31 Ogos 2009

18.
JUMPA NABI IBRAHIM ?

Bukan senang untuk bertemu dengan Tok Penghulu Malim sejak akhir-akhir ini oleh kerana dia begitu asyek dengan Tok Lat. Aku sentiasa berusaha mencari ruang untuk ke rumahnya kerana didorong oleh keinginan untuk mengetahui mengenai rahsia terkini mengenai kebangkitan Melayu. Tok Penghulu Malim yang diberikan peranan besar oleh Tok Ayah Sohor sudah tentu mendapat arahan-arahan terkini yang tentulah aku sangat tidak sabar untuk mengetahuinya.
Aku memerlukan Tok Penghulu Malim juga kerana didorong oleh kepingin untuk mengetahui perkembangannya dengan Tok Lat.Setelah mengunjungi Tok Lat untuk urusan perubatan, sudah hampir satu bulan aku tidak lagi mengujunginya. Rumah Tok Ayah Sohor pula sudah hampir setengah tahun aku tidak kunjungi. Begitulah tekadku bersama isteri bahawa aku mahu memberi ruang keselesaan yang seluas-luasnya kepada Tok Penghulu Malim untuk memikul amanah-amanah tertentu dari Tok Lat dan Tok Ayah Sohor. Aku tidak mahu menyibuk dan mengganggu masanya.

Lagi pun siapalah aku. Aku tidak cukup layak untuk mendampingi dua nama besar itu. Seorang darinya adalah orang yang memegang amanah kebangkitan Melayu dan yang seorang lagi adalah orang yang telah mati tetapi zahir kembali demi memikul amanah-amanah tertentu atas perintah Rasulullah.
Bila Tok Penghulu Malim begitu asyek dengan Tok Lat, aku semakin rasa tersisih darinya. Aku dilamun kerinduan saat-saat bersamanya. Dari hari ke hari, aku semakin rasa kehilangan dari perdampingan dengannya dan personaliti-personaliti yang hebat. Siapalah lagi yang perlu aku dekati setelah nama Ayah La aku padamkan dari perkamusan hatiku? Siapa lagi? Dengan Cikgu Zan agak jauh. Lagi pun dia nampaknya lebih akrab dengan Ayah La berbanding dengan gurunya sendiri iaitu Tok Penghulu Malim.
Namun aku tetap tidak boleh bersabar apabila rasa terlalu lama tidak bertemu dengan Tok Penghulu Malim.Untuk membolehkan aku menemuinya, terpaksalah aku lebih kerap menghubunginya untuk membuat temujanji. Waktu petang dan malam memang masa yang mustahil kerana waktu itulah dia ke rumah Tok Lat. Setelah beberapa kali mencuba baharulah akhirnya dapat aku mengunjunginya. Dia memperuntukkan masa buatku.
Di ruang tamu rumahnya sekarang.
Tok Penghulu Malim menceritakan bahawa sepanjang lebih satu bulan yang lalu, dia telah dikurniakan terlalu banyak ayat oleh Tok Lat. Bukan ayat al Quran tetapi ayat-ayat seperti ayat al Quran juga bunyinya yang perlu dihafal dan diamalkan.Ayat yang diturunkan oleh Moyang melalui kalam Tok Lat. Tok Penghulu Malim menyalinnya ke dalam buku. Ayat-ayat yang mengandungi berbagai-bagai kelebihan dan kehebatan untuk diri peribadi terutama dalam waktu kecemasan dan peperangan.
`Tok Lat kata, bila dia tak ada nanti, sayalah yang akan ganti dia’, berseri-seri wajah Tok Penghulu Malim menceritakan kepadaku amanat yang tersangat hebat itu.
`Sebab itulah ayat-ayat itu diturunkan kepada saya’
Aku mendengar dengan rasa yang cukup hormat kepada Tok Penghulu Malim. Sungguh bertuah Tok Penghulu Malim sekarang. Dari Tok Ayah Sohor dia mendapat amanah yang tersangat besar – menabalkan raja-raja Melayu demi kebangkitan Melayu.Dan nanti, akan menduduki tapak Tok Lat pula untuk menjalankan tugas-tugas tertentu yang tidak diketahui oleh sesiapa pun dari kalangan manusia biasa.
`Bila saya mati nanti’, Tok Penghulu Malim menyambung bicara dengan air mukanya yang terus berseri-seri.`Saya akan zahir kembali. Ilmunya sudah Tok Lat berikan’
Aku semakin terpegun.
`Kalau Tok Lat masih ada?’.
`Maksudnya?’
`Katakanlah Abang Malim meninggal dunia, tapi Tok Lat hidup lagi, bolehkah Abang Malim zahir kembali dan menjalankan tugas-tugas seperti Tok Lat?’
`Oooo. Tak boleh. Tentu tidak boleh.Orang macam Tok Lat tak boleh ada dua pada satu-satu masa atau pada satu-satu tempat’
`Jadi?’
`Salah seorang mesti pergi...’

`Maksudnya?’

`Katakanlah saya mati dan zahir kembali.Salah seorang dari kami berdua mesti berpindah ke tempat lain’
`Kenapa?’
`Takut berjumpa’
`Kalau berjumpa?’
`Salah seorang darinya pasti akan mati’, Tok Penghulu Malim menjawab dengan yakin.` Oleh kerana itu salah seorang mesti berpindah ke tempat lain.Macam Tok Lat dengan Aingah Awang di Pantai Mengkareng.Tak boleh berjumpa’
`Aingah Awang?’,aku terkejut dengan satu nama baru pula. Aku tahu di mana letaknya Pantai Mengkareng.
`Dia jenis macam Tok Lat juga’, Tok Penghulu Malim menjelaskan.
`Orang yang zahir kembali?’
Tok Penghulu Malim mengangguk.
`Siapa asalnya?’, aku mendesak bagai tak sabar untuk mengetahui siapa pulakah orang lama yang baru ditemui itu.
`Megat Laksamana Bentan’
`Megat Laksamana Bentan?’, aku kenal nama panglima yang masyhur itu.
`Yang menikam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang?’, aku bagaikan menyuluh di dalam terang.
Tok Penghulu Malim sekadar tersenyum.
`Siapa beritahu?’, aku bertanya pula
`Tok Latlah’
Wah! Terbuka lagi satu rahsia. Lalu aku berazam untuk mengenali Aingah Awang. Aku ingin mengenali panglima Melayu yang masyhur itu, panglima yang masyhur dalam tragedi yang telah difilemkan. Watak Megat Laksamana Bentan dipikul oleh Nordin Ahmad salah seorang lagenda filem Melayu klasik dalam filem Sultan Mahmud Mangkat Di Julang.
Tapi pada pertemuan dengan Tok Penghulu Malim kali ini aku tidak bermaksud untuk menyelongkar kesah Megat Laksamana Bentan, kerana aku masih belum puas untuk mengetahui kehebatan Tok Lat berdasarkan pengalaman Tok Penghulu Malim bersamanya ke sana ke mari.Tok Penghulu Malim lantas meceritakan bahawa Tok Lat dengannya selalu keluar bersama ke beberapa tempat tertentu pada waktu malam. Mereka pergi kerana Tok Lat mahu memperkenalkan Tok Penghulu Malim kepada sistem pentadbiran alam dengan memperkenalkan kepada petugas-petugas, pengawal-pengawal dan penunggu-penunggu negara dan tanah air. Ada juga ketikanya Tok Penghulu Malim diminta pergi sendirian ke kawasan-kawasan tertentu. Selalunya bila dia pergi bersama Tok Lat atau pergi sendirian atas arahan Tok Lat, akan tersingkaplah apa-apa yang aneh dan menakjubkan kepada Tok Penghulu Malim.
Tok Penghulu Malim menceritakan bagaimana Tok Lat pernah menunjukkan kepadanya ilmu berjalan di dalam tanah, apabila Tok Penghulu Malim ingin melihat sendiri kebenarannya. Ilmu ini, Tok Penghulu Malim telah menerimanya dari Tok Lat.
`Saya tengok sendiri!’, Tok Penghulu Malim bercerita dengan penuh kekaguman pengalamannya bersama Tok Lat itu.`Dia tiba-tiba berpusing macam gasing. Dan ketika tubuhnya terbenam ke dalam bumi sampai pada paras pinggang, saya kata: Cukup Tok! Cukup! Saya sudah rasa takut. Risau juga kalau dia betul-betul hilang di dalam tanah’
Maklumat-maklumat dari Tok Penghulu Malim itu menambahkan keyakinanku mengenai kehebatan Tok Lat sebagai insan hakikat makrifat. Insan yang pernah berada di muka bumi ini sejak entah zaman bila. Pada waktu hidupnya yang pertama, dia telah mencapai martabat insan hakekat dan makrifat. Kemudian di zahirkan kembali sebagai Tengku Shafie yang kemudiannya menyamar sebagai Tok Lat. Itupun sekadar telahanku. Entah ya entahkan tidak, atau entah telah berapa kali dia telah zahir kembali, aku sendiri tidaklah dapat pastikan.
`Satu perkara lagi yang ajaib dari Tok Lat ialah bila balik dari Tanah Merah’, Tok Penghulu Malim membuka satu lagi pengalamannya dengan Tok Lat.`Saya pergi berdua sahaja. Pada pukul 12.00 malam kami bertolak pulang dari balaisah Tok Ayah Sohor di Tanah Merah. Yang ajaibnya, pukul 12.30 sudah sampai ke rumah’
Aku tercengang.

`Rumah ini?’

`Ya’
`He!’, aku terjerit.`Hampir 400 km Abang Malim! Betukah?’
`Betul!’, Tok Penghulu Malim bernada tegas sambil mengangguk
`Ikut jalan mana?’, aku bagaikan ingin mengurangkan rasa terkejut kerana manalah tahu kalau-kalau ada jalan pintas.
Kalau mengikut jalan biasa tentulah memakan masa empat hingga lima jam.
`Jalan biasalah’, dia menjawab dengan nada bersungguh-sungguh.
`Tapi...Macam mana?’
`Rasa macam biasa saja.Memandu macam biasa, di jalan biasa’.
`Ada kereta-kereta lain?’, aku masih berusaha mengurangkan keraguan.
`Ada! Macam biasa juga. Tapi...Heran! Selepas hantar Tok Lat ke rumahnya, saya pun balik ke rumah saya. Bila tengok jam, saya sangat terkejut, baru pukul 12.30 malam.Ertinya perjalanan dari Tanaah Merah ke sini cuma berlalu dalam tempoh setengah jam sahaja’.

`Ajaib....’, aku bagaikan berbisik.
Aku merenung mata Tok Penghulu Malim bagaikan cuba menyingkap apakah ini suatu gurauan. Perjalanan sejauh hampir 400 km boleh sampai dalam tempoh setengah jam? Gurauankah?
`Payah nak percaya bukan?’
Aku mengangguk.
`Saya tidur di dalam kereta sampai pagi.Malas nak gerak akak, takut dia terkejut’
Aku menelan kesah itu dengan ketakjuban yang tidak terhingga. Maklumat yang disampaikannya menyebabkan aku semakin memandang tinggi kehebatan orang-orang yang mencapai makam hakikat makrifat. Tok Lat telah menujukkan bukti bahawa kematian pada martabat ini adalah kematian yang sangat mulia. Oleh kerana begitu mulia dan tinggi martabatnya, dirinya masih diperlukan oleh dunia.Inilah maklumat tertinggi dalam kehidupan Tasauf yang manusia ramai tidak mengetahuinya. Demikian kepercayaanku.
Kepada Tok Penghulu Malim pun aku semakin hormat dan memandang tinggi apabila mengetahui beliau telah dianugerahi ilmu yang menjadi pakaian orang-orang martabat hakekat makrfat.Ilmu yang tidak diketahui oleh sesiapa jua termasuk Ayah La sendiri.Kini aku tiba-tiba merasakan aku tidak rugi apa-apa dengan ketiadaan Ayah La dalam perjalanan Tasaufku.Malah aku merasakan aku lebih bertuah berbanding dengan dirinya kerana terbuka kepadaku suatu dimensi yang tidak terbuka kepadanya walaupun dia sangat berhasrat mencarinya.
Dalam kunjungan ke rumah Tok Penghulu Malim ini aku berhasrat juga ingin mengetahui kesah perkembangan kebangkitan Melayu, mengenai keris-keris tubuh negeri, keris pertabalan, senjata pahlawan-pahlawan silam dan sebagainya sebagaimana Tok Penghulu Malim telah ceritakan dahulu.Bila tajuk ini aku kemukakan Tok Penghulu Malim menjawab.
`Sudah ada semuanya. Semuanya sudah siap. Semuanya saya letakkan dalam satu bilik khas, siap dengan tabir warna kuning sekali. Sudah penuh sesak bilik itu sekarang.Kuning semuanya’
`Tok Ayah Sohorkah yang suruh buat begitu?’
`Tok Ayah Sohor dan Tok Lat’
`Kenapa mesti kuning?’
`Daulat Raja.Kebesaran Raja-Raja Melayu’
Tok Penghulu Malim nampak gembira dengan tugas-tugas yang telah dia laksanakannya.
`Tapi yang terkilannya semua keris-keris itu bukan saya yang punya. Saya sekadar menyimpannya sahaja buat sementara. Lepas itu akan diserahkan kepada raja-raja Melayu untuk menjadi keris kebesaran peribadi mereka. Saya sendiri tak ada keris peribadi’
`Keris peribadi?’
`Keris kebesaran peribadi!’, wajahnya terserlah sedikit rasa terkilan.``Ha! Itulah yang tak ada, sebab saya tak jadi raja’.
`Keris panglima?’
`Keris panglima ada’
`Keris siapa?’
`Hang Lekir’, dan wajahnya nampak sangat bangga memiliki keris salah seorang sahabat Laksamana Hang Tuah lima bersaudara itu.
`Untuk apa?’, aku menampakkan kejahilan.
`He! Untuk berperanglah!`, Tok Penghulu Malim bernada geram kerana kebodohan soalanku itu.
`Peperangan besar akan berlaku!’, dia memberikan informasi selanjutnya.

Aku tidaklah terkejut dengan maklumat itu. Peperangan adalah suatu yang memang akan berlaku kerana salah satu sunnah kebangkitan Islam ialah peperangan. Inilah Sirah Rasulullah saw. Setelah berada dalam zaman penindasan di Mekah, Rasulullah saw dan para Sahabat rh dihadapkan pula dengan Badar, Uhud dan Khandak di zaman Madinah. Peperangan tersebut adalah peperangan sesama sebangsa dan seketurunan. Serang-menyerang dan bunuh-membunuh antara anak dengan ayah, adik dengan abang, anak saudara dengan bapa saudara, sepupu dengan sepupu dan seterusnya. Semuanya itu adalah peperangan demi menegak dan mempertahankan akidah.
Pada zaman sekarang kesan dari sistem penjajahan dan dasar pecah dan perintah oleh Inggeris, sistem politik demokrasi yang diperkenalkan di Tanah Melayu, sebenarnya adalah titiktolak untuk perpecahan dan kemudiannya peperangan! Setiap pilihanraya adalah peperangan pada hakikatnya. Peperangan antara dua puak yang berlainan hala tuju. Satu adalah golongan yang mepertahankan sistem Yahudi dan satu lagi adalah puak yang mahu melaksanakan sistem Islam. Satu golongan mempertahankan sistem negara sekular Barat dan satu lagi mahu menegakkan Baldatun Toiyyibatun – Negara Islam. Sesungguhnya ini adalah masalah yang juga membabitkan akidah umat Melayu! Cuma anggota keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia dapat mengawalnya.
Kalau tidak ada kawalan yang ketat, nescaya Badar boleh berlaku!

Tidak cukup dengan masalah kronik yang menimpa Bangsa Melayu, Tanah Melayu dirumitkan pula oleh masyarakat majmuk! Sejarah komunisme, tragedi dua minggu pemerintahan Bintang Tiga, tragedi 13 Mei dan senario politik negara sejak akhir-akhir ini menggambarkan bagaikan bila-bila masa sahaja akan berlaku pertumpahan darah. Demikianlah kesan yang menimpa umat Melayu sebagai bangsa yang ditunjukkan untuk bangkit pada akhir zaman.
Sejak dari dulu-dulu lagi aku memang percaya, sistem yang dijalankan di seluruh dunia yang ditaja oleh Barat Yahudi, adalah sistem yang membawa kepada perpecahan, perbalahan dan peperangan kerana sistem-sistem berkenaan adalah sistem yang zalim, menindas dan tidak berperikemanusiaan. Kebangkitan Islam sejagat yang mahu menyingkirkan sistem Yahudi tersebut telah membawa kepada sengketa sebangsa yang kronik, perbalahan bahkan peperangan, berlaku di serata dunia iaitu kebangkitan golongan yang tertindas. Ironiknya mereka dilabel sebagai pengganas! Inilah kelicikan musuh Islam.Dan yang sedihnya orang Melayu percaya!
`Awak pun patut pergi ke rumah Tok Ayah Sohor. Manalah tahu kalau-kalau ada yang layak untuk awak pusakai’
Aku tercengang.
`Nenek-moyang awak, titisan awak pada zaman yang lalu, manalah tahu entah-entah awak dari keturunan panglima’
Aku sedikit gembira dengan saranan itu. Kalau berlaku peperangan tentulah senjata pahlawan-pahlwan silam amat penting. Sudah pasti ada kehebatan tersendiri. Aku pernah mendengar kehebatan pedang Zulfikar milik Rasulullah saw. Kehebatan Keris Taming Sari, pedang Panglima Salleh – sekadar beberapa contoh.
Sebenarnya aku memang pun sudah ada keinginan untuk menemui Tok Ayah Sohor. Ada suatu mimpi yang mahu aku sahkan darinya. Tapi aku masih teragak-agak, patut pergi atau tidak, kerana setelah kunjungan pertama dahulu, aku merasakan sekadar itulah apa yang sesuai untukku, kerana apa yang berbentuk kehebatan dan keistimewaan tentulah hanya untuk Tok Penghulu Malim yang aku sanjungi dan pandang tinggi itu. Aku tidak layak.
`Jangan lama sangat tak pergi. Patutnya paling lama tiga bulan, mesti pergi jumpa dia’, pesan Tok Penghulu Malim.
Bila perbualan dengannya telah sampai ke penghujung, akhirnya aku sampai kepada soalan kemuncak yang telah aku rancang untuk pertemuan itu.Aku lalu bertanya.
`Agak-agaknya Abang Malim, bilakah akan berlaku kebangkitan?’
Tok Penghulu Malim memandangku.Dia merenung mataku tepat-tepat.Sejenak diam berdiam diri. Tiba-tiba wajahnya bertukar menjadi hambar. Dia tersandar di kerusi. Air mukanya menampakkan rasa kecewa. Dia lantas mengambil Salem. Setelah menyalakan dan menikmati beberapa sedutan, lalu dia berkata dengan nada yang agak lemah dan perlahan.
`Itulah yang saya kesalkan...’

`Kenapa?’, aku bertanya dengan nada kecewa bercampur terkejut.
Lalu dia menceritakan dia telah diserahkan `kunci terakhir’ yang paling utama iaitu `keris kunci kebangkitan’ yang akan diserahkan kepada Nabi Ibrahim.Itu pesan Tok Ayah Sohor dan Tok Lat. Ini amanah yang paling penting. Dia menyatakan kesal yang teramat sangat, bila pada suatu petang menjelang Maghrib, tiba-tiba dia dikunjungi oleh seseorang yang meminta dia menyerahkan keris tersebut untuk satu tugas yang teramat penting. Dia meminta dipinjamkan hanya untuk satu malam sahaja. Tok Penghulu Malim menegaskan kepada tetamu yang tidak dikenalnya itu, bahawa dia samasekali tidak boleh menyerahkannya kepada sesiapa jua kecuali dengan kebenaran Tok Lat.Lelaki itu memberitahunya, dia adalah utusan Tok Lat. Mempercayai kebenaran maklumat itu, Tok Penghulu Malim lantas menyerahkan kepadanya. Tapi sehingga kini keris tersebut masih tidak dikembalikan lagi kepadanya.
`Tok Lat dah tahu?’, aku bertanya dengan nada yang sungguh hampa dan kecewa.
`Tahu! Saya sudah beritahu. Dia amat terkejut tapi nak kata apa lagi!
`Tok Ayah Sohor?’
`Tahu! Tapi Tok Ayah Sohor kata, biar dia uruskan semula’
`Jadi, bagaimana dengan kebangkitan Melayu?’
Tok Penghulu Malim menggeleng-geleng.
`Dan dengan Nabi Ibrahim? Bagaimana kesahnya?’
Tok Penghulu Malim sekali lagi menggeleng-geleng.
`Saya tidak dapat menepati masa yang ditetapkan’, nada kecewa dilahirkan, dan Tok Penghulu Malim masih tersandar di kerusi. `Orang macam itu sentiasa menepati masa. Lambat sedikit pun, dia dah tak tunggu lagi’
`Jadi tak dapat berjumpalah?’, aku mahukan kepastian.Nadaku ketara begitu kecewa.
Tok Penghulu Malim menggeleng-geleng dengan wajah yang semakin kecewa.
`Dia dengan tugasnya yang lebih sibuk, bergerak dari satu tempat ke satu tempat mengikut masanya. Tok Lat beritahu kepada saya supaya berada di tempat itu pada jam 4.30 petang.Hari itu jalan sesak sungguh. Berengsot-engsot kereta berjalan macam kura-kura. Saya tiba terlambat’
`Tak dapat jumpalah?’
Tok Penghulu Malim menggeleng-geleng lagi.
Berita itu amat mendukacitakanku! Aku telah berada dalam penantian untuk mengharapkan beralihnya kekuasan dari sistem Barat kepada sistem Islam sejak akhir 1970an. Aku terharap-harap akan berlaku peralihan kuasa pada akhir 1990an atau awal 2000an bersempena dengan munculnya watak-watak yang hebat - Tok Ayah Sohor,Tok Lat dan Tok Penghulu Malim.
Jika sudah berlaku aral sedemikian – aral oleh kealpaan dan kesilapan Tok Penghulu Malim, bilakah akan bermulanya sebuah era baru, era kebangkitan Melayu?

Entahlah.....Aku cukup kecewa!









28 Ogos 2009

17.
ALLAH TAALA MARAH.

Setelah tamat satu tugas di luar ibu pejabat aku sekeluarga terus menuju ke rumah Ayah La di Bukit Tempayan.Keretaku masuk ke halaman rumah Ayah La pada waktu hari telah agak petang iaitu sekitar jam 5.30 petang. Semasa kami tiba, aku terlihat melalui celahan pintu ruang tamu yang sedikit terbuka, ada tetamu di rumahnya. Aku tidak pula pasti siapa.Tapi aku perasan Ayah La yang mengadap ke muka pintu menyedari ketibaanku.
Aku belum lagi mematikan engin kereta.Entah mengapa aku dan isteriku tiba-tiba dapat merasakan satu perasaan yang sama – seakan-akan ketibaan kami kurang dihargai. Apakah kami mengganggu? Aku tidak pasti. Apakah kami terlalu kerap datang kerana pada hari semalam kami telah singgah sekejap di sini?

Petang semalam kami singgah sebentar di sini untuk memulangkan anak kucing yang Ayah La berikan pada minggu sebelumnya. Pada hujung minggu yang lalu, kami telah berkunjung ke rumah Ayah La. Bila tiba saat untuk pulang, anak-anakku tiba-tiba terlihat beberapa ekor anak kucing yang comel. Anak-anakku merengek mahukan anak-anak kucing tersebut. Ini menyebabkan aku bersama isteri menjadi serba tak kena dengan kerenah anak-anak.

Baharulah kami sedar rupa-rupanya Ayah La seorang yang tersangat sayangkan kucing. Seekor anak kucing cicak yang disukai oleh anak-anakku – dan ialah yang paling comel, rupa-rupanya adalah anak kucing yang paling disayangi oleh Ayah La. Dia lantas mencium hidung anak kucing itu sehingga berdesit-desit bunyinya sebelum diserahkan kepada anak-anakku. Tapi sebelum kami bertolak pulang, dia meninggalkan satu pesanan:
`Kalau anak kucing itu tak boleh dijaga, pulangkanlah balik kepada Ayah. Begitulah juga kalau dia sakit’.
Selama beberapa hari ternyata anak kucing tersebut memang tidak serasi dengan kami walaupun mendapat kasih-sayang sepenuhnya dari anak-anak dan isteriku.Kerinduan kepada adik beradik dan ibunya, menyebabkan anak kucing cicak tersebut, sentiasa dilamun kesedihan sehingga tidak mahu makan. Akhirnya anak kucing tersebut demam.Terpaksalah aku merancangkan satu tugas di luar ibu pejabat untuk membolehkan kami mengembalikan anak kucing tersebut kepada Ayah La.
Oleh kerana pada hari semalam aku tidak sempat bersimbang ilmu dengan Ayah La – singgah semata-mata untuk memulangkan anak kucing – apakah kunjungan kami pada hari ini menjadikan kami terlalu kerap berkunjung? Entahlah. Dan apakah kami tidak boleh datang terlalu kerap? Entahlah.
Ilmu Tasauf sesungguhnya adalah ilmu mengenai hati – perhubungan hati, rasa dan perasaan sesama manusia.Lalu di hatiku, aku memang mengakui, aku sudah teramat kasih kepada Ayah La! Kasih kepada guru! Dan lebih dari itu, bagaikan kasih kepada bapa kerana kebetulan bapaku telah tiada! Aku seoalah-olah anak kepada kedua ibu bapa, Ayah La dan Mak! Apakah kami, terutama diriku sendiri telah terperangkap oleh istilah Ayah dan Mak, yang dibahasakan oleh mereka sehingga aku menjadi `anak manja` kepada mereka berdua, lalu di hati ini ingin selalu mengunjungi mereka? Entahlah!
Keretaku masih belum dimatikan walaupun beberapa minit telah berlalu.Hatiku tiba-tiba menjadi gelisah dan ragu.Mahu singgah atau mahu pulang sahaja? Kami suami isteri berpandang-padangan. Keputusan masih tidak ada. Keramahan, kemesraan dan ketulusan dari Ayah La memang dinanti pada saat seperti itu, tapi nampaknya tak kunjung tiba.
Sejurus kemudian baharulah Li –anak tunggal lelaki Ayah - membuka pintu dan mempersilakan kami masuk. Di ruang tamu, aku mendapati Ayah La bersama Li dan seorang cikgu di sebuah sekolah menengah – memang menurut gerak rasaku, sedang membicarakan satu hal yang serius dan tinggi.
Memanglah kehadiran aku sekeluarga menggangu mereka! Anak muda tersebut adalah anak murid asuhan Ayah La sejak sekian lama.
Bila aku hadir bersama mereka, aku dapat membaca wajah Ayah dan tetamunya yang saling berpandangan dalam muafakat bersetuju menamatkan bicara sebelumnya. Jadi bicara selepas itu adalah bicara biasa sahaja terutama antara aku dengan cikgu itu, yang banyak berbicara mengenai bidang kerjaya yang hampir sama.

Sedang bersimbang-simbang itu, tiba-tiba Mak terjerit di dapur.Kami semua bergegas ke dapur. Rupa-rupanya kuali disambar api.Habis hitam keropok yang sedang digoreng. Api memang cukup tinggi dan menimbulkan suasana yang agak cemas. Aku lihat Ayah La berdiri terpacak. Dia bagaikan tidak dapat melakukan apa-apa. Aku cemas tidak keruan, tapi tidak juga tahu berbuat apa-apa. Semua kami berdiri terpaku. Kepanikan menyelubungi suasana. Mak sebagaimana sifatnya orang-orang perempuan, berkeriau tak ketahuan. Ketika dalam suasana tak keruan itulah tiba-tiba anak murid Ayah La tersebut, meluru ke suatu sudut dan mengambil sehelai kain guni. Dengan cepat dia mencampakkannya ke atas kuali. Tertutuplah seluruh badan kuali itu dan dengan begitu terpadamlah api. Semua orang menjadi lega dengan tindakannya itu.
Selepas minum dan makan keropok goreng, anak murid Ayah La pulang ke rumahnya. Tinggallah kami anak beranak bersama Ayah La, Mak dan Li.Dengan Ayah La, aku mula mahu membuka medan sembang ilmu. Tapi ternyata tidak ada fokus. Ayah La pula nampaknya tidak cukup ceria. Oleh kehilangan fokus, aku tiba-tiba bertanya kepada Ayah La mengenai sembahyang jamak dan qasar. Apakah ada cara lain, selain cara yang memang aku amalkan itu, kalaulah ada, kerana solat jamak dan qasar adalah jalan syariat. Apakah ada cara-cara hakekat?
Soalanku itu mungkin teramat bodoh, dan memang bodoh pun. Mungkin tak seharusnya ditanya, atau hanya orang-orang yang teramat jahil sepertiku sahaja yang bertanya. Ayah La tanpa terduga memberikan jawapan yang mengejutkan:
`Takkanlah itu pun nak tanya Ayah!!’,tinggi nadanya.`Tok Penghulu Malim sudah lebih dua puluh tahun menjadi khalifah, takkan itu pun dia tak ajar!!’
Aku tiba-tiba jadi terkedu oleh cara jawapan dan nada suara Ayah La.Terkelu sebentar lidahku. Ayah La nampaknya tidak sudi meladeniku dengan lembut dan mesra sebagaimana selalunya. Dia nampaknya tidak mahu menghuraikan atau menerangkan apa-apa buatku mengenai persoalan yang aku kemukakan. Dia sebaliknya banyak berdiam diri. Tidak peramah dan tidak ceria seperti selalu. Dia bagaikan tidak sudi untuk membuka medan ilmu atau medan sembang. Aku dalam keadaan menggelabah dan sedikit kalut, mencari modal baru untuk disembangkan. Aku lantas bertanya pendapatnya mengenai Pak Abu bin Darasan. Pak Abu adalah anak murid Kiai Salleh yang telah aku kesahkan dalam Bab (2) KENAL DIRI...KENAL MATI, KENAL MATI, KENAL SAAT MATI!
Aku ingin ketahui, apakah pendapat Ayah La mengenai Pak Abu, apakah pegangannya sudah tersasar dari jalan lurus kerana dia terkenal melahirkan anak-anak muridnya yang mengabaikan solat dan tidak bersolat Jumaat. Bualan persis demikian pernah aku bicarakan kepada orang-orang pada martabat persis Ayah La sewaktu di Raub dulu.Begitu juga dengan Tok Penghulu Malim.
Ayah dengan nada seperti tadi, tapi kali ini penuh pula dengan sindiran menjawab.
`Ha! Pergilah berguru dengan dia! Dia tinggi! Banyak ilmu!’.

Ayah rupa-rupanya tidak menjawab soalanku, tidak menerangkan mengenai Pak Abu tetapi aku sebaliknya telah dibelasah dengan sindiran.Terasa darah menyerbu muka dengan sindiran Ayah itu dan selepas itu mulutku terus terbisu.Isteriku juga mendapat bahang yang sama. Anak-anakku Kak Long dan Kak Ngah, walaupun mereka masih kecil, tapi wajah mereka terpamer ketegangan di dalam suasana sepi itu.
Hari telah kian petang. Maghrib akan tiba dalam tempoh kira-kira 20 minit lagi. Aku telah kehilangan cara dan bicara. Isteriku nampak berwajah muram.Bila kehilangan cara dan bicara, aku memberi isyarat kepada isteriku. Aku tahu dia juga terluka sepertiku, lalu kami sama-sama mengisyaratkan untuk pulang setelah sama-sama merasakan kehadiran kami tidak diperlukan lagi.

Bila aku menyatakan hasrat kepada Ayah La dan Mak, Ayah La tiba-tiba mencadangkan supaya aku tunggu sehingga selesai solat Maghrib. Aku tidak pasti apakah itu sekadar mengambil hati atau suatu yang memang benar-benar ikhlas. Aku juga tidak pasti apakah itu suatu yang perlu aku akuri atau tidak. Tapi aku sebenarnya sudah cukup rimas di rumah ini. Hatiku telah terluka. Aku tidak sanggup untuk berada lebih lama lagi. Kami akhirnya melangkah pergi.
Sehingga kami keluar dari simpang rumahnya ke jalan besar, sehingga perjalanan kami telah berpuluh-puluh kilometer jauhnya meninggalkan rumah Ayah La, aku dan isteriku tidak berkata apa-apa. Kami bungkam, terkedu dan kecil hati. Walaupun mulut aku menjadi bisu, tetapi mindaku riuh-rendah. Hatiku bermonolog. Setelah sekian lama dalam perjalanan baharulah aku bersuara:
`Abang tak mahu pergi lagi ke rumah Ayah La’, suaraku sayu. Memang aku sedih kerana hatiku baru saja cuba meletakkan kasih, mencari sayang.
`Macam orang tak suka aje!’, isteriku menjawab.
`Memang! Apa salah kita?’
`Entah!’
Aku diam sebentar. Aku berhati-hati memandu seperti tadi. Rasa gementar masih belum reda.Rasa malu, rasa kecewa dan sebagainya berkecamuk di dalam jiwa. Aku perlu menenangkan diri ketika memandu kerana membawa lima nyawa yang amat aku sayangi.
`Allah Taala marah!’, aku bersuara lagi.Isteriku diam sahaja. `Ayah La orang makrifat. Orang yang kenal Allah. Jadi agaknya Allah Taala marah kepada kita’, aku berkata lagi.

Pada ketika itu aku masih dalam proses memahami hakikat Zat, Sifat, Asma dan Afaal. Maka pada pendapatku ketika itu, bila orang pada martabat Ayah La marah, maka Allah lah yang marah. Dan ini amatlah menakutkan! Apakah kami akan ditimpa bala bencana dan nasib malang? Aku berdoa dan beristighfar, semoga Allah menjaga dan memelihara aku sekeluarga.
`Tak apa’, aku bersuara memujuk diriku. Juga memujuk isteriku.`Kita ada Tok Lat, Tok Ayah Sohor dan Tok Penghulu Malim’.
Isteriku masih berdiam diri.
`Ayah La tak jumpa lagi orang seperti Tok Lat, sedangkan dia mencarinya. Tapi kita dah jumpa. Tak mengapa...’, aku memujuk lagi dua hati yang terluka.
Itulah kali terakhir aku mengunjungi Ayah La. Walaupun Cikgu Zan berkali-kali merujukkan nama itu kepadaku apabila kami bertemu dan sentiasa menyanjung setinggi langit dengan memberikan berbagai-bagai gambaran yang menarik,namun aku tetap tidak pergi. Aku tidak pasti apakah Cikgu Zan tahu atau tidak mengenai kesahku sehingga aku tetap enggan untuk menziarahi Ayah La. Bila namaku pernah dirujuk oleh Cikgu Zan kepada Ayah La mengenai tarafku beberapa tahun kemudian, Ayah La mengatakan aku perlu berlipat kali ganda dalam berzikir untuk naik darajat. Tapi aku tetap tidak peduli! Entahlah.
Bahawa sesungguhnya aku telah mendapat alamat sebelum ini, bahawa akan ada sesuatu yang tidak cukup harmoni antara Ayah La dengan aku.Seolah-olah ada satu salah faham dalam kalangan orang-orang tersebut – golongan Ayah La denganku, lalu sahabatku Piei datang dengan membawa sebilah pedang untuk bertarung di pihakku.Pada ketika itu aku tidak dapat mentafsirkannya.
Sehinggalah Ayah La dikhabarkan oleh seorang rakan sekerja yang juga tinggal di Kampung Tempayan memberitahuku Ayah La sedang tenat dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir pada bulan Mei tahun 2009, aku tetap keberatan untuk menziarahinya...Al Fatehah...

26 Ogos 2009

16.
BERTEMU ORANG TUA PURBA.

Pukul 4.30 petang aku bersama isteri sampai di Lorong Lengkok Kiri, Tanah Hitam Lama. Aku mencari rumah No 314 yang pada pintunya tertulis tulisan kuning nama TOK LAT seperti tanda nama ke rumah Tok Ayah Sohor juga. Menurut Tok Penghulu Malim di rumah murah itulah Tok Lat tinggal.Sejurus mencari sampailah aku ke rumah berkenaan. Pintunya sedikit terbuka. Oleh kerana lorong agak sempit di situ, aku tidak dapat meletakkan kereta dan terpaksalah membuat satu pusingan semula. Aku meletakkan kereta di hujung deretan bangunan tempat aku mula-mula sampai tadi dan terpaksalah berjalan kaki kira-kira 40 meter ke rumah berkenaan.
Hatiku sedikit tertanya-tanya. Bagaimanakah orangnya nanti? Berdebar pun ada, gembira pun ada. Berdebar, gembira, dan penuh tanda tanya.Maklumlah akan berhadapan dengan seorang yang menurut sangkaanku tentunya luar biasa. Seorang yang lain dari yang lain. Orang yang pernah mati, pernah melalui proses kematian dan kemudiannya dihidupkan kembali. Dihidupkan kembali atas perintah Rasulullah untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab.
Bila sampai di muka pintu bersama isteri, aku lantas memberi salam kepada seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di kerusi.Salamku segera dijawab oleh lelaki itu dan kami suami isteri dipersilakan masuk.Orangnya bertubuh kecil sahaja.Tidak berbaju tetapi menyelimutkan bahunya dengan sehelai tuala. Dia mungkin tidak cukup selesa dan rimas oleh cuaca panas petang yang membahang walaupun sebuah kipas kecil berpusing di sisinya.
`Saya berhajat nak berjumpa Tok Lat’, aku bersuara dengan hormat.Orang tua itu merenungku lantas menegakkan duduknya.Sejurus merenung, kemudian dia bersuara.
`Toklah, Tok Lat’.
`Oooo. Maafkanlah. Saya tak kenal’
Kami bersalam-salaman. Aku suami isteri dipersilakan duduk. Kemudian Tok Lat berseru meminta isterinya keluar. Sejurus kemudian keluarlah seorang perempuan yang usianya menurut tafsiranku dalam sekitar enam puluhan.
Bersalam-salamanlah dengan isteriku.
`Apa hal?’, aku ditanyai Tok Lat.
`Saya diberitahu oleh Tok Penghulu Malim mengatakan Tok boleh berubat’.
`Oooo. Tok Penghulu...Sakit apa?’
Aku lalu menceritakan bahawa dadaku terasa kering dan kosong sejak lebih satu tahun yang lalu. Aku belum pernah meminta rawatan doktor. Pada mulanya aku beranggapan masalah ini berpunca akibat kekurangan air. Lalu aku meminum air dengan kuantiti yang banyak. Dan ianya ternyata berkesan. Tetapi usaha itu hanya ikhtiar sementara sahaja. Sejak akhir-akhir ini ternyata dengan meminum air yang banyak pun tidak berkesan lagi. Inilah yang agak menggusarkanku.

Sewaktu lawatan kerja ke Swan Dusit Institut di Bangkok, aku pernah meminum sejumlah kuantiti yang banyak air yang berais untuk menghilangkan rasa kering di dada.Aku terlupa bahawa sebentar lagi akan mengalami trip perjalanan untuk satu lawatan ke sebuah institut. Sejurus selepas bertolak, tiba-tiba aku diserang oleh keinginan untuk membuang air kecil. Pada mulanya aku menjangkakan jaraknya agak dekat sahaja dan aku berharap masih boleh menahannya. Akan tetapi setelah satu jam berlalu, ternyata aku tidak lagi dapat bertahan. Sementara menanti tiba di sebuah stesen minyak, bagaikan meletup rasanya pundi-pundi kecingku menahan keinganan membuang air kecil yang tidak terperikan.
Tok Lat lantas mencapai kupiah kuning di sisinya dan meletakkan di kepalanya. Seterusnya dia mengambil sebatang lilin dan menyalakannya. Kemudian dia membaca sesuatu.Selepas siap membaca, dia menitiskan lilin yang cair ke dalam sebuah mangkuk yang berair. Dia menggerak-gerakkan lilin itu ke sana ke mari di sekitar permukaan air di dalam mangkuk kecil itu. Sejurus dia begitu. Bila selesai dia memadamkan lilin dan mengeluarkan lilin cair yang telah mengeras di dalam mangkuk yang bentuknya telah menjadi satu kepingan bagaikan rempeyek. Sejurus dia merenung dan membelek-belek. Aku dan isteri memerhatikan sahaja. Sambil merenung lilin cair yang telah menjadi keras itu, dia pun berkata:
`Cikgu mengidap sakit gestrik dada.’, dia menerangkan. Aku belum pernah lagi mendengar nama sakit seperti itu.
Dia lalu memperincikannya dengan membuat hubungkait antara nafas, peredaran udara di dalam paru-paru dan air. Huraiannya nampak ilmiah dan saintifik. Aku jahil dalam ilmu perubatan dan biologi.Jadi tidaklah dapat aku pastikan huraiannya samada betul atau tidak. Tapi untuk menafikannya aku tidak mampu sama sekali.Apa pun huraiannya begitu menarik dan jelas.
`Apa puncanya Tok’, isteriku bertanya.
Tok Lat merenung kepada kepingan lilin itu semula. Kemudian dia bersuara.
`Masa kecil-kecil dahulu suka makan sisik ikan tamban’, dia memandangku sambil tersengih. Aku mengingat-ngingat kesah masa kecil.
`Yang paling cepat dan bisa, sisik ikan tamban yang direbus atau dikukus ’
Aku dan isteri berpandangan. Pada masa aku kecil-kecil dahulu memang aku suka makan ikan tamban di cecah dengan ubi kayu. Bila dewasa, baru beberapa tahun yang yang lalu aku tiba-tiba suka meratah mentah-mentah, anak-anak ikan tamban yang dikukus yang dibeli dari kedai ikan masin Seng Kee. Kadang-kadang aku buat lauk mentah-mentah atau digoreng makan dengan nasi sebagai ganti ikan masin. Aku sedikit tergamam dengan penjelasan Tok Lat itu.
`Itulah Tok’, isteriku bersuara.`Tiba-tiba saja dia berkenan benar meratah mentah-mentah anak ikan tamban kukus yang dibeli dari kedai Seng Kee’.
Tok Lat terkebil-kebil.
`Penyakit ini kalau di bawa kepada doktor mungkin doktor akan belah dada Cikgu’.Tok Lat menerangkan selanjutnya. Aku tiba-tiba menjadi ngeri mendengar ramalannya. Menurutnya lagi dadaku akan di belah dua dan dibuka untuk dicuci rongga dada dan paru-paru. Kalau pulih pun aku akan kehilangan tenaga semulajadi. Ertinya tidaklah lagi kuat seperti biasa.
`Ada ubatnya Tok?’, aku bertanya dengan nada cemas tapi penuh harapan.
`Ada’, jawabnya. Dan dengan jawapannya itu aku menjadi sedikit tenteram.`Tapi ubat ini susah nak mendapatkannya, Cikgu. Orang yang membuat ubat itu, sewaktu mencari ramuan membuatnya, ibarat ’haus tapak kaki’ mencarinya’.
Tok Lat lalu menerangkan dia hampir setiap hari pergi ke Dungun pergi ke kedai ubat Pak Syeikh. Kedai itu mendapat bekalan dari Yunan, China kerana Pak Syeikh adalah keturanan Yunan dan pakar dalam ubat-ubatan China. Tok Lat mendakwa dia pernah tinggal lama di Yunan belajar ilmu ketuhanan. Dia menerangkan bahawa dia boleh membaca dan bercakap Yunan. Sebab itulah hubungan dia dengan Pak Syeikh akrab. Tok Lat juga menerangkan dia boleh berbahasa Arab. Apa yang tertera pada lilin cair tadi adalah kalimat Arab yang perlu ditafsirkan. Sesiapa yang boleh membaca Arab dia boleh tunjukkan lakaran pada kepingan lilin tersebut.
Selepas membayar sejumlah yang ditetapkan, kami mula bersembang.Mulanya aku yang banyak ditanya.Bila sampai giliranku bertanya, aku berusaha untuk mengorek misterinya. Setelah satu jam perbualan, kesimpulan mengenai Tok Lat adalah seperti berikut:
Tok Lat pernah tinggal di Dungun, Terengganu dan berkahwin di sana. Dia dikurniakan seorang anak perempuan. Anak perempuannya telah berkahwin dan melalui satu-satu anaknya itulah, Tok Lat dikurniakan beberapa orang cucu. Cucunya yang sulung tinggal bersamanya dan sedang belajar kelas malam untuk mendapatkan sijil kemahiran. Selepas isterinya meninggal dunia, dia meninggalkan Dungun dan bekerja di merata-rata tempat sebagai buruh kilang papan, mencari rotan manau dan berniaga kain di pasar lambak di bawah pokok. Di bawah pokoklah dia bertemu isterinya sekarang.
Isteri Tok Lat yang membahasakan dirinya Mak, menerangkan, Tok Lat pada ketika itu berniaga kain batek. Mak menyedari peniaga itu, iaitu Tok Lat adalah seorang yang begitu permurah dan teramat belas kasihan kepada sesama manusia. Setiap hari dia dapati ada sahaja orang, terutama orang perempuan yang suka mengambil kesempatan di atas kemuliaan hati peniaga itu.Biasanya bila pelanggannya terutama orang perempuan meminta tawar, Tok Lat terus sahaja bersetuju walaupun hargnya jauh lebih rendah berbanding harga modal. Ada pula yang sanggup merayu, meminta supaya diberikan secara percuma kerana mengaku tak ada duit. Mak mendapati peniaga itu sentiasa kasihan dan tak sampai hati dengan rayuan pelanggannya.Peniaga itu sentiasa tunduk dengan rayuan, lantas terus bersetuju menghadiahkan secara percuma. Inilah yang menarik hati Mak kepada peniaga itu.
`Daripada orang tipu dia, baik Mak yang tipu dia. Lalu Mak ambil dia sebagai suami’, kata Mak.

Lantas Mak yang telah lama menjanda berkahwin dengan Tok Lat. Ini berlaku pada awal 1990an. Sejak itu tinggallah Tok Lat di rumah yang Mak beli hasil bekerja di sebuah kilang papan.
Mengikut cerita Tok Lat,dia pernah juga tinggal di Triang, mengikut orang bekerja menebang balak. Sewatu di Jerantut dia rapat pula dengan Pawang Nong dan memawang tanah membuka Wilayah Jengka atas perintah Tun Abdul Razak. Tok Lat juga pernah tinggal di hutan dekat Tasik Cini bekerja mencari rotan manau.
Ayahnya berasal dari Raub.Menurutnya masih ada tanah ayahnya di Raub di kawasan Cheroh. Pada geran asal, dakwanya, masih ada nama ayahnya yang bernama Tengku Husin. Pada zaman mudanya, ayahnya berkelana ke Kedah untuk mengesan jejak warisan kerana keturunannya adalah dari kerabat diraja Kedah- Perlis dan Patani.

Di Kedah ayahnya berusaha untuk mendekati golongan istana.Ayahnya terpaksa menyertai sayembara pertarungan menentang harimau berantai raja kerana dengan cara itulah dia dapat memenangi hati sultan. Diceritakan Sultan Kedah sentiasa berusaha mendapatkan seorang yang lebih perkasa untuk menggalas tugas sebagai harimau berantai.Pertarungan yang sengit menggunakan kebatinan berlangsung dan akhirnya ayahnya berjaya dalam sayembara tersebut. Sejak itu dapatlah ayah Tok Lat berada dalam kalangan istana. Ayah Tok Lat akhirnya berjaya memikat puteri diraja, lalu berkahwinlah mereka. Bila Tok Lat diputerakan dia dinamakan Tengku Shafie.Tetapi apabila dia membesar sebagai seorang anak muda, Tengku Shafie lari dari kehidupan istana kerana tidak mahu kepada kebesaran istana.Tok Lat memilih kehidupan sebagai rakyat biasa.
Dari Kedah Tengku Shafie pergi ke Indonesia belajar ilmu ketuhanan. Lepas itu pergi ke Yunan untuk mendalami lagi bidang yang sama. Kemudian dia balik semula ke Kedah dan mengamalkan ilmu. Dia mengorek lubang di bawah rumah ayahnya dan bertapa. Di sanalah dia mencapai kesudahan dalam ilmu.
`Sekarang Tok tak mahu belajar lagi’, itulah kesimpulannya mengenai ilmu ketuhanan. `Tok hanya mahu belajar ilmu yang Tok tak tahu. Kalau ada sesiapa yang boleh ajar Tok apa yang Tok tak tahu, baharulah Tok mahu belajar’
Lantas Tok Lat mengupas sedikit buatku mengenai konsep `tanpa huruf dan suara’ iaitu merujuk kepada rahsia wahyu Tuhan kepada para Nabi dan Rasul sehingga terzahirnya suara melalui kalam Nabi Junjungan. Aku mendengarnya dengan amat terpesona bagaimana prosesnya dari beberapa konsep ghaib sampai kepada zahir di hujung lidah. Aku dapat mengikuti huraiannya dengan baik tapi tak mampu untuk memahaminya.Agak pening dan memeningkan!
Bila aku singkap soal peperangan , Tok Lat lalu membuka satu ilmu yang menurutnya telah dikurniakan kepada Tok Penghulu Malim.Ilmu tersebut amat berguna apabila berada dalam kecemasan bagi menyelamatkan diri. Dikatakan boleh menghilangkan diri, tenggelam ke dalam bumi. Di dalam bumi akan terbuka lorong-lorong dan nantinya boleh muncul pula di mana-mana. Syaratnya jangan pandang belakang.Aku amat teruja dengan ilmu ini kerana merasakan inilah ilmu yang satu-satunya yang belum lagi aku memilikinya untuk tujuan peperangan.
Sesungguhnya aku cukup terpegun dengan orang yang telah mati tetapi zahir kembali ini. Orangnya lebih kecil dan lebih rendah berbanding dengan diriku sendiri. Berkulit agak hitam dan agak keperangan. Berdahi luas. Rambutnya bertelau-telau dan berombak antara putih dan hitam. Tidaklah terlalu lebat kerana ada bahagian-bahagian tertentu terutama di belakang kepalanya sudah botak. Oleh keterpesonaan kepadanya dan ilmu yang dibukanya lantas aku mengajukan harapan.
`Kalau saya mahu mendapatkan ilmu tersebut dari Tok, bolehkah Tok kurniakan?’, aku berdebar-debar dengan harap-harap cemas. Dia tersenyum.
`Boleh’, jawabnya sepatah.Dan jawapannya itu adalah jawapan yang sangat mahal dan berharga bagiku.
`Tapi kenalah belah malam. Malam Selasa atau Khamis atau malam Jumaat’, tambahnya.
Di pintu tiba-tiba muncul sepasang suami isteri memberi salam. Ternyata orang tersebut adalah pesakit ulangan kerana mereka telah saling mengenali. Lantas aku merasakan saat untuk pulang telah tiba. Cawan yang tadinya berisi kopi o telah pun kosong. Bila aku meminta izin untuk pulang, Tok Lat berkata.
`Datanglah lagi. Janganlah datang kerana nak berubat sahaja’, aku dan isteriku mengangguk dengan gembira. Ini adalah alamat yang sangat istimewa buat kami berdua.
`Bawalah anak-anak sama’, pesan Tok Lat seterusnya. Mak juga memberi pesanan yang sama.
Petang itu aku sungguh gembira kerana sempat menyelongkar rahsia hidup Tok Lat. Walaupun aku percaya Tok Lat memang tidak menceritakan sepenuhnya, atau cerita yang sengaja berliku-liku kerana dia tetap menyembunyikan rahsia sebenar dirinya sebagai seseorang pada masa yang lalu, tetapi aku tetap merasa puas kerana latar belakang penguasaan ilmunya memang mengharuskan dia zahir kembali.
Aku bersyukur kerana diangerahi masa yang begitu selesa kerana tidak ada sesiapa datang berubat pada sepanjang tempoh perbualan. Aku sesungguhnya menjadi seorang yang cukup gembira. Gembira kerana aku diterima dengan baik. Diterima dengan penuh kemesraan oleh Tok Lat dan isterinya. Apakah ini alamat yang indah? Entahlah. Apapun akulah – seolah-olah - orang yang paling bertuah di dalam dunia ini.

21 Ogos 2009

15.
TENGKU SHAFIE ZAHIR KEMBALI

Oleh kesibukan tugasku bertugas di Melaka dan Kuala Terengganu, agak lama juga aku tidak dapat menemui Tok Penghulu Malim untuk bersimbang mengenai Tok Ayah Sohor. Sejak perjalanan ke Tanah Merah menemui Tok Ayah Sohor tempoh hari, baharu sekaranglah aku mempunyai kesempatan mengunjungi Tok Penghulu Malim.
Kami berada di ruang tamu rumah teres dua tingkatnya sekarang.
`Awak bertuah!’, begitu komen Tok Penghulu Malim bila aku memberitahunya bahawa Tok Ayah Sohor telah memberikan ilmu.`Arbab yang dah bertahun-tahun berkenalan dengan Tok Ayah Sohor, tak dapat’.
Setahuku Arbab memang tidak dikurniakan ilmu.Dia sekadar menjadi teman Tok Penghulu Malim untuk berkunjung ke Tanah Merah. Aku berpendapat ini disebabkan dia tidak memiliki latar belakang Tasauf. Tok Penghulu Malim dalam bicara sebelum ini menerangkan adik iparnya itu tidaklah begitu faham mengenai hal-hal berkaitan dengan hakekat dan makrifat. Justru dia tidak diberikan kelebihan ilmu, tetapi dibukakan jalan harta oleh Tok Ayah Sohor.
Walaupun Tok Penghulu Malim memujiku sebagai seorang yang bertuah, yang sepatutnya mendorongku untuk terus mengunjungi Tok Ayah Sohor, tapi aku telah membuat keputusan bersama isteriku, bahawa kami untuk satu tempoh tertentu tidak akan pergi lagi ke rumahnya. Kalau diikutkan, hati memanglah sangat teringin untuk pergi lagi, tapi aku terfikir pula, siapalah aku di sisi Tok Ayah Sohor. Berbanding dengan Tok Penghulu Malim dan Arbab, siapalah aku! Tok Penghulu Malim telah mencapai darjat yang tinggi, telah kasyaf dan memiliki berbagai-bagai kebolehan dan kelebihan sehingga dikagumi oleh ramai orang. Sedangkan aku sendiri, rasanya belumlah ada apa-apa lagi. Aku hanyalah melukut di tepi gantang.
Kami bersimbang mengenai Tok Ayah Sohor. Tok Penghulu Malim menerangkan mengenai betapa zuhudnya Tok Ayah Sohor bagaikan seorang petapa. Tok Ayah Sohor seorang yang sangat tinggi ilmunya. Kebolehan dan keistimewaannya tidak ada bandingan.Anak-anak muridnya ramai dan memiliki keistimewaan masing-masing. Tok Penghulu Malim menerangkan juga mengenai tugas-tugas Tok Ayah Sohor berkaitan dengan menjaga hal-ehwal tanah air dan dunia.
Semua maklumat tersebut adalah maklumat besar yang teramat rahsia bagi ku. Maklumat yang tertutup samasekali dari kalangan orang ramai. Ini adalah rahsia tertinggi. Begitu keyakinanku. Bila ianya maklumat rahsia, aku perlu menjaga amanah kerahsiaannya. Aku bertekad tidak akan menceritakan kepada sesiapa jua mengenai hal ini.
`Kalaulah berlaku peperangan, kalau Tok Ayah Sohor mahu, dia boleh menenggelamkan kapal induk Amerika dari rumahnya sahaja’, Tok Penghulu Malim melanjutkan bicaranya.
`Bagaimana?’, aku amat terpegun dengan maklumat yang teramat hebat itu.
`Tok Ayah kata, ambil sabut yang ada kulit dan boleh terapung di atas air, dan letakkan di dalam besen yang berair. Kemudian tekan di birai sabut tersebut. Hakikat, menekan birai kapal induk’
`Karamlah?’
`Karam!’
Seperti biasa Tok Penghulu Malim tidak lupa dengan Salemnya. Selepas mengenaki beberapa sedutan dia menyambung bicara.
`Dia adalah hulubalang dunia. Bila sampai masanya dia akan mengamuk di serata dunia dan boleh sampai ke mana-mana’.
Aku terlopong dengan kekaguman. Aku pernah mendengar kehebatan pahlawan-pahlawan Melayu dalam sejarah peperangan sebelum ini. Kehebatan Hang Tuah lima bersaudara. Kehebatan Daeng-Daeng Bugis Lima bersaudara.Kehebatan pahlawan-ahlawan Pahang termasuk Tok Janggut di Kelantan. Yang terakhir ialah kehebatan Panglima Salleh di Batu Pahat dan Aki Abu Jamal di Raub. Bila dibandingkan mereka dengan Tok Ayah Sohor, Tok Penghulu Malim menerangkan:
`Tok Ayah Sohor adalah umpama mahaguru.Dialah yang mendidik anak-anak muridnya untuk menjadi panglima’
Dengan penjelasan itu aku mulai dapat membuat jangkaan di mana letakknya Tok Ayah Sohor dalam hirarki dunia persilatan Melayu. Dalam hirarki persilatan Melayu, seseorang yang bergelar pendekar adalah orang yang mencapai peringkat yang mengatasi pesilat-pesilat biasa. Selepas itu diikuti oleh panglima, petanda, guru dan mahaguru! Suatu konsep yang aku telah cukup jelas sewaktu di Raub dahulu.

Menurut kefahamanku, taraf pendekar lebih rendah berbanding dengan taraf seorang panglima. Taraf pendekar adalah tapak pertama kehebatan sebelum mencapai taraf panglima. Taraf panglima adalah taraf tertinggi yang mampu dicapai oleh seseorang pesilat biasa. Pencapaian taraf samada menjadi seorang pendekar atau panglima biasanya diketahui melalui ilham dan mimpi atau dengan perakuan guru. Untuk mencapai taraf yang lebih tinggi seperti guru atau mahaguru, seseorang itu perlu menguasai ilmu ketuhanan.Di sinilah pentingnya ilmu Tasauf. Dengan ketinggian Tasauf dan ketuhanan, seseorang akan mencapai makam makrifat dan hakekat yang merupakan inti dan pati ilmu.
Seseorang pesilat yang mendapat gelaran panglima adalah kerana kehandalan luarbiasanya yang tidak terkalahkan oleh pesilat biasa samada secara zahir atau kebatinan. Hang Jebat sewaktu bertikam dengan Hang Tuah, bertikam lebih sekerat hari, dan sama-sama tidak dapat ditundukkan. Demikian kehebatan pencak panglima. Apabila Hang Jebat terkena calar oleh Taming Sari yang bisanya tidak boleh ditawar, lebih bisa berbanding patukan ular tedung selar, Hang Jebat masih boleh mengamuk dan tidak dapat ditewaskan oleh rakyat Melaka yang ramai. Walhal rakyat Melaka pada zaman tersebut semuanya pemencak. Hang Jebat menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas pangkuan saudaranya Laksamana Hang Tuah. Kenapa Hang Jebat tak dapat ditewaskan oleh rakyat nan ramai? Inilah keperkasaan seorang panglima!
Demikian juga Panglima Salleh. Kehebatan perangnya menyebabkan semua orang Cina hampir-hampir dihapuskan dalam sejarah darurat 1946 di Batu Pahat kalaulah tidak kerana campurtangan Dato On Jaafar dan Sultan Johor. Aruah Pak Abu bin Darasan yang sempat aku kenali menceritakan di Endau dahulu, dia sebagai murid kanan Panglima Salleh, tidak sempat pun membunuh musuh. Panglima Salleh mempunyai kehebatan serangan yang begitu luar biasa pantasnya kerana Pak Abu sendiripun tidak sempat membunuh walau seorang musuh pun. Begitulah kehebatan seorang panglima.
Jika demikian hebatnya serangan seorang panglima, betapa pula kehebatan seorang guru yang melahirkan panglima? Dan bayangkan betapa pula seorang mahaguru yang menjadi sumbernya!

Inilah asasnya barangkali, semasa di Raub dulu bila tok mengatakan kalau berlaku perang tahun 1980, ibu kota Kuala Lumpur memadai seorang guru sahaja pergi untuk membunuh semua musuh!
Jadi yakinlah aku, berdasarkan pengetahuan itu, Tok Ayah Sohor adalah seorang yang telah mencapai taraf mahaguru. Sebab itulah dia memiliki kelebihan dan kebolehan yang sangat hebat dan istimewa lalu diberikan tanggungjawab memikul tugas yang teramat besar. Tanggungjawab kebangkitan Bangsa Melayu pada akhir zaman!
`Ada lagi satu perkara saya nak beritahu’, Tok Penghulu Malim mahu membocorkan satu lagi rahsia. Senyuman bangga terukir di bibirnya apabila melihat aku dan isteriku begitu ghairah dengan berita yang mahu disampaikannya.
`Hampir tiga bulan saya mencari’, dan Tok Penghulu Malim bermain-main dengan asap Salemnya. Sejurus dia begitu, lantas dia bersuara seterusnya.
`Puas saya bertanya orang. Pergi ke Kulit Kerang, pergi ke Buluh Kuning, kedai Wak Suffian dan sebagainya, bertanya ke sana-ke sini, akhirnya baharulah berjumpa’
Kami berdua masih asyek mendengar maklumat yang tentunya teramat rahsia itu. Apakah lebih rahsia dari kesah Tok Ayah Sohor?
`Tak sangka. Orang tua itu duduk di sebuah rumah murah yang sesak.Kecil saja rumahnya...’, Tok Penghulu Malim memberikan informasi seterusnya.
`Siapa?’, aku menjadi tidak sabar kerana terlalu lambat untuk mengetahui siapakah orangnya.
`Tok Lat!’
`Tok Lat?’
`Tok Ayah Sohor berpesan kepada saya. Carilah tokmu itu.Tuntutlah ilmu darinya. Hampir tiga bulan saya bersusah payah mencarinya. Akhirnya baru minggu lepas saya berjumpa’
`Siapa Tok Lat?’
Tok Penghulu Malim tersenyum. Dia tidak menjawab segera. Senyuman berseri-seri masih terukir di wajahnya.
`Orang tua yang memiliki lautan ilmu’, dan nada suara Tok Penghulu Malim begitu ceria dan seronok. `Kalau dibandingkan dengan saya dan Ayah La, dia adalah lautan dan saya berdua adalah pasir di tepian pantai’.
Kami terlopong.
`Awak bayangkan’, Tok Penghulu Malim menggambarkan kehebatan Tok Lat pula.`Dia boleh menyebutkan berapa jumlah huruf alif dalam al Quran. Jumlah alif dalam surah-surah tertentu. Begitu juga huruf ba. Untuk bicara tentang rahsia alif sahaja, katanya bertahun-tahun masanya. Belum lagi huruf ba, ta dan seterusnya. Lepas itu kenapa alif dahulu, diikuti dengan ba kenapa tidak boleh ba dulu. Lepas ba kenapa pula ta... Kenapa ya huruf yang akhir sekali. Kenapa susunannya berbentuk demikian dan apa rahsianya? Dan kalau susunan ditunggang-terbalikkan, apa akibat bagi hakikat kehidupan dan alam dunia? Allah hu Akhbar! Betul kata Tok Ayah Sohor, dia adalah lautan’.
Kami berdua terus terlopong.
`Awak tahu siapa Tok Lat?’, tiba-tiba soalan itu ditanyai kepada kami yang masih dalam ketakjuban.Aku dan isteri memanglah mesti menggeleng-geleng.Tok Penghulu Malim tersenyum lagi.
`Dialah jenis orang yang saya cari sejak sekian lama...’
`Maksud Abang Malim?’
`Orang mati pada makam makrifat’
Spontan aku memberikan reaksi bila teringat mengenai hakekat mati yang dikupaskan oleh Tok Penghulu Malim beberapa bulan yang lalu pada awal-awal perkenalan.
Mati syariat tubuh binasa, mati tarekat jasad sengsara, mati hakekat tubuh sempurna, mati makrifat zahir kembali.

`Jadi maksudnya....’
`Saya sudah berjumpa dengan orang yang dicari...’
Aku pada ketika itu tidak dapat menggambarkan perasaanku.Gembira tidak terhingga. Tok Ayah La telah pergi ke Gua Musang untuk menemui gurunya Lebai Umar atau Cikgu Jantan – salah seorang pahlawan Pahang yang berjuang menentang Inggeris bersama Tok Gajah, Dato Bahaman, Mat Kilau dan Mat Lela, tapi ternyata bila dijejaki, lelaki itu bukan gurunya. Ertinya Tok Ayah La belum lagi dapat menemui orang yang mati makrifat. Tapi Tok Penghulu Malim telah menemuinya sekarang!
`Sudah berapa kali Abang Malim ke rumahnya?’
`Tiap-tiap petang! Kalau tak petang, malam! Kadang-kadang petang pergi, malam pun pergi juga lagi.Saya asyek benar dengar dia sekarang’
`Belajar?’
`Tidaklah juga, tapi tengah mengorek rahsia, siapa Tok Lat yang sebenarnya’
`Dapat?’
`Payah’, dan Tok Penghulu Malim bagaikan mengeluarkan sebuah keluhan. `Tapi rasa-rasanya dia bukan zahir kali pertama. Ini mungkin kali kedua atau ketiga’
Aku menjadi lebih takjub sekarang.
`Kali pertama mungkin sebagai Tok Lela’
`Ha? Tok Lela?’, aku bertanya dengan terkejut.`Tok Lela atau Mat Lela? Pejuang Pahang bersama Tok Gajah?’, aku mendesak sebuah kepastian.
`Saya rasa...’, Tok Penghulu Malim nampak sedikit ragu-ragu dengan telahannya itu.
Kami ternanti-nanti Tok Penghulu Malim meneruskan huraiannya. Tapi agak lambat. Dia macam sengaja membiarkan kami ternanti-nanti. Dia asyek dengan nikmat candu Salemnya.
`Saya mengesyaki dia adalah Tok Lela sebab dia kata, gambar dia ada dalam sejarah Pahang. Lalu saya bawa gambar lama dan tunjukkan pada dia, lalu dia mengaku dan menunjukkan `ha! Inilah gambar Tok!’.
`Jadi betulkah gambar itu gambar Tok Lela?’
`Saya pulak tak kenal’, Tok Penghulu Malim agak kecewa.`Mulanya saya ingat dia adalah Tok Gajah. Saya cuba kaitkan dia dengan kesah Tok Gajah, nampaknya tak bercantum. Dato Bahaman dan Mat Kilau pun bukan.Jadi dia mungkin Cikgu Jantan atau Mat Lela. Tapi saya lebih mengesyaki dia ialah Mat Lela sebab dia memberitahu dia lama tinggal di Mercong. Orang ramai memang pernah mengesyaki orang tua yang tinggal sendirian di dalam hutan di Mercong pada suatu ketika tahun 1960an dahulu ialah Mat Lela’
Aku terkebil-kebil sambil menganalisis maklumat.
`Tapi dia mengaku dia adalah Tengku Shafie’, Tok Penghulu Malim berkata seterusnya.
`Siapa Tengku Shafie?’, aku bertanya.
`Anak saudara kepada Sultan Abdul Hamid, Kedah. Dalam Kad Pengenalan pun namanya Tengku Shafie’.
`Jadi ertinya...’
`Dia adalah Tok Lela dan juga Tengku Shafie?’
`Dan sekarang namanya Tok Lat?’
Tok Penghulu Malim sekadar tersenyum.Aku masih terkebil-kebil membuat tafsiran. Aku cuba menghubungkan dua sejarah dari dua negeri yang berbeza yang dilalui oleh orang yang sama. Tapi aku agak kabur dan keliru.
`Kalau saya teringin mahu berjumpa dengannya, bolehkah Abang Malim?’, aku bertanya dengan harap-harap. Manalah tahu kalau-kalau aku belum lagi layak menemui orang yang mati hakekat.
`Boleh! Apa salahnya?’, Tok Penghulu Malim menjawab pantas.
Aku sungguh gembira dengan keizinannya itu. Ertinya bagiku pada bila-bila masa sahaja mulai sekarang, akan terbuka satu bukti yang teramat rahsia, orang mati makrifat yang dikatakan zahir kembali, akan dapat aku temui secara zahir dan boleh berinteraksi pula dengannya. Tidakkah ini rahsia terhebat dalam Tasauf? Hanya orang-orang tertentu sahaja – sebilangan yang teramat kecil, yang dianugerahi memahami hakekat mati hakekat dan makrifat. Dan yang lebih istimewa, hanya orang-orang tertentu sahaja dari kalangan yang teramat sedikit itu, dianugerahi pula dapat menemui orang-orang makrifat yang zahir kembali. Bukankah ini suatu yang tersangat istimewa?
`Dia pun nampaknya boleh berubat!’
`Boleh berubat?’
`Ramai orang berubat dengannya.Tapi kalau awak hendak pergi, pergilah selepas pukul 3.00 petang baharulah dia berada di rumah’
`Pagi dia tak ada?’
`Tak ada’.
`Dia ke mana?’
`Dungun’.
`Ke Dungun? Buat apa?’
`Mengambil ubat’
Bila Tok Lat boleh berubat, tentulah mudah bagiku mencari alasan untuk bertemu dengannya kerana atas maksud perubatanlah aku mengenali ramai orang-orang yang hebat. Aku bersama isteri sama-sama menderita sakit yang sama yang sejak sekian lama mengusahakan rawatannya – secara moden dan tradisi, tapi belum menemui jalan penyelesaiannya. Tapi bezanya pada kali ini akan bertemu dengan pakar perubatan tradisional yang lain dari yang lain.
Orang yang pernah mati, tetapi zahir kembali!





19 Ogos 2009

14.

ZIARAH TOK AYAH SOHOR


Bila Tok Penghulu Malim menasihatkanku supaya pergi ke Tanah Merah berkenalan dengan Tok Ayah Sohor, aku sebenarnya menjadi bagaikan tidak sabar menanti harinya.Aku menjadi tidak sabar untuk mengenali orang yang tersangat penting itu. Orang yang diamanahkan atau dipertanggungjawabkan untuk kebangkitan Bangsa Melayu.Orang yang memiliki anak murid di seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan kesemua mereka nantinya akan memainkan peranan besar bagi sebuah era baru.

Tok Penghulu Malim mencadangkan supaya aku bertolak pada hari Sabtu. Dapatkan dulu tempat penginapan di sebuah chalet di Tanah Merah dan selepas itu pergilah ke balaisah Tok Ayah Sohor. Begitu pandangannya. Oleh kerana jarak yang jauh dan bersama anak-anak pula, dia mencadangkan supaya aku bermalam sahaja di Tanah Merah. Tok Penghulu Malim sendiri sebenarnya tidak pernah bermalam di Tanah Merah walaupun telah begitu acapkali pergi. Biasanya dia bertolak besama Arbab pada hari Sabtu sekitar pukul 3.00 atau 4.00 petang. Dia akan mengunjungi Tok Ayah Sohor selepas waktu Isya dan bertolak semula pulang untuk sampai ke rumah menjelang Subuh.

Aku memang mengakuri cadangan Tok Penghulu Malim itu. Setelah mendapatkan sebuah chalet untuk penginapan kami anak-beranak, pada kira-kira jam 2.00 petang aku mencari balaisah Tok Ayah Sohor yang dikatakan jalan menuju ke Jeli. Oleh kerana aku sentiasa mengambil mudah apabila diberikan taklimat dan garis panduan, akhirnya usaha mencari balaisah Tok Ayah Sohor menjadi satu pencarian yang sangat memenatkan.Hampir tiga jam meronda di jalan ke Jeli dan di seluruh persekitaran bandar Tanah Merah, seluruh jalan dan lorong telah dimasuki, berulang-ulang kali dan berkali-kali. Bila sudah hampir putus asa baharulah aku teringat satu petua yang dipesankan di Raub dahulu. Itupun apabila terserempak dengan Lorong Tok Janggut.

Aku lantas bertanya kepada seorang Mak Cik yang sedang duduk-duduk di tangga rumahnya:

`Ooo’, Mak Cik itu memberi gerakbalas.`Awak kena patah balik semula, masuk jalan menuju ke Jeli’.

Mak Cik itu khuatir kalau-kalau aku gagal mencari jalannya. Dia lantas memberikan pelan perjalanan keluar dari situ menuju bandar Tanah Merah untuk terus menuju ke jalan utama Jeli - Pasir Puteh. Kali ini aku cukup berhati-hati untuk keluar dari tempat yang entah di mana ini. Aku merasa sungguh bersyukur kerana kebetulan Mak Cik yang ditanya ada maklumat mengenai Tok Ayah Sohor.

`Saya sudah pergi Mak Cik’, aku menjelaskan bila merujuk jalan Pasir Puteh ke Jeli.

`Sudah sampai Batu Gajah?’

`Sampai!’

`Awak pergi ke depan sedikit lagi sehingga sampai ke sebuah stesen minyak di sebelah kanan jalan’

`Sudah sampai, Mak Cik!’, aku menjawab.

Di stesen minyak itulah kami anak beranak berhenti sebentar kerana anak-anakku mahu buang air kecil.Itulah jalan yang dipetakan oleh Tok Penghulu Malim. Aku tidak silap.

`Awak teruskanlah lagi ke depan', Mak Cik menerangkan.`Awak akan jumpa rumah batu dua tingkat di sebelah kanan. Di tepinya ada simpang. Awak masuklah ke simpang itu. Di jalan itulah Kampung Penadah'

Aku begitu berpuas hati apabila mendapat maklumat itu. Selepas mengucapkan terima kasih aku segera masuk ke dalam kereta semula.Baharulah hatiku menjadi lega. Isteriku pun lega. Anak sulungku dan anak keduaku yang telah bersekolah rendah juga gembira dengan penjelasanku kepada mereka kerana kami semua telah cukup mamun dan resah setelah tersesat sedemikian lama. Pada waktu itu anak ketigaku telah berusia lima tahun dan anak bongsuku baru berusia dua tahun.

`Betullah jalan yang mula-mula kita pergi tadi’, aku memberitahu isteri ku.`Insyaallah kita akan dapat temui Tok Ayah Sohor pada petang ini juga’, aku bagaikan memberi keyakinan.

`Tapi hari sudah petang!’, isteriku sedikit gusar.

`Tak apa! Sekejap pun cukuplah, asalkan dapat berjumpa’, aku membuat keputusan kerana pada hari esok kami merancang untuk ke Rantau Panjang. Aku tidak cukup faham mengenai geografi di Kelantan. Oleh kerana itu aku khuatir kalau-kalau tidak ada jalan ke Rantau Panjang dari rumah Tok Ayah Sohor.

Bila melepasi stesen minyak tempat kami berhenti dalam perjalanan mula-mula tadi, aku memperlahankan sedikit kelajuan kereta untuk memastikan rumah batu dua tingkat tidak terlepas. Sejurus kemudian kami sampai di lorong itu. Sebaik-baik sahaja kereta memasuki lorong, terpampang satu papan tanda tulisan huruf kuning di sisi jalan:

`TOK AYAH SOHOR TAJAAN TOK LAT’ dan diikuti satu lakaran anak panah berwarna merah.

Bila melihat tulisan itu, aku pastilah bahawa kami sekarang telah berada di jalan yang betul. Itulah tanda jalan yang Tok Penghulu Malim suruh cari.Malangnya ketika mula-mula bertolak tadi, kami telah kehilangan pedoman. Apabila sampai di masjid tadi, tiba-tiba sahaja aku suami isteri berpendapat, kami anak beranak telah begitu jauh meninggalkan Tanah Merah dan tentulah rumah Tok Ayah Sohor bukan berada di kawasan ini.Kami berpendapat tentulah rumah Tok Ayah Sohor berada di jalan lain berhampiran Tanah Merah.Lantas kami berpatah pulang ke Tanah Merah semula.

Kami meneruskan perjalanan di kawasan perkampungan. Beberapa kilometer kemudian, terlihat pula satu lagi papan kenyataan kecil pada satu lorong di sebelah kanan yang bertulis kuning seperti tadi juga:
`TOK AYAH SOHOR’, berserta anak panahnya juga.

Keretaku lantas memasuki lorong kecil itu. Di hujung jalan kelihatanlah sebuah rumah. Sebuah rumah orang kampung biasa. Di sebelahnya kira-kira 30 kaki jaraknya ada sebuah balaisah. Ada tandas dan bilik air di hadapan balaisah. Aku percaya itulah rumah dan balaisah Tok Ayah Sohor kerana tidak ada lagi bangunan yang lain. Rumah Tok Ayah Sohor dan balaisahnya di kelilingi oleh panorama biasa bagi sesebuah kampung tradisional. Ada beberapa pohon buah-buahan dan pokok petai di samping pokok-pokok hutan dan semak-samun.Di belakang rumah dan balaisah ada sebuah bukit yang penuh dengan hutan belantara.

Aku segera turun dari kereta. Isteri dan anak-anakku ikut serta. Waktu sudah semakin petang. Maghrib tak berapa lama lagi akan tiba. Dengan sedikit gopoh-gapah aku bersama isteri dan anak-anak berjalan ke balaisah yang pintunya sedia terbuka sedikit. Aku segera menanggalkan sandal dan dari pintu yang terbuka, aku terlihat seorang lelaki yang berbadan besar sedang duduk bersila mengadap ke pintu. Sedang mengawasi ketibaan kami.

`Assalamualaikum!’, aku memberi salam dengan penuh takzim. Dan salamku dijawab. Suara Tok Ayah Sohor aku dengar agak lain dari orang biasa. Suara yang halus tetapi nyaring keluar dari rengkung dan anak tekaknya.

Bila sampai di hadapannya, aku terus duduk dengan kesantunan. Aku menghulurkan sebuah sembah-salam sambil mencium tangannya. Seorang demi seoranglah anak-anakku - Kak Long, Kak Ngah dan Kak De, bersalaman dengan seorang insan yang aku tak dapatlah menggambarkan tarafnya. Tentunya seorang yang telah mencapai tahap yang teramat tinggi. Sedangkan Tok Penghulu Malim telah aku cukup kagumi. Begitu juga Ayah La. Inikan pula Tok Ayah Sohor!

Tok Ayah Sohor duduk di atas sejadah yang terhampar. Dia berkain pelikat, tidak berbaju dan tidak juga berkopiah. Rambutnya pendek sahaja dan putih keseluruhannya. Badannya memang besar dan agak gemuk. Berkulit seperti orang Melayu biasa. Tidak putih dan tidak juga hitam. Mukanya agak bulat dan daging pipinya agak menonjol. Justru matanya agak kecil tetapi hidungnya tetap nampak mancung.

`Saya menyampaikan salam Tok Penghulu Malim’, aku membuka bicara.

`Oooo. Tok Malim! Anak murid Ayah..’

`Dia ada datang ke sini minggu ini Ayah?’

Aku pura-pura bertanya. Pada hal aku memang tahu Tok Penghulu Malim memang tidak pergi.

`Minggu ini tak ada nampaknya. Tapi kalau ada pun malam. Dia selalunya belah malam. Tapi Tok Malim beritau Ayah, dia tak datang minggu ini’

Setelah bertanya beberapa khabar mengenaiku, Tok Ayah Sohor tiba-tiba menyelak sejadah di belakangnya. Dia mencapai sesuatu. Ada sesuatu diletakkan di hadapanku.

`Untuk awak’, Tok Ayah Sohor bersuara.

Aku mengambil pemberian yang sangat berharga dan teramat aku idamkan itu. Keris besi kuning. Benarlah Tok Ayah Sohor ini orang yang boleh membaca hati manusia, fikirku, kerana bagaikan dia tahu niatku.

Dia lantas menceritakan kelebihan keris besi kuning tersebut seperti yang Tok Penghulu Malim telah ceritakan.

`Boleh selamatkan 40 orang’

Aku tiba-tiba terkejut pula.

`Samakah dengan yang dimilik oleh Tok Penghulu Malim?’

`Sama’

Wah! Hatiku berdetak hebat. Tok Penghulu Malim kata kalau tak mencapai martabat, Tok Ayah Sohor akan memberikan keris kuning pada martabat yang lebih rendah.Aku mahu menguji sekarang.

`Yang boleh bawa 20 orang, ada Ayah?’

`Ada! Tapi awak ambil yang itu’

Aku bagaikan terpegun dengan maklumat itu kerana Tok Penghulu Malim juga mendapat keris kuning pada kualiti yang sama. Pada mulanya aku menyangkakan aku sekadar untuk 20 orang sahaja.Sama darjatkah aku dengan Tok Penghulu Malim?

Sekilas pandangan aku meninjau balaisah Tok Ayah Sohor. Tidaklah terlalu besar. Mungkin dalam ukuran 35`x 30’ kaki sahaja. Ada banyak sejadah terlipat di tepi dinding, menandakan ada solat berjumaah dijalankan. Tapi ada kemungkinan solat jumaah bukan pada setiap masa kerana pada ketika itu tidak ada sesiapa yang datang berkunjung walaupun Maghrib telah kian hampir. Ruang di sebelah kiri balaisah adalah khas bagi jumaah perempuan kerana ada tabir disediakan. Di belakang Tok Ayah Sohor di sebelah kanannya ada sebiji almari. Aku tidak pula pasti apakah isinya, tapi sepintas lalu aku melihat ada botol-botol dan kotak-kotak ubatan tradisional.

`Ayah nak bagi awak ilmu’, Tok Ayah Sohor tiba-tiba bersuara.

Aku tiba-tiba terkejut sekali lagi. Ada tawaran istimewa. Dia lantas memberikan satu zikir.Katanya zikir sir dan dia menerangkan cara meletakkan kalimahnya dan mengamalkannya. Kalimah nama zat beserta sabdu diletakkan di sebelah kiri dan alif di sebelah kanan.

`Amalkan setiap lepas sembahyang Maghrib dan Subuh. Mek pun boleh amalkan juga’

`Untuk apa ayah?’

`Awak boleh melihat semua perkara di seluruh dunia bila terbuka nanti. Tidak ada dinding.Wali soghir terbuka 12 jam, wali akhbar 24 jam terus-menerus, ikut niat’

Alhamdulillah, aku mengucap syukur kepada Allah Taala. Benarlah Tok Ayah Sohor ini bukan taraf manusia biasa. Dia adalah insan yang telah terangkat darjat. Dia memang boleh membaca niat di hati!

Oleh kerana Maghrib telah kian hampir, aku tidak ada pilihan lagi. Walaupun di hati terasa teramat tidak puas lagi bersama Tok Ayah, tapi aku tidak wajar mengganggunya lagi kerana Maghrib telah kian hampir. Entah-entah para jumaah akan tiba sebentar lagi, dan Tok Ayah Sohor tentulah ada urusan lain atau bersiap-siap untuk solat.

Setelah memberikan dam sebanyak RM100.00 dan dengan sembah salam dari kami semua, dan setelah juga mengucapkan salam, kami pun berangsur keluar meninggal Tok Ayah Sohor yang masih duduk bersila seperti tadi.

`Amal elok-elok’, pesannya sewaktu kami melangkah itu.

Dalam hati, aku menjawab:Insyaallah.












17 Ogos 2009

13.
PENJAGA MAKAM PEJUANG TERBILANG.

Aku memberhentikan kereta, membuka pintu, lalu turun dari kereta. Jalan raya begitu sepi nampaknya. Sejak bertolak untuk pulang tadi, hampir tidak ada sebarang kereta melalui jalan ini kecuali sebuah dua motorsikal. Nampaknya tidak ada perumahan di kawasan ini. Hutan di sebelah kiri jalan kelihatan agak tebal berselang-seli dengan belukar dan semak-samun memenuhi kawasan sekitar.
Isteriku enggan ikut sama apabila aku mempelawanya. Dia lebih rela berada di dalam kereta sendirian berbanding merentasi tanah perkuburan untuk menurut ajakanku mencari sebuah makam seorang yang masyhur sebagai pejuang tanah air, juga sebagai seorang insan soleh yang dianugerahi keramat.Ketika itu hari telah mendekati malam. Paling lama empat puluh lima minit lagi Maghrib akan tiba.Aku menguji isteriku dengan pertanyaan:
`Tak takutkah tinggal sendirian?’
Isteriku tersenyum. Dia tidak menyatakan rasa takut tapi sebaliknya berpesan:
`Janganlah lama sangat....’
Aku tersenyum dengan pesanannya itu.Ertinya takutlah tu, tapi tak mahu mengaku.
Dia nampaknya lebih rela berada bersendirian di dalam kereta sedangkan aku lebih suka kalau dia bersamaku. Apa-apa hal pun dia sepatutnya bersamaku untuk menghadapi apa jua kemungkinan. Maklumlah di kawasan perkuburan yang sunyi dari manusia. Hari pun sudah semakin petang. Tapi aku tidaklah sampai mendesaknya kerana dalam keadaan apa pun, aku tetap yakin, dia tetap berada di dalam kawalan dan pemerhatian, walaupun aku akan berada jauh darinya nanti.Inilah keyakinanku berkat pelajaranku di Raub sejak 1970an dahulu.
Aku mengatur beberapa langkah ke hadapan dan kemudian berdiri sejenak meninjau keadaan. Kawasan perkuburan yang sunyi itu kurenung sejenak. Aku sekarang berada di penghujung di sebelah sini.Aku tidak pasti apakah aku perlu menyeberangi tanah perkuburan itu untuk sampai ke penghujung di sebelah sana kerana makam yang dicari tidak diketahui di mana lokasinya.
Sambil berjalan di kawasan yang batu-batu nesan berceracakan di sana-sini itu, tiba-tiba aku sedikit tersentak apabila seekor kucing hitam tiba-tiba muncul. Entah dari mana ia datang. Ia tiba-tiba terkejut melihatku. Ia memandangku sejurus dan kemudian lari dengan sekencang-kencangnya bagai di hambat setan, lari ke kawasan hujung tanah perkuburan di sebelah sana sehingga luput dari pandanganku.Isteriku menyaksikan fenomena itu.
Kubur yang sedang aku jejaki itu tentulah kelihatan lebih istimewa berbanding dengan yang lain, begitu detak fikirku. Tentulah dijaga dan dipelihara oleh orang-orang kampung, termasuk Persatuan Sejarah Malaysia. Maklumlah makam orang yang bersejarah.Nun di kejauhan ada beberapa kubur yang kelihatan berpagar. Aku mengesyaki tentulah kubur yang aku cari berada di sekitar di sana itu. Bila semakin hampir, aku semakin pasti.
Ada sebuah kubur yang berpagar yang batu nesannya dibalut dengan kain kuning. Ha! Tentulah yang itu, bisik hatiku kerana demikianlah satu dari isyaratnya.Tetapi sebelum kakiku melangkah ke arah tersebut, aku tiba-tiba tertarik kepada seorang lelaki tua yang sedang berada di sisi ampaian kain berhampiran sebuah pondok buruk. Aku membuat keputusan untuk terlebih dahulu mendapatkan maklumat yang lebih tepat daripada orang tua itu. Tak sangka, ada pula kalibat manusia yang duduk di tanah perkuburan! Di sebuah pondok buruk pula.

`Assalamualaikum!’, aku memberi salam. Orang tua yang sedang mengangkat kain di ampaian itu memandangku. Dia menunggu aku bersuara seterusnya.
`Saya berhajat untuk menziarahi Tok Guru Peramu.Boleh saya tahu di mana makamnya?’
Lelaki tua yang berkulit agak hitam, memakai pakaian yang begitu lusuh itu lantas menjawab.
`Itu’, sambil menunjuk dengan mulutnya ke arah sebuah kubur.`Yang batu nesannya berbalut kain kuning itu’
`Yang di dalam pagar berpintu kecil itu?’
Dia tidak menjawab tapi sebaliknya bertanya.
`Apa hajat nak berjumpa Tok Guru?’
Aku lantas menceritakan secara rengkas latar belakang kenapa aku mahu menziarahinya. Semuanya bermula pada ketika aku menjalani satu kursus di Port Dickson. Seperti selalunya, aku akan menyewa sebuah bilik di hotel lain kerana telah menjadi teradat bagiku membawa bersama isteri dan anak-anak yang pada ketika itu semuanya masih kecil-kecil belaka.
Pada suatu malam di hotel itu aku bermimpi bertemu dengan Dato Bahaman. Lalu aku bertanya kepadanya sambil merujuk kepada satu perjalananku, menempuh jalan pulang dari Tanjung Lumpur.
`Jadi betullah ketika saya lalu di perkuburan dan memberi salam, betullah kubur Tok di situ?’
`Ha! Betullah!’.
`Jadi betullah Tok ialah Dato Bahaman?’
`Ha! Betullah! Akulah itu.Akulah Tok Guru Peramu!’
Dan selepas pengakuannya itu dia mengembungkan kedua-dua belah pipinya lalu membuat muka penyet.
Sejurus kemudian wajahnya pun hilang.
Aku menceritakan kepada isteriku mengenai mimpi itu. Namun aku agak tertanya-tanya apakah benar aku telah bertemu dengan aruah Tok Guru Peramu atau nama asalnya ialah Dato Bahaman Orang Kaya Semantan? Balik dari Port Dickson aku lantas membeli sebuah risalah kecil yang telah diterbitkan pada ketika itu sempena kematian Tok Guru Peramu beberapa tahun sebelumnya. Aku mendapati gambar Tok Guru Peramu dari risalah tersebut, berbeza dengan wajah yang aku lihat di dalam mimpi. Aku sedikit keliru! Apakah mimpiku itu bukan suatu yang hakiki? Tapi tidak ada sesiapa yang boleh aku rujuk bagi memecahkan kebuntuan itu.
`Tok Guru tak ada di sini sekarang’,orang tua itu memberikan maklumat.
`Dia ke mana?’
`Dia berada di Gunung Tahan’
Aku tidaklah menghiraukan maklumat itu. Tidaklah juga aku terkejut dengan maklumat yang diberikan.Yang penting ialah aku perlu menziarahinya kerana memang telah lama menjadi hasratku, bukan oleh faktor mimpi itu sahaja, tapi lebih awal lagi memang telah ada keinginan di hatiku, untuk menziarahi makamnya kerana kemuliaan dirinya menurut berita yang pernah aku dengari. Beliau dikatakan memiliki keramat yang ramai orang menyaksikannya. Antaranya membawa air di dalam raga untuk membasuh kakinya sedangkan setitis air pun tidak menitis. Pernah orang-orang dari kawasan yang jauh ingin memohon sesuatu hajat darinya, lalu salah seorang darinya tidak diizinkan masuk ke dalam pondoknya.Bila mereka pulang, mereka membuat refleksi apakah sebabnya. Lalu dirumuskan lelaki bekenaan tidak mengangkat hadas kecil sewaktu membuang air kecil dalam perjalanan ke rumah Tok Guru Peramu tadi.
Tok Guru Peramu menjadi insan yang dikunjungi oleh ramai orang baik dari sekitar Kuantan bahkan dari tempat-tempat yang jauh untuk pelbagai hajat dan keperluan. Oleh berita-berita seperti itulah yang mendorong aku menziarahi makamnya, kerana pada waktu dia masih ada hayat, aku tidak berkesempatan oleh halangan sistem perhubungan pada zaman itu. Lagi pun pada waktu itu aku belum mengambil SPM lagi.
`Bila anak sampai ke makam Tok Guru, anak berilah salam dan nyatakanlah apa-apa hajat. Di kuburnya ada dua orang malaikat yang menjaganya.Seorang bernama Muhamad Razali dan yang seorang lagi bernama Muhamad Ramli. Mereka berdua akan menyampaikan hajat anak kepada Tok Guru’, demikian pesanan orang tua itu dan selepas itu dia meninggalkanku masuk ke dalam pondoknya.
Aku cepat-cepat melangkah menuju ke makam. Bila sampai ke pintu kecil, aku lantas memberi salam. Aku duduk bertinggung sambil menghadiahkan al Fatehah dan Qulhu sambil mendoakannya. Aku tidak ingat apakah aku ada menyatakan apa-apa hajat. Tapi itu tidak penting.Yang pentingnya ialah aku merasa puas hati kerana pada akhirnya dapat juga aku menziarahinya walaupun dia telah tidak ada lagi di dunia ini.
Kemudian aku segera pula menuju ke pondok. Aku merasa perlu untuk mendapatkan maklumat yang lebih detail mengenai Tok Guru Peramu. Aku juga sangat kepingin untuk mengenali orang tua yang nampaknya agak misteri itu.
Bila sampai di pondoknya, aku lantas memberi salam sekali lagi. Salamku dijawab dan aku dipersilakan masuk.Bila sampai di dalam pondok yang berlantaikan tanah itu, aku terus melabuhkan punggungku di atas satu tongkah kayu. Di sisiku adalah dapur kayu tungku tiga, tempat orang tua itu memasak. Ada cerek dan periuk yang hitam berarang.Ada juga beberapa biji pinggan kaca dan pinggan plastik, serta beberapa biji gelas kaca lama.
Pondok itu memang cukup kecil. Mungkin dalam sekitar 6` x 10` sahaja. Di hujung pondok terletak pangkin papan, tempat tidurnya di tepi dinding. Ada tikar mengkuang yang buruk menjadi lapik lantai, dan di atasnya terhamparlah sebuah tilam kekabu yang nampaknya cukup lusuh dan leper. Pondok itu tidak bertingkap, tapi cahaya dari luar boleh menerobos masuk melalui celahan dinding yang terbina dari papan, kulit kayu dan buluh yang dipecahkan. Atap nipah yang menjadi peneduh, nampaknya tidak dapat menjamin dari basah apabila di timpa hujan lebat.
Aku cukup terpegun melihat pondok yang teramat daif itu. Bagaimanalah orang tua ini berpenghidupan di pondok buruk setaraf sebuah bangsal kambing ini?
Dia berada di hadapan sisi kananku sekarang, sambil menghisap Gudang Garam berwarna hitam perang. Dia masih berseluar dan berbaju seperti tadi. Air mukanya susah untuk aku tafsirkan. Apakah dia gembira dengan kunjunganku? Apakah dia tidak senang atau bagaimana, aku tidak pasti. Yang jelas, roman mukanya penuh mistri.Apa pun aku berazam untuk mencungkil sesuatu darinya.
`Saya adalah orang suruhan Tok Guru’, dia memberikan maklumat apabila aku bertanya mengenainya.`Apa saja yang Tok Guru suruh, saya akan lakukan.Bila Tok Guru pergi ke mana-mana, sayalah yang disuruh menjaga rumahnya’.
`Ada Pak Cik mengambil apa-apa ilmu dari Tok Guru?’, aku ingin menyelongkar rahsia di dalam dadanya.
`Adalah sedikit-sedikit’, dia bernada rendah diri.
`Ilmu apa?’
`Adalah sedikit-sedikit ilmu mengenai ketuhanan dan mengenal diri’
`Ilmu-ilmu lain?’
`Ilmu apa?’
`Ilmu peperangan, misalnya’
Dia menggeleng-geleng.
`Orang-orang yang menemui Tok Guru, adakah mereka mengambil apa-apa ilmu mengenai ketuhanan dan mengenal diri?’
Dia menggeleng-geleng juga, tapi dalam gelengan itu dia menjawab.
`Mereka datang untuk mendapatkan hajat dunia. Nak lulus periksa, nak naik pangkat... supaya orang kasih, nak berubat dan macam-macam lagi. Kalau ilmu pula, selalunya ilmu nak dapat rezeki murah, dapat banyak ikan, ilmu pelaris...’
Aku memang tidaklah terkejut dengan minat orang ramai. Pada zaman memuja kebendan dan kemewahan ini, manusia pada umumnya berselera kepada urusan keduniaan. Tak ramai yang berminat untuk mencari dan memahami ilmu mengenai Allah Taala. Bagaimana mahu mendekati Allah Taala. Bagaimana mahu mendapat cintaNya dan bagaimana jalan kembali kepadaNya.
Melihat kehidupan Pak Cik yang serba daif itu, aku menukar tajuk perbualan pula.
`Pak Cik kerja apa?’, orang tua yang berusia sekitar akhir enam puluhan itu – berdasarkan roman wajahnya, menggeleng-geleng.
`Jadi, bagaimana soal makan-minum Pak Cik?’
`Kadang-kadang ada orang bagi beras, bagi gula, kopi, ikan...’
`Pak Cik memasak sendiri?’, dia mengangguk. Sambil itu dia mengepul-ngepulkan asap rokoknya. Menjadi sesaklah udara sekarang hasil dari gumpalan asap rokoknya.
`Tapi jarang-jarang’, dia bernada perlahan. `Selalunya bila Pak Cik lapar, Pak Cik pergilah ke mana-mana restauran.
Pak Cik makanlah apa-apa sahaja yang Pak Cik mahu. Udang, ketam, ayam....dan apa-apa sahaja’
`Pak Cik ada duit nak bayar?’, dia menggeleng-geleng
`Habis! Siapa yang bayar?’
`Ku Tok Ki’
`Ku Tok Ki? Siapa Ku Tok Ki?’
`Dia orang baik. Dia orang kaya, tinggal di rumah batu warna hitam’
`Dia tinggal di mana?’
`Jalan ke Teluk Cempedak’
Aku tercengang. Jalan dari mana? Tergerak pula di hati u untuk mengetahui mengenai Ku Tok Ki. Tapi untuk mendapatkan maklumat mengenai misteri Ku Tok Ki selanjutnya, mungkin memakan masa. Hari pun telah semakin petang sehingga cuaca di dalam rumah telah bertambah gelap. Pak Cik pun nampaknya macam mahu terus-menerus berada di dalam gelap. Aku pun tidak pasti dimana pelitanya. Letrik memang sudah tentu tiada. Aku bertekad untuk mendapatkan maklumat mengenai Ku Tok Ki, dari Tok Penghulu Maliki sahaja.
Lalu aku cuba pula menghimbau kenangan Pak Cik bersama Dato Bahaman, kalau-kalau ada maklumat mengenai kehebatan perang Dato Bahaman melawan penjajah orang putih pada akhir kurun ke 19 dahulu.Manalah tahu kalau-kalau Pak Cik yang berpengalaman hidup bersama Tok Guru Peramu ini memiliki koleksi pengalaman perang pahlawan terbilang itu. Bila kesah itu aku buka, Pak Cik pun bersuara dengan suara yang tiba-tiba tinggi nadanya.
`Pergi jahanam...! Pergi jahanam orang putih...!’.
`Ada Tok Guru ceritakan kesah di Lubuk Terua?’
`Pergi jahanam...! Pergi jahanam semua orang...!’, itulah kalimat yang diulang-ulang beberapa kali oleh Pak Cik. Soalan-soalanku tidak dipedulikannya samasekali.
Menyedari Pak Cik sudah jemu berinteraksi denganku, aku tanpa meminta izin darinya terus meninggalkannya yang masih dengan seruan entah kepada siapa-siapa:
`Pergi jahanam....! Pergi jahanam....! Pergi jahanam semua orang....! Pergi jahanam orang putih...!’
Bila aku berada di luar pondok, aku mendapati keretaku tiba-tiba telah berada berhampiran dengan ampaian kain tempat Pak Cik mengangkat kainnya tadi. Aku terkejut. Cepat-cepat aku melangkah. Aku sedikit risau.Isteriku berada di tempat pemandu.
`Terkejut dengan bunyi berdentam tadi’, dia memberi jawapan bila aku begitu keliru mengenai dirinya.
`Bunyi berdentam?’
`Bagai ada benda besar yang jatuh.’, dia menyampaikan khabar yang mencemaskan.Aku terdiam.
`Tak dengar?’, isteriku menyembunyikan rasa cemasnya dalam senyumannya yang hambar.
Aku ada mendengar bunyi itu.Bunyi berdentam, sejurus sebelum Pak Cik bertukar watak menjadi aneh sebentar tadi.
Aku lalu masuk ke dalam kereta. Cahaya siang telah pun berakhir sebenarnya.Aku terpaksa menyalakan lampu kecil meninggalkan tanah perkuburan yang telah mulai diselimuti wajah malam itu.