10 Februari 2010

4. Memanggil tok.

Kami membentang sehelai sejadah. Pada kepala sejadah kami letakkan senaskah al Quran. Sebuah tempat perasap juga kami sediakan. Sebiji piring yang di dalamnya ada beberapa ketul keminyan juga kami sediakan. Demikianlah kami diarahkan oleh Yim untuk tujuan yang aku dan Piei dimaklumkan iaitu memanggil `tok’.

Setelah mengambil wudhuk, Yim mula bersedia untuk duduk di atas sejadah. Malam ini adalah penunaian janji yang dibuat Yim pada siang tadi untuk memanggil tok. Aku mahu menanyakan kesahku sekali lagi setelah pada siang tadinya aku bertanya kepada pengapit Yim melalui ayunan limau nipis. Aku benar-benar mahukan kepastian.

Sedang kami bersiap-sedia untuk melihat apa yang akan Yim lakukan, Wan tiba-tiba pulang. Dia yang baru pulang dari membawa pemain-pemain sekolahnya untuk pertandingan bola sepak MSSD bagi Daerah Raub agak tercengang melihat kami dalam keadaan begitu. Dia tidak tahu apa-apa, tapi tidak pula bertanya. Oleh kerana Wan belum solat Maghrib lagi, kami terpaksalah menangguhkan upacara sehinggalah semuanya telah bersedia.

Yim duduk di atas sejadah sekali lagi.Dia membakar keminyan di atas bara kayu arang yang masih merah berbara. Dia memandikan dirinya dengan asap keminyan.Mengusap muka, lengan, pinggang dan seluruh tubuhnya. Ada kira-kira satu minit dia melakukannya. Kami memerhatikan sahaja.

Kemudian dia meletakkan kedua-dua tapak tangannya kepada bekas perasap sambil mukanya ditundukkan. Mukanya hampir mencecah belakang kedua-dua tangannya yang terlungkup di atas bara.Kami bertiga tekun memerhati dengan penuh tanda-tanya apa yang akan berlaku.

Sejurus demikian kami melihat jari-jari Yim mulai bergerak perlahan-lahan.Jari jemari itu kemudiannya jadi melentik dan kian lama kian tegang lalu akhirnya bergerak perlahan-lahan membentuk sebuah tarian bunga silat. Kemudian tubuh Yim bergerak sedikit ke belakang menjauhi bekas perasap dan apabila jarak telah lebih selesa, kaki kanannya diangkat lalu merubah kedudukan dari bersila kepada duduk bersilang lutut. Selepas itu Yim menyapu mukanya dengan tangan kanannya.Kami memerhati sahaja dengan hairan bercampur asyek sambil mengunci mulut.

Yim kemudiannya merendahkan lagi mukanya kepada bekas perasap. Dia memandikan lagi mukanya dengan asap keminyan yang masih berkepul-kepul. Setelah itu dalam keadaan mata yang masih tertutup tiba-tiba terdengar suara Yim memberi salam.

`Assalamualaikum’

Kami bertiga lantas menjawab.

`Waalaikummussalam’

`Asasalmualaikum’, sekali lagi kami diberi salam.

`Waalaikummussalam’, kami bertiga menjawab lagi.

Namun...sekali lagi kami diberi salam dan sekali lagilah kami terpaksa menjawabnya. Selepas itu Yim membuka matanya. Yim lantas bersalam-salaman dengan kami seorang demi seorang. Selepas bersalam-salaman, tiba-tiba kami diperhatikannya pula, diteliti seorang demi seorang. Pada ketika itu kami dapat merasakan, bahawa yang berinteraksi dengan kami sekarang bukan lagi Yim. Dalam duduk sila panglima itu, tetamu itu lantas bertanya.

`Kenal kami?’

Aku tercengang.Tidak tahu siapa! Tapi kami memang telah sedar bahawa jasad Yim sekarang telah diisi oleh suatu entiti yang lain yang diberitahu oleh Yim ialah seorang tok.Kami bertiga diperhatikan seorang demi seorang sekali lagi.Kami tidak dapat menjawabnya kerana memanglah kami tidak tahu siapa. Yim tidak pula menerangkan siapakah tok yang dimaksudkan.

`Kami Panglima Hitam’, tetamu itu bersuara memperkenalkan dirinya.

`Panglima Hitam?’, aku bertanya.

`Kenal?’, aku ditanyai kembali.

Aku berfikir sejenak. Aku belum pernah mendengar nama itu. Kalau Hang Tuah dan rakan-rakannya aku telah biasa.Begitu juga beberapa panglima silam yang lain.Tapi nama Panglima Hitam belum pernah terdengar pula.

`Anak Panglima Awang?’, aku bertanya merujuk kepada nama jolokan Magellan Melayu yang sejarahnya dikesahkan dalam sebuah novel yang telah pernah aku baca pada waktu aku di sekolah rendah dahulu.

`Bukan!!’, suara dari tubuh Yim bersuara.

`Panglima Hitam yang di Kedah itu’, Wan memberikan jawapan untukku. Dan bila mendengar jawapan itu, spontan telunjuk Yim menunjuk bertubi-tubi kali kepada Wan sambil kepalanya mengangguk-ngangguk.

`Panglima Hitam?’, aku mengulangi nama itu. Aneh! Aku tak pernah kenal pula nama Panglima Hitam. Wan cepat-cepat membisikkan sepintas lalu mengenai Panglima Hitam untuk kefahamanku.

`Apa hajat panggil kami?’, kami ditanyai.

Aku tidak bertangguh lagi, lalu menerangkan masalahku dengan tunanganku seperti pada siang tadi. Bila tok memberikan penjelasan, ternyata maklumatnya adalah sama seperti pada siang tadi juga.Tapi maklumat tok lebih jelas, detail dan cepat.Aku berada pada kedudukan yang merbahaya seandainya meneruskan hajatku untuk tidak lagi meneruskan perhubungan dengan seorang gadis yang ternyata kami tidak sehaluan. Keluarganya pasti akan mengambil tindakan yang mengundang bahaya bagi diriku.

`Tapi saya ada pendiding, tok’, aku berlagak handal.`Guru tempat saya menerima pendinding tersebut mengatakan pendinding ini tidak dapat ditembusi oleh sebarang serangan sihir. Jasad saya tidak akan dapat dikesan walau dengan apa tilikan sekalipun’

Aku lantas meminta kesudian tok untuk membaca ayatnya. Tok bersetuju.

`Bismillahirrahma nirrahim. Allah Allah hu menunggu di pintu jantungku,

Allah hu Akhbar menunggu di pintu hatiku.

Alif zat menunggu....’

Tok tersenyum.Sejurus dia begitu.Kemudian dia berkata dengan lembut.

`Orang boleh buat kita, orang boleh musnahkan kita, bukan dengan cara sihir sahaja ali’, tok bersuara. Aku dipanggilnya ali.Geli rasa hatiku.

`Banyak cara boleh dilakukan oleh mereka. Mereka boleh upah orang untuk pukul ali. Mereka boleh tembak. Atau mereka boleh upah orang supaya ali dilanggar kereta...’

Aku lalu tergamam. Serta merta hilang keegoanku. Risau jadinya sekarang, kalau aku membuat keputusan untuk memutuskan perhubungan dengan gadis yang tidak secucuk dengan hasrat hati itu.

`Jadi, apa nak buat, tok?’, aku mula diserang ketakutan.

Tok terkebil-kebil memandangku.

`Boleh tok tolong saya?’

`Insyaallah. Boleh’, tok memberi budi.Sejurus tok merenungku lagi.

`Ali nak buat macam mana?’, aku ditanyai.

Aku berfikir tapi terasa buntu fikiranku.Suasana diam berlalu buat beberapa detik. Aku memandang Wan dan Piei kalau-kalau mereka ada bantuan fikiran untukku. Tapi mereka nampaknya sekadar terkelip-kelip.

`Kita buat keluarganya tak usah marah kepada ali...’, tok tiba-tiba mengusulkan sambil tepat-tepat memandangku.`Kita tutup hati keluarganya dari melakukan apa-apa pembalasan’.

Berseri-seri wajahku. Aku cukup gembira dengan cadangan itu. Selepas memberikan beberapa formula yang perlu aku lakukan yang kesimpulannya ialah mencurahkan air kelapa muda yang sewaktu mengambilnya tidak boleh mencecah bumi. Air tersebut hendaklah dicurah ke dalam telaga rumahnya setelah dijampi oleh tok.

Setelah urusan selesai kami bertiga mempersilakan tok minum dan menjamah kueh kisul dan kueh lapis yang telah kami sediakan. Yim memberitahu supaya menyediakan sedikit juadah dan air untuk dijamukan kepada tok. Aku dengan Piei mencarinya di bandar Raub yang memang setiap petang ada tempat orang berjualan kueh-mueh.

Tok mencapai sebiji kueh kisul lalu menyuap ke mulutnya.

`Buat sendiri?’, kami tiba-tiba ditanyai.

`Tidak’, aku menjawab sambil tersipu-sipu kerana geli hati. Manalah aku boleh membuatnya!

Sambil makan-makan itu aku melihat tok memang sudah tua rupanya. Dia mengunyah memang seperti seorang orang tua yang tidak bergigi. Gigi Yim yang kami lihat tidak ada cacat-celanya, nampak tidak berfungsi samasekali.Geli hati juga melihat orang yang bergigi penuh tetapi makan macam orang tidak bergigi.

Tok menghimbau pandangannya ke ruang di dalam rumah, lantas dia bertanya mengenai kami. Tinggal berapa orang, sudah kahwinkah belum dan apa pekerjaan kami.

Bila kami menjawab kami bertiga adalah guru, tok nampak terkejut.

‘Guru?’

Kami mengangguk. Tok lantas memandang kami bagaikan satu pandangan makrifat.

`Kerja macam mana itu?’, tiba-tiba dia bertanya.

Aku lalu menerangkan tentang cara kami bekerja.Aku tidak pasti apakah tok boleh faham atau tidak.Aku lantas juga menerangkan kenakalan dan kedegilan murid-murid di sekolah.

`Bolehkah tok berikan apa-apa cara untuk kami mengawal kelas?’, aku merayu bantuan. Budak-budak di dalam kelas peralihan iaitu murid-murid dari SRJK(c) sebelum masuk ke tingkatan satu perlu memasuki kelas peralihan Bahasa Melayu Khas. Mereka memang begitu nakal terutamanya murid lelaki. Mereka tidak begitu faham Bahasa Melayu dan oleh kerana itu menjadi masalah dalam komunikasi. Ini menyebabkan tugas kami guru-guru muda yang sedang menimba pengalaman, begitu mencabar untuk mengawal mereka. Budaya kesopanan dan budi-bahasa juga amat berbeza. Tambah memenatkan mereka kurang menghormati kami guru Melayu.

Tok lalu menjanjikan akan memberikan ilmunya. Dia meminta supaya kami memanggilnya pada malam Jumaat kerana malam itu baik untuk diberikan ilmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan