaku semula.

`Cari lima orang’, tok memberikan cadangan.

Mendengar cadangan itu aku terasa sungguh gembira. Aku sesungguhnya teramat gembira kerana dengan memiliki ilmu tok – persilatan dan ilmu-ilmu peperangan, aku sudah pasti memiliki keupayaan demi mempertahankan bukan sahaja diri sendiri dan keluarga, tetap juga agama, bangsa dan negara! Demikian niatku.

Kami lalu berbincang. Aku, Wan, Piei sudah ada bertiga. Seorang lagi tentulah Dol dan yang seorang lagi tentulah Hamdi. Dengan begitu cukuplah lima orang.Tok nampak gembira dengan ketetapan itu. Malam Jumaat minggu hadapan, tok mengatakan pelajaran boleh dimulakan.

Bila tidak ada apa-apa lagi yang mahu dibicarakan, tok lantas meminta izin untuk pulang. Tok lantas memberi salam sebanyak tiga kali seperti mula-mula tiba tadi untuk pulang ke alamnya. Lepas itu sambil menggayakan rentak bunga silat, tok merebahkan badannya perlahan-lahan. Dia meletakkan kepalanya di atas bantal yang telah kami sediakan.Bila badannya telah sempurna baringnya, tangannya lantas dikiamkan di atas dada bagaikan sekujur badan yang telah menjadi mayat. Dengan berbuat begitu, ertinya tok telah pulang ke tempatnya. Aku yang sudah biasa dengan pengalaman pertama dahulu lantas menggerakkan Yim dengan menyeru namanya. Yim lantas menyahut, mencelikkan matanya dan kemudiannya duduk bersila bersama kami.

`Engkau semua memang bertuah’, Yim tiba-tiba berkata bila kami menerangkan tok bersetuju untuk mengajar ilmu persilatannya.

`Kenapa?’, Wan bertanya.

`Dulu anak saudara aku pernah memohon untuk belajar dengan tok, tapi tak dapat. Bukan sekali dia memohon. Berkali-kali merayu. Tapi tok tak mahu ajar juga’

Aku tiba-tiba berasa cukup bangga dan gembira dengan penerangan Yim itu. Aku tiba-tiba sahaja merasakan diriku cukup bertuah.Tentulah bukan suatu yang mudah untuk mendapat ilmu dari seorang panglima yang masyhur di zaman silam.Semua panglima silam telah tiada lagi di muka bumi ini dan mereka apabila mati tentulah membawa bersama-sama ilmu yang mereka miliki.Tentulah tidak ada sesiapa lagi yang dapat mewarisi ilmu-ilmu mereka.Tiba-tiba alangkah bertuahnya, dengan takdir Allah, aku dapat menghubungi mereka melalui Yim dan mudah-mudahan seterusnya akan dapat memiliki kesemua ilmu milik mereka!

`Tok Itamkah yang datang tadi?’, Wan bertanya inginkan kepastian.

Yim mengangguk.Tok Itam ialah Panglima Hitam. Panglima dari Kedah yang masyhur itu.

10 Februari 2010

4. Memanggil tok.

Kami membentang sehelai sejadah. Pada kepala sejadah kami letakkan senaskah al Quran. Sebuah tempat perasap juga kami sediakan. Sebiji piring yang di dalamnya ada beberapa ketul keminyan juga kami sediakan. Demikianlah kami diarahkan oleh Yim untuk tujuan yang aku dan Piei dimaklumkan iaitu memanggil `tok’.

Setelah mengambil wudhuk, Yim mula bersedia untuk duduk di atas sejadah. Malam ini adalah penunaian janji yang dibuat Yim pada siang tadi untuk memanggil tok. Aku mahu menanyakan kesahku sekali lagi setelah pada siang tadinya aku bertanya kepada pengapit Yim melalui ayunan limau nipis. Aku benar-benar mahukan kepastian.

Sedang kami bersiap-sedia untuk melihat apa yang akan Yim lakukan, Wan tiba-tiba pulang. Dia yang baru pulang dari membawa pemain-pemain sekolahnya untuk pertandingan bola sepak MSSD bagi Daerah Raub agak tercengang melihat kami dalam keadaan begitu. Dia tidak tahu apa-apa, tapi tidak pula bertanya. Oleh kerana Wan belum solat Maghrib lagi, kami terpaksalah menangguhkan upacara sehinggalah semuanya telah bersedia.

Yim duduk di atas sejadah sekali lagi.Dia membakar keminyan di atas bara kayu arang yang masih merah berbara. Dia memandikan dirinya dengan asap keminyan.Mengusap muka, lengan, pinggang dan seluruh tubuhnya. Ada kira-kira satu minit dia melakukannya. Kami memerhatikan sahaja.

Kemudian dia meletakkan kedua-dua tapak tangannya kepada bekas perasap sambil mukanya ditundukkan. Mukanya hampir mencecah belakang kedua-dua tangannya yang terlungkup di atas bara.Kami bertiga tekun memerhati dengan penuh tanda-tanya apa yang akan berlaku.

Sejurus demikian kami melihat jari-jari Yim mulai bergerak perlahan-lahan.Jari jemari itu kemudiannya jadi melentik dan kian lama kian tegang lalu akhirnya bergerak perlahan-lahan membentuk sebuah tarian bunga silat. Kemudian tubuh Yim bergerak sedikit ke belakang menjauhi bekas perasap dan apabila jarak telah lebih selesa, kaki kanannya diangkat lalu merubah kedudukan dari bersila kepada duduk bersilang lutut. Selepas itu Yim menyapu mukanya dengan tangan kanannya.Kami memerhati sahaja dengan hairan bercampur asyek sambil mengunci mulut.

Yim kemudiannya merendahkan lagi mukanya kepada bekas perasap. Dia memandikan lagi mukanya dengan asap keminyan yang masih berkepul-kepul. Setelah itu dalam keadaan mata yang masih tertutup tiba-tiba terdengar suara Yim memberi salam.

`Assalamualaikum’

Kami bertiga lantas menjawab.

`Waalaikummussalam’

`Asasalmualaikum’, sekali lagi kami diberi salam.

`Waalaikummussalam’, kami bertiga menjawab lagi.

Namun...sekali lagi kami diberi salam dan sekali lagilah kami terpaksa menjawabnya. Selepas itu Yim membuka matanya. Yim lantas bersalam-salaman dengan kami seorang demi seorang. Selepas bersalam-salaman, tiba-tiba kami diperhatikannya pula, diteliti seorang demi seorang. Pada ketika itu kami dapat merasakan, bahawa yang berinteraksi dengan kami sekarang bukan lagi Yim. Dalam duduk sila panglima itu, tetamu itu lantas bertanya.

`Kenal kami?’

Aku tercengang.Tidak tahu siapa! Tapi kami memang telah sedar bahawa jasad Yim sekarang telah diisi oleh suatu entiti yang lain yang diberitahu oleh Yim ialah seorang tok.Kami bertiga diperhatikan seorang demi seorang sekali lagi.Kami tidak dapat menjawabnya kerana memanglah kami tidak tahu siapa. Yim tidak pula menerangkan siapakah tok yang dimaksudkan.

`Kami Panglima Hitam’, tetamu itu bersuara memperkenalkan dirinya.

`Panglima Hitam?’, aku bertanya.

`Kenal?’, aku ditanyai kembali.

Aku berfikir sejenak. Aku belum pernah mendengar nama itu. Kalau Hang Tuah dan rakan-rakannya aku telah biasa.Begitu juga beberapa panglima silam yang lain.Tapi nama Panglima Hitam belum pernah terdengar pula.

`Anak Panglima Awang?’, aku bertanya merujuk kepada nama jolokan Magellan Melayu yang sejarahnya dikesahkan dalam sebuah novel yang telah pernah aku baca pada waktu aku di sekolah rendah dahulu.

`Bukan!!’, suara dari tubuh Yim bersuara.

`Panglima Hitam yang di Kedah itu’, Wan memberikan jawapan untukku. Dan bila mendengar jawapan itu, spontan telunjuk Yim menunjuk bertubi-tubi kali kepada Wan sambil kepalanya mengangguk-ngangguk.

`Panglima Hitam?’, aku mengulangi nama itu. Aneh! Aku tak pernah kenal pula nama Panglima Hitam. Wan cepat-cepat membisikkan sepintas lalu mengenai Panglima Hitam untuk kefahamanku.

`Apa hajat panggil kami?’, kami ditanyai.

Aku tidak bertangguh lagi, lalu menerangkan masalahku dengan tunanganku seperti pada siang tadi. Bila tok memberikan penjelasan, ternyata maklumatnya adalah sama seperti pada siang tadi juga.Tapi maklumat tok lebih jelas, detail dan cepat.Aku berada pada kedudukan yang merbahaya seandainya meneruskan hajatku untuk tidak lagi meneruskan perhubungan dengan seorang gadis yang ternyata kami tidak sehaluan. Keluarganya pasti akan mengambil tindakan yang mengundang bahaya bagi diriku.

`Tapi saya ada pendiding, tok’, aku berlagak handal.`Guru tempat saya menerima pendinding tersebut mengatakan pendinding ini tidak dapat ditembusi oleh sebarang serangan sihir. Jasad saya tidak akan dapat dikesan walau dengan apa tilikan sekalipun’

Aku lantas meminta kesudian tok untuk membaca ayatnya. Tok bersetuju.

`Bismillahirrahma nirrahim. Allah Allah hu menunggu di pintu jantungku,

Allah hu Akhbar menunggu di pintu hatiku.

Alif zat menunggu....’

Tok tersenyum.Sejurus dia begitu.Kemudian dia berkata dengan lembut.

`Orang boleh buat kita, orang boleh musnahkan kita, bukan dengan cara sihir sahaja ali’, tok bersuara. Aku dipanggilnya ali.Geli rasa hatiku.

`Banyak cara boleh dilakukan oleh mereka. Mereka boleh upah orang untuk pukul ali. Mereka boleh tembak. Atau mereka boleh upah orang supaya ali dilanggar kereta...’

Aku lalu tergamam. Serta merta hilang keegoanku. Risau jadinya sekarang, kalau aku membuat keputusan untuk memutuskan perhubungan dengan gadis yang tidak secucuk dengan hasrat hati itu.

`Jadi, apa nak buat, tok?’, aku mula diserang ketakutan.

Tok terkebil-kebil memandangku.

`Boleh tok tolong saya?’

`Insyaallah. Boleh’, tok memberi budi.Sejurus tok merenungku lagi.

`Ali nak buat macam mana?’, aku ditanyai.

Aku berfikir tapi terasa buntu fikiranku.Suasana diam berlalu buat beberapa detik. Aku memandang Wan dan Piei kalau-kalau mereka ada bantuan fikiran untukku. Tapi mereka nampaknya sekadar terkelip-kelip.

`Kita buat keluarganya tak usah marah kepada ali...’, tok tiba-tiba mengusulkan sambil tepat-tepat memandangku.`Kita tutup hati keluarganya dari melakukan apa-apa pembalasan’.

Berseri-seri wajahku. Aku cukup gembira dengan cadangan itu. Selepas memberikan beberapa formula yang perlu aku lakukan yang kesimpulannya ialah mencurahkan air kelapa muda yang sewaktu mengambilnya tidak boleh mencecah bumi. Air tersebut hendaklah dicurah ke dalam telaga rumahnya setelah dijampi oleh tok.

Setelah urusan selesai kami bertiga mempersilakan tok minum dan menjamah kueh kisul dan kueh lapis yang telah kami sediakan. Yim memberitahu supaya menyediakan sedikit juadah dan air untuk dijamukan kepada tok. Aku dengan Piei mencarinya di bandar Raub yang memang setiap petang ada tempat orang berjualan kueh-mueh.

Tok mencapai sebiji kueh kisul lalu menyuap ke mulutnya.

`Buat sendiri?’, kami tiba-tiba ditanyai.

`Tidak’, aku menjawab sambil tersipu-sipu kerana geli hati. Manalah aku boleh membuatnya!

Sambil makan-makan itu aku melihat tok memang sudah tua rupanya. Dia mengunyah memang seperti seorang orang tua yang tidak bergigi. Gigi Yim yang kami lihat tidak ada cacat-celanya, nampak tidak berfungsi samasekali.Geli hati juga melihat orang yang bergigi penuh tetapi makan macam orang tidak bergigi.

Tok menghimbau pandangannya ke ruang di dalam rumah, lantas dia bertanya mengenai kami. Tinggal berapa orang, sudah kahwinkah belum dan apa pekerjaan kami.

Bila kami menjawab kami bertiga adalah guru, tok nampak terkejut.

‘Guru?’

Kami mengangguk. Tok lantas memandang kami bagaikan satu pandangan makrifat.

`Kerja macam mana itu?’, tiba-tiba dia bertanya.

Aku lalu menerangkan tentang cara kami bekerja.Aku tidak pasti apakah tok boleh faham atau tidak.Aku lantas juga menerangkan kenakalan dan kedegilan murid-murid di sekolah.

`Bolehkah tok berikan apa-apa cara untuk kami mengawal kelas?’, aku merayu bantuan. Budak-budak di dalam kelas peralihan iaitu murid-murid dari SRJK(c) sebelum masuk ke tingkatan satu perlu memasuki kelas peralihan Bahasa Melayu Khas. Mereka memang begitu nakal terutamanya murid lelaki. Mereka tidak begitu faham Bahasa Melayu dan oleh kerana itu menjadi masalah dalam komunikasi. Ini menyebabkan tugas kami guru-guru muda yang sedang menimba pengalaman, begitu mencabar untuk mengawal mereka. Budaya kesopanan dan budi-bahasa juga amat berbeza. Tambah memenatkan mereka kurang menghormati kami guru Melayu.

Tok lalu menjanjikan akan memberikan ilmunya. Dia meminta supaya kami memanggilnya pada malam Jumaat kerana malam itu baik untuk diberikan ilmu.

06 Februari 2010

3. Limau Nipis Berayun

Kami - aku dan Piei - memerhatikan Yim mencucukkan jarum peniti pada bahagian atas buah limau nipis yang telah diparas dengan pisau. Setelah jarum dicucuk, dia mengambil benang hitam dan diikat kemas kepada kepala jarum tersebut. Bila selesai dia mengambil pula sebiji limau nipis yang lain dan mengulangi proses yang sama.

`Siapa nak dulu?’, Yim bertanya bila kedua-dua buah limau nipis telah siap sedia untuk digunakan.

Piei lalu menyanggupi. Yim lantas meminta Piei mengambil mana-mana satu buah limau yang telah disiapkan tadi dan menyuruhnya mengangkat buah limau tersebut supaya terapung di udara dengan memegang di hujung benang.

Piei lalu melakukan sebagaimana yang diarahkan.

`Engkau cakaplah apa yang engkau mahu tahu’, Yim memberi arahan.

`Tentang apa?’

`Apa-apa sahajalah’

`Tanyalah tentang Minah!’, aku menggiat Piei mengenai seorang cikgu muda yang baru dikenalinya.

Piei lalu ketawa.

`Tanyalah samada dia mahu atau tak mahu kepada engkau’.

Piei tersengih-sengih.

`Jangan engkau saja yang asyek syok sendiri’, aku mengusiknya lagi.

Piei memang terpikat dengan seorang cikgu bernama Aminah yang ditemui semasa orientasi di Bentong pada bulan Januari lalu. Cikgu Aminah mengajar di SK. Gali. Piei memang mengintai peluang untuk mendekatinya tetapi tidak pula mempunyai peluang. Takut pun ada juga.Lalu berangan-angan seorang diri sajalah.

Piei masih tersengih-sengih dan malu-malu. Buah limau telah tergantung di udara.

`Cakaplah’, Yim mendesak.

`Nak cakap macam-mana?’

`Cakaplah apa-apa saja. Misalnya tolong tunjukkan padaku...’

Piei lalu mendapat ilham.

`Ok.Ok.’, dan Piei masih senyum-senyum. Kemudian dengan nada yakin dia pun bersuara. `Tolong tunjukkan kepadaku mengenai Minah’, dan Piei tiba-tiba ketawa pula. Aku pun turut ketawa. Bila ketawa telah mereda Piei menyambung.

`Tunjukkan adakah dia berkenan atau tidak kepadaku’, dan bila habis permintaan itu, meledaklah ketawa mengelekek dari Piei.

Aku memerhati dengan tidak begitu mengerti apakah yang mungkin berlaku. Spontan buah limau yang tergantung tiba-tiba bergerak perlahan-lahan dan kemudiannya bertambah kuat. Kemudiannya berayun semakin lama semakin laju dan berpusing membuat lengkaran.Buah limau dibiarkan sejurus berpusing begitu. Sejenak kemudian Yim pun bersuara.

`Dia tidak berkenan’, Yim tiba-tiba berkata.

`Ha!’, aku dan Piei sama-sama terkejut.Aku lihat wajah Piei sedikit berubah.

`Kenapa?’, aku pula yang bertanya.

Buah limau yang telah berhenti berayun, perlahan-lahan berayun kembali. Tapi tidak pula berpusing seperti tadi. Sebaliknya berayun ke hadapan dan ke belakang.

`Dia sudah ada teman’, Yim menjawab.

Yim memberikan jawapan berasaskan petunjuk dari buah limau tersebut. Wajah Piei kian berubah.

`Siapa lelaki tersebut?’, Piei bertanya. Bergeraklah lagi buah limau tersebut. Sejurus kemudian Yim pun berkata.

`Kawan tempat dia belajar dahulu’

Piei memandangku.Pada wajahnya ada sedikit mendung. Aku terasa cukup simpati padanya. Aku lantas bersuara.

`Adakah pemuda tersebut berkenan kepada Minah?’

Buah limau yang dipegang berayun semula.Yim lantas berkata memberi reaksi.

`Berkenan juga’

`Siapa yang lebih berkenan?’, aku melanjutkan.` Adakah pemuda tersebut yang lebih berkenan atau Minah?’

`Pemuda tersebut!’, Yim menjawab berasaskan petunjuk dari ayunan buah limau nipis itu. Aku memandang Piei kembali dan mata kami bertembung.

`Kalau begitu awak masih ada peluang Piei!’, aku memberikan harapan.Piei lantas menganggukkan kepalanya.

`Adakah saya masih berpeluang untuk memiliki Minah?’, Piei dengan segera bertanya dengan harap-harap cemas. Buah limau seperti tadi juga, akan segera bergerak bila ditanya iaitu samada berayun secara berkeliling dari kiri ke kanan atau sebaliknya untuk membentuk bulatan, atau berayun dari hadapan ke belakang atau sebaliknya.Yim akan memberikan penjelasan berdasarkan corak pergerakan limau tersebut. Kesimpulan dari permainan buah limau itu, Piei masih mempunyai harapan.Terserahlah kepada kebijaksanaannya untuk memenangi hati Aminah.

`Bagaimana engkau boleh tahu Yim?’, aku cuba membongkar rahsia penafsiran dari ayunan buah limau tersebut.

`Pengapitku yang beri tahu’

`Bagaimana?’

`Yang di sebelah kanan pergi ke sisi Minah. Yang di sebelah kiri tinggal bersamaku. Yang lelaki melaporkan kepada pengapit perempuan lalu dia sampaikanlah kepadaku. Aku terangkanlah pula kepada engkau’

Aku dan Piei terkebil-kebil mendengar informasi yang tidak pernah terlintas di fikiran itu.

`Boleh percayakah?’ aku bertanya selanjutnya.

`Boleh!’, Yim menjawab tegas.`Tapi kalau mahu lebih jelas dan lebih yakin, malam nanti kita boleh panggil’

`Boleh panggil?’, aku terkejut.

`Panggil siapa?’, Piei bertanya.

`Panggil tok’.

Panggil tok? Siapa pula agaknya.Dan kami berdua membuat beberapa persiapan untuk memanggil `tok’ sebagaimana yang diarahkan oleh Yim

02 Februari 2010

2. Silat Megat Terawis.

Aku dapat peluang mengenali Yim bila pada suatu petang aku melihatnya berjalan sendirian pulang dari bermain bola. Aku mempelawa dia ke rumahku dan ternyata dia memenuhi permintaanku.

Aku bersama Yim sekarang di rumah hijau.

Yim menerangkan latar belakang dirinya. Katanya dia berasal dari Kedah dan pernah berkelana ke Johor buat beberapa tahun tinggal bersama keluarga angkatnya. Tapi disebabkan oleh cinta tidak kesampaian oleh halangan ibu angkatnya, dia meninggalkan rumah tersebut lalu terdampar di Kuala Lumpur. Di sana dia berkenalan dengan Dol yang sama-sama bekerja sebagai Pengawal Keselamatan dengan Syarikat Securicor Sdn. Bhd. Tidak lama kemudian mereka berdua dihantar bertugas di Hong Kong Bank, Raub.Mereka baru satu bulan berada di Raub.

Orangnya nampak biasa sahaja. Tubuhnya tidaklah nampak sasa malah kecil sahaja orangnya. Sekali imbas tidak ada apa-apa tanda menunjukkan dia seorang pesilat yang hebat. Usianya muda setahun dariku iaitu 22 tahun.

Aku tidak menunggu lama setelah saling mengenali antara satu sama lain.Lantas aku membuka isu yang ingin aku bicarakan. Aku bertanya kepadanya mengenai peristiwa yang Hamdi ceritakan. Dia nampak malu-malu untuk bercakap mengenai itu. Tapi aku berjaya mencari swisnya sehingga menyebabkan dia bercerita.

`Memang Silat Panglima’, dia mengakui.

`Belajar dengan siapa?’

`Dengan merekalah!’

`Siapa?’

`Hang Tuah lima bersaudara, Megat Panji Alam dan ramailah lagi...’

Aku begitu terkejut mendengar maklumat itu. Bagaimana? Bagaimana dia boleh belajar dengan pahlawan-pahlawan silam yang telah kembali ke rahmatullah dan ramai pula bilangannya? Lalu aku meminta dia menerangkan lebih lanjut lagi.Yim yang nampaknya masih agak keberatan, lantas menceritakan bahawa dia dibawa pergi hampir pada setiap malam untuk belajar pencak bersama rakan-rakannya di suatu tempat yang dia tidak mengetahui di mana letaknya. Peristiwa ini berlaku sejak usianya belasan tahun lagi.Dia bukan bermimpi tapi benar-benar sedar bahawa dia dibawa pergi. Dia dibawa untuk belajar pencak dengan para panglima purba dan bila tamat latihan dia dihantar pulang. Bila bangun pagi baharulah dia terasa seolah-olah bermimpi.

`Belajar di mana?’

`Tak tahu’

`Dalam hutan?’, aku menduga.

`Memang dalam hutan! Tapi entah di mana. Kawasannya berbukit-bukau, dan ada banjaran gunung.Ada juga sawah padi.. ’

`Di mana ya?’

`Saya pun tak tahu. Tapi kalau tak silap di kawasan banjaran Gunung Jerai’

Aku terkebil-kebil. Aku tak pernah pula sampai ke sana.Pada waktu itu aku belum pernah lagi sampai ke negeri Kedah.

`Orang biasa boleh pergikah ke sana?’, aku bertanya.

`Tak nampak!’

`Tak nampak?’

`Nampak hutan sajalah. Nak pergi macam mana ? Saya pun cuma boleh pergi bila mereka bawa’

Aku yang pada ketika itu berusia 23 tahun agak tercengang mendengar maklumat itu. Maklumat itu cukup menarik hatiku dan tentulah aku kian tertarik kepada Yim yang tentulah cukup istimewa kerana terpilih sebagai salah seorang anak muda untuk mempelajari silat dari panglima-panglima Melayu purba. Tentulah Yim anak muda istimewa kerana terpilih memperolehi silat yang hebat milik para panglima purba.Berbanding dengan orang biasa, atau aku sendiri yang cuma tahu satu jenis sistem pertahanan diri sahaja yang dinamakan Buah Pukul atau Silat Lian yang salasilahnya milik Pak Ngah Bentan dan Pak Teh Mat Yasin yang memang terkenal di Johor.

Aku kemudiannya memohon kesudiannya menunjukkan kepadaku Silat Megat Terawis.Sekali lagi Yim agak malu-malu dan keberatan. Tapi dia memenuhi juga permintaanku.

`Sekadar bunga sahajalah’, dia menerangkan dan aku bersetuju dengan saranannya.

Dia lantas berdiri lalu membuka sebuah persilatan yang memang ganjl bentuknya. Bunga tarinya cantik dan pergerakannya tidak memerlukan ruang.Memadai pada tempat dia berdiri sahaja. Aku tidak pernah melihat silat seperti itu. Pergerakannya kemas dan mantap dan nampak lincah dan cantik. Melihat silat tersebut aku terus mendapat kesimpulan bahawa silatnya itu bukanlah silat biasa.

`Saya ingin bertanya, Megat Terawis yang dikatakan pemilik silat itu adakah Megat Terawis yang di Perak itu?’

`Memanglah’

`Kalau silat panglima lain?’

`Maksudnya?’

`Apakah berlainan dengan Silat Megat Terawis?’

`Tentulah!’

`Ini bermakna tiap-tiap panglima ada persilatan masing-masing?’

`Ya’

Aku teringin pula untuk melihat silat-silat yang lain.Lantas aku berkata.

`Boleh tunjukkan silat Hang Tuah pula?’

Yim lantas ketawa lalu berkata.

`Cukuplah kut’, dan keengganannya itu aku hormati.

Yim lantas memberitahuku bersempena dengan persilatannya itu, dia dikurniakan dua orang pengiring yang mengiringinya pada sepanjang masa. Seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri.Yang di sebelah kanan adalah seorang lelaki dan di sebelah kirinya adalah wanita. Yim boleh melihat mereka dan boleh berinteraksi.

`Apa tugas mereka?’

`Untuk menjaga keselamatan saya’

Dia lalu menerangkan bahawa pengapitnya itu boleh memberikan apa-apa jua informasi yang dikehendakinya. Boleh juga diutuskan ke mana-mana untuk apa-apa sahaja tujuan yang baik.

`Kalau awak ada makwe dan nak tahu apa-apa jua mengenainya awak boleh tanya dia’.

`Betulkah?’, Piei yang sempat mengikuti perbualan kami nampak seronok dengan maklumat itu.

Lalu kami berjanji akan mengundangnya sekali lagi pada minggu berikutnya.Kami ingin tahu mengenai makwe masing-masing. Lantas kami diminta menyediakan dua biji limau nipis, dua utas benang hitam sepanjang dua kaki dan dua batang jarum penjahit.

`