25 Mei 2010

42. Saedah Mustari.

`Cucu kena pergi cepat’.
Begitu perintah tok kepada Dol apabila isu ibu rumah dibicarakan. Bila isu ibu rumah dibicarakan, tok bagaikan sedang mengusahakan supaya kami mencari pasangan hidup masing-masing. Aku yang telah gagal memiliki Zaharah Hamid berterus-terang meminta supaya tok tolong mencarikannya. Dan Tok Mahsuri memberikan janjinya, iaitu bila sampai waktunya calon untuk ku akan dipertemukan.
Tapi Dol sebenarnya telah sedikit tawar hati untuk meneruskan hubungannya dengan gadis di Penggerang itu. Bukan hatinya tidak berkenan tetapi dia telah cukup lama tidak berjumpa dan tidak lagi saling berhubungan.
`Tok tahu semua kesah cucu-cucu semua’, tok berkata lagi.`Semua kesah-kesah cucu pada masa yang lalu, keturunan cucu malah apa-apa sahaja yang berkaitan dengan apa yang cucu alami atau lakukan, perangai dan tingkah laku cucu pada masa yang lalu, semuanya ada di dalam simpanan datuk-datuk. Semuanya telah terkumpul di tempat tok dan tok tahu seluruhnya’
Kami tercengang.
`Habislah terbocor rahsia...’, Wan menyampuk sambil gelak-gelak.
`Tok tahu semua...Tak usah dok bohonglah’.
Dan tok tersenyum-senyum dengan penuh makna. Kami semua ketawa kerana masing-masing ada kesah-kesah yang rahsia yang tidak akan diceritakan walaupun kepada sesiapa.
`Bila cucu lahir pun – hari dan waktunya, tok tahu juga’
`Betulkah tok ?’
Tok mengiakan.
`Cucu bila ?’, aku cepat-cepat bertanya kerana aku tidak pernah diberitahu bilakah aku dilahirkan.
`Cucu lahir pada hari Ahad. Cucu hari….’, Piei, Wan dan Dol diberitahu hari kelahiran masing-masing.
Selepas mengambil sebiji buah melaka dan mengunyahnya, tok berkata lagi kepada Dol.
`Cucu tak boleh tinggalkan dia’, tok bertegas. Tok menyentuh balik gesaan yang dibuatnya tadi.
Si Dol terkebil-kebil.
`Hati dia tetap setia pada cucu’.
`Betulkah, tok ?’
`Betul !’
`Tapi sudah lama kami tidak berhubungan’, Dol bagaikan membantah.
`Itu bukan alasan’, mata Dol direnung. Kami juga merenung mata Dol.
`Ingat apa janji cucu pada dia di Pantai Lido dulu ?’
Dol nampak berubah wajahnya.
`Dia janji apa tok?’, Piei cepat-ceat mengusik.
Tok tersenyum.
`Dengan bersaksikan bulan dan bintang, percayalah, abang akan.....’, tok bersuara. Belum habis suara tok, kami semuanya sudah meledakkan ketawa.
`Betul bukan?’, Dol didesak.`Cucu berjanji tidak akan meninggalkan dia bukan?’
Dol mengangguk.
`Dia setia dengan cucu. Dia pegang janji cucu. Tak baiklah cucu mungkir janji...’, tok berkata lagi dengan nasihat dari seorang datuk kepada cucunya.
`Cucu tak mungkir janji, tok. Tapi kenapa surat cucu dia tidak balas?’
`Ha! Itulah sebabnya tok kata, pergi tengok dia’
Dol nampak tertekan.
`Ada dia buat apa-apa di Pantai Lido, tok?’, Wan mengusik Dol.
`Hemh!’, tok mendengus.`Tok malas nak cakap.Orang muda-muda.... Nanti malu dia kalau tok ceritakan’
Wajah Dol bagaikan kerang busuk bila tok berkata begitu. Merah dan malu.
`Ha........!!!’, kami lantas mengusik Dol. Bahu Dol dogoncang-goncang oleh Piei di sebelah kiri dan Wan di sebelah kanan.
Bertambah merah dan malu Dol jadinya.
`Sebab itulah cucu kena pergi. Pergi segera...’, tok bagaikan memberi perintah
Atas perintah tok, Dol akhirnya mengambil cuti dan pergi ke Penggerang untuk bertemu dengan buah hatinya, Saedah Mushtari. Dia pergi bersama Yim.
Dan alangkah terkejutnya Dol mendapati Saedah sedang sakit. Telah berbulan-bulan rupanya. Dia terkena rasukan dan tidak lagi mengenali Dol.Bukan Dol sahaja yang tidak lagi dikenalinya, ibu dan ayahnya juga telah tidak lagi dikenali.Bila ditanya, awak siapa? Saeadah menjawab.
`Aku nenek!’
Melihaat Saedah telah berada dalam keadaan demikian, Yim tidak ada pilihan. Rayuan dari Dol supaya Yim membantunya menyebabkan Yim terpaksa melakukan perubatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan