10 Mei 2010

37. Jebat Bertempik

Selepas solat Maghrib kami mulai bersedia untuk makan malam.Lauk orang bujang mudah saja.Selain gulai atau kuah sayur, ikan goreng sudah pasti ada.Selain itu ulam dan sambal belacan. Itulah menu yang mudah dan menyelerakan. Kami di rumah memang saling bekerjasama apabila waktu menyediakan sarapan ala kadar.

Tugas ku yang paling utama adalah menyimpan wang dapur yang dikutip dari rakan-rakan sebaik gaji diterima. Pada waktu itu RM20.00 seorang sudah memadai. Setiap balik dari sekolah, menyusul tugas aku yang kedua iaitu aku akan ke pasar terlebih dahulu. Akulah yang memastikan apakah jenis ikan yang akan di beli. Begitu jugalah sayur, ulam dan lain-lain. Aku bertanggungjawab dalam menyediakan bahan mentah untuk di masak.

Kebolehan memasak terletak di tangan Wan. Dol boleh tahan juga. Piei pakar memasak rempah giling. Kebetulan di rumah hijau ada batu penggiling. Bila tiba mood Piei memasak, batu gilang begitu berguna untuknya.

Akulah yang paling jahil memasak. Tapi bila di dapur, aku banyak membantu menyiang apa-apa yang perlu selain membasuh pinggan.

Yim tak ada apa-apa kepandaian di dapur. Dia sekadar tukang buat bising saja.

Suatu petang ketika semuanya sudah terhidang di atas meja, dan ketika kami sedang bersedia untuk menikmati rezeki malam, Yim yang baru saja mahu duduk tiba-tiba bertempik dengan kuatnya sambil berpencak bagaikan menangkis sesuatu dengan sikunya. Matanya tiba-tiba menjadi bulat dan bersinar garang. Bola matanya bersinar tajam bagaikan mengikuti sesuatu yang sedang beredar keluar dari rumah itu. Sejurus dia dalam keadaan bersiap-siaga menunggu serangan selanjutnya. Bila keadaan kembali tenteram, dia lalu menyapu mukanya bagaikan orang selesai berdoa.

Kami semua menjadi begitu terkejut dengan kejadian yang tidak di sangka-sangka itu.

`Kenapa?’, Dol bertanya.

`Bomoh Jerantut’, Yim menjawab. Dia lantas menunjukkan sikunya kepada kami.Kami mengerumuninya. Pada sikunya terdapat kesan merah kehitaman.

`Kenapa?’

`Dia tuju kita dengan bola api’, Yim menerangkan.`Tapi nasib baik Jebat sampai.Kalau tidak entahlah....’

Kami lantas teringat kesah bomoh dari Jerantut yang diupah oleh pemuda-pemuda dari Kampung Melayu Sempalit kerana iri hati kepada kami cikgu-cikgu muda yang diminati oleh anak-anak gadis dari kampung tersebut.

Pada beberapa minggu yang lalu ketika Puteri Tun Teja datang, dia lantas bertanya kami ada sesiapa di antara kami yang terasa bisa-bisa badan atau pening-pening, atau badan terasa lemah.Dia membocorkan rahsia sakit hati pemuda-pemuda berkenaan kepada kami. Mereka mengupah bomoh dari Bukit Tajau untuk menyihir kami. .Wan mengaku dia ada terasa sakit-sakit seperti yang dibayangkan oleh Tun Teja.Lalu Puteri Tun Teja meminta kami memanggil tok panglima pada malam itu dan meminta dilepaskan.Malam itu Wan segera diubati oleh tok.

Bila gagal hasrat pemuda-pemuda berkenaan melalui ikhtiar bomoh dari Bukit Tajau, pemuda berkenaan mengupah pula bomoh dari Jerantut. Secara kebetulan adik Dol juga mengidap sakit dan diubati oleh tok. Sakit adik Dol dikatakan ada kaitan juga dengan sihir dari bomoh Jerantut tersebut. Oleh kerana Yim yang menggagalkannya, Tok Bomoh dari Jerantut ini melepaskan geramnya, dengan melancarkan serangan yang sangat merbahaya iaitu sebiji bola api yang kalau tidak dapat dikendalikan tentulah membawa maut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan