03 Ogos 2009

(10)
SENARAI KEAHLIAN 7500?

`Tak mahu pergilah’, isteriku tiba-tiba menolak ajakanku untuk pergi mengunjungi Tok Penghulu Malim. Sudah lebih tiga minggu kami tidak ke rumahnya. Sebelum ini sekurang-kurangnya sekali seminggu aku dan isteriku tetap pergi ke rumahnya.
`Bukankah dia telah meminta kita supaya mengambil faham dari Cikgu Zan sahaja?’.
Isteriku memberi alasan.
`Atau dengan Ayah La juga!’, tambahnya.
`Memanglah!’, aku bertegas. `Tapi, tentulah kita patut melaporkan kepada Tok Penghulu Malim mengenai pertemuan kita dengan Ayah La tempoh hari’
`Tak perlu!’, isteriku tetap membantah.
`Ingat tak, bila Ayah La kata, dia hendak pergi naik gunung?’
`Kenapa?’
`Kita tak faham apa maksudnya bukan?’
Isteriku terdiam
`Sebab itulah kita perlu tanya Tok Penghulu Malim. Dia seorang yang kasyaf! Tentulah dia boleh jelaskan’
`Dengan Cikgu Zan?’
`Rumah dia jauh!’, aku bertegas. `Lagi pun abang rasa, dia tidaklah tersingkap seluas Tok Penghulu Malim’
Isteriku terdiam lagi. Hujahku agak kuat untuk meyakinkannya.Tok Penghulu Malim memang selalunya boleh memberikan maklumat lanjut di luar jangkaan mengenai sesuatu yang ditanya walaupun orang berkenaan atau perkara berkenaan di luar pengetahuannya. Inilah tanda kasyaf yang aku temui dalam persilatanku di Raub dahulu.
`Abang tahu dia memang sibuk’, aku meneruskan hujah. ’Dia mungkin ada tugas dan tumpuan yang lain. Barangkali memang sukar untuk dia melayani kita seperti dahulu. Tapi masakan tak boleh pergi langsung!’
`Malu...’
`Dalam belajar kita tak boleh malu, Na. Kita tetap memerlukan Tok Penghulu Malim. Cuma jangan terlalu kerap seperti dahulu’.

Dalam pertemuan terakhir sebelum ini Tok Penghulu Malim memang bagaikan mahu kami lebih bertumpu kepada Cikgu Zan dan Ayah La kerana dia seolah-olah adalah urusan-urusan yang besar dan penting. Sebab itulah isteriku menjadi agak keberatan untuk ke rumah Tok Pengulu Malim lagi.

`Lagipun, bukankah kita ada mengalami pengalaman aneh di Kemaman tempoh hari? Tentu elok merujuk kepada dia untuk mendapatkan penjelasan’
`Kalau dengan Ayah La?’, isteriku bagaikan masih berusaha untuk membantah.
`Jauh! Lagipun bila baru boleh pergi? ’, suaraku bagaikan sebuah keluhan. Ayah La telah menyatakan dia akan naik gunung dan tidak akan berada di rumah. Jadi tentulah lambat untuk mendapat makna tersirat mengenai kesah yang aku lalui di Kemaman hampir seminggu yang lalu. Aku telah tidak sabar lagi untuk menanti lebih lama.
Hujah-hujahku akhirnya berjaya menjadikan kami berdua berada di rumah Tok Penghulu Malim. Seperti selalunya, kami berada di ruang tamu rumah teres dua tingkatnya. Ruang tamunya, kalau dibandingkan dengan ruang tamu rumah Ayah La, memanglah jauh benar bezanya. Bagaikan malam dengan siang. Ayah La mempamerkan sifat zuhud, ciri orang bertasauf pada zaman yang lampau sementara Tok Penghulu Malim menyesuaikan dengan perubahan zaman. Sebab itulah rumah teres dua tingkat Tok Penghulu Malim adalah sebuah rumah yang cantik dan ruang tamunya setaraf dengan taraf pemastautin di kawasan perumahan di sini. Demikianlah juga rumah Cikgu Zan. Cantik dan sesuai dengan zaman dunia moden.
`Nak pergi naik gunung ertinya nak bertapa’, Tok Penghulu Malim memberikan makna kepada kami bila aku mengajukan persoalan itu.
`Gunung biasanya lambang pertapaan. Gunung, bukit dan gua adalah tempat-tempat yang sesuai untuk bersunyi diri. Kalau tidak di gunung, di bukit atau di gua pun boleh, asalkan jauh dari kesibukan manusia. Tapi biasanya digunakan istilah naik gunung sebagai tempat memencil diri’
`Apa tujuannya Abang Malim?’
`Menambah ilmu’.
`Kenapa mesti ke gunung?’
`Kalau takdirnya ada wali-wali Allah di sesuatu kawasan itu – di gunung itu - mungkin boleh bertemu dan dikurniakan ilmu’
`O.....’
`Semua kawasan-kawasan bukit dan gunung ada penjaganya’, informasi dari Tok Penghulu Malim seterusnya.
`Siapa penjaganya?’
`Para wali!’
Aku terpegun mendengar maklumat itu.Aku terfikir-fikir mengenai kebenarannya. Tapi aku tidak ada jawapan untuk menafikannya.

Maklumat-maklumat dari Tok Penghulu Malim biasanya adalah maklumat-maklumat yang berbeza dengan apa yang telah sedia aku fahami. Aku di saran memadamkan maklumat lama terutama mengenai soal ketuhanan Allah, hakekat dan makrifat apabila berbicara dengannya, dengan Cikgu Zan atau dengan Ayah La. Aku disaran mengosongkan disket lama untuk memenuhkan mindaku dengan maklumat yang terbaru dan hakiki. Dengan kata-kata lain, kosongkan mindaku terlebih dahulu untuk diisi oleh maklumat hakikat dan makrifat supaya maklumat syariat tidak menjadi hijab.

Aku mempercayai huraiannya mengenai ehwal pentadbiran Allah Taala mengenai alam dunia kerana Tok Penghulu Malim adalah seorang yang telah terangkat darjat dan martabat, berilmu tinggi dan merupakan murid yang paling disayangi, hasil didikan dari seorang guru Tasauf yang ariffinbillah. Tentulah maklumat darinya jelas dan benar.

`Selain gunung ada beberapa istilah lain yang saya tak faham, yang digunakan oleh Ayah La’, aku melanjutkan. `Tapi saya tak ingat....’
`Biasalah....’
`Biasa?’
`Istilah orang gunung...’
`Maksud Abang Malim?’
`Kadang-kadang bahasa jin....’
`Oooo’
`Abang Malim boleh?’,isteriku bertanya.
Tok Penghulu Malim sekadar tersenyum.Tapi kemudiannya dia lalu menerangkan bahawa seorang kawannya yang hebat dalam bidang perubatan tradisional boleh mendapatkan apa-apa sahaja keperluan dalam masa yang relatif segera. Kalau dia memerlukan akar-akar kayu dan daun-daunya sekali untuk keperluan ramuan dan rawatan, kalau waktu itu hujan turun, akar-akar kayu tersebut akan didatangkan pada saat itu juga dalam keadaan basah dan masih ada tanah pada akarnya. Kalau keperluan ramuan tidak ada dalam kawasan persekitaran, terpaksalah mengambil masa lebih lama sedikit. Yang paling lambat ialah kalau memerlukan air zam-zam, terpaksa menunggu antara 15 hingga 20 minit kerana jaraknya yang jauh. Tok Penghulu Malim pernah dalam satu perjalanan bersama temannya itu, terlupa membawa Salem, lalu dia mahu singgah sebentar di kedai untuk membelinya, tapi oleh kerana mereka mahu cepat pergi, kawannya – Pak Nik – mengarahkannya supaya membuka sahaja tingkap kereta, dan pada saat itulah sebungkus Salem dicampakkan ke dalam kereta.
Bila mendengar maklumat ini, baharulah aku mengerti bahawa orang-orang pada martabat makrifat dan hakekat akan terbuka kepada mereka alam-alam yang lain termasuk alam jin dan mereka boleh pula berhubung dengan mereka atau makhluk-makhluk yang lain. Orang-orang pada martabat ini rupa-rupanya telah menguasai jin, boleh mendapatkan pertolongan atau memperhambakannya.
Demikian kesimpulanku.

Aku kemudiannya menceritakan kepada Tok Penghulu Malim kesah di Kemaman.

Beberapa hari yang lalu, aku sekeluarga dalam perjalanan pulang dari satu tugasan di Kota Bharu dan mahu berhenti sebentar di masjid Kemaman untuk solat Asar. Aku solat dahulu. Sewaktu menunggu isteri solat, tiba-tiba kelihatan seorang anak muda memasuki kawasan masjid. Dia seakan-akan mahu pergi bermain kerana memakai seluar pendek putih, berbaju kuning, lengkap berkasut dan berstokin kuning. Dahinya dililit dengan sehelai kain merah. Dia melintasiku yang berdiri di sisi kereta.Penampilannya yang sedikit lain berbanding orang-orang biasa menyebabkan aku mengesyakinya sebagai bukan seorang orang biasa.

Aku teragak-agak untuk menyapanya tapi sebelum itu sempat menggunakan petua dan isyarat yang Cikgu Zan telah tunjukkan untuk mengesan seseorang manusia yang kelihatan agak lain, apakah ia seorang manusia biasa atau seorang wali Allah. Isyarat menunjukkan positif. Dia yang telah agak jauh melintasiku lantas berpaling sambil melemparkan senyuman seolah-olah memberi makna kenapa agak lambat memberi salam. Isteriku telah pun siap solat dan sedang mendekati kereta.

`Orang pada zaman sekarang sombong-sombong belaka’, begitu bicara anak muda itu sambil berjalan mendekatiku. Aku agak tergamam. Akukah yang disindirnya?
`Sejak dari pagi-pagi tadi lagi bahkan sampai sekarang, saya tidak meminum walaupun setitik air, tidak merasa walau sesuap makanan pun’
`Kenapa?’
`Sebab orang sekarang sombong-sombong!’
Aku terkedu.
`Saudara lapar?’, aku bertanya.
`Lapar!’
`Kalau begini keadaan saudara, bagaimana saudara hidup?’
`Biasalah. Pagi, bila tidak ada minuman, saya meminum air-air embun di hujung-hujung daun kayu dan rumput’
`Makan?’
`Kadang-kadang tak makan!’
Aku menjadi begitu kasihan kepadanya. Lantas aku menyeluk poket atas bajuku. Ada RM10.00, lalu aku serahkan padanya. Dia menerima pemberianku itu dengan wajah yang berseri.Dibawa ke hidungnya dan diciumnya.
`Terima kasih! Terima kasih!’, dan dia mendoakan untukku.
Aku sebenarnya terasa malu bila dia menghargainya dengan cara begitu.
`Awak tahu ke mana perginya Wali Yazid?’, aku cuba mengalih perhatian untuk mencungkil mengenai Wali Yazid. Aku harap dari anak muda yang mistri dan istimewa ini aku mendapat maklumat mengenai Wali Yazid.
Sebentar tadi – kira-kira 30 minit yang lalu - memang aku mencari Wali Yazid tapi dia tidak ada. Di bawah pohon rambutan yang menjadi tempat berteduh dan bersimbang beberapa orang anak muda, aku mendapat informasi mengenai Wali Yazid.
`Wali Yazid kadang-kadang ada dan kadang-kadang tak ada di pondoknya’, seorang anak muda menerangkan.
`Bila masa dia ada?’, aku bertanya.
`Itu terserah kepada abang sendirilah’
Aku tercengang.
`Abang kenal dia?’, aku ditanyai oleh seorang yang lain.
`Tak kenal!’
`Kalau tak kenal bagaimana abang mahu mencarinya?’
`Sekarang dia berada di mana?’
`Kami tak tahu!’
`Dia berada di sekitar sini sahaja’, kawannya yang lain menjawab
`Kadang-kadang dia pergi jauh!’, yang lain pula menerangkan
`Ke mana?’
`Serata Malaysia. Bahkan kerap juga pergi ke luar negeri’
`Luar negeri? Ke mana?’
`Jordan, Thailand, Indonesia dan sebagainya’
Wali Yazid adalah seorang anak muda yang pada ketika usianya menjelang 30 tahun, pernah aku kunjungi kira-kira 10 tahun yang lalu bersama tiga orang teman. Kesahnya begitu menggemparkan.Kami berempat – aku, Ustaz Min, Bakir dan Pak Cik Harun, dalam perjalanan pulang setelah berada semalaman di Rusila kerana mengikuti kuliah pagi Jumaat dan solat Jumaat bersama seorang tokoh yang cukup meningkat naik namanya dalam era kebangkitan Islam tahun 1980 an dahulu.
Wali Yazid menggemparkan masyarakat sekitar kerana menurut cerita dari Khairul Anuar, kawan kepada Ustaz Min, Wali Yazid menjadi seorang anak muda yang begitu luar biasa setelah dikatakan tidur selama tiga bulan. Khairul Anwar menceritakan kepada Ustaz Min, bahawa Wali Yazid menasihatinya supaya berhenti dari jawatannya sekarang sebagai Setiausaha Majlis Agama Islam. Sebagai kawan sejak kecil, Wali Yazid memberitahunya jawatan itu tidak bagus untuknya. Khairul Anwar menerangkan dia tidak boleh berhenti kerana terikat dengan perjanjian dan kalau mahu berhenti juga terpaksa melangsaikan sejumlah RM35,000.00 kepada kerajaan sedangkan dia tidak memiliki wang sebanyak itu. Wali Yazid lalu menasihatkannya supaya menikam judi Empat Nombor Ekor dan bila menang, gunakan wang tersebut untuk membayarnya.
Bila kami berempat sampai di sebuah pondok kecil tempat Wali Yazid beribadah sendirian, kami melihat sekumpulan anak-anak muda dalam usia 20an sedang berbual-bual. Ustaz Min yang mendahului kami lantas memberi salam dan menerangkan hajat untuk bertemu dengan seorang yang telah menjadi wali. Semua anak-anak muda berkenaan menjadi terpinga-pinga mendengar permintaannya yang ganjil itu.
Aku segera menyedari Ustaz Min bukanlah seorang yang memahami alam Tasauf. Aku perlu tampil kerana aku percaya aku lebih berpengalaman kerana pernah berkenalan dengan orang-orang yang menjalani Tasauf seperti Pak Abu, aruah Abang Mat, Cikgu Abdul dan Ustaz Haji Ab. Hatif. Kitab-kitab Tasauf terutamanya Ihya Ulumiddin, Minhajul Abiddin, Hikam, Kasyaf al Asrar, Darun Nafis dan sebagainya telah kubaca. Banyak kesah-kesah pengamal Tasauf dari kalangan para wali Allah telah kuketahui kesahnya. Lalu aku medekati kumpulan anak-anak muda itu dengan adab yang sesuai. Aku pun bertanya:
`Kami telah mendengar khabar, ada seorang anak muda di sini telah mengalami pengalaman kerohanian semasa berzikir. Bolehkah kami berkenalan dengannya?’.
Soalanku yang agak sopan itu mendorongkan seorang anak muda ditampilkan ke hadapan, apabila rakan-rakannya yang lain mengundurkan diri.
`Saudarakah yang bernama Yazid?’
Dia mengangguk. Yazid atau nama jolokan kepada orang-orang di luar lengkongannya, Wali Yazid, adalah seorang anak muda yang nampaknya memang ada kelainan. Dia memakai seluar jean warna biru kelabu yang telah cukup lusuh dan bertali pinggang. Dia tidak berbaju dan oleh kerana itu jelaslah tubuhnya yang kelihatan sedikit kurus. Rambutnya agak panjang dan agak kurang terurus. Dia mempersilakan kami naik ke pondoknya. Rakan-rakannya berundur memberi ruang kepada kami untuk duduk.
`Benarkah khabar yang sampai kepada kami saudara telah tidur sehingga tiga bulan lamanya?’, aku bertanya.
Dia mengangguk. Bila dia mengakuinya, aku mulai yakin mengenai keistimewaannya kerana pengalaman sedemikian adalah pengalaman kerohanian – roh mengalami proses menuntut ilmu sedangkan diri jasmani tidur. Ini adalah perkara-perkara besar dan istimewa dalam bidang amalan zikir Tasauf. Anugerah yang amat istimewa. Aruah ayahku sendiri telah juga mengalaminya.
`Saudara Yazid mengamalkan zikir Tarekat?’
Dia mengangguk lagi.
`Tarekat apa?’
`Naqsyabandiah, Qadariah, Shatariah dan Muhammadiah’
`Saudara amalkan kesemuanya?’
Dia mengangguk.
`Serentak?’
Dia mengangguk juga. Wah! Ini satu kehebatan dan luar biasa. Pada masa itu aku bersama Bakir baharu saja mengamalkan Tarekat Naqsyabandiah dari Ayah Wan Hassan di Pulau Lalang. Mengamalkan satu zikir tarekat pun aku sudah terkial-kial untuk memperuntukkan masa bagi istiqamah setiap hari sebanyak 5,000 kali zikir ismu zat.Itupun baru pada peringkat asas!
Aku mengambil iktibar dari pengalaman pembacaan, bahawa orang-orang yang memperolehi pengalaman kerohanian seperti Wali Yazid ini, tidak mahu berbual perkara yang sia-sia termasuk urusan duniawi. Untuk bertanya hal-hal yang tinggi mengenai selok-belok Tasauf, ketika itu aku belum cukup tahu. Lagi pun aku sedar Ustaz Min seorang pengamal Syariat semata-mata. Oleh kerana itu aku menggunakan peluang untuk memohon supaya kami diberikan apa-apa pengajaran kerana orang sedemikian memiliki doa yang mustajab kerana mencapai makrifatullah secara rohani. Lantas aku berkata:
`Saudara Yazid, kalau boleh saudara tolonglah kami semua...’, aku bersuara merendah diri. Walaupun aku lebih tua darinya, tapi soal ini tidak berkaitan dengan usia.Tadi dia memberitahu usianya 29 tahun, sedangkan aku sendiri pada ketika itu telah berusia 32 tahun. Bakir pula 31 tahun dan Ustaz Min 33 tahun. Pak Cik Harun orang tua yang bekerja sebagai tukang kebun pada ketika itu telah pun hampir pencen.
`Kalau saudara sudi, berikanlah kepada kami pengajaran....’ , tambahku.
Wali Yazid terkebil-kebil sejurus. Dia memandang kepada kami silih berganti. Sejurus menunggu, dia pun bersuara.
`Awak...’, dia bersuara khusus kepadaku. Mataku direnungnya. `Awak...elok beli sebiji bola...’
`Beli bola?’, aku terkejut.
Dia mengangguk
`Buat apa?’, aku bertanya.
`Main!’, aku tersentak
`Tapi saya dah tak main bola lagi. Dulu betul! Tapi sekarang saya sudah berhenti’, aku berhujah.
`Beli! Main bola!’, aku menjadi keliru dan sedikit kebingungan. Lalu ketawalah aku kerana terlalu geli hati.
`Kalau tak mahu beli bola, beli gitar!’, Wali Yazid membuat saranan yang lain. Aku bertambah geli hati lalu meledaklah ketawa. Ustaz Min dan Bakir turut ketawa. Tapi Wali Yazid tidak ketawa. Tak nampak pun dia terasa lucu dengan saranannya.
`Main bola dah berhenti... Gitar langsung tak tau petik...Macam mana...?’, aku mengomel sendirian sambil masih ketawa.
Bila ketawa telah mereda, Ustaz Min pula meminta pengajaran untuk dirinya.
`Awak... Apabila masuk waktu maghrib pergi ke tepi padang..’,Wali Yazid memberi cadangan.
`Nak buat apa?’, Ustaz Min bertanya.
`Azan!’
`Azan?’, Ustaz Min sangat terkejut dan serentak dengan itu meledaklah ketawa mengelekek darinya. Kami semua pun turut tertawa. Tapi Wali Yazid tetap serius.
`Lepas itu awak cari seekor ayam dan bawa ke masjid. Sembelih dan buat kenduri di sana. Kumpulkan bulu dan najisnya, dan buang keluar masjid’
Ustaz Min terdiam mendengar saranan itu. Nak ketawa atau tidak? Tak ada kelucuan. Kami terdiam semuanya kerana tidak mengerti apakah maksudnya.
Sampailah pula giliran Bakir.
`Awak...’ dan mata Bakir direnungnya.
`Awak... berhenti kerja’, kata Wali Yazid.
`Ha?’, Bakir terkejut.
`Awak beli sebiji bot...’
`Buat apa?’
`Jadi nelayan’, suara Wali Yazid tegas.`Pergi ke laut dan tangkap ikan. Bila dapat ikan, awal jual semua. Dan bila dapat duit, awak beli pakaian berwarna hitam. Jubah hitam, surban hitam dan semuanya berwarna hitam’.
Bakir serba salah mahu ketawa atau tidak.
Di hati terasa geli hati tapi tak tahu untuk apa kalau tertawa. Mengenai Pak Cik Harun, Wali Yazid tak berkata apa-apa.Dia cuma mengatakan orang tua itu baik.
Oleh kerana kami semua begitu keliru dan tidak dapat memahami maksud tersirat di sebalik kata-kata kiasan dan ibarat dari Wali Yazid , pada malam itu juga kami singgah di rumah guru Bakir iaitu Aicik Leman. Aicik Leman tidak dapat memberikan apa-apa tafsiran. Dia sekadar ketawa mengelekek.Cuma pada pendapatnya Wali Yazid berada pada peralihan maqam. Sebab itulah bicaranya tidak boleh difahami.
Anak muda misteri itu merenungku dengan matanya yang lembut dan wajah yang manis berseri. Dia tidak menjawab soalanku tapi sebaliknya tiba-tiba bertanya.
`Apa keperluan dengan Wali Yazid?’
`Sekadar ingin berjumpa’, aku menjawab.`Sudah lama tidak bertemu dengannya. Saya pernah berjumpa dengannya kira-kira sepuluh tahun yang lalu’
`Awak tak payah jumpa dia’, tiba-tiba anak muda itu bernada tegas.
`Kenapa?’
`Wali Yazid sombong!’
`Sombong?’, aku kehairanan. Sombong? Aku mengomel sendirian.
`Kalau sombong masakan dia boleh mencapai taraf wali?’, aku berhujah.
`Tak usahlah cari dia. Dia sombong!’,ulangnya sekali lagi.
Dan dengan kata-kata itu dia melangkah pergi. Aku bersama isteri dan anak-anak memerhatikannya melangkah pergi itu. Di saat aku mahu membuka pintu kereta untuk beredar dari situ, tiba-tiba anak muda itu datang kembali menuju ke arah kami.
`Saya terlupa untuk mengambil nombor kereta’
`Buat apa?’
`Buat kenang-kenangan’
Dia lantas mengeluarkan sebuah diari kecil dari saku bajunya dan menghulurkannya kepadaku . Sebatang pen juga dihulurkan.
Aku lantas menulis.
`Kereta saya buruk saja’, aku merendah diri.
`Tak apa! Tak apa! ’, dia tiba-tiba bersuara bagaikan memujukku.`Ayah saya Agung Terengganu. Nanti saya beri tahu dia, awak akan dapat kereta baru...’
Dan dengan kata-kata itu dia pun berlalu pergi. Pantas langkahnya dan sejurus kemudian dia hilang dari pandangan kami.
`Wali Yazid sekarang bertugas di antara dua alam dan boleh ke mana-mana demi tugas kewaliannya’, Tok Penghulu Malim memberikan informasi kepada aku dan isteriku sebaik sahaja aku selesai menceritakan kesah pertemuan dengan pemuda di pekarangan masjid Kemaman itu.
`Saya rasa pemuda yang awak temui di masjid itulah Wali Yazid!’, Tok Penghulu Malim membuat rumusaan.
`Ha?’, aku terjerit bagaikan cuba membantah.
`Usia Wali Yazid sekarang sudah tentu menghampiri 40 tahun’, isteriku memberikan alasan.`Sedangkan pemuda itu nampaknya baru di sekitar awal dua puluhan...’
`Putih pula kulitnya...’, tambahku.`Rasa-rasanya kulit Wali Yazid yang saya tengok dahulu, tidaklah secerah itu..’
Kami berusaha meyakinkan Tok Penghulu Malim, bahawa pemuda tersebut bukanlah Wali Yazid, tapi hanyalah seorang anak muda yang ada sedikit kelainan berbanding dengan pemuda-pemuda biasa.
`Awak berdua terkeliru!’
`Terkeliru?’
`Bukankah sewaktu awak mencarinya di bawah pohon rambutan, ada kawannya bertanya samada awak kenal atau tidak dengan Wali Yazid?’
`Kenapa?’, aku kehairanan.
`Sebab awak tak kenallah, awak tidak mengenali dia....’
`Jadi maksud Abang Malim pemuda itu...?’
`Ya!’
`Tapi kenapa muda...’, isteriku kebingungan
Tok Penghulu Malim sekadar tersenyum.Kemudian dia berkata seterusnya.
`Entah-entah 7500 adalah senarai nombor keahlian awak....’
`Keahlian?’,aku tercengang.
`Keahlian apa?’, isteriku pula bertanya.
Tok Penghulu Malim tidak menjawab. Namun senyuman manisnya meleret menghiasi bibirnya.

2 ulasan:

  1. p luo negara pkai jin kew?? dasat2.. sok nak mati susah nih.. nabi nak kuo umah mase kne kepung pon ikut pintu umah .. cuma baca ayat al-quran minta dilindung dr mata org kafir.. xpkai jin pon.. kalo x bakpe la nak susah2 diri.. kira ni dah lawan kekasih Allah swt nie leh main terbang2 dasatt... na'uzubillah...

    BalasPadam
  2. wali melayu jln cerita mmg kartun..suka suka je claim wali, kalau wali setan ana percaya.

    BalasPadam