02 Mei 2010

35. Tok Man Misai.

Tok Man Misai adalah guru al Quran – bukan panglima dalam persilatan. Yim dan murid-murid yang lain yang dibawa belajar untuk berpencak diasuh juga dalam membaca al Quran. Tok Man Misai dijemput datang berjumpa dengan kami semua untuk berkenal-kenalan dan berkesah mengenai al Quran.

`Cucu semua mesti khatam al Quran’, dia memulakan bicara.`Kalau tak khatam rugi’.

`Kenapa?’

`Tak boleh mengajar. Tak boleh jadi guru al Quran’

`Kalau untuk mengajar anak-anak sendiri?’

`Itu tak mengapa. Tapi tak bolehlah jadi guru kepada orang yang lain’

Kami lalu dinasihatkan supaya mencari guru al Quran dan belajar sampai khatam kerana ada diantara kami yang masih belum khatam.

`Ingat! Cari guru yang khatam. Orang yang tak khatam tak boleh jadi guru’, demikian Tok Man Misai berpesan.

Sambil makan-makan itu kami terus bersembang.Tok Man Misai mengakui dia tidak ada kebolehan bersilat. Tugasnya hanyalah mengajar membaca al Quran. Bila dia diperlukan dia akan dipanggil oleh dato-dato atas perintah guru.

`Tok Itam memberitahu, tok tidak tinggal bersama mereka. Betulkah, tok?’, Dol bertanya.

`Betul’.

`Jadi tok tinggal di mana?’

`Tok tinggal di Pulau .....’ (aku sudah lupa nama tempatnya tetapi dekat dengan Pulau Bentan). `Tok cuma datang bila mereka jemput tok untuk mengajar budak-budak mengaji. Termasuk cucu Rahim juga’

`Makam tok di mana?’, aku pula bertanya.Aku memang sentiasa cuba mengesan sesiapa sahaja yang datang di manakah mereka dikebumikan. Niat ku, kalau ada kesempatan ingin aku menziarahi dan menghadiahkan al Fatehah kepada mereka.

`Di Mempelas’

`Mempelas?’,

Tok Man Misai mengangguk. Aku cukup terkejut mendengar nama tempat itu.

`Maksud tok, Mempelas dekat dengan tempat cucu?’

`Ya’

Aku lantas teringat bahawa di Mempelas memang diberitakan ada kubur-kubur lama yang sudah tidak diketahui siapakah pemiliknya. Tapi aku belum pernah lagi menziarahinya. Bila mengetahui kubur Tok Man Misai berada di Mempelas, aku berazam untuk menziarahinya suatu masa nanti.

`Mempelas pada masa dahulu, tempat besar cucu’, Tok Man Misai menerangkan. `Tapi tok bukanlah tinggal di situ. Tok sebenarnya tinggal di Kampung Sungai Duri’

`Ha? Kampung Sungai Duri?’, aku tambah terkejut.

`Pada zaman dahulu, kapal-kapal besar boleh mudik sampai ke ulu. Kampung Sungai Duri pada masa tok dahulu adalah pengkalan yang besar tempat berkumpulnya para pedagang’

Maklumat itu menjadikan aku semakin kagum mengenai wilayah kelahiran ku. Tetapi Kampung Sungai Duri kini tidaklah semeriah pada zaman yang Tok Man Misai ceritakan. Kampung Sungai Duri kini adalah sebuah kampung tradisonal yang tidak ramai penghuninya lagi. Demikian juga kawasan perkuburan lama di Mempelas, telah menjadi kawasan semak-samun dan hutan belukar kerana menjadi kawasan perkampungan yang telah ditinggalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan