18.
JUMPA NABI IBRAHIM ?
Bukan senang untuk bertemu dengan Tok Penghulu Malim sejak akhir-akhir ini oleh kerana dia begitu asyek dengan Tok Lat. Aku sentiasa berusaha mencari ruang untuk ke rumahnya kerana didorong oleh keinginan untuk mengetahui mengenai rahsia terkini mengenai kebangkitan Melayu. Tok Penghulu Malim yang diberikan peranan besar oleh Tok Ayah Sohor sudah tentu mendapat arahan-arahan terkini yang tentulah aku sangat tidak sabar untuk mengetahuinya.
Aku memerlukan Tok Penghulu Malim juga kerana didorong oleh kepingin untuk mengetahui perkembangannya dengan Tok Lat.Setelah mengunjungi Tok Lat untuk urusan perubatan, sudah hampir satu bulan aku tidak lagi mengujunginya. Rumah Tok Ayah Sohor pula sudah hampir setengah tahun aku tidak kunjungi. Begitulah tekadku bersama isteri bahawa aku mahu memberi ruang keselesaan yang seluas-luasnya kepada Tok Penghulu Malim untuk memikul amanah-amanah tertentu dari Tok Lat dan Tok Ayah Sohor. Aku tidak mahu menyibuk dan mengganggu masanya.
Lagi pun siapalah aku. Aku tidak cukup layak untuk mendampingi dua nama besar itu. Seorang darinya adalah orang yang memegang amanah kebangkitan Melayu dan yang seorang lagi adalah orang yang telah mati tetapi zahir kembali demi memikul amanah-amanah tertentu atas perintah Rasulullah.
Bila Tok Penghulu Malim begitu asyek dengan Tok Lat, aku semakin rasa tersisih darinya. Aku dilamun kerinduan saat-saat bersamanya. Dari hari ke hari, aku semakin rasa kehilangan dari perdampingan dengannya dan personaliti-personaliti yang hebat. Siapalah lagi yang perlu aku dekati setelah nama Ayah La aku padamkan dari perkamusan hatiku? Siapa lagi? Dengan Cikgu Zan agak jauh. Lagi pun dia nampaknya lebih akrab dengan Ayah La berbanding dengan gurunya sendiri iaitu Tok Penghulu Malim.
Namun aku tetap tidak boleh bersabar apabila rasa terlalu lama tidak bertemu dengan Tok Penghulu Malim.Untuk membolehkan aku menemuinya, terpaksalah aku lebih kerap menghubunginya untuk membuat temujanji. Waktu petang dan malam memang masa yang mustahil kerana waktu itulah dia ke rumah Tok Lat. Setelah beberapa kali mencuba baharulah akhirnya dapat aku mengunjunginya. Dia memperuntukkan masa buatku.
Di ruang tamu rumahnya sekarang.
Tok Penghulu Malim menceritakan bahawa sepanjang lebih satu bulan yang lalu, dia telah dikurniakan terlalu banyak ayat oleh Tok Lat. Bukan ayat al Quran tetapi ayat-ayat seperti ayat al Quran juga bunyinya yang perlu dihafal dan diamalkan.Ayat yang diturunkan oleh Moyang melalui kalam Tok Lat. Tok Penghulu Malim menyalinnya ke dalam buku. Ayat-ayat yang mengandungi berbagai-bagai kelebihan dan kehebatan untuk diri peribadi terutama dalam waktu kecemasan dan peperangan.
`Tok Lat kata, bila dia tak ada nanti, sayalah yang akan ganti dia’, berseri-seri wajah Tok Penghulu Malim menceritakan kepadaku amanat yang tersangat hebat itu.
`Sebab itulah ayat-ayat itu diturunkan kepada saya’
Aku mendengar dengan rasa yang cukup hormat kepada Tok Penghulu Malim. Sungguh bertuah Tok Penghulu Malim sekarang. Dari Tok Ayah Sohor dia mendapat amanah yang tersangat besar – menabalkan raja-raja Melayu demi kebangkitan Melayu.Dan nanti, akan menduduki tapak Tok Lat pula untuk menjalankan tugas-tugas tertentu yang tidak diketahui oleh sesiapa pun dari kalangan manusia biasa.
`Bila saya mati nanti’, Tok Penghulu Malim menyambung bicara dengan air mukanya yang terus berseri-seri.`Saya akan zahir kembali. Ilmunya sudah Tok Lat berikan’
Aku semakin terpegun.
`Kalau Tok Lat masih ada?’.
`Maksudnya?’
`Katakanlah Abang Malim meninggal dunia, tapi Tok Lat hidup lagi, bolehkah Abang Malim zahir kembali dan menjalankan tugas-tugas seperti Tok Lat?’
`Oooo. Tak boleh. Tentu tidak boleh.Orang macam Tok Lat tak boleh ada dua pada satu-satu masa atau pada satu-satu tempat’
`Jadi?’
`Salah seorang mesti pergi...’
`Maksudnya?’
`Katakanlah saya mati dan zahir kembali.Salah seorang dari kami berdua mesti berpindah ke tempat lain’
`Kenapa?’
`Takut berjumpa’
`Kalau berjumpa?’
`Salah seorang darinya pasti akan mati’, Tok Penghulu Malim menjawab dengan yakin.` Oleh kerana itu salah seorang mesti berpindah ke tempat lain.Macam Tok Lat dengan Aingah Awang di Pantai Mengkareng.Tak boleh berjumpa’
`Aingah Awang?’,aku terkejut dengan satu nama baru pula. Aku tahu di mana letaknya Pantai Mengkareng.
`Dia jenis macam Tok Lat juga’, Tok Penghulu Malim menjelaskan.
`Orang yang zahir kembali?’
Tok Penghulu Malim mengangguk.
`Siapa asalnya?’, aku mendesak bagai tak sabar untuk mengetahui siapa pulakah orang lama yang baru ditemui itu.
`Megat Laksamana Bentan’
`Megat Laksamana Bentan?’, aku kenal nama panglima yang masyhur itu.
`Yang menikam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang?’, aku bagaikan menyuluh di dalam terang.
Tok Penghulu Malim sekadar tersenyum.
`Siapa beritahu?’, aku bertanya pula
`Tok Latlah’
Wah! Terbuka lagi satu rahsia. Lalu aku berazam untuk mengenali Aingah Awang. Aku ingin mengenali panglima Melayu yang masyhur itu, panglima yang masyhur dalam tragedi yang telah difilemkan. Watak Megat Laksamana Bentan dipikul oleh Nordin Ahmad salah seorang lagenda filem Melayu klasik dalam filem Sultan Mahmud Mangkat Di Julang.
Tapi pada pertemuan dengan Tok Penghulu Malim kali ini aku tidak bermaksud untuk menyelongkar kesah Megat Laksamana Bentan, kerana aku masih belum puas untuk mengetahui kehebatan Tok Lat berdasarkan pengalaman Tok Penghulu Malim bersamanya ke sana ke mari.Tok Penghulu Malim lantas meceritakan bahawa Tok Lat dengannya selalu keluar bersama ke beberapa tempat tertentu pada waktu malam. Mereka pergi kerana Tok Lat mahu memperkenalkan Tok Penghulu Malim kepada sistem pentadbiran alam dengan memperkenalkan kepada petugas-petugas, pengawal-pengawal dan penunggu-penunggu negara dan tanah air. Ada juga ketikanya Tok Penghulu Malim diminta pergi sendirian ke kawasan-kawasan tertentu. Selalunya bila dia pergi bersama Tok Lat atau pergi sendirian atas arahan Tok Lat, akan tersingkaplah apa-apa yang aneh dan menakjubkan kepada Tok Penghulu Malim.
Tok Penghulu Malim menceritakan bagaimana Tok Lat pernah menunjukkan kepadanya ilmu berjalan di dalam tanah, apabila Tok Penghulu Malim ingin melihat sendiri kebenarannya. Ilmu ini, Tok Penghulu Malim telah menerimanya dari Tok Lat.
`Saya tengok sendiri!’, Tok Penghulu Malim bercerita dengan penuh kekaguman pengalamannya bersama Tok Lat itu.`Dia tiba-tiba berpusing macam gasing. Dan ketika tubuhnya terbenam ke dalam bumi sampai pada paras pinggang, saya kata: Cukup Tok! Cukup! Saya sudah rasa takut. Risau juga kalau dia betul-betul hilang di dalam tanah’
Maklumat-maklumat dari Tok Penghulu Malim itu menambahkan keyakinanku mengenai kehebatan Tok Lat sebagai insan hakikat makrifat. Insan yang pernah berada di muka bumi ini sejak entah zaman bila. Pada waktu hidupnya yang pertama, dia telah mencapai martabat insan hakekat dan makrifat. Kemudian di zahirkan kembali sebagai Tengku Shafie yang kemudiannya menyamar sebagai Tok Lat. Itupun sekadar telahanku. Entah ya entahkan tidak, atau entah telah berapa kali dia telah zahir kembali, aku sendiri tidaklah dapat pastikan.
`Satu perkara lagi yang ajaib dari Tok Lat ialah bila balik dari Tanah Merah’, Tok Penghulu Malim membuka satu lagi pengalamannya dengan Tok Lat.`Saya pergi berdua sahaja. Pada pukul 12.00 malam kami bertolak pulang dari balaisah Tok Ayah Sohor di Tanah Merah. Yang ajaibnya, pukul 12.30 sudah sampai ke rumah’
Aku tercengang.
`Rumah ini?’
`Ya’
`He!’, aku terjerit.`Hampir 400 km Abang Malim! Betukah?’
`Betul!’, Tok Penghulu Malim bernada tegas sambil mengangguk
`Ikut jalan mana?’, aku bagaikan ingin mengurangkan rasa terkejut kerana manalah tahu kalau-kalau ada jalan pintas. Kalau mengikut jalan biasa tentulah memakan masa empat hingga lima jam.
`Jalan biasalah’, dia menjawab dengan nada bersungguh-sungguh.
`Tapi...Macam mana?’
`Rasa macam biasa saja.Memandu macam biasa, di jalan biasa’.
`Ada kereta-kereta lain?’, aku masih berusaha mengurangkan keraguan.
`Ada! Macam biasa juga. Tapi...Heran! Selepas hantar Tok Lat ke rumahnya, saya pun balik ke rumah saya. Bila tengok jam, saya sangat terkejut, baru pukul 12.30 malam.Ertinya perjalanan dari Tanaah Merah ke sini cuma berlalu dalam tempoh setengah jam sahaja’.
`Ajaib....’, aku bagaikan berbisik.
Aku merenung mata Tok Penghulu Malim bagaikan cuba menyingkap apakah ini suatu gurauan. Perjalanan sejauh hampir 400 km boleh sampai dalam tempoh setengah jam? Gurauankah?
`Payah nak percaya bukan?’
Aku mengangguk.
`Saya tidur di dalam kereta sampai pagi.Malas nak gerak akak, takut dia terkejut’
Aku menelan kesah itu dengan ketakjuban yang tidak terhingga. Maklumat yang disampaikannya menyebabkan aku semakin memandang tinggi kehebatan orang-orang yang mencapai makam hakikat makrifat. Tok Lat telah menujukkan bukti bahawa kematian pada martabat ini adalah kematian yang sangat mulia. Oleh kerana begitu mulia dan tinggi martabatnya, dirinya masih diperlukan oleh dunia.Inilah maklumat tertinggi dalam kehidupan Tasauf yang manusia ramai tidak mengetahuinya. Demikian kepercayaanku.
Kepada Tok Penghulu Malim pun aku semakin hormat dan memandang tinggi apabila mengetahui beliau telah dianugerahi ilmu yang menjadi pakaian orang-orang martabat hakekat makrfat.Ilmu yang tidak diketahui oleh sesiapa jua termasuk Ayah La sendiri.Kini aku tiba-tiba merasakan aku tidak rugi apa-apa dengan ketiadaan Ayah La dalam perjalanan Tasaufku.Malah aku merasakan aku lebih bertuah berbanding dengan dirinya kerana terbuka kepadaku suatu dimensi yang tidak terbuka kepadanya walaupun dia sangat berhasrat mencarinya.
Dalam kunjungan ke rumah Tok Penghulu Malim ini aku berhasrat juga ingin mengetahui kesah perkembangan kebangkitan Melayu, mengenai keris-keris tubuh negeri, keris pertabalan, senjata pahlawan-pahlawan silam dan sebagainya sebagaimana Tok Penghulu Malim telah ceritakan dahulu.Bila tajuk ini aku kemukakan Tok Penghulu Malim menjawab.
`Sudah ada semuanya. Semuanya sudah siap. Semuanya saya letakkan dalam satu bilik khas, siap dengan tabir warna kuning sekali. Sudah penuh sesak bilik itu sekarang.Kuning semuanya’
`Tok Ayah Sohorkah yang suruh buat begitu?’
`Tok Ayah Sohor dan Tok Lat’
`Kenapa mesti kuning?’
`Daulat Raja.Kebesaran Raja-Raja Melayu’
Tok Penghulu Malim nampak gembira dengan tugas-tugas yang telah dia laksanakannya.
`Tapi yang terkilannya semua keris-keris itu bukan saya yang punya. Saya sekadar menyimpannya sahaja buat sementara. Lepas itu akan diserahkan kepada raja-raja Melayu untuk menjadi keris kebesaran peribadi mereka. Saya sendiri tak ada keris peribadi’
`Keris peribadi?’
`Keris kebesaran peribadi!’, wajahnya terserlah sedikit rasa terkilan.``Ha! Itulah yang tak ada, sebab saya tak jadi raja’.
`Keris panglima?’
`Keris panglima ada’
`Keris siapa?’
`Hang Lekir’, dan wajahnya nampak sangat bangga memiliki keris salah seorang sahabat Laksamana Hang Tuah lima bersaudara itu.
`Untuk apa?’, aku menampakkan kejahilan.
`He! Untuk berperanglah!`, Tok Penghulu Malim bernada geram kerana kebodohan soalanku itu.
`Peperangan besar akan berlaku!’, dia memberikan informasi selanjutnya.
Aku tidaklah terkejut dengan maklumat itu. Peperangan adalah suatu yang memang akan berlaku kerana salah satu sunnah kebangkitan Islam ialah peperangan. Inilah Sirah Rasulullah saw. Setelah berada dalam zaman penindasan di Mekah, Rasulullah saw dan para Sahabat rh dihadapkan pula dengan Badar, Uhud dan Khandak di zaman Madinah. Peperangan tersebut adalah peperangan sesama sebangsa dan seketurunan. Serang-menyerang dan bunuh-membunuh antara anak dengan ayah, adik dengan abang, anak saudara dengan bapa saudara, sepupu dengan sepupu dan seterusnya. Semuanya itu adalah peperangan demi menegak dan mempertahankan akidah.
Pada zaman sekarang kesan dari sistem penjajahan dan dasar pecah dan perintah oleh Inggeris, sistem politik demokrasi yang diperkenalkan di Tanah Melayu, sebenarnya adalah titiktolak untuk perpecahan dan kemudiannya peperangan! Setiap pilihanraya adalah peperangan pada hakikatnya. Peperangan antara dua puak yang berlainan hala tuju. Satu adalah golongan yang mepertahankan sistem Yahudi dan satu lagi adalah puak yang mahu melaksanakan sistem Islam. Satu golongan mempertahankan sistem negara sekular Barat dan satu lagi mahu menegakkan Baldatun Toiyyibatun – Negara Islam. Sesungguhnya ini adalah masalah yang juga membabitkan akidah umat Melayu! Cuma anggota keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia dapat mengawalnya. Kalau tidak ada kawalan yang ketat, nescaya Badar boleh berlaku!
Tidak cukup dengan masalah kronik yang menimpa Bangsa Melayu, Tanah Melayu dirumitkan pula oleh masyarakat majmuk! Sejarah komunisme, tragedi dua minggu pemerintahan Bintang Tiga, tragedi 13 Mei dan senario politik negara sejak akhir-akhir ini menggambarkan bagaikan bila-bila masa sahaja akan berlaku pertumpahan darah. Demikianlah kesan yang menimpa umat Melayu sebagai bangsa yang ditunjukkan untuk bangkit pada akhir zaman.
Sejak dari dulu-dulu lagi aku memang percaya, sistem yang dijalankan di seluruh dunia yang ditaja oleh Barat Yahudi, adalah sistem yang membawa kepada perpecahan, perbalahan dan peperangan kerana sistem-sistem berkenaan adalah sistem yang zalim, menindas dan tidak berperikemanusiaan. Kebangkitan Islam sejagat yang mahu menyingkirkan sistem Yahudi tersebut telah membawa kepada sengketa sebangsa yang kronik, perbalahan bahkan peperangan, berlaku di serata dunia iaitu kebangkitan golongan yang tertindas. Ironiknya mereka dilabel sebagai pengganas! Inilah kelicikan musuh Islam.Dan yang sedihnya orang Melayu percaya!
`Awak pun patut pergi ke rumah Tok Ayah Sohor. Manalah tahu kalau-kalau ada yang layak untuk awak pusakai’
Aku tercengang.
`Nenek-moyang awak, titisan awak pada zaman yang lalu, manalah tahu entah-entah awak dari keturunan panglima’
Aku sedikit gembira dengan saranan itu. Kalau berlaku peperangan tentulah senjata pahlawan-pahlwan silam amat penting. Sudah pasti ada kehebatan tersendiri. Aku pernah mendengar kehebatan pedang Zulfikar milik Rasulullah saw. Kehebatan Keris Taming Sari, pedang Panglima Salleh – sekadar beberapa contoh.
Sebenarnya aku memang pun sudah ada keinginan untuk menemui Tok Ayah Sohor. Ada suatu mimpi yang mahu aku sahkan darinya. Tapi aku masih teragak-agak, patut pergi atau tidak, kerana setelah kunjungan pertama dahulu, aku merasakan sekadar itulah apa yang sesuai untukku, kerana apa yang berbentuk kehebatan dan keistimewaan tentulah hanya untuk Tok Penghulu Malim yang aku sanjungi dan pandang tinggi itu. Aku tidak layak.
`Jangan lama sangat tak pergi. Patutnya paling lama tiga bulan, mesti pergi jumpa dia’, pesan Tok Penghulu Malim.
Bila perbualan dengannya telah sampai ke penghujung, akhirnya aku sampai kepada soalan kemuncak yang telah aku rancang untuk pertemuan itu.Aku lalu bertanya.
`Agak-agaknya Abang Malim, bilakah akan berlaku kebangkitan?’
Tok Penghulu Malim memandangku.Dia merenung mataku tepat-tepat.Sejenak diam berdiam diri. Tiba-tiba wajahnya bertukar menjadi hambar. Dia tersandar di kerusi. Air mukanya menampakkan rasa kecewa. Dia lantas mengambil Salem. Setelah menyalakan dan menikmati beberapa sedutan, lalu dia berkata dengan nada yang agak lemah dan perlahan.
`Itulah yang saya kesalkan...’
`Kenapa?’, aku bertanya dengan nada kecewa bercampur terkejut.
Lalu dia menceritakan dia telah diserahkan `kunci terakhir’ yang paling utama iaitu `keris kunci kebangkitan’ yang akan diserahkan kepada Nabi Ibrahim.Itu pesan Tok Ayah Sohor dan Tok Lat. Ini amanah yang paling penting. Dia menyatakan kesal yang teramat sangat, bila pada suatu petang menjelang Maghrib, tiba-tiba dia dikunjungi oleh seseorang yang meminta dia menyerahkan keris tersebut untuk satu tugas yang teramat penting. Dia meminta dipinjamkan hanya untuk satu malam sahaja. Tok Penghulu Malim menegaskan kepada tetamu yang tidak dikenalnya itu, bahawa dia samasekali tidak boleh menyerahkannya kepada sesiapa jua kecuali dengan kebenaran Tok Lat.Lelaki itu memberitahunya, dia adalah utusan Tok Lat. Mempercayai kebenaran maklumat itu, Tok Penghulu Malim lantas menyerahkan kepadanya. Tapi sehingga kini keris tersebut masih tidak dikembalikan lagi kepadanya.
`Tok Lat dah tahu?’, aku bertanya dengan nada yang sungguh hampa dan kecewa.
`Tahu! Saya sudah beritahu. Dia amat terkejut tapi nak kata apa lagi!
`Tok Ayah Sohor?’
`Tahu! Tapi Tok Ayah Sohor kata, biar dia uruskan semula’
`Jadi, bagaimana dengan kebangkitan Melayu?’
Tok Penghulu Malim menggeleng-geleng.
`Dan dengan Nabi Ibrahim? Bagaimana kesahnya?’
Tok Penghulu Malim sekali lagi menggeleng-geleng.
`Saya tidak dapat menepati masa yang ditetapkan’, nada kecewa dilahirkan, dan Tok Penghulu Malim masih tersandar di kerusi. `Orang macam itu sentiasa menepati masa. Lambat sedikit pun, dia dah tak tunggu lagi’
`Jadi tak dapat berjumpalah?’, aku mahukan kepastian.Nadaku ketara begitu kecewa.
Tok Penghulu Malim menggeleng-geleng dengan wajah yang semakin kecewa.
`Dia dengan tugasnya yang lebih sibuk, bergerak dari satu tempat ke satu tempat mengikut masanya. Tok Lat beritahu kepada saya supaya berada di tempat itu pada jam 4.30 petang.Hari itu jalan sesak sungguh. Berengsot-engsot kereta berjalan macam kura-kura. Saya tiba terlambat’
`Tak dapat jumpalah?’
Tok Penghulu Malim menggeleng-geleng lagi.
Berita itu amat mendukacitakanku! Aku telah berada dalam penantian untuk mengharapkan beralihnya kekuasan dari sistem Barat kepada sistem Islam sejak akhir 1970an. Aku terharap-harap akan berlaku peralihan kuasa pada akhir 1990an atau awal 2000an bersempena dengan munculnya watak-watak yang hebat - Tok Ayah Sohor,Tok Lat dan Tok Penghulu Malim.
Jika sudah berlaku aral sedemikian – aral oleh kealpaan dan kesilapan Tok Penghulu Malim, bilakah akan bermulanya sebuah era baru, era kebangkitan Melayu?
Entahlah.....Aku cukup kecewa!
Minta maaf nak tanya..penghulu maliki balik dari tanah merah 30 minit saja. Kemudian dia terlambat pulak jumpa tok lat kerana JAM sesak...emmm...macam ada x kena cerita ni
BalasPadamMasa tu tok penghulu tidak amal ilmu lipat bumi lagi.. Kan dia dan tok lat balik dari tanah merah baru saja berlaku..Ataupun kerana dia bersama tok lat sebabtu jadi cepat.. Kan tok lat lebih hebat ilmunya... dok gitu???
PadamTq.Memang ada yang tak kena... tapi ada pula yang kena.
BalasPadamTeruskan mengikuti untuk mencapai satu kesimpulan.
Tok Penghulu Maliki balik ke rumah dari Tanah Merah dalam tempoh 30 minit bersama Tok Lat - suatu keajaiban, tapi perjalanan jam adalah dia sendirian....Bukan ke rumah Tok Lat tapi ke tempat lain dengan satu misi yang gagal.
salam PDDK,bilekah tok ayah lat kembali kerahmatullah?
BalasPadamTumpang tanya....Saya rasa saya kenal dengan Tok Penghulu Maliki....Tapi saya nak kepastian, nama dia yang sebenar apa? Rasanya dia pernah jadi penghulu mukim penyor dulu...Sesiapa yang tahu boleh tak bagi tahu...Terima kasih.
BalasPadamAku rasa aku pun kenal dgn Penghulu Maliki tu,dia duduk kat Kuantan.. org yang suka menabur fitnah dan memporak perandakan keluarga org...
BalasPadamastagfirullah... mengucaplah 2 kalimah syahadah... Allah Maha Berkuasa...
BalasPadam