02 Februari 2010

2. Silat Megat Terawis.

Aku dapat peluang mengenali Yim bila pada suatu petang aku melihatnya berjalan sendirian pulang dari bermain bola. Aku mempelawa dia ke rumahku dan ternyata dia memenuhi permintaanku.

Aku bersama Yim sekarang di rumah hijau.

Yim menerangkan latar belakang dirinya. Katanya dia berasal dari Kedah dan pernah berkelana ke Johor buat beberapa tahun tinggal bersama keluarga angkatnya. Tapi disebabkan oleh cinta tidak kesampaian oleh halangan ibu angkatnya, dia meninggalkan rumah tersebut lalu terdampar di Kuala Lumpur. Di sana dia berkenalan dengan Dol yang sama-sama bekerja sebagai Pengawal Keselamatan dengan Syarikat Securicor Sdn. Bhd. Tidak lama kemudian mereka berdua dihantar bertugas di Hong Kong Bank, Raub.Mereka baru satu bulan berada di Raub.

Orangnya nampak biasa sahaja. Tubuhnya tidaklah nampak sasa malah kecil sahaja orangnya. Sekali imbas tidak ada apa-apa tanda menunjukkan dia seorang pesilat yang hebat. Usianya muda setahun dariku iaitu 22 tahun.

Aku tidak menunggu lama setelah saling mengenali antara satu sama lain.Lantas aku membuka isu yang ingin aku bicarakan. Aku bertanya kepadanya mengenai peristiwa yang Hamdi ceritakan. Dia nampak malu-malu untuk bercakap mengenai itu. Tapi aku berjaya mencari swisnya sehingga menyebabkan dia bercerita.

`Memang Silat Panglima’, dia mengakui.

`Belajar dengan siapa?’

`Dengan merekalah!’

`Siapa?’

`Hang Tuah lima bersaudara, Megat Panji Alam dan ramailah lagi...’

Aku begitu terkejut mendengar maklumat itu. Bagaimana? Bagaimana dia boleh belajar dengan pahlawan-pahlawan silam yang telah kembali ke rahmatullah dan ramai pula bilangannya? Lalu aku meminta dia menerangkan lebih lanjut lagi.Yim yang nampaknya masih agak keberatan, lantas menceritakan bahawa dia dibawa pergi hampir pada setiap malam untuk belajar pencak bersama rakan-rakannya di suatu tempat yang dia tidak mengetahui di mana letaknya. Peristiwa ini berlaku sejak usianya belasan tahun lagi.Dia bukan bermimpi tapi benar-benar sedar bahawa dia dibawa pergi. Dia dibawa untuk belajar pencak dengan para panglima purba dan bila tamat latihan dia dihantar pulang. Bila bangun pagi baharulah dia terasa seolah-olah bermimpi.

`Belajar di mana?’

`Tak tahu’

`Dalam hutan?’, aku menduga.

`Memang dalam hutan! Tapi entah di mana. Kawasannya berbukit-bukau, dan ada banjaran gunung.Ada juga sawah padi.. ’

`Di mana ya?’

`Saya pun tak tahu. Tapi kalau tak silap di kawasan banjaran Gunung Jerai’

Aku terkebil-kebil. Aku tak pernah pula sampai ke sana.Pada waktu itu aku belum pernah lagi sampai ke negeri Kedah.

`Orang biasa boleh pergikah ke sana?’, aku bertanya.

`Tak nampak!’

`Tak nampak?’

`Nampak hutan sajalah. Nak pergi macam mana ? Saya pun cuma boleh pergi bila mereka bawa’

Aku yang pada ketika itu berusia 23 tahun agak tercengang mendengar maklumat itu. Maklumat itu cukup menarik hatiku dan tentulah aku kian tertarik kepada Yim yang tentulah cukup istimewa kerana terpilih sebagai salah seorang anak muda untuk mempelajari silat dari panglima-panglima Melayu purba. Tentulah Yim anak muda istimewa kerana terpilih memperolehi silat yang hebat milik para panglima purba.Berbanding dengan orang biasa, atau aku sendiri yang cuma tahu satu jenis sistem pertahanan diri sahaja yang dinamakan Buah Pukul atau Silat Lian yang salasilahnya milik Pak Ngah Bentan dan Pak Teh Mat Yasin yang memang terkenal di Johor.

Aku kemudiannya memohon kesudiannya menunjukkan kepadaku Silat Megat Terawis.Sekali lagi Yim agak malu-malu dan keberatan. Tapi dia memenuhi juga permintaanku.

`Sekadar bunga sahajalah’, dia menerangkan dan aku bersetuju dengan saranannya.

Dia lantas berdiri lalu membuka sebuah persilatan yang memang ganjl bentuknya. Bunga tarinya cantik dan pergerakannya tidak memerlukan ruang.Memadai pada tempat dia berdiri sahaja. Aku tidak pernah melihat silat seperti itu. Pergerakannya kemas dan mantap dan nampak lincah dan cantik. Melihat silat tersebut aku terus mendapat kesimpulan bahawa silatnya itu bukanlah silat biasa.

`Saya ingin bertanya, Megat Terawis yang dikatakan pemilik silat itu adakah Megat Terawis yang di Perak itu?’

`Memanglah’

`Kalau silat panglima lain?’

`Maksudnya?’

`Apakah berlainan dengan Silat Megat Terawis?’

`Tentulah!’

`Ini bermakna tiap-tiap panglima ada persilatan masing-masing?’

`Ya’

Aku teringin pula untuk melihat silat-silat yang lain.Lantas aku berkata.

`Boleh tunjukkan silat Hang Tuah pula?’

Yim lantas ketawa lalu berkata.

`Cukuplah kut’, dan keengganannya itu aku hormati.

Yim lantas memberitahuku bersempena dengan persilatannya itu, dia dikurniakan dua orang pengiring yang mengiringinya pada sepanjang masa. Seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri.Yang di sebelah kanan adalah seorang lelaki dan di sebelah kirinya adalah wanita. Yim boleh melihat mereka dan boleh berinteraksi.

`Apa tugas mereka?’

`Untuk menjaga keselamatan saya’

Dia lalu menerangkan bahawa pengapitnya itu boleh memberikan apa-apa jua informasi yang dikehendakinya. Boleh juga diutuskan ke mana-mana untuk apa-apa sahaja tujuan yang baik.

`Kalau awak ada makwe dan nak tahu apa-apa jua mengenainya awak boleh tanya dia’.

`Betulkah?’, Piei yang sempat mengikuti perbualan kami nampak seronok dengan maklumat itu.

Lalu kami berjanji akan mengundangnya sekali lagi pada minggu berikutnya.Kami ingin tahu mengenai makwe masing-masing. Lantas kami diminta menyediakan dua biji limau nipis, dua utas benang hitam sepanjang dua kaki dan dua batang jarum penjahit.

`

Tiada ulasan:

Catat Ulasan