29 Mei 2010

43. Kesah Tok Petanda Datang.

Selepas Maghrib, Yim tiba-tiba membuka pencak. Bila Yim membuka pencak kami memang tahu bahawa toklah yang datang. Bila ada apa-apa keperluan, tok biasanya akan datang, tanpa perlu dijemput lagi. Dan bila datang, tok akan memberikan isyarat dengan membuka pencak terlebih dahulu. Dalama pencak itulah tok akan memberi salam.

Aku dengan Piei yang telah menyedari ketibaan tok, ternanti-nanti bilakah tok akan memberi salam. Tapi setelah sekian detik ternanti-nanti, tok tidak juga memberi salam. Sebaliknya tok mengangkat-ngangkat tangan bagaikan memberi hormat dan tabik kepada kami berdua. Kami tak faham isyarat yang diberikan.Kami tertanya-tanya dan ternanti-nanti. Tapi tok tidak juga memberi salam.

`Dia mahu kita buat apa?’, aku bertanya Piei untuk memahami maksud isyarat tok yang memberi tabik itu.

`Entah’ Piei juga kehilangan idea.

Dan tok kemudiannya tidak lagi bersilat tetapi berdiri sambil berkali-kali memberi isyarat bagaikan orang menabik.

`Agaknya dia minta kita memberi salam kut?’, aku meneka.

Bila aku berkata begitu, tok lantas mengisyaratkan aku dengan tangannya seolah-olah itulah yang dimaksudkan.

`Aku lantas memberi salam.

`Assalamualaikum!’

`Walalikummussalam’, tok menjawab.

Selepas itu aku berdiam diri. Aku menyangkakan tok akan mula berinteraksi. Tapi tidak. Tok bagaikan ternanti-nanti.Kami juga ternanti-nanti. Sejurus kemudian tok sekali lagi memberi isyarat seperti tadi, meminta kami memberi salam.Piei segera memahaminya, lalu memberi salam.Tok pun menjawab.Lepas itu kami diam. Sekali lagi tok mengisyaratkan supaya memberi salam. Lalu Wan yang telah pun hadir memberi salam. Selepas menjawab salam, baharulah tok berkata.

`Letih tok dibuatnya’, dan dengan kata-kata itu tok pun duduk. Kami pun segera duduk di sekeliling tok.

`Kenal tok?’

`Bila soalan seperti itu ditanya, ertinya tentulah ini kali pertama tok tersebut datang Tentulah bukan tok-tok yang biasa.Lebih-lebih lagilah apabila kedatangan tok pada kali ini berlainan dengan tok-tok sebelum ini. Selalunya toklah yang terlebih dahulu memberi salam. Tapi pada kali ini, terpaksa kami yang memberi salam. Aku tidak tahu kenapa mesti kami yang memberi salam.Persoalan ini sampai sekarang aku tidak mengetahui sebabnya. Aku terlupa untuk bertanya Yim.Nampaknya sampai bila-bilalah persoalan ini tidak akan ada jawapannya.

`Tok ialah Petanda’

`Ooooo’

Terasalah kepada kami sekarang, bahawa yang datang ini adalah orang yang lebih besar tarafnya.Lebih tinggi darjatnya kerana pangkat dan darjat yang lebih tinggi selepas panglima ialah Petanda.

`Tok Itam tak dapat datang’, Tok Petanda memberitahu.’Jadi dia minta tok uruskan.

Kami ternanti-nanti apakah urusannya.

`Cucu Rahim bila balik dari Johor, dia sebenarnya tidak berapa sihat’., Tok Petanda memulakan penerangan.

`Cucu tahu mengenai buah hati cucu sakit bukan?’, Tok Petanda menujukan soalannya kepada Dol. Dol mengangguk.

`Cucu kami akan mendapat sakit selepas ini’, Tok Petanda meneruskan bicaranya dengan merujuk kepada Yim – cucu yang menghubungkan kami iaitu aku,Wan, Dol dan Piei dengan dato-dato semua.

`Sekali-sekali dia akan diresapi oleh makhluk lain.Tandanya ialah dia akan tiba-tiba tumbang dan tak sedar diri’.

Kami tergamam bila mendengar maklumat yang menggemparkan itu. Dada tiba-tiba sahaja berdebaran.

`Bila terjadi begitu, biarkan sahaja’, tok meneruskan. `Kadang-kadang selepas dia tumbang, dia akan bangun dengan sendirinya.Ketika itu tubuhnya akan diduduki oleh makhluk lain’.

Kami berpandangan sesama sendiri. Wajah Tok Petanda kami amati dengan hati yang penuh dengan kebimbangan.

`Cucu semua jangan takut’, Tok Petanda berbicara seterusnya.`Dan jangan bergaduh dengan makhluk yang datang itu. Cucu boleh layan makhluk yang datang itu kalau dia mahu berbual. Kalu tidak biarkan sahaja. Jangan peduli. Biar sampai cucu Rahim sedar sendiri’

Kami semakin bertambah terkejut dengan perkhabaran itu.Berdebar-debar dan tertanya-tanya, apakah malapetaka yang bakal menimpa sekarang? Yim dengan Dol baharu semalam pulang.Tapi aku melihat setakat ini Yim baik-baik saja.Dia tetap ceria dan riuh-rendah seperti biasa.Tidak ada apa-apa tanda yang menunjukkan dia akan jatuh sakit.

`Makhluk yang datang itu baik atau jahat, tok?’, Dol bertanya.

`Jahat’, Tokmenjawab pantas.`Tapi dia tidak akan ganggu cucu. Sebab itu tok kata, jangan bergaduh dengan dia’

`Kenapa jadi begini, tok?’, aku bertanya.

`Cucu Rahim terkena’

`Terkena?’, Piei sedikit terkejut.Dia faham maksud terkena itu. Bukan Piei sahaja yang terkejut. Kami semuanya pun terkejut juga.

`Cucu Rahim dalam keadaan lemah ketika mengubat buah hati cucu dulu’, Tok Petanda melanjutkan.`Budak itu sudah lebih satu bulan tak kenal mak bapak.Cucu Rahim gopoh ketika memegang budak itu. Dia tak ingat apa-apa. Zikir pun tidak.Tali pinggang merah pun tak pakai. Tok pun dia lupa.Jadi dia sudah terkena’

Aku tahu tentang tali pinggang merah itu.Tali pinggang merah itu adalah pemberian tok kepada Yim untuk tujuan pertahanan. Menurut Yim kalau pakai tali pinggang itu iblis tak boleh masuk, sihir manusia tak akan kena.Kalau dibawa berperang, sebarang senjata musuh tidak akan kena kepada kita. Begitu juga tembakan senapang.Peluru akan beralih arah ke tempat lain. Kami juga dijanjikan akan diberikan seorang satu, bila sampai waktunya nanti.

`Tok datang ini untuk buat pagar rumah’, Tok Petanda berkata.`Bomoh yang ada kaitan dengan ... apa nama buah hati cucu?’

`Saedah’, jawab Dol

`Dia akan menghantar sihirnya. Juga akan menghantar makhluk belaannya untuk menyerang cucu Rahim dan semua cucu-cucu yang ada di sini kerana perubatan yang cucu Rahim berikan.Bila rumah ini dipagar, insyaalah cucu semua akan selamat’

Bila mendengar khabar itu kami yang tadinya agak cemas mulai kembali reda. Ertinya rumah kami – rumah hijau – akan dibina pagar ghaib supaya tidak ada sebarang senjata dan sihir musuh dan orang-orang atau makhluk-makhluk yang jahat boleh membinasakan kami.

Alamdulillah.....

25 Mei 2010

42. Saedah Mustari.

`Cucu kena pergi cepat’.
Begitu perintah tok kepada Dol apabila isu ibu rumah dibicarakan. Bila isu ibu rumah dibicarakan, tok bagaikan sedang mengusahakan supaya kami mencari pasangan hidup masing-masing. Aku yang telah gagal memiliki Zaharah Hamid berterus-terang meminta supaya tok tolong mencarikannya. Dan Tok Mahsuri memberikan janjinya, iaitu bila sampai waktunya calon untuk ku akan dipertemukan.
Tapi Dol sebenarnya telah sedikit tawar hati untuk meneruskan hubungannya dengan gadis di Penggerang itu. Bukan hatinya tidak berkenan tetapi dia telah cukup lama tidak berjumpa dan tidak lagi saling berhubungan.
`Tok tahu semua kesah cucu-cucu semua’, tok berkata lagi.`Semua kesah-kesah cucu pada masa yang lalu, keturunan cucu malah apa-apa sahaja yang berkaitan dengan apa yang cucu alami atau lakukan, perangai dan tingkah laku cucu pada masa yang lalu, semuanya ada di dalam simpanan datuk-datuk. Semuanya telah terkumpul di tempat tok dan tok tahu seluruhnya’
Kami tercengang.
`Habislah terbocor rahsia...’, Wan menyampuk sambil gelak-gelak.
`Tok tahu semua...Tak usah dok bohonglah’.
Dan tok tersenyum-senyum dengan penuh makna. Kami semua ketawa kerana masing-masing ada kesah-kesah yang rahsia yang tidak akan diceritakan walaupun kepada sesiapa.
`Bila cucu lahir pun – hari dan waktunya, tok tahu juga’
`Betulkah tok ?’
Tok mengiakan.
`Cucu bila ?’, aku cepat-cepat bertanya kerana aku tidak pernah diberitahu bilakah aku dilahirkan.
`Cucu lahir pada hari Ahad. Cucu hari….’, Piei, Wan dan Dol diberitahu hari kelahiran masing-masing.
Selepas mengambil sebiji buah melaka dan mengunyahnya, tok berkata lagi kepada Dol.
`Cucu tak boleh tinggalkan dia’, tok bertegas. Tok menyentuh balik gesaan yang dibuatnya tadi.
Si Dol terkebil-kebil.
`Hati dia tetap setia pada cucu’.
`Betulkah, tok ?’
`Betul !’
`Tapi sudah lama kami tidak berhubungan’, Dol bagaikan membantah.
`Itu bukan alasan’, mata Dol direnung. Kami juga merenung mata Dol.
`Ingat apa janji cucu pada dia di Pantai Lido dulu ?’
Dol nampak berubah wajahnya.
`Dia janji apa tok?’, Piei cepat-ceat mengusik.
Tok tersenyum.
`Dengan bersaksikan bulan dan bintang, percayalah, abang akan.....’, tok bersuara. Belum habis suara tok, kami semuanya sudah meledakkan ketawa.
`Betul bukan?’, Dol didesak.`Cucu berjanji tidak akan meninggalkan dia bukan?’
Dol mengangguk.
`Dia setia dengan cucu. Dia pegang janji cucu. Tak baiklah cucu mungkir janji...’, tok berkata lagi dengan nasihat dari seorang datuk kepada cucunya.
`Cucu tak mungkir janji, tok. Tapi kenapa surat cucu dia tidak balas?’
`Ha! Itulah sebabnya tok kata, pergi tengok dia’
Dol nampak tertekan.
`Ada dia buat apa-apa di Pantai Lido, tok?’, Wan mengusik Dol.
`Hemh!’, tok mendengus.`Tok malas nak cakap.Orang muda-muda.... Nanti malu dia kalau tok ceritakan’
Wajah Dol bagaikan kerang busuk bila tok berkata begitu. Merah dan malu.
`Ha........!!!’, kami lantas mengusik Dol. Bahu Dol dogoncang-goncang oleh Piei di sebelah kiri dan Wan di sebelah kanan.
Bertambah merah dan malu Dol jadinya.
`Sebab itulah cucu kena pergi. Pergi segera...’, tok bagaikan memberi perintah
Atas perintah tok, Dol akhirnya mengambil cuti dan pergi ke Penggerang untuk bertemu dengan buah hatinya, Saedah Mushtari. Dia pergi bersama Yim.
Dan alangkah terkejutnya Dol mendapati Saedah sedang sakit. Telah berbulan-bulan rupanya. Dia terkena rasukan dan tidak lagi mengenali Dol.Bukan Dol sahaja yang tidak lagi dikenalinya, ibu dan ayahnya juga telah tidak lagi dikenali.Bila ditanya, awak siapa? Saeadah menjawab.
`Aku nenek!’
Melihaat Saedah telah berada dalam keadaan demikian, Yim tidak ada pilihan. Rayuan dari Dol supaya Yim membantunya menyebabkan Yim terpaksa melakukan perubatan.


22 Mei 2010

41. Rumah Dinaiki Pencuri

Bila kami balik dari sekolah, kami sungguh terkejut kerana mendapati rumah kami telah dimasuki pencuri. Pintu bilik tidur ku bersama Yim yang memang berkunci, telah terbuka. Begitu juga tingkap dapur yang menghala ke bukit dan beberapa rumah keluarga Cina di bahagian belakang rumah. Daun tingkap terbuka lebar.
Kami semua memang tidak dapat untuk meneka bagaimanakah pencuri tersebut boleh masuk sedangkan semua tingkap, kami pastikan berkunci sebelum keluar ke sekolah pada pagi-pagi tadi. Tidak ada pula kesan tingkap dipecahkan. Tidak juga dinding. Semuanya dalam keadaan baik.
Aku yang menjadi Bendahari menyimpan semua duit makan belanja untuk setiap bulan cepat-cepat pergi ke meja kecil di dalam bilik. Di dalam meja kecil itu ada sebuah laci kecil dan di dalam laci itulah aku menyimpan wang belanja rumah. Sedikit berdebar dada ku menghampiri meja itu. Tapi alhamdulillah, bila laci di buka nampaknya duit tersebut masih ada.
Pada malamnya kami memanggil tok untuk membincangkan mengenai hal tersebut.Aku tidak kehilangan apa-apa.Nasib baiklah mesen taip Brother yang aku beli dengan harga RM230.00 yang dibayar secara ansuran sebanyak RM30.00 sebulan tidak lesap.Wan tidak kehilangan apa-apa. Cuma radio Transistor Piei sahaja yang hilang.
`Ada dua orang’, tok mulai memberikan maklumat melalui asap keminyan.
`Seorang masuk ke dalam rumah. Seorang lagi menunggu di luar rumah’
`Orang apa, tok?’
`India.Kedua-duanya India’
`Dia masuk ikut mana?’
`Ikut belakang’, tok menjawab.`Dia panjat tingkap belakang’.
Mata kami semua bertumpu kepada tok. Begitulah biasanya apabila kami mahu mendapatkan apa-apa maklumat mengenai apa-apa sahaja, kami akan panggil tok. Kadang-kadang tok akan menjawab secara spontan. Tetapi kalau sesuatu yang agak kompleks dan rumit, tok akan meminta air di dalam mangkuk atau pun keminyan. Keminyan akan diperasapkan melalui benda putih.
Benda putih ialah gantinama bagi rokok yang kami ajar tok menghisapnya. Pada waktu itu aku masih menghisap Benson. Begitu juga Piei dan Dol. Tapi Wan tidak merokok. Bila sudah terbiasa dengan benda putih, tok akan diraikan bukan sahaja dengan hidangan kueh-mueh dan air bergas, tetapi disediakan juga Benson. Tok nampaknya suka menghisap Benson. Rokok jenama lain tok tak suka. Boleh dikatakan semua panglima menghisap rokok kecuali Hang Tuah. Gudang Garam tok suka juga. Tapi gudang garam, selalunya kami sediakan bila panglima-panglima dari Indonesia yang datang.
`Kawannya bantu untuk membolehkan dia memanjat dan dari situ dia menyelitkan badannya mengikut celah atap dan dinding’
Dengan maklumat itu, fahamlah kami bahawa India yang masuk ke dalam rumah itu bukanlah orang yang berbadan gempal. Tentulah kecil sahaja orangnya.
`Budak lagi.Budak muda belasan tahun’, tok melanjutkan.
`Nasib baik dia tak jumpa duit dapur yang cucu simpan di dalam laci kecil’, aku berkata.
`Dia jumpa, cucu’, tok menerangkan seterusnya.`Dia dah buka, tapi dia nampak kertas sahaja’
`Alhamdulillah’
`Tok adakah masa itu?’, Dol bertanya.
Tok tidak menjawab pertanyaan Dol itu.
`Tapi radio cucu mengapa dia curi?’
`Benda nyanyi-nyanyi itu tidak begitu bagus. Melalaikan....Sebab itulah dia boleh dicuri’
Piei terlopong. Dulu tok pernah berkata bahawa syaitan berusaha melalaikan manusia dengan segala cara. Jadi radio juga boleh melalaikan dan dipergunakan oleh syaitan untuk melalaikan.
Tok juga melarang menampal gambar-gambar perempuan cantik yang selalunya disiarkan di dalam majalah-makalah hiburan. Apatah kalau gambar-gambar yang nampak menggoda yang merangsang nafsu.
`Semua itu syaitan’, begitu kata tok dahulu.
`Tapi sekejap sahaja dia masuk ke dalam rumah’, tok memberikan maklumat seterusnya. `Dia pun takut-takut juga’, tambahnya..
`Bagaimana dia turun, tok? Payah!’
`Ikut jenang tingkap’.
Tok lantas menerangkan, dari dapur pencuri itu terus ke depan dan terus sahaja masuk ke ruang dalam dan melintasi tempat tidur Pie di ruang yang terbuka. Dia cuba menggeledah tapi tidak menemui apa-apa yang berharga. Dari situ dia terus menuju ke bilik aku dan Yim’.
`Bagaimana dia masuk tok, sedang bilik berkunci?’
`Dia ada bawa dawai. Dia pusing-pusing sampai terbuka.Pandai budak ini. Dia sudah biasa buat kerja begini’
Kami mendengar dengan takjub.
`Dari bilik cucu, dia ikut lorong sebelah sini. Benda yang bernyanyi yang cucu punya, ada di atas lantai dan dia terus kebas. Lepas itu dia ikut lorong sebelah sana. Ini! Tok nampak kesan tapak kaki dia. Lepas itu dia pergi ke belakang. Dia cuba menggeledah tempat tidur cucu’, tok merujuk kepada Wan dan Dol yang tidur di katil di ruang terbuka seperti Pie juga.
` Lepas itu dia buka tingkap dan terjun keluar. Tapi....ha ha ... kakinya luka terkena kaca di luar tingkap. Sebab itu dia terlupa nak tutup semula tingkap’.
Keesokan harinya – selepas balik dari sekolah, aku cuba mengesan apakah masih ada kesan tapak kaki budak India tersebut di bahagian belakang. Tapi tidak ada. Lagi pun tanah di bahagian belakang agak keras. Aku cuba mengesan pula kalau-kalau ada bekas darah. Tapi aku tidak menemui kesannya lagi. Mungkin sudah agak terlewat.

19 Mei 2010

40. Ibu Rumah.

`Kalau nak kahwin’, tok bagaikan beramanat.`Carilah orang yang boleh dibuat ibu rumah’
`Ibu rumah?’
`Ya! Ibu rumah’ tok bernada tegas.`Tahu erti ibu rumah?’
Kami menggeleng-geleng.
`Ibu... apa-apa pun ibu.Ibulah yang paling utama, bukannya bapa. Cuba perhatikan...ibu kota, ibu negeri, ibu pejabat, ha...apalagi. Bukan bapa. Apa-apa pun berpusat kepada ibu.Ibulah yang menjadi seri dalam sesebuah rumah. Rumah nampak berseri begantung kepada ibu, bukan bapa. Ibu yang menjadi seri dalam rumah menjadikan rumah , aman bahagia dan berseri. Anak-anak akan terdidik dengan sempurna di bawah tangan ibu rumah. Kalau isteri tidak boleh menjadi Ibu Rumah, rumah akan layu, sepi dan tiada serinya. Jadi, kalau nak kahwin carilah seorang ibu rumah’
Demikian amanat dan nasihat tok kepada kami cucu-cucunya.
Dengan Zaharah Hamid, aku akhirnya gagal juga untuk memilikinya kerana langkah ku sudah agak terewat. Pada ketika kunjungan ku ke rumah Zaharah Hamid sewaktu cuti penggal pertama dahulu, dia mengaku kepada ku bahawa dia memang masih kosong. Yim lantas mendesak ku supaya pada kunjungan itu aku terus buat sahaja ikatan dengan disaksikan oleh neneknya. Neneknya nampak cukup ceria dan gembira dengan kunjungan ku itu. Tapi aku menolak cadangan Yim tersebut dengan mengatakan, nantilah dulu.
Dan kalimat nanti dulu rupa-rupanya membawa petaka. Pada hujung minggu berikutnya, ayah Zaharah Hamid iaitu Abdul Hamid bin Endol telah menjodohkan Zaharah dengan seorang Pembantu Pegawai FELDA. Menurut kata tok, Zaharah cuba menolak. Tetapi ayahnya bertegas kerana sebelum ini Zaharah telah memberitahu ayahnya selepas dikecewakan dalam satu percintaan `bahawa dia tidak akan bercinta lagi dan menyerahkan saja pilihan jodohnya pada tangan ayahnya’. Kalimat itu menyebabkan Zaharah terperangkap dengan kata-katanya sendiri walaupun hatinya telah bersedia menerima kehadiran ku. Demikian penjelasan dari tok.
Kemudian Yim memberitahu ku supaya menghubungi Siti Zaini binti Abdul Manaf yang mengajar di SRK.Assunta, Kuantan. Piei yang kecewa dengan Aminah diminta mengubungi Mek Su yang mengajar di SRK.Methodist, Kuantan.Kedua-dua nama ini muncul melalui ilham Tok Petanda.
Tetapi disebabkan kesukaran sistem perjalanan dan komunikasi pada waktu itu dan jarak yang jauh, kami berdua tidak dapat menghubungi nama-nama yang diilhamkan itu walaupun surat telah dikirimkan.
Beberapa tahun kemudian iaitu setelah aku tamat dari pengajian di universiti, dan melangsungkan pekahwinan dengan isteri ku sekarang, bila anak sulung ku bersekolah di SRK. Assunta, aku sempat mengenali Siti Zaini yang pernah dicalonkan untuk ku dulu . Tapi pada ketika itu, dia sudah berumahtangga.Namun aku tetap berpuas hati juga kerana sempat mengenali orang yang namanya pernah dicalonkan untuk dijadikan ibu rumah buat ku..

15 Mei 2010

39. Zaharah Hamid.

`Bila nak kahwin?’
Begitu tok mengusik kami yang masih bujang trang tang-tang.Kami semua sekadar terkerinying-kerinying.Kami pun semuanya masih muda-muda. Akulah yang lebih tua. Setahun lebih tua berbanding dengan Wan dan Piei. Kecuali Dol yang tiga tahun lebih tua dari ku.
Pada ketika itu Piei masih terumbang-ambing dengan Minah.Wan pula masih juga tercari-cari.Tapi dia tidak ada bersama kami pada ketika itu kerana dia belum balik ketika tok sampai.
`Belum ada calun’, aku menjawab jujur
`Ada!’, tok menjawab dengan pantas dan suara yang begitu pasti. Aku tercengang-cengang.
Setelah aku memutuskan hubungan dengan gadis yang tidak sesuai dengan citarasa ku, aku sebenarnya belum ada calon.
`Tak ada, tok’
`Ada..’,tok bertegas.
Aku tercengang-cengang lagi. Tidak ada sesiapa yang bertakhta secara pasti di hati ku sekarang.
`Macam mana rupnya, tok?’
Tok tersenyum
`Mukanya bujur sirih....’, tok berhenti seketika. Tok masih senyum-senyum
`Rambutnya ketak-ketak sampai ke bahu. Tidaklah tinggi...rendah sedikit berbanding dengan cucu.Pendek kata padan benarlah....Macam inang dibelah dua’
Bila gambaran itu diberikan lantas aku segera terbayang kepada Zaharah Hamid.
`Kulitnya macam-mana, tok?’
`Kulitnya kuning langsat’
`Kuning langsat?
Tok mengangguk.
`Tapi cucu rasa bukan kuning langsat.....’
`Kuning langsat!’, tok bertegas
Aku seakan-akan menegaskan bahawa warna kulit Zaharah Hamid tidaklah kuning langsat dan tidaklah pula berkulit putih.Tapi tidaklah pula hitam.
`Kuning langsatlah itu’, tok bagaikan dapat menyelam ke dalam fikiranku.
`Dia berkerja apa,tok?’, aku ingingkan kepastian.
`Macam cucu juga”
Dan bila kenyataan itu dikeluarkan, yakinlah sudah bahawa Zaharah Hamidlah yang tok maksudkan. Gembiranya hati ku. Bagaikan akan jatuhah bulan ke haribaan.Gadis ini aku kenali sewaktu berada di Institut Bahasa, Kuala Lumpur. Kami sama-sama menghadiri kursus di dalam cuti di bawah Kursus Bahasa Melayu Khas. Kebanyakan kami ditempatkan di SRJK Cina dan Tamil, tetapi Zaharah ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (FELDA) Bukit Mendi, Triang.
Dengan Zaharah Hamid, aku boleh dikatakan syuk sendiri sahaja kerana aku tidak berpeluang untuk mendekatinya kerana tidak berada dalam kelas yang sama.Masa terluang yang sedikit tidak memberikan ruang yang sesuai.Lagipun bukanlah mudah mendekatinya. Dia bagaikan jinak-jinak merpati.

Hanya sekali aku mendapat peluang terbaik.Ketika aku mahu menghubungi seseorang melalui telefon di pondok telefon. Malangnya telefon tersebut ternyata bermasalah.Berkali-kali aku cuba mendailnya, tapi tidak juga berjaya. Tiba-tiba aku melihat Zaharah Hamid sedang berada di luar pondok. Dia bagaikan mahu membuat panggilan juga. Aku memberitahunya mengenai masalah tersebut. Dan tanpa terduga, alangkah berderaunya darah ku, dia tiba-tiba masuk ke dalam pondok telefon dan dengan demikian kami tiba-tiba berada bersama di dalam pondok telefon yang kecil itu. Seakan-akan mahu bersentuhan jadinya. Dada ku lantas berdebaran. Gembira pun ada, takut pun ada dan gementar pun ada. Rasa malu pun ada juga. Tapi aku tidaklah pula keluar, sebaiknya melihat sahaja Zaharah mendail. Aku tidaklah berkata apa-apa kerana tidak mahu mengganggu Zaharah yang sibuk mendail. Beberapa kali dia mencubanya tetapi ternyata gagal juga akhirnya.

`Rosak', katanya sepatah kepada ku. Dia lantas mahu keluar. Aku yang berada di pintu terpaksalah keluar terlebih dahulu.

Tapi entahlah. Entah mengapa, bila Zaharah mahu keluar, aku lalu keluar begitu sahaja dengan tidak berkata apa-apa kepadanya. Aku menyesali kerana tidak menggunakan peluang yang cukup terbuka. Aku menyesali mulut ku yang begitu bisu - tidak mengisi ruang yang cukup selesa - kerana aku memang tahu bahawa Zaharah telah sedar yang aku dalam diam-diam acapkali merenung dirinya.
Walaupun demikian, Zaharah Hamid bukanlah seorang yang tersangat cantik. Jauh sekalilah dari kelihatan seksi. Tapi dia kelihatan sangat sopan dan lemah-lembut. Dia agak pendiam dan sedikit malu-malu. Dia kelihatan sangat rapi dan hati-hati bila mengatur langkah. Ini menjadikan dia teramat manis bagaikan gadis Melayu sejati. Rakan-rakan ku ramai yang tergila-gila padanya. Termasuklah juga Wan.

`Tapi ada orang kata, dia sudah bertunang, tok', aku bagaikan mengadakan alasan.

Tok lalu meminta kami menyediakan ar di dalam mangkuk. Tok membaca sesuatu. Kemudian tok lalu berkata dengan yakin.

`Tidak'

`Tapi manalah tahu kalau-kalau sudah ada pemuda lain di hatinya'

Tok kembali melihat ke dalam mangku. Air di dalam mangkuk bagaikan memberikan jawapan. Lantas dia menggeleng-geleng.

`Tidak ada', tok berkata dengan nada tegas.
Bila Wan hadir bersama kami setelah balik, dia agak tercengang bila tok berkata.
`Cucu mengalahlah,ya?’
Tok lalu meceritakan latar ceritanya.Tok bagaikan tahu, Wan juga meminati Zaharah Hamid.
`Kita beri laluan kepada cucu ini’
Tok berkata lagi setelah Wan memahami latar ceritanya. Tapi sedikit kecewa Wan nampaknya.
`Boleh kut?’, tok bertanya. Wan nampak bergagah untuk memberi laluan buat ku.
`Untuk cucu, kita cari yang lain....Cucu pun sudah ada yang berkenan bukan?’
Wan tersengih-sengih.Dan memang Wan berterus-terang selepas itu. Dia meminta tok memberi bantuan kepadanya yang sedang terpikat kepada seorang pelajar Tingkatan Enam Atas yang sedang belajar di Sekolah Menengah Mahmud. Pelajar itu setiap hari lalu di hadapan rumah kami untuk pergi ke sekolah dengan menaiki basikal chooper.Namanya Zuraidah.Memang cantik orangnya dan menurut pandangan ku sepadanlah dengan Zaharah Hamid.

(sila rujuk kaitan dengan kesah ini di bawah tajuk: Serban Hijau dan Pulau Serai Bab 25)

12 Mei 2010

38. Hang Lekiu Mengamuk.

Sewaktu kami sedang bersiap-siap untuk menjalani latihan pencak selepas serangan bola api dari bomoh Jerantut sebentar tadi, tiba-tiba kami terkejut mendengar bagaikan ada sesuatu aksi pertarungan yang dahsyat dari bilik sebelah – gelangang silat kami. Bagaikan ada pertarungan yang hebat .Suara Yim memekik begitu jelas kedengaran sambil terdengar langkah-langkah pencak yang keras di lantai papan.

Tiba-tiba kami mendengar Yim menendang dinding dengan kuatnya dan serentak dengan itu ada satu bunyi jatuhan yang berkecaian. Tahulah kami cermin besar di dinding sebelahlah yang jatuh dan pecah berkecaian di atas lantai.

Aku segera sampai di bilik sebelah dan memang kaca sudah berkecai di atas lantai. Yim yang juga sedikit tergamam dengan bunyi kaca berkecai di lantai itu, terhenti dalam langkah pencaknya buat beberapa detik. Tetapi hanya sebentar sahaja.Yim kemudiannya terus memencak dan ternyata melancarkan serangan-serangan batin yang kami tidak ketahui kepada siapa ditujukan.

Kawan-kawan semuanya sudah sampai di gelanggang sekarang.Yim pun sudah berhenti bersilat.

`Assalamualikum!’, Yim bersuara.

Kami menjawab salam. Sebagaimana selalunya, tiga kali salam diberikan baharulah interaksi bermula.

`Tok memohon maaf!’, itulah kalimat pertama yang keluar dari Yim sebaik selesai jawapan salam yang ketiga dari kami.

`Tok memohon maaf!’, sekali lagi suara tersebut mengulangi. Piei yang datang dengan sebatang penyapu mulai menyabu habuk-habuk kaca yang halus sementara aku dengan Wan mengutip serpihan-serpihan kaca yang besar.

`Tok minta maaf’, sekali lagi Yim bersuara.`Tok tak tahan sabar. Tok tak boleh sabar apabila saudara dato diserang!’

Baharulah aku dapat memahami latar kejadian sebentar tadi

`Saudara dato, Hang Jebat diserang! Tok tak boleh sabar membiarkannya’

Begitu tok berkata seterusnya. Tadi serangan sewaktu makan, dan Hang Jebat telah menghadapi serangan tersebut. Dan kini tentulah salah seorang dari saudaranya datang menuntut bela.Tapi kami tidaklah dapat meneka siapakah yang datang itu .

`Tok buat bagaimana tadi?’, aku bertanya.

`Tok pulangkan kembali barang yang dia hantar. Tok pulangkan kembali semua barang-barang yang dia hantar sebelum ini’

`Termasuk bola api yang dia hantar tadi?’

Tok mengangguk.Bila sihir dipulangkan kembali kepada tuannya, apakah yang terjadi. Aku ingin tahu.

`Apa akan jadi padanya, tok?’

`Senjata makan tuanlah’, tok menjawab pantas.

`Jadi?’

`Dia tengah berguling-guling sekarang. Perutnya bagaikan terbakar. Kalau dia boleh ubat, dia ubatlah sendiri. Kalau tidak dia tanggunglah sendiri akibatnya.’

Bomoh dari Jerantut tersebut sebenarnya telah bayak kali berusaha melancarkan serangan dari jarak jauh. Sebelum ini – sama seperti tadi juga - waktu nak makan, Yim yang duduk menghadap tingkap yang terbuka, tiba-tiba mendepang lebar tapak tangan kanannya bagaikan menyangga sesuatu.

Terdahulu daripada itu sewaktu aku bersama Yim dan Piei sedang bersembang-sembang di dalam rumah menjelang Maghrib, Yim tiba-tiba menyepak udara. Kakinya beberapa inci sahaja dari kepala ku lantas berpencak. Kemudian dengan wajah yang garang – masih dalam tapak pertarungan – menyelongkar bagaikan mencari sesuatu yang bersembunyi di celah rak-rak kasut dan kasut di pinggir pintu depan.

Tok yang bertindak membina pertahanan untuk Yim memberitahu kami bahawa bomoh dari Jerantut menyerang kami dengan menghantar jarum

Sejak Hang Lekiu memulangkan kembali semua sihir hantaran yang dihantar oleh bomoh Jerantut tersebut, tidak ada lagi serangan balas dari bomoh itu. Aku pun tidak bertanya apakah bomoh tersebut sudah sembuh atau masih sakit atau senjata telah membunuh tuannya sendiri. Kalau berpandukan keterangan tok, senjata makan tuan biasanya membawa maut.

10 Mei 2010

37. Jebat Bertempik

Selepas solat Maghrib kami mulai bersedia untuk makan malam.Lauk orang bujang mudah saja.Selain gulai atau kuah sayur, ikan goreng sudah pasti ada.Selain itu ulam dan sambal belacan. Itulah menu yang mudah dan menyelerakan. Kami di rumah memang saling bekerjasama apabila waktu menyediakan sarapan ala kadar.

Tugas ku yang paling utama adalah menyimpan wang dapur yang dikutip dari rakan-rakan sebaik gaji diterima. Pada waktu itu RM20.00 seorang sudah memadai. Setiap balik dari sekolah, menyusul tugas aku yang kedua iaitu aku akan ke pasar terlebih dahulu. Akulah yang memastikan apakah jenis ikan yang akan di beli. Begitu jugalah sayur, ulam dan lain-lain. Aku bertanggungjawab dalam menyediakan bahan mentah untuk di masak.

Kebolehan memasak terletak di tangan Wan. Dol boleh tahan juga. Piei pakar memasak rempah giling. Kebetulan di rumah hijau ada batu penggiling. Bila tiba mood Piei memasak, batu gilang begitu berguna untuknya.

Akulah yang paling jahil memasak. Tapi bila di dapur, aku banyak membantu menyiang apa-apa yang perlu selain membasuh pinggan.

Yim tak ada apa-apa kepandaian di dapur. Dia sekadar tukang buat bising saja.

Suatu petang ketika semuanya sudah terhidang di atas meja, dan ketika kami sedang bersedia untuk menikmati rezeki malam, Yim yang baru saja mahu duduk tiba-tiba bertempik dengan kuatnya sambil berpencak bagaikan menangkis sesuatu dengan sikunya. Matanya tiba-tiba menjadi bulat dan bersinar garang. Bola matanya bersinar tajam bagaikan mengikuti sesuatu yang sedang beredar keluar dari rumah itu. Sejurus dia dalam keadaan bersiap-siaga menunggu serangan selanjutnya. Bila keadaan kembali tenteram, dia lalu menyapu mukanya bagaikan orang selesai berdoa.

Kami semua menjadi begitu terkejut dengan kejadian yang tidak di sangka-sangka itu.

`Kenapa?’, Dol bertanya.

`Bomoh Jerantut’, Yim menjawab. Dia lantas menunjukkan sikunya kepada kami.Kami mengerumuninya. Pada sikunya terdapat kesan merah kehitaman.

`Kenapa?’

`Dia tuju kita dengan bola api’, Yim menerangkan.`Tapi nasib baik Jebat sampai.Kalau tidak entahlah....’

Kami lantas teringat kesah bomoh dari Jerantut yang diupah oleh pemuda-pemuda dari Kampung Melayu Sempalit kerana iri hati kepada kami cikgu-cikgu muda yang diminati oleh anak-anak gadis dari kampung tersebut.

Pada beberapa minggu yang lalu ketika Puteri Tun Teja datang, dia lantas bertanya kami ada sesiapa di antara kami yang terasa bisa-bisa badan atau pening-pening, atau badan terasa lemah.Dia membocorkan rahsia sakit hati pemuda-pemuda berkenaan kepada kami. Mereka mengupah bomoh dari Bukit Tajau untuk menyihir kami. .Wan mengaku dia ada terasa sakit-sakit seperti yang dibayangkan oleh Tun Teja.Lalu Puteri Tun Teja meminta kami memanggil tok panglima pada malam itu dan meminta dilepaskan.Malam itu Wan segera diubati oleh tok.

Bila gagal hasrat pemuda-pemuda berkenaan melalui ikhtiar bomoh dari Bukit Tajau, pemuda berkenaan mengupah pula bomoh dari Jerantut. Secara kebetulan adik Dol juga mengidap sakit dan diubati oleh tok. Sakit adik Dol dikatakan ada kaitan juga dengan sihir dari bomoh Jerantut tersebut. Oleh kerana Yim yang menggagalkannya, Tok Bomoh dari Jerantut ini melepaskan geramnya, dengan melancarkan serangan yang sangat merbahaya iaitu sebiji bola api yang kalau tidak dapat dikendalikan tentulah membawa maut.

05 Mei 2010

36. Persaingan Murid Pertama.

`Dia datang dah....’, Yim menjerit dari ruang luar dan cepat-cepat berlari ke katilnya. Aku tinggal satu bilik dengannya. Aku di tepi tingkap sementara Yim di tepi dinding.

Bila melihat Yim berlari pantas masuk ke bilik, aku cepat-cepat mengejarnya untuk mengetahui apakah yang akan berlaku. Bila aku sampai aku dapati Yim telah baring tersembam di atas katil. Dia bagaikan sedang tidur dengan lenanya.

Kira-kira setengah jam atau kadang-kadang satu jam kemudian, Yim akan bangun dengan sendirinya dari `tidurnya’. Aku yang memang ternanti-nanti perkembangan yang berlaku sentiasa bagaikan tidak sabar untuk mengetahui apakah yang berlaku.

Bila Yim balik, dia akan melaporkan bagaimana pertarungannya dengan anak-anak murid yang lain. Sekarang adalah persaingan untuk mendaptkan tempat siapakah murid pertama atau istilah yang lebih tepat ialah murid terulung. Yim dan rakan-rakannya yang lain yang belajar secara rohani di tempat dato-dato, semuanya telah menamatkan pelajaran masing-masing. Sekarang tibalah masa untuk mereka semua bertarung sesama sendiri bagi menduduki taraf murid terulung.Keadaannya samalah seperti pertandingan kalah mati. Yang menang dalam pertarungan akan terus maju untuk memasuki pertandingan seterusnya. Pertarungan adalah secara fizikal.Penggunaan ilmu kebatinan tidak diizinkan samasekali.

Aku, Wan, Piei dan Dol akan sentiasa mendengar dengan seronok bagaimana ianya berlangsung. Bila Yim kembali – bangun dari tak adanya - Yim akan menerangkan betapa sengitnya pertarungan sesama mereka.

Ada waktunya Yim `dibawa pergi’ sewaktu dia sedang bekerja. Kami memang tidak tahu apa-apa. Cuma bila Yim datang ke dapur sewaktu kami semua sedang memasak, dia akan duduk dengan diam bagaikan orang termenung, siap dengan kain sarung dan tuali mandi yang tersibai di bahu – pakaian rasminya bila berada di rumah menjelang petang kalau tidak ke mana-mana. Bila kami berbual-bual sambil berseloroh riuh-rendah waktu di dapur itu, bilamana kami dapati Yim diam membisu – berlainan dengan watak sebenarnya yang riuh dan banyak berbicara – tahulah kami pada waktu itu, bahawa Yim sebenarnya tidak ada.

Keadaan seperti demikian berlaku berpunca apabila Yim dibawa pergi beberapa minit sebelum tamat masa bekerja. Dirinya telah dibawa pergi dan berada di tempat tok, bersiap-sedia untuk menghadapai pertandingan. Jasadnya akan diganti oleh seseorang yang diamanahkan untuk membolehkan jasad terebut pulang ke rumah samada dengan menaiki bas atau berjalan kaki. Bila keadaan Yim berwatak pendiam, kami segera faham bahawa Yim pada waktu itu sebenarnya tidak ada.

Orang yang tidak memahami hal ini tidak akan tahu bahawa pada ketika itu Yim sebenarnya tidak ada!

Tok Itam yang selama ini memilih dan mendidik Yim sehingga menjadi cucu yang amat disayanginya, meminta kami – cucu-cucunya – menghadiahkan al Fatehah kepada Yim untuk membantunya semoga berjaya mencapai tempat pertama iaitu memenangi semua pertarungan menewaskan murid-murid dato panglima yang lain. Aku telah menghadiahkan sebanyak tiga atau lima bacaan Fatehah kepada Yim dengan harapan tinggi menggunung supaya Yim mencapai kejayaan.Tok Itam berkata, kalau cucunya itu mendapat tempat pertama, cucu-cucunya yang lain (kami semua) akan juga mendapat munafaat yang besar.

Pertarungan yang tidak dibenarkan menggunakan sebarang senjata atau ilmu kebatinan itu telah berjalan dengan baik dalam tempoh melebihi satu minggu, sehinggalah pada pertandingan akhir. Dalam pertandingan akhir Yim menerangkan betapa dia hampir cedera.

`Kalaulah kawan tersilap langkah mautlah jawabnya.Kalau tak mati pun, cedera parah’, Yim menerangkan.Kami cukup terkejut mendapat maklumat itu.

Yim menerangkan saingannya yang telah hampir dapat ditundukkan, tiba-tiba menjadi hilang kesabaran. Saingannya tiba-tiba tidak dapat mengawal perasaan marah, apabila tidak dapat menangkis beberapa serangan dari Yim, lalu dengan tidak terduga telah merampas kerambit milik pengawal gelanggang. Dengan kerambit di tangannya dia telah menyerang Yim dengan hebatnya.

`Tapi silat Surban Hijau hebat’, Yim bercerita.`Kawan berguling-guling di sekeliling gelanggang dan dia menghambat dengan kerambitnya berputar-putar menikam tanah gelanggang. Hoo! Nasib baik....Seinci-seinci sahaja nak kena’

Kami semua mendengar dengan cemas dan kagum.

`Tapi bukannya senang nak tundukkan silat Serban Hijau’

`Habis tok biarkan saja?’, Wan bertanya.`Kenapa tok membiarkan dia mengganas?’

`Tok tak sempat berbuat apa-apa. Terlalu pantas dia menyambar senjata dan membuat serangan.Tak siapa menjangka’

Dalam pertandingan seumpama itu gelanggang raya di tempat tok akan penuh sesak.Bukan murid-murid sahaja yang hadir, tapi semua dato-dato panglima pun hadir sama. Bahkan puteri-puteri pun datang menyaksikan temasya yang menandakan perguruan telah tamat. Panglima-panglima dari Indonesia pun biasanya hadir bersama anak-anak murid didikan mereka.

`Habis bagaimana engkau perlepas diri?’, aku bertanya.

`Itulah yang seronoknya’, Yim bangga dengan pencapaiannya.`Ketika dia tersasul oleh terlalu geram untuk menyerang, kawan libas rusuknya. Bila terkena dia kehilangan rentak.Pada ketika itulah kawan kunci tangannya dan dengan satu tindakan kunci memulas, lawi ayamnya jatuh ke bumi.Bila lawi ayamnya jatuh, kawan kunci pula kakinya. Bila kaki dan tangan dikunci dia langsung terjatuh dalam keadaan tertiarap’

`Kalahlah dia?’

`Dah tertiarap, dia nak buat apa lagi? Kalau kawan nak bunuh pun boleh’

`Silat siapa engkau pakai?’, Piei ghairah dengan kehebatan itu walaupun tadiYim telah memberitahu silat siapa yang dipakainya. Memilih silat panglima adalah penting dalam pertarungan.Sebelum Yim bertarung, kami akan terlebih dahulu akan memanggil Panglima Hitam dan bersama tok, Yim akan kami pesankan supaya memilih silat-silat tertentu yang dicadangkan oleh tok. Sebab itulah Yim pernah memberitahu kami, kawan-kawannya di sana cemburu kerana pertarungan menjadi tidak adil kerana mereka berkata Yim mendapat bantuan dari rakan-rakannya.

`Kami bukan lawan kamu seorang...’, begitu giat mereka.

`Surban Hijau, hebat! Hebat silat Surban Hijau.....’, Yim memberikan pujian dengan kepuasan maksima.

Begitulah Yim mengakhiri ceritanya yang meletakkan dia sebagai murid terulung. Kami semua bergembira dengan kejayaannya yang menurut Tok Itam, merupakan kejayaan kami juga.

02 Mei 2010

35. Tok Man Misai.

Tok Man Misai adalah guru al Quran – bukan panglima dalam persilatan. Yim dan murid-murid yang lain yang dibawa belajar untuk berpencak diasuh juga dalam membaca al Quran. Tok Man Misai dijemput datang berjumpa dengan kami semua untuk berkenal-kenalan dan berkesah mengenai al Quran.

`Cucu semua mesti khatam al Quran’, dia memulakan bicara.`Kalau tak khatam rugi’.

`Kenapa?’

`Tak boleh mengajar. Tak boleh jadi guru al Quran’

`Kalau untuk mengajar anak-anak sendiri?’

`Itu tak mengapa. Tapi tak bolehlah jadi guru kepada orang yang lain’

Kami lalu dinasihatkan supaya mencari guru al Quran dan belajar sampai khatam kerana ada diantara kami yang masih belum khatam.

`Ingat! Cari guru yang khatam. Orang yang tak khatam tak boleh jadi guru’, demikian Tok Man Misai berpesan.

Sambil makan-makan itu kami terus bersembang.Tok Man Misai mengakui dia tidak ada kebolehan bersilat. Tugasnya hanyalah mengajar membaca al Quran. Bila dia diperlukan dia akan dipanggil oleh dato-dato atas perintah guru.

`Tok Itam memberitahu, tok tidak tinggal bersama mereka. Betulkah, tok?’, Dol bertanya.

`Betul’.

`Jadi tok tinggal di mana?’

`Tok tinggal di Pulau .....’ (aku sudah lupa nama tempatnya tetapi dekat dengan Pulau Bentan). `Tok cuma datang bila mereka jemput tok untuk mengajar budak-budak mengaji. Termasuk cucu Rahim juga’

`Makam tok di mana?’, aku pula bertanya.Aku memang sentiasa cuba mengesan sesiapa sahaja yang datang di manakah mereka dikebumikan. Niat ku, kalau ada kesempatan ingin aku menziarahi dan menghadiahkan al Fatehah kepada mereka.

`Di Mempelas’

`Mempelas?’,

Tok Man Misai mengangguk. Aku cukup terkejut mendengar nama tempat itu.

`Maksud tok, Mempelas dekat dengan tempat cucu?’

`Ya’

Aku lantas teringat bahawa di Mempelas memang diberitakan ada kubur-kubur lama yang sudah tidak diketahui siapakah pemiliknya. Tapi aku belum pernah lagi menziarahinya. Bila mengetahui kubur Tok Man Misai berada di Mempelas, aku berazam untuk menziarahinya suatu masa nanti.

`Mempelas pada masa dahulu, tempat besar cucu’, Tok Man Misai menerangkan. `Tapi tok bukanlah tinggal di situ. Tok sebenarnya tinggal di Kampung Sungai Duri’

`Ha? Kampung Sungai Duri?’, aku tambah terkejut.

`Pada zaman dahulu, kapal-kapal besar boleh mudik sampai ke ulu. Kampung Sungai Duri pada masa tok dahulu adalah pengkalan yang besar tempat berkumpulnya para pedagang’

Maklumat itu menjadikan aku semakin kagum mengenai wilayah kelahiran ku. Tetapi Kampung Sungai Duri kini tidaklah semeriah pada zaman yang Tok Man Misai ceritakan. Kampung Sungai Duri kini adalah sebuah kampung tradisonal yang tidak ramai penghuninya lagi. Demikian juga kawasan perkuburan lama di Mempelas, telah menjadi kawasan semak-samun dan hutan belukar kerana menjadi kawasan perkampungan yang telah ditinggalkan.