05 Mei 2010

36. Persaingan Murid Pertama.

`Dia datang dah....’, Yim menjerit dari ruang luar dan cepat-cepat berlari ke katilnya. Aku tinggal satu bilik dengannya. Aku di tepi tingkap sementara Yim di tepi dinding.

Bila melihat Yim berlari pantas masuk ke bilik, aku cepat-cepat mengejarnya untuk mengetahui apakah yang akan berlaku. Bila aku sampai aku dapati Yim telah baring tersembam di atas katil. Dia bagaikan sedang tidur dengan lenanya.

Kira-kira setengah jam atau kadang-kadang satu jam kemudian, Yim akan bangun dengan sendirinya dari `tidurnya’. Aku yang memang ternanti-nanti perkembangan yang berlaku sentiasa bagaikan tidak sabar untuk mengetahui apakah yang berlaku.

Bila Yim balik, dia akan melaporkan bagaimana pertarungannya dengan anak-anak murid yang lain. Sekarang adalah persaingan untuk mendaptkan tempat siapakah murid pertama atau istilah yang lebih tepat ialah murid terulung. Yim dan rakan-rakannya yang lain yang belajar secara rohani di tempat dato-dato, semuanya telah menamatkan pelajaran masing-masing. Sekarang tibalah masa untuk mereka semua bertarung sesama sendiri bagi menduduki taraf murid terulung.Keadaannya samalah seperti pertandingan kalah mati. Yang menang dalam pertarungan akan terus maju untuk memasuki pertandingan seterusnya. Pertarungan adalah secara fizikal.Penggunaan ilmu kebatinan tidak diizinkan samasekali.

Aku, Wan, Piei dan Dol akan sentiasa mendengar dengan seronok bagaimana ianya berlangsung. Bila Yim kembali – bangun dari tak adanya - Yim akan menerangkan betapa sengitnya pertarungan sesama mereka.

Ada waktunya Yim `dibawa pergi’ sewaktu dia sedang bekerja. Kami memang tidak tahu apa-apa. Cuma bila Yim datang ke dapur sewaktu kami semua sedang memasak, dia akan duduk dengan diam bagaikan orang termenung, siap dengan kain sarung dan tuali mandi yang tersibai di bahu – pakaian rasminya bila berada di rumah menjelang petang kalau tidak ke mana-mana. Bila kami berbual-bual sambil berseloroh riuh-rendah waktu di dapur itu, bilamana kami dapati Yim diam membisu – berlainan dengan watak sebenarnya yang riuh dan banyak berbicara – tahulah kami pada waktu itu, bahawa Yim sebenarnya tidak ada.

Keadaan seperti demikian berlaku berpunca apabila Yim dibawa pergi beberapa minit sebelum tamat masa bekerja. Dirinya telah dibawa pergi dan berada di tempat tok, bersiap-sedia untuk menghadapai pertandingan. Jasadnya akan diganti oleh seseorang yang diamanahkan untuk membolehkan jasad terebut pulang ke rumah samada dengan menaiki bas atau berjalan kaki. Bila keadaan Yim berwatak pendiam, kami segera faham bahawa Yim pada waktu itu sebenarnya tidak ada.

Orang yang tidak memahami hal ini tidak akan tahu bahawa pada ketika itu Yim sebenarnya tidak ada!

Tok Itam yang selama ini memilih dan mendidik Yim sehingga menjadi cucu yang amat disayanginya, meminta kami – cucu-cucunya – menghadiahkan al Fatehah kepada Yim untuk membantunya semoga berjaya mencapai tempat pertama iaitu memenangi semua pertarungan menewaskan murid-murid dato panglima yang lain. Aku telah menghadiahkan sebanyak tiga atau lima bacaan Fatehah kepada Yim dengan harapan tinggi menggunung supaya Yim mencapai kejayaan.Tok Itam berkata, kalau cucunya itu mendapat tempat pertama, cucu-cucunya yang lain (kami semua) akan juga mendapat munafaat yang besar.

Pertarungan yang tidak dibenarkan menggunakan sebarang senjata atau ilmu kebatinan itu telah berjalan dengan baik dalam tempoh melebihi satu minggu, sehinggalah pada pertandingan akhir. Dalam pertandingan akhir Yim menerangkan betapa dia hampir cedera.

`Kalaulah kawan tersilap langkah mautlah jawabnya.Kalau tak mati pun, cedera parah’, Yim menerangkan.Kami cukup terkejut mendapat maklumat itu.

Yim menerangkan saingannya yang telah hampir dapat ditundukkan, tiba-tiba menjadi hilang kesabaran. Saingannya tiba-tiba tidak dapat mengawal perasaan marah, apabila tidak dapat menangkis beberapa serangan dari Yim, lalu dengan tidak terduga telah merampas kerambit milik pengawal gelanggang. Dengan kerambit di tangannya dia telah menyerang Yim dengan hebatnya.

`Tapi silat Surban Hijau hebat’, Yim bercerita.`Kawan berguling-guling di sekeliling gelanggang dan dia menghambat dengan kerambitnya berputar-putar menikam tanah gelanggang. Hoo! Nasib baik....Seinci-seinci sahaja nak kena’

Kami semua mendengar dengan cemas dan kagum.

`Tapi bukannya senang nak tundukkan silat Serban Hijau’

`Habis tok biarkan saja?’, Wan bertanya.`Kenapa tok membiarkan dia mengganas?’

`Tok tak sempat berbuat apa-apa. Terlalu pantas dia menyambar senjata dan membuat serangan.Tak siapa menjangka’

Dalam pertandingan seumpama itu gelanggang raya di tempat tok akan penuh sesak.Bukan murid-murid sahaja yang hadir, tapi semua dato-dato panglima pun hadir sama. Bahkan puteri-puteri pun datang menyaksikan temasya yang menandakan perguruan telah tamat. Panglima-panglima dari Indonesia pun biasanya hadir bersama anak-anak murid didikan mereka.

`Habis bagaimana engkau perlepas diri?’, aku bertanya.

`Itulah yang seronoknya’, Yim bangga dengan pencapaiannya.`Ketika dia tersasul oleh terlalu geram untuk menyerang, kawan libas rusuknya. Bila terkena dia kehilangan rentak.Pada ketika itulah kawan kunci tangannya dan dengan satu tindakan kunci memulas, lawi ayamnya jatuh ke bumi.Bila lawi ayamnya jatuh, kawan kunci pula kakinya. Bila kaki dan tangan dikunci dia langsung terjatuh dalam keadaan tertiarap’

`Kalahlah dia?’

`Dah tertiarap, dia nak buat apa lagi? Kalau kawan nak bunuh pun boleh’

`Silat siapa engkau pakai?’, Piei ghairah dengan kehebatan itu walaupun tadiYim telah memberitahu silat siapa yang dipakainya. Memilih silat panglima adalah penting dalam pertarungan.Sebelum Yim bertarung, kami akan terlebih dahulu akan memanggil Panglima Hitam dan bersama tok, Yim akan kami pesankan supaya memilih silat-silat tertentu yang dicadangkan oleh tok. Sebab itulah Yim pernah memberitahu kami, kawan-kawannya di sana cemburu kerana pertarungan menjadi tidak adil kerana mereka berkata Yim mendapat bantuan dari rakan-rakannya.

`Kami bukan lawan kamu seorang...’, begitu giat mereka.

`Surban Hijau, hebat! Hebat silat Surban Hijau.....’, Yim memberikan pujian dengan kepuasan maksima.

Begitulah Yim mengakhiri ceritanya yang meletakkan dia sebagai murid terulung. Kami semua bergembira dengan kejayaannya yang menurut Tok Itam, merupakan kejayaan kami juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan