22 Februari 2010

7. Silat Panglima Hitam

Jam menunjukkan pukul 12.30 malam. Hari Sabtu malam Ahad.

Kami semuanya telah berpeluh kasar sekarang.Nafas mencungap-cungap.Latihan persilatan baru saja ditamatkan dan sekarang kami sedang berehat. Begitulah kami pada setiap malam pada hujung-hujung minggu khasnya malam Sabtu dan Ahad atau bila-bila hari cuti, kami akan berlatih pencak.Kami berlatih pencak Panglima Hitam kerana Panglima Hitamlah pemegang amanah persilatan.Dia adalah kepercayaan guru dalam perguruan.

Kami berlatih di dalam rumah hijau. Rumah hijau yang dahulunya kami sewa cuma sebahagiannya sahaja, kini kami sewa semuanya. Orang India Islam yang sudah bekeluarga dan memiliki dua orang anak yang bersekolah rendah yang menyewa di sebelah kami, nampaknya tidak selesa dengan kami anak-anak muda yang kadang-kadang mengganggu keselesaan mereka. Dia yang menyewa ruang sebelah sebagai jiran kami hanya mampu bertahan beberapa waktu sahaja dan beruntungnya apabila beliau berpindah, Yim dan Dol bersetuju untuk tinggal bersama kami. Sejak Yim dan Dol berpindah, satu dari bilik tersebut telah dijadikan gelanggang untuk kami berpencak. Bilik tersebut menjadi bilik terkawal yang telah `dipagar’ sepenuhnya untuk dijadikan sebuah gelanggang.

Ini adalah untuk ke sekian kalinya kami berlatih pencak sejak tiga bulan yang lalu. Tiga bulan yang lalu rasmilah kami berlima menjadi murid Panglima Hitam. Kami diminta menyediakan uniform silat berwarna hitam keseluruhannya dengan bahagian setiap tepi baju dan seluar berwarna merah. Kami juga diminta menyediakan sehelai kain bengkong juga berwarna merah untuk dijadikan selempang. Selain itu, kami juga diminta menyediakan sebilah pisau lipat setiap orang. Itulah persiapan bagi istiadat memulakan persilatan tersebut.

Itulah pakaian rasmi kami bila berlaku peperangan nanti. Kami merasmikannya pada malam pertama berpencak dengan pakaian tersebut. Pakaian itu kemudiannya kami simpan sahaja dan tidak lagi memakainya sewaktu latihan seterusnya.Begitulah juga pisau lipat. Uniform silat dan pisau walaupun pada zahirnya ada dalam rumah kami, tetapi pada hakekatnya semuanya telah tersimpan di alam tempat tok.

Menurut Paglima Hitam bila terjadi peperangan pakaian silat berkenaan akan terpakai dengan sendirinya pada tubuh kami. Ketika saat memerlukan senjata dalam peperangan, kami sekadar perlu menadahkan tangan di atas kepala sambil menengadah langit, dan menyeru atau meniatkan supaya didatangkan apa-apa saja senjata yang kami kehendaki samada keris, pedang atau sebagainya.Senjata yang diminta akan sampai ke tangan kami dan selepas itu bolehlah mengamuk dengan senjata sehebat pedang Panglima Salleh sewaktu mengamuk Cina Kominis di Batu Pahat pada tahun 1946 dahulu.Demikian penjelasan Panglima Hitam. Itulah rahsia pisau lipat kami yang diserahkan kepada tok sewaktu istiadat memulakan persilatan dahulu.

Persilatan Panglima Hitam akan memakan masa tidak kurang dari satu tahun. Dalam jarak masa itu kami akan menempuh beberapa siri istiadat misalnya mandi minyak, mandi apong, mandi embun, berzikir dalam tapa, tanam dalam bumi dan sebagainya. Setiap istiadat tersebut memberikan keistimewaan tersendiri kepada kami. Selepas mandi apong misalnya, tubuh kami akan menjadi rengan sehingga boleh berdiri di atas sehelai daun pisang dan memungkinkan kami untuk terbang dan mengamuk dalam peperangan.

Demikian gambaran yang Tok Itam berikan.Sungguh bersemangat kami bila mendengarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan