22 Mei 2010

41. Rumah Dinaiki Pencuri

Bila kami balik dari sekolah, kami sungguh terkejut kerana mendapati rumah kami telah dimasuki pencuri. Pintu bilik tidur ku bersama Yim yang memang berkunci, telah terbuka. Begitu juga tingkap dapur yang menghala ke bukit dan beberapa rumah keluarga Cina di bahagian belakang rumah. Daun tingkap terbuka lebar.
Kami semua memang tidak dapat untuk meneka bagaimanakah pencuri tersebut boleh masuk sedangkan semua tingkap, kami pastikan berkunci sebelum keluar ke sekolah pada pagi-pagi tadi. Tidak ada pula kesan tingkap dipecahkan. Tidak juga dinding. Semuanya dalam keadaan baik.
Aku yang menjadi Bendahari menyimpan semua duit makan belanja untuk setiap bulan cepat-cepat pergi ke meja kecil di dalam bilik. Di dalam meja kecil itu ada sebuah laci kecil dan di dalam laci itulah aku menyimpan wang belanja rumah. Sedikit berdebar dada ku menghampiri meja itu. Tapi alhamdulillah, bila laci di buka nampaknya duit tersebut masih ada.
Pada malamnya kami memanggil tok untuk membincangkan mengenai hal tersebut.Aku tidak kehilangan apa-apa.Nasib baiklah mesen taip Brother yang aku beli dengan harga RM230.00 yang dibayar secara ansuran sebanyak RM30.00 sebulan tidak lesap.Wan tidak kehilangan apa-apa. Cuma radio Transistor Piei sahaja yang hilang.
`Ada dua orang’, tok mulai memberikan maklumat melalui asap keminyan.
`Seorang masuk ke dalam rumah. Seorang lagi menunggu di luar rumah’
`Orang apa, tok?’
`India.Kedua-duanya India’
`Dia masuk ikut mana?’
`Ikut belakang’, tok menjawab.`Dia panjat tingkap belakang’.
Mata kami semua bertumpu kepada tok. Begitulah biasanya apabila kami mahu mendapatkan apa-apa maklumat mengenai apa-apa sahaja, kami akan panggil tok. Kadang-kadang tok akan menjawab secara spontan. Tetapi kalau sesuatu yang agak kompleks dan rumit, tok akan meminta air di dalam mangkuk atau pun keminyan. Keminyan akan diperasapkan melalui benda putih.
Benda putih ialah gantinama bagi rokok yang kami ajar tok menghisapnya. Pada waktu itu aku masih menghisap Benson. Begitu juga Piei dan Dol. Tapi Wan tidak merokok. Bila sudah terbiasa dengan benda putih, tok akan diraikan bukan sahaja dengan hidangan kueh-mueh dan air bergas, tetapi disediakan juga Benson. Tok nampaknya suka menghisap Benson. Rokok jenama lain tok tak suka. Boleh dikatakan semua panglima menghisap rokok kecuali Hang Tuah. Gudang Garam tok suka juga. Tapi gudang garam, selalunya kami sediakan bila panglima-panglima dari Indonesia yang datang.
`Kawannya bantu untuk membolehkan dia memanjat dan dari situ dia menyelitkan badannya mengikut celah atap dan dinding’
Dengan maklumat itu, fahamlah kami bahawa India yang masuk ke dalam rumah itu bukanlah orang yang berbadan gempal. Tentulah kecil sahaja orangnya.
`Budak lagi.Budak muda belasan tahun’, tok melanjutkan.
`Nasib baik dia tak jumpa duit dapur yang cucu simpan di dalam laci kecil’, aku berkata.
`Dia jumpa, cucu’, tok menerangkan seterusnya.`Dia dah buka, tapi dia nampak kertas sahaja’
`Alhamdulillah’
`Tok adakah masa itu?’, Dol bertanya.
Tok tidak menjawab pertanyaan Dol itu.
`Tapi radio cucu mengapa dia curi?’
`Benda nyanyi-nyanyi itu tidak begitu bagus. Melalaikan....Sebab itulah dia boleh dicuri’
Piei terlopong. Dulu tok pernah berkata bahawa syaitan berusaha melalaikan manusia dengan segala cara. Jadi radio juga boleh melalaikan dan dipergunakan oleh syaitan untuk melalaikan.
Tok juga melarang menampal gambar-gambar perempuan cantik yang selalunya disiarkan di dalam majalah-makalah hiburan. Apatah kalau gambar-gambar yang nampak menggoda yang merangsang nafsu.
`Semua itu syaitan’, begitu kata tok dahulu.
`Tapi sekejap sahaja dia masuk ke dalam rumah’, tok memberikan maklumat seterusnya. `Dia pun takut-takut juga’, tambahnya..
`Bagaimana dia turun, tok? Payah!’
`Ikut jenang tingkap’.
Tok lantas menerangkan, dari dapur pencuri itu terus ke depan dan terus sahaja masuk ke ruang dalam dan melintasi tempat tidur Pie di ruang yang terbuka. Dia cuba menggeledah tapi tidak menemui apa-apa yang berharga. Dari situ dia terus menuju ke bilik aku dan Yim’.
`Bagaimana dia masuk tok, sedang bilik berkunci?’
`Dia ada bawa dawai. Dia pusing-pusing sampai terbuka.Pandai budak ini. Dia sudah biasa buat kerja begini’
Kami mendengar dengan takjub.
`Dari bilik cucu, dia ikut lorong sebelah sini. Benda yang bernyanyi yang cucu punya, ada di atas lantai dan dia terus kebas. Lepas itu dia ikut lorong sebelah sana. Ini! Tok nampak kesan tapak kaki dia. Lepas itu dia pergi ke belakang. Dia cuba menggeledah tempat tidur cucu’, tok merujuk kepada Wan dan Dol yang tidur di katil di ruang terbuka seperti Pie juga.
` Lepas itu dia buka tingkap dan terjun keluar. Tapi....ha ha ... kakinya luka terkena kaca di luar tingkap. Sebab itu dia terlupa nak tutup semula tingkap’.
Keesokan harinya – selepas balik dari sekolah, aku cuba mengesan apakah masih ada kesan tapak kaki budak India tersebut di bahagian belakang. Tapi tidak ada. Lagi pun tanah di bahagian belakang agak keras. Aku cuba mengesan pula kalau-kalau ada bekas darah. Tapi aku tidak menemui kesannya lagi. Mungkin sudah agak terlewat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan