06 Februari 2010

3. Limau Nipis Berayun

Kami - aku dan Piei - memerhatikan Yim mencucukkan jarum peniti pada bahagian atas buah limau nipis yang telah diparas dengan pisau. Setelah jarum dicucuk, dia mengambil benang hitam dan diikat kemas kepada kepala jarum tersebut. Bila selesai dia mengambil pula sebiji limau nipis yang lain dan mengulangi proses yang sama.

`Siapa nak dulu?’, Yim bertanya bila kedua-dua buah limau nipis telah siap sedia untuk digunakan.

Piei lalu menyanggupi. Yim lantas meminta Piei mengambil mana-mana satu buah limau yang telah disiapkan tadi dan menyuruhnya mengangkat buah limau tersebut supaya terapung di udara dengan memegang di hujung benang.

Piei lalu melakukan sebagaimana yang diarahkan.

`Engkau cakaplah apa yang engkau mahu tahu’, Yim memberi arahan.

`Tentang apa?’

`Apa-apa sahajalah’

`Tanyalah tentang Minah!’, aku menggiat Piei mengenai seorang cikgu muda yang baru dikenalinya.

Piei lalu ketawa.

`Tanyalah samada dia mahu atau tak mahu kepada engkau’.

Piei tersengih-sengih.

`Jangan engkau saja yang asyek syok sendiri’, aku mengusiknya lagi.

Piei memang terpikat dengan seorang cikgu bernama Aminah yang ditemui semasa orientasi di Bentong pada bulan Januari lalu. Cikgu Aminah mengajar di SK. Gali. Piei memang mengintai peluang untuk mendekatinya tetapi tidak pula mempunyai peluang. Takut pun ada juga.Lalu berangan-angan seorang diri sajalah.

Piei masih tersengih-sengih dan malu-malu. Buah limau telah tergantung di udara.

`Cakaplah’, Yim mendesak.

`Nak cakap macam-mana?’

`Cakaplah apa-apa saja. Misalnya tolong tunjukkan padaku...’

Piei lalu mendapat ilham.

`Ok.Ok.’, dan Piei masih senyum-senyum. Kemudian dengan nada yakin dia pun bersuara. `Tolong tunjukkan kepadaku mengenai Minah’, dan Piei tiba-tiba ketawa pula. Aku pun turut ketawa. Bila ketawa telah mereda Piei menyambung.

`Tunjukkan adakah dia berkenan atau tidak kepadaku’, dan bila habis permintaan itu, meledaklah ketawa mengelekek dari Piei.

Aku memerhati dengan tidak begitu mengerti apakah yang mungkin berlaku. Spontan buah limau yang tergantung tiba-tiba bergerak perlahan-lahan dan kemudiannya bertambah kuat. Kemudiannya berayun semakin lama semakin laju dan berpusing membuat lengkaran.Buah limau dibiarkan sejurus berpusing begitu. Sejenak kemudian Yim pun bersuara.

`Dia tidak berkenan’, Yim tiba-tiba berkata.

`Ha!’, aku dan Piei sama-sama terkejut.Aku lihat wajah Piei sedikit berubah.

`Kenapa?’, aku pula yang bertanya.

Buah limau yang telah berhenti berayun, perlahan-lahan berayun kembali. Tapi tidak pula berpusing seperti tadi. Sebaliknya berayun ke hadapan dan ke belakang.

`Dia sudah ada teman’, Yim menjawab.

Yim memberikan jawapan berasaskan petunjuk dari buah limau tersebut. Wajah Piei kian berubah.

`Siapa lelaki tersebut?’, Piei bertanya. Bergeraklah lagi buah limau tersebut. Sejurus kemudian Yim pun berkata.

`Kawan tempat dia belajar dahulu’

Piei memandangku.Pada wajahnya ada sedikit mendung. Aku terasa cukup simpati padanya. Aku lantas bersuara.

`Adakah pemuda tersebut berkenan kepada Minah?’

Buah limau yang dipegang berayun semula.Yim lantas berkata memberi reaksi.

`Berkenan juga’

`Siapa yang lebih berkenan?’, aku melanjutkan.` Adakah pemuda tersebut yang lebih berkenan atau Minah?’

`Pemuda tersebut!’, Yim menjawab berasaskan petunjuk dari ayunan buah limau nipis itu. Aku memandang Piei kembali dan mata kami bertembung.

`Kalau begitu awak masih ada peluang Piei!’, aku memberikan harapan.Piei lantas menganggukkan kepalanya.

`Adakah saya masih berpeluang untuk memiliki Minah?’, Piei dengan segera bertanya dengan harap-harap cemas. Buah limau seperti tadi juga, akan segera bergerak bila ditanya iaitu samada berayun secara berkeliling dari kiri ke kanan atau sebaliknya untuk membentuk bulatan, atau berayun dari hadapan ke belakang atau sebaliknya.Yim akan memberikan penjelasan berdasarkan corak pergerakan limau tersebut. Kesimpulan dari permainan buah limau itu, Piei masih mempunyai harapan.Terserahlah kepada kebijaksanaannya untuk memenangi hati Aminah.

`Bagaimana engkau boleh tahu Yim?’, aku cuba membongkar rahsia penafsiran dari ayunan buah limau tersebut.

`Pengapitku yang beri tahu’

`Bagaimana?’

`Yang di sebelah kanan pergi ke sisi Minah. Yang di sebelah kiri tinggal bersamaku. Yang lelaki melaporkan kepada pengapit perempuan lalu dia sampaikanlah kepadaku. Aku terangkanlah pula kepada engkau’

Aku dan Piei terkebil-kebil mendengar informasi yang tidak pernah terlintas di fikiran itu.

`Boleh percayakah?’ aku bertanya selanjutnya.

`Boleh!’, Yim menjawab tegas.`Tapi kalau mahu lebih jelas dan lebih yakin, malam nanti kita boleh panggil’

`Boleh panggil?’, aku terkejut.

`Panggil siapa?’, Piei bertanya.

`Panggil tok’.

Panggil tok? Siapa pula agaknya.Dan kami berdua membuat beberapa persiapan untuk memanggil `tok’ sebagaimana yang diarahkan oleh Yim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan