29 Jun 2010

51. Tsunami.

Orang Payang telah melakukan satu dosa yang besar kerana melarikan cucu panglima dengan tidak ada sebab yang jelas. Melarikan Yim dan merancang untuk memilikya adalah satu kesalahan yang tidak boleh diampunkan. Lalu arahan dikeluarkan oleh guru supaya satu hukuman perlu djatuhkan kepada Orang Payang.

Apabila Yim pulih ingatannya, Yim diarahkan supaya menyerang negeri Orang Payang yang letaknya di kawasan air terjun di Kota Tinggi, tempat Saedah terkena rasukan.

Yim menceritakan selama tiga hari dia telah melancarkan serangan dan telah menjadikan negeri Orang Payang bagaikan dilanda tsunami. Berbagai-bagai persilatan panglima digunakan. Dia tidak dapat menggambarkan jumlah korbannya. Pada hari ketiga sewaktu Panglima Gayung Lanang sedang mengamuk, Tok Petanda datang menyaksikan. Dia melihat sendiri betapa teramat ramainya tentera Orang Payang yang sedang mengasak Gayung Lanang.

`Asyek terpusing-pusing bila lagi nak habis’, Tok Petanda merungut.

Lalu Tok Petanda meminta Gayung Lanang berundur. Bila Gayung Lanang berundur, Tok Petanda lantas menyerbu ke dalam tentera Orang Payang yang bagaikan sekawan lebah itu. Serangan dan amukan Tok Petanda teramat hebat, menyebabkan tentera Orang Payang lari betempiaran. Amukan yang teramat hebat ini menyebabkan Orang Payang terpaksa menghantar general perangnya. Muncullah seekor tentera yang begitu besar dan tinggi setinggi pohon kelapa.Inilah makhluk yang tersangat besar yang diceritakan oleh Yim sebelum ini sewaktu dia di dalam tawanan Orang Payang.Bila berdepan dengan makhluk yang tersangat besar ini, Tok Petanda yang memakai tubuh Yim begitu kecil jadinya,

Semua tentera Orang Payang sedang menyaksikan satu peristiwa yang tentunya teramat sengit dan hebat. Parasit yang merupakan syiatan yang terhebat di alam mereka, bertempur melawan kehebatan Patanda. Mereka sedang menyaksikan Parasit datang menerpa dengan satu serangan yang dahsyat kepada Tok Petanda. Tok Petanda bagaikan terbang untuk mengelak serangan yang teramat dahsyat itu, tetapi ternyata ada satu pukulan gagal ditepis dengan cermat sehingga terkena pipi kanan Tok Petanda.Akibat terkena serangan ini, Tok Petanda yang selama ini bersifat defensif, menjadi berang lalu melancarkan serangan balas yang tersangat hebat sehingga menyebabkan tangan kanan Parasit patah. Tetapi pada waktu itu hari telah menjelang malam. Tok Petanda terpaksa memberhentikan serangan walaupun pada saat itu Parasit sudah hampir ditumpaskan.

(Saya tidak pula tahu kenapa serangan terpaksa ditamatkan disebabkan hari telah malam).

Bila menjelang siang, Tok Petanda sekali lagi melancarkan serangan yang hebat.Semua tentera Orang Payang yang selamat lari bertempiaran dan berserakan meninggalkan teman-teman yang mati bergelempangan atau yang cedera parah. Diceritakan ada yang lari bukan sahaja ke kawasan lain di Negeri Johor, tetapi sampai ke Melaka dan Negeri Sembilan. Parasit telah dapat dibunuh sementara Parasat berjaya melarikan diri.

`Tok tak bolehkah pergi sendiri ke tempat Orang Payang untuk mengamuk?’,Piei bertanya iaitu merujuk kepada Yim yang tetap terpaksa pergi ke negeri Orang Payang untuk membolehkan tok mengamuk.

`Kotor sangat’, Yim menjawab.

Sejak landaan bagaikan tsunami itu, dikatakan tidak wujud lagi negeri Orang Payang di kawasan air terjun di Kota Tinggi itu.Kawasan air terjun itu mulai selamat untuk menjadi tempat perkelahan yang jauh dari gangguan makhluk ghaib.

23 Jun 2010

50. Ali Doyo

Malam ini kami cuba berinteraksi dengan budak nakal yang sedang meresapi tubuh Yim. Aku tidak pasti pula sudah berapa kali sebenarnya watak budak nakal ini meresapi tubuhYim. Selama ini kami tidak begitu serius melayaninya kerana dia memang seorang budak yang nakal yang leka bermain bagaikan seorang budak-budak. Jadi kami melayannya bagaikan betul-betul melayan seorang budak. Bayangkan Yim yang sudah berusia 23 tahun jadi seorang budak lelaki yang nakal dan kami terpaksa melayannya sebagai seorang budak.

Pada malam ini entah mengapa tergerak di hati ku mahu berbual dengan resapan budak nakal ini.Kalau Yim diresapi oleh watak yang pendiam, kami memang tidak mempedulikannya. Apatah lagi kalau Orang Payang.

`Awak ni siapa?’, aku bertanya.

Tapi budak nakal itu masih asyek bermain dan leka dengan dunianya.

`Mari sini! Mari sini!’, Wan berteriak bagaikan menjerit.Bila mendengar teriakan itu budak nakal itu lantas mendekati kami.

`Awak ni siapa?’, Wan bertanya kembali.

`Nama saya Ali Doyo’

`Ali Doyo?’, kami gelihati mendengar nama itu

`Ya’

`Umur awak berapa tahun?’

`Sebelas tahun’

`Kenapa awak datang ke sini?’

`Dato yang suruh’

`Dato?’

`Dato mana?’

`Panglima Hitam’

Bila menyebut Dato Panglima Hitam yang suruh,aku dan rakan-rakan menjadi sedikit terkejut kerana kami menyangka resapan yang datang tentulah Orang Payang.

`Kenapa Tok Itam suruh awak masuk ke dalam tubuh Yim?’, Piei bertanya.

`Sebab dia sedang diubat’

`Sedang diubat?’

`Ya!’

`Di mana?’

`Di rumah ini’

`Mana?’, Wan pula bertanya.

Ali Doyo lantas menunjukkan ke arah gelanggang silat kami.

`Siapa yang merawatnya?’

`Ramai’

`Siapa?’

`Tok Itam, Jebat, Mahsuri, Puteri Gunung Ledang dan ada lagi’

Kami semua terkebil-kebil mendengar informasi itu.

`Selalu Yim dirawat begitu?’

`Selalulah’

`Maksudnya, bila Yim dirawat, awaklah yang datang ke dalam tubuhnya?’,Piei bertanya. Dan Ali Doyo mengangguk. Penjelasan itu, memberikan kami satu kefahaman - Ali Doyo diarahkan memasuki tubuh Yim bila Yim dirawat.

`Kenapa dia suruh awak masuk ke dalam tubuh Yim’

`Takut Orang Payang yang masuk’

`Jadi budak nakal yang degil - tidak mendengar kata selama ini, awaklah?’, Wan bertanya bagaikan menyergah.

`Betullah!’

Lalu kami teringat beberapa kenangan sebelum ini, betapa nakalnya Yim sebagai budak yang selalu mengacau, mengganggu, membuat sibuk dan mengguraui kami yang semuanya sedang sibuk bertungkus lumus untuk mengambil peperiksaan STPM. Bila kami menjadi geram dengan keletahnya, kami cuba mengacah untuk memukulnya. Bila diacah Yim akan lari cepat-cepat sambil membuat muka penyet. Tapi hanya sekejap sahaja. Kejap lagi dia datang dan ganggu orang lain pula. Dia sebenarnya mahu kami melayannya bermain.

`Kadang-kadang Yim menjadi budak yang gagap dan bercakap pelat.Siapa itu?’, Dol pula bertanya.

`Itu Yimlah sendiri’

`Bukan diresapi?’

`Bukan’

`Kenapa dia jadi begitu?’

`Tak tahu’

`Bagaimana mahu kenal Orang Payang?’, Piei pula bertanya.

`Bila bukan saya yang datang, Orang Payanglah itu’.

`Kalau awak boleh datang, kenapa Orang Payang boleh datang juga?’

`Bila saya terlambat...dia akan mendahului..’, Ali Doyo menerangkan. `Tapi Orang Payang dah tak datang lagi. Begitu saya dengar tok kata’

19 Jun 2010

49. Diresapi Kadam Bomoh Penggerang.

Apabila kami berjaya mematuhi syarat-syarat Orang Payang dan memenuhi kehendak mereka, maka berakhirlah gangguan mereka. Walau bagaimanapun tubuh Yim masih pada bila-bila masa sahaja diresapi oleh berbagai-bagai resapan. Kami kadang-kadang hairan juga kerana pada bila-bila masa sahaja Yim akan jadi seperti budak-budak yang bercakap gagap dan pelat. Bila keadaan begini berlaku kadang-kadang kami seronok juga kerana kami bagaikan melayani seorang kanak-kanak kecil yang nakal berusia 24 tahun
Pada suatu malam kami agak terkejut juga kerana Yim diresapi oleh juga seorang yang wataknya bagaikan budak-budak, tetapi kelainannya ialah dia boleh bercakap dengan baik dan jelas. Tutur-bicaranya baik dan lancar. Kami berpendapat yang meresapi Yim sekarang ialah seorang anak muda remaja. Kami cuba menyelidik.
`Awak ini siapa?’
`Aku budak suruhan’
`Budak suruhan siapa?’
`Tok Bomoh......’, (tapi saya sudah lupa namanya).
`Dari mana?’
`Dari Penggeranglah’
`Dari Penggerang?’
Dia mengangguk.
`Nama awak siapa?’
(Tapi saya juga sudah lupa namanya)
Kami begitu terkejut apabila disebut Penggerang sebab Penggerang ialah tempat tinggal Saedah Mushtari. Lalu tergeraklah di hati untuk kami bertanya apa kaitan tok bomoh tersebut dengan Saedah.
`Tok bomoh itu suka pada Saeadah’, kadam itu menerangkan
`Kenapa?’
`Sebab Saedah cantik’, Dol nampak kembang hidungnya bila dipuji tentang buah hatinya.
`Tok bomoh itu selalu suruh saya pergi ke rumah Saedah supaya Saedah dapat dipikat hatinya’
`Jadi awak buat bagaimana?’
`Macam-macamlah’
`Awak buat apa?’
`Saya buatlah apa yang tuan saya suruh’
`Awak buat bagaimana?’
`Macam-macamlah’
`Awak suka disuruh buat begitu?’
`Sukalah. Kadang-kadang tuan tak suruh pun saya pergi juga’
`Kenapa?’
`Sebab Saedah cantik.Saya pun suka pada dia. Kalau dapat saya pun mahu kahwin dengan dia. Tapi tak boleh’
`Tak boleh?’
`Kenapa?’
`Sebab tuan saya mahu kahwin dengan Saedah’
`Awak lawanlah dia!’
`He! Tak boleh!’
`Kenapa?’
`Saya takut pada dia!’
`Awak takut?’
`Takut!’
` Sebab?’
`Sebab dia kuat. Dan dia jaga saya. Bila dia marah, dia akan tangkap saya dan kurungkan saya di dalam botol’
`Apa lagi tugas awak?’
`Jaga Saedahlah’
`Tugas-tugas lain?’
`Tak ada. Saya hanya ikut perentah tuan saya. Bila dia suruh saya jaga Saedah, saya jagalah’
`Macam mana cara awak jaga Saedah?’
`Saya ikutlah dia. Ke mana sahaja dia pergi, saya akan ikut. Saya jagalah dia supaya dia selamat. Bila dia selamat, bolehlah tuan saya kahwin dengan dia’
`Selamat?’, aku bertanya.
`Saedah sakit awak kata selamat?’, Wan pula bertanya.
Kadam itu diam.
`Kenapa Saedah awak sakitkan?’
`Bukan saya. Tuan saya yang suruh saya sakitkan dia’
`Sebab apa?’
`Sebab Saedah tak mahu kepada tuan saya’
`Sekarang siapa yang menyebabkan Saedah sakit. Tuan awak atau Orang Payang’
`Dua-dua!’
`Kenapa Orang Payang sakitkan Saedah?’
`Sebab Saedah membuat salah di tempat mereka’
`Dia mana tahu!’
`Ha! Itu bukan salah Orang Payang! Itu salah dia. Sebab dia tak tahu’
`Lain kali buatlah papan tanda.Ini kawasan kami.Jangan masuk’, Wan begurau.


16 Jun 2010

48. Jadi Rebutan.

Selepas peristiwa Yim dibawa lari ke alam syaitan yang dinamakan Orang Payang yang kawasannya menurut tok adalah di sekitar air terjun di Kota Tinggi, Yim diserang pula oleh satu penyakit yang cukup aneh dan mistri. Penyakitnya sama dengan apa yang dihidapi oleh Saedah Mustari yang tidak mengenali kedua-dua ibu bapanya. Demikian jugalah Yim. Yim acapkali tidak mengenali kami lagi. Tapi kami telah dimaklumkan oleh tok, bahawa bila Yim diresapi, jangan pedulikannya. Jangan berinteraksi dengannya sehinggalah Yim sedar dengan sendirinya.

Apabila rumah telah dipagar oleh Tok Petanda, kami dipesan supaya Yim jangan dibenarkan berada di luar rumah terutama apabila Maghrib mula menjelma. Kalau Yim berada di luar rumah, dia mudah sahaja akan diresapi oleh Orang Payang.Dia akan rebah dengan tiba-tiba seperti dahulu dan bila hal ini terjadi, ada kemungkinan Yim sukar untuk dirawati.Tubuhnya yang diisi oleh Orang Payang dibimbangi akan terus lari ke dalam hutan dan kalau ini berlaku akan hilanglah Yim buat selama-lamanya. Bila hal ini terjadi, tergendalalah pelajaran pencak kami. Dengan demikian sudah past kami tidak akan sampai kepada taraf panglima dan seterusnya tidak mungkin mampu menjadi tentera pencak bagi mempertahankan negara jika berlaku tragedi seperti 13 Mei pada tahun 1980 nanti.

Oleh itu tok memberikan pesanan yang teramat penting, jagalah cucunya baik-baik!

Alhamdulillah kami sentiasa dapat pastikan untuk satu jangka masa berbulan-bulan lamanya, Yim tidak boleh keluar malam dan apabila Maghrib menjelma kami pastikan Yim berada di dalam rumah.

Anehnya, bila gangguan Orang Payang berakhir, Yim diserang pula oleh satu keanihan yang lain. Kalau pada waktu dahulu Saedah kadang-kadang jadi seperti budak-budak kecil demikianlah juga yang terjadi kepada Yim.

Hal tersebut berlaku dalam keadaan yang tidak semena-mena sahaja. Ketika kami sedang asyek bersimbang, Yim yang hadir bersama kami, tiba-tiba sahaja akan berubah watak. Dia tiba-tiba sahaja bagaikan seorang budak berusia di bawah sepuluh tahun.Dia berinteraksi dengan kami bagaikan seorang budak kecil dan terpaksalah kami melayaninya bagaikan melayan seorang budak.Dia suka bermain seperti budak-budak dan acapkali berada dalam dunianya sendiri.

Ada ketikanya Yim memiliki watak yang berlainan pula.Dia tiba-tiba menjadi seorang budak yang bercakap pelat, gagap dan bercakap lambat-lambat bagaikan budak baru belajar bercakap.Bila bersimbang dengan kami, terpaksalah kami berkomunikasi dengan sabar.

Tok memberitahu, sebagaimana sukarnya untuk memulihkan ingatan Saedah dahulu, demikianlah juga sukarnya untuk memulihkan ingatan Yim. Yim terpaksa dilayan dengan sebaiknya untuk memulihkan ingatannya. Kalau tidak dilayan dengan baik, ingatannya akan lambat pulih dan semakin lambat dipulihkan semakin besar peluang dia dilarikan ke alam Orang Payang. Bila semakin lama dia berkeadaan begitu akan semakin lambatlah kami boleh meneruskan latihan pencak.

Oleh kerana rumah telah dipagar, dan iblis tidak lagi dapat meresap ke dalam tubuh Yim, Orang Payang membuat gangguan secara lain pula. Pada ketika itu, Yim sedang meminati seorang gadis dari Slim Village bernama Emi. Inilah satu gangguan yang teramat hebat untuk kami atasi. Yim sentiasa sahaja diseru oleh Eminya sebaik sahaja Maghrib menjelma. Mereka berinteraksi hampir pada setiap malam dan melalui inilah minda Yim dikuasai oleh Emi.Emi yang berada di luar rumah mengintai melalui jaring besi di antara atap dan dinding akan sentiasa memujuk-rayu dengan menyatakan sayang, rindu dan ingin berkahwin dengannya.

Bila Yim mendapat gangguan sedemikian aku selalu menghembuskan ayat al Qursi kepada Emi.Bila aku tiup, Emi akan menghilangkan diri dan muncul pula di tempat lain, lalu menyeru-nyeru Yim supaya berinteraksi dengannya dari sana. Bila Yim pergi menghampiri Eminya, aku hembuskan lagi ayat al Qursi yang menyebabkan Emi beredar ke tempat lain pula. Bila keadaan ini berlaku berulang-ulang kali, Yim lalu melarang ku dengan bahasa gagapnya.

`Ka..mal...Ka..mal..Jaa..ngan.Jaa..nganlah tiup...’

`Kenapa?’

`Emi...Emi..nak..nak caaa...kap’

`Kenapa Emi lari bila Kamal tiup?’

Yim menggelengkan kepala.

`Cuba tanya Emi’, aku mengesyurkan.

Yim nampaknya mendapat jawapan dari Emi bila ditanya.

`Emi...kaa...ta.Maa..taanya peee...dihhh’

`Suruhlah dia masuk’, Wan pernah bergurau.

`Haaa...Emi...Maa..suklah’, Yim mempelawa

Sejurus Yim memberitahu, Emi tak boleh masuk.

`Kenapa?’, Dol bertanya.

Yim bertanya Emi sejurus kenapa dia tak boleh masuk. Yim menceritakan Emi memang tak boleh masuk.Sebelum ini Emi pernah mencuba beberapa kali untuk masuk ke dalam rumah dengan menggunting pagar ghaib yang berjaringan di sekeliling rumah bagaikan sarang labah-labah. Tetapi setiap kali digunting, akan diganti pula oleh pagar labah-labah yang baru.Emi akhirnya kecewa melakukan usaha yang sia-sia itu.

Pada suatu waktu ketika kami akan makan malam, Emi memberitahu Yim, di luar rumah ada Orang Payang sedang menunggu. Dia memberitahu kami, mereka mahu berjumpa dan mahu berinteraksi dengan kami selepas kami makan. Aku lalu berkata kepada Yim.

`Boleh Kamal tiup?’, maksudnya ialah meniup seperti dahulu iaitu dengan ayat al Qursi.

`Jaaa...ngan....Jaa...ngan’, Yim melarang dengan keras sambil menegaskan bahawa yang datang pada kali ini bukan yang biasa. Yang datang sekarang adalah orang yang sangat kuat dan tidak dapat dihalau dengan cara hembusan seperti dahulu. Yim melarang aku dari berbuat demikan kerana ini adalah orang yang berpangkat tinggi dan hanya akan mengundang bahaya.Lagipun mereka datang bukan mahu mengancam kami tapi datang atas satu keperluan.

Tidak lama selepas kami makan, Orang Payang itu pun tiba.

`Dengar baik-baik’, Orang payang itu bernada tegas.`Telah dua kali kami bagi peluang dan ternyata kamu melanggar perjanjian’

Nadanya yang tegas itu penuh ancaman.Memang pada waktu sebelum ini telah ada perjanjian antara Orang Payang dengan kami. Mereka telah memberitahu kepada kami beberapa syarat yang mesti kami penuhi untuk memastikan mereka boleh menggugurkan tuntutan untuk mengambil Yim. Perlanggaran perjanjian dibenarkan setakat tiga kali sahaja. Dua kali sebelum ini ialah, kami tidak boleh......

(Maaflah. Saya sudah lupa syarat-syaratnya.Maklumlah kesah 1970an)

`Sekali lagi’, Orang Payang itu bernada begitu tegas.`Kami beri peluang kepada kamu sekali sahaja lagi. Kalau kamu betul-betul sayangkan si Rahim, jagalah dia elok-elok. Kalau tidak, kami akan ambil’

`Untuk apa kamu sibuk-sibuk sangat untuk mengambilnya?’, aku memberanikan diri bertanya.

`Itu jangan tanya!’, bagaikan satu bentakan nada suaranya.

`Kami nak tahu juga!’, aku berkeras dan dengan kerana itu matanya cukup bersinar memandang ku.

`Dia sangat besar gunanya kepada kami’, mata yang bersinar garang itu bernada lebih keras memandang ku.

Setelah dua kali melanggar perjanjian, kami sangat berhati-hati supaya tidak melakukan kesilapan lagi. Tempoh diberi selama satu bulan untuk kami mematuhinya dan kalau terlanggar juga pantang dalam tempoh tersebut, aku tidak pasti apakah benar Yim akan menjadi milik mereka selama-lamanya.

Dalam tempoh tersebut, ingatan Yim masih belum dapat dipulihkan. Dia sangat sukar untuk memahami bahawa Emi yang mengganggunya pada hampir setiap malam adalah Emi palsu.Kami tidak ada pilihan melainkan terpaksa membawa Emi yang sebenarnya ke rumah hijau.Aku ditugaskan mengambil Emi di Sungai Way untuk dibawa ke rumah hijau.

Bila Emi yang sebenar berada di hadapan mata, baharulah Yim dapat membezakan mana satukah Emi yang sebenarnya, dan mana satukah Emi yang menyamar.

Emi cukup berjasa dalam memulihkaan minda Yim. Pada malam itu tok dipanggil dan tok terpaksa berterus-terang kepada Emi supaya memberikan simpati dan kasihan kepada cucunya.Kami semua juga bagaikan merayu simpati supaya Emi bersedia menerima Yim sebagai teman hidupnya. Ternyata Emi memang agak keberatan kerana dia bagaikan telah memiliki pilihan hati. Kami sangat mengharapkan semoga Emi sudi menerima Yim kerana kalau Yim dapat digoda lagi oleh Emi iblis, lambat-laun Yim akan hilang dari kami buat selama-lamanya dan dengan demikian barangkali hancurlah harapan kami untuk menjadi tentera pencak 1980.

Alhamdulillah.....Kami berjaya mematuhi syarat pantang-larang yang ditetapkan. Emi akhirnya menerima cadangan kami dan sejak itu Orang Payang tidak lagi mengganggu kami.

13 Jun 2010

47. Ditawan Orang Payang

Kami terus bertanya Yim apakah yang telah terjadi kepadanya sepanjng satu minggu yang lalu. Yim lalu menerangkan ketika aku bersamanya dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dari Johor Baharu pada sekitar daerah Batu Pahat, Yim memberitahu dia tiba-tiba merasa dadanya sakit. Pada ketika itulah, dia tiba-tiba dibawa pergi oleh entah sesiapa, entah dibawa ke mana. Bila sampai di suatu destinasi, dia tidak tahu dia berada di mana.

Sejurus kemudian hari mulai terang. Bila hari telah siang dia sangat terkejut mendapati dia berada di sebuah tempat yang aneh. Dia cuba lari keluar dari tempat tersebut. Sejurus berlari-lari menuju ke tempat yang dia pun tidak pasti mahu menuju ke mana, tiba-tiba dia bagaikan di hadang oleh satu benda yang sangat besar di hadapannya. Dia sangat terkejut mendapati itu adalah tapak tangan manusia yang tersangat besar.Dia melihat jari-jemarinya bagaikan sebesar batang pinang dan tapak tangannya setinggi tubuhnya. Tangan yang besar itu cepat-cepat memegang tubuhnya dengan jari hantu dan jari telunjuknya dan meletakkannya kembali ke tempat asal dia diletakkan tadi.Bila berada kembali di tempat asal, dia lantas mendongak untuk mengenali siapakah makhluk yang teramat besar itu. Alangkah terkejutnya Yim mendapati makhluk tersebut adalah seorang lelaki yang tersangat besar dan tinggi setinggi pokok kelapa. Lelaki yang teramat besar dan tinggi itu memandangkan dengan mata yang merah dan tajam.Tapi dia tidak berkata apa-apa.

Yim mendapat tahu itulah yang bernama Parasit. Ada dua ekor sebenarnya makhluk yang teramat besar di situ. Seekor lagi bernama Parasat. Merekalah yang memegang kekuasaan di alam tersebut.

Di alam tersebut ada sejumlah makhluk yang teramat ramai. Nampaknya seperti manusia juga tetapi wajahnya buruk, berpakaian buruk dan ramai di antaranya yang cacat – kudung kaki dan tangan berjalan terhempar-hempar atau terhangguk-hangguk bagaikan itik. Tetapi mereka nampaknya tidak mempedulikan Yim.

Beberapa kali Yim cuba melarikan diri dari kawasan tersebut tetapi begitulah keadaannya. Setiap kali dia cuba melarikan diri, setiap kali itulah tangan yang besar menghadangnya dan akan meletakkannya kembali di tempatnya.

Tidak lama kemudian hari pun menjelang tengah hari dan tidak lama kemudian petang dan seterusnya malam. Bila malam Yim tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan yang teramat gelap. Tetapi pada malamnya Yim ternyata tidak dapat tidur dengan lena kerana jiwanya yang tidak tenteram.Dan belum pun lama, belum pun sempat lena, malam pun tiba-tiba berakhir. Kemudian tiba pula waktu pagi, tengahari, petang dan malam.

`Malam dan siang terlalu cepat’, Yim menerangkan. Dalam satu hari kita, di sana sebenarnya telah berlalu beberapa hari.

Menurut Yim dalam tempoh itu perjalanan masa terlalu pantas. Siang dan malam begitu cepat. Sehingga dia mendapati sukar untuk meneka sudah berpa lama dia berda di alam itu.Rasanya sudah berbulan-bulan. Ertinya satu minggu di muka bumi, di alam sana telah berlalu beberapa bulan.

Yim cuba menyeru pertolongan dato –dato panglima.Tetapi entah mengapa dia dapat merasakan pertolongan terlalu jauh untuk sampai kepadanya. Dia dapat merasakan bahawa dato-dato teramat jauh jaraknya dari alam tempat dia berada.

Sampai waktu Yim berasa begitu lapar dan tergeraklah seleranya untuk makan. Lantas dia diberikan makanan lauk ayam panggang.Nampak sungguh menyelerakan.Lalu tangannya cuba mengambil makanan tersebut untuk menjamahnya.Tapi pada ketika itulah dia terdengar satu seruan yang teramat sayup dan jauh.

`Rahim...! Jangan ambil makanan itu...!! Jangan ambil....!!!’

Yim tidak tahu dan tidak mengenali suara siapakah itu.Dalam keadaan pendengaran yang tersangat sayup di hujung telinga Yim tidak dapat meneka siapakah suara yang melarangnya dari mengambil makanan itu.Walaupun lapar, Yim patuh kepada arahan itu.Tetapi setelah sekian lama tidak menjamah apa-apa makanan dan minuman, Yim akhirnya tidak sanggup lagi untuk menahan lapar, lalu dia cuba tidak mempedulikan larangan yang bertalu-talu memperingatkannya. Dia antas mencapai seketul peha ayam.Tapi ketika makanan tersebut berada di tangannya, alangkah terkejutnya Yim, makanan yang sungguh enak dilihatnya tadi, rupa-rupanya adalah panggang seekor katak. Serta merta dia merasa loya dan nafsu makannya tertutup.

`Kawan tidak tahu, kenapa tiba-tiba kawan dikeluarkan dari situ dan dilempar oleh makhluk yang besar itu dan sampai ke rumah pada malam ini’

`Tentulah dato yang tolong, kot’,Piei memberikan pendapat.

`Memanglah. Dato ada berunding dengan mereka sebab dari semasa ke semasa kawan dapat juga mendengar suara meminta kawan bertenang dan bersabar’, jawab Yim.

Kami semua cukup takjub memikirkan betapa selama satu minggu orang yang makan-minum dan bergurau-senda bersama kami selama ini bukannya Yim, tetapi adalah seekor syaitan yang menyamar.

09 Jun 2010

46. Yim Palsu

Satu minggu setelah balik dari Penggerang.
Hari telah agak larut malam sekarang.Mungkin telah melebihi jam 12.00 malam.Ketika kami sedang bersimbang-simbang, tiba-tiba kami terdengar bagaikan ada satu benda berjatuhan di bilik sebelah – gelanggang silat. Kami tidaklah begitu mengesahkannya kerana Yimlah di situ. Dia kadang-kadang selalu berpencak di situ sendirian. Kami menyangkakan Yim masih berpencak kerana baru sebentar tadi kami telah berbual-bual dengan Tok Itam mengenai pelbagai perkara.
Tiba-tiba aku terdengar Yim menyeru nama ku. Suaranya bagaikan orang dalam kepayahan. Bila aku sampai Yim pun bertanya.
`Kamal, bila engkau balik ke sini?’
Soalannya itu begitu mengejutkan ku.
`Balik dari mana?’
`Penggerang!
`Hee!’, aku terjerit.`Bukankah kita balik sama-sama hari itu?’
`Tidak!’
`Tidak?’
`Engkau balik seorang diri sahaja...’, nada suaranya masih agak payah dan lemah dan badannya pun nampak lemah dan payah.
Aku tiba-tba menjadi keliru dengan penjelasannya. Bagaimana dia kata aku balik seorang diri sahaja sedangkan kami sama-sama naik bas dari Johor Baharu hingga ke Kuala Lumpur dan kemudiannya menaiki teksi pula terus sampai ke rumah hijau di Raub.Bagaimana pula Yim tiba-tiba kata aku balik sendirian.
`Kita balik bersama-sama’, aku menegaskan lagi.
`Tidak!’
`Tidak?’
`Sudah berapa lama engkau balik?’
`Sudah satu minggu’, jawab ku pantas.Tapi aku masih terheran-heran.
`Satu minggu?’, dan Yim nampak macam orang keliru.
`Sudah satu minggu...’, dia bagaikan membebel sendirian.
`Aku baru sahaja sampai sebentar tadi’, Yim berkata perlahan. Menerangkan.
`Hee!!’, aku terjerit. `Janganlah main-main.Kita sama-sama balik pada minggu yang lalu’, aku menjadi geram.Nada suara ku menjadi sedikit tinggi.
`Tidak’ Yim tetap bertegas.`Engkau balik seorang diri sahaja’
Aku merenungi wajah Yim. Aku cuba mentafsir dirinya.Betulkah begitu? Atau Yim sudah kehilangan akal?
`Jadi...Siapa yang balik bersama aku dulu?’
`Yang itu aku tak tahu’
`Jadi...Kalau begitu....Siapa yang ada bersama kami selama ini....?’, aku mengomel.
Yim tidak menjawab.Dia bagaikan kebingungan. Aku pun juga kebingungan sekarang. Piei dan Wan yang menyaksikan komunikasi aku dengan Yim juga kebingungan.Kami saling berpandangan.
`Kawan lapar”, Yim menerangkan. `Sudah lama kawan tak makan’
Bila mendengar keluhannya itu, kami bertambah bingung jadinya.Sedangkan kira-kira jam 9.00 malam tadi kami sama-sama makan malam. Selepas makan kami memanggil Tok Itam dan berbual-bual mengenai pelbagai hal.Bila keadaan menjadi sedemikian membingungkan, aku lantas memberi syur kepada Yim, tanpa mempedulikan rintihannya, aku lantas berkata.
`Boleh kita panggil Tok Itam?’
`Boleh’
Sejurus kemudian tok pun sampai.Aku tidak memerlukan apa-apa celoteh lagi Aku terus sahaja kepada maksud dan tujuan.
`Tadi tok sudah datang bukan?’
`Tidak!’, tok menjawab dengan tegas.
`Kami ada panggil tok sebentar tadi’, aku bertegas juga.
`Tak ada.Tok tak datang!’.
Aku, Wan dan Piei saling berpandangan. Kami bertambah bingung sekarang.
`Demi Allah, cucu telah panggil tok sebentar tadi’
`Tidak’, tok masih menafikan dengan penuh ketegasan
Aku lalu mengambil puntung rokok Benson yang telah dihisap. Kami memang selalu menghulurkan rokok apabila Tok Itam datang kerana pada waktu itu aku menghisapBenson.Demikian juga Piei dan Dol.Wan tidak menghisap rokok.
Pada waktu dulu – 1970an aku masih merokok. Kami sentiasa merokok apabila tok datang. Tok tiba-tiba meminta untuk merasa `benda putih’ yang kami hisap dan hembus itu. Sejak mencuba tok sentiasa mahu lalu kami menyediakan Benson pada setiap kali tok datang dan kami akan sama-sama merokok.Tapi tidaklah semua panglima merokok. Hang Tuah tidak merokok. Demikianlah juga Petanda dan Guru. Panglima dari tanah seberang seperti Pitung dan Gondrong suka menghisap gudang garam.
Aku menghulurkan puntung rokok tersebut kepada tok.Ada tiga puntung sebenarnya yang dihisap oleh tok yang datang sebelum ini.
`Ini puntung rokok yang tok hisap sebentar tadi’, aku berkata.
Tok lalu memicit puntung rokok tersebut sambil kepalanya menggeleng-geleng.
`Bukan tok yang hisap’
`Bukan tok? Kalau bukan tok, siapa?’
Tok lalu memandang kami dengan serius. Dia menarik nafasnya beberapa kali.
`Berhati-hati cucu’, tok bersuara perlahan tapi nadanya tegas.`Berhati-hati cucu.Inilah permainan iblis’
`Iblis?’, Wan tergamam.
`Iblis dan syaitan’, tok menjawab.`Selama satu minggu cucu semua telah berkawan dengan syaitan. Cucu telah tertipu. Yang makan, minum dan bergelak ketawa selama satu minggu yang lalu adalah syaitan. Dia perpura-pura menyamar perangai cucu kami, si Rahim’
Kami mendengar dengan penuh hati-hati dan tertanya-tanya.
`Jadi tok yang cucu semua panggil sebentar tadi, bukan tok? Bukan Panglima Hitam?’
`Bukan cucu! Bukan!’, dan tok menggeleng-geleng.`Berhati-hati dengan nama Panglima Hitam, cucu. Nama Panglima Hitam ini ramai, dan cucu kena berhati-hati’
`Jadi yang datang tadi Panglima Hitam palsu?’
`Panglima Hitam juga. Tetapi bukan tok. Cucu telah tertipu’
`Habis, nak buat macam mana tok?’
`Kejap lagi tok buat air.Cucu panggil dia semula dan renjiskan dengan air ini. Cucu lihat sendiri apa yang akan berlaku’
Tapi tok sempat juga menghisap sebatang Benson sebelum kembali. Bila Tok Itam kembali, kami panggil semula Panglima Hitam palsu. Bila datang dia nampaknya tetap ceria dan berbual mesra seperti sebelumnya. Tapi kami tidak bersimbang lama dengannya.Aku terus sahaja merenjiskan air ke mukanya. Bila terkena air tersebut dia terus rebah tersungkur.

06 Jun 2010

45. Pergi Penggarang.

Disebabkan Yim tidak akan sembuh selagi Saedah tidak pulih dari sakitnya – demikian kata tok - menyebabkan aku terpaksa pergi ke Penggerang. Aku pergi bersama Yim pada suatu cuti persekolahan dengan menaiki bas.

Dari Johor Baharu kami terpaksa merentasi kota raya Singapura untuk sampai ke Woodlands.Dari sana kami terpaksa menaiki bot untuk sampai ke Penggarang. Sewaktu di atas bot, aku cukup risau dengan Yim yang berada di birai bot, berbual dengan rancak seperti biasa dengan penumpang-penumpang lain.

Terpaksalah aku dalam diam-diam, bertindak bagaikan pengawal peribadi menjaga keselamatannya. Aku depangkan tangan di belakangnya untuk mempersiapkan satu tindakan segera, kalau Yim tiba-tiba jatuh pingsan. Aku cukup khuatir kalau-kalau sewaktu berdiri di birai bot itu, apa akan jadi kalau tiba-tiba Yim jatuh tak sedarkan diri? Apa kata kalau Yim jatuh ke dalam laut? Tidakkah ini akan merosakkan segala-galanya? Dan kalau ini berlaku, tidakkah ini suatu kemalangan yang amat merugikan bagi aku dan rakan-rakan? Kalau Yim jatuh ke dalam laut, siapakah yang susah? Tentulah aku sendiri juga. Dan kalau apa-apa berlaku kepadanya, tidakkah musnah persiapan aku untuk menghadapi 1980?

Dan inilah yang sangat merisaukan ku di sepanjang perjalanan bot itu. Selagi tidak tiba ke destinasi yang dituju, selagi itulah aku dilanda kerisauan. Aku terpaksa sentiasa dalam keadaan berwaspada mengawasi keselamatannya sedangkan Yim sendiri sebaliknya tidak risau apa-apa! Tetap rancak dan riuh-rendah berbual dengan penumpang yang baru dikenalinya.

(Sebenarnya pada ketika itu aku terlupa bahawa Yim hanya diresapi oleh makhluk asing/syaitan hanya pada waktu malam sahaja terutama pada permulaan senja)

Alhamdulillah. Kami selamat sampai ke rumah yang dituju.

Saedah memang tidak kenal sesiapa. Dia seperti budak yang tidak mengerti apa-apa ketika kami sampai. Bila ditanya dia jawab bagaikan cara budak-budak kecil menjawab soalan. Bila tidak ditanya dia diam sahaja. Walaupun begitu, keadaan ini jauh lebih baik berbanding keadaan sebelum ini. Menurut ibunya, sebelum ini Saedah dikatakan tidak berinteraksi samasekali dan sentiasa berdiam diri dan garang. Dia mendawa dia adalah nenek.Inilah kemajuan perubatan Tok Itam sebelum ini walaupun akibatnya cucu kesayangannya mendapat bencana.

Malamnya sewaktu perubatan akan dijalankan, aku mamastikan pada kal ini Yim dalam keadaan yang lebih kemas dan bersedia. Aku memperingatkanya supaya jangan alpa dan pastikan memakai tali pinggang merah. Pastikan jangan lupa berzikir. Malangnya sebaik-baik sahaja tok akan dipanggil, dalam asap keminyan yang berkepul-kepul Yim tiba-tiba mengadu sakit perut dan dengan tergesa-gesa terpaksa menanggalkan tali pinggang merah. Terpaksalah perubatan ditangguh sebentar.

Sewaktu Yim pergi ke tandas, aku keluar dari rumah sebentar. Aku menjadi geram kerana meyakini ini adalah ancaman. Lantas aku membuka pencak Panglima Hitam.Aku membuka pencaknya dengan semangat perjuangan dan hati yang geram.Tapi pencaknya hanya sedikit sahaja yang aku baru pelajari kerana persilatan pun masih belum sampai ke mana. Baru hanya beberapa bulan yang waktu belajarnya cuma pada malam-malam minggu sahaja. Itupun kalau tidak ada gendala. Tapi aku tetap berpuas hati kerana dapat melepaskan geram ku melalui langkah pencak Panglima Hitam.

Selepas itu Tok Itam cuba dipanggil lagi. Aku teramat khuatir kalau-kalau berulang sekali lagi peristiwa tadi atau tok gagal dipanggil. Alhamdulillah. Bila tok memberi salam, aku cukup gembira. Aku meyakini, tok memiliki kehebatan untuk menentang makhluk yang meresapi badan Saedah.

Bila tok tiba, berlakulah pertembungan antara Tok Itam dengan makhluk yang meresapi Saedah.Tapi tidak ada pertembungan ganas seperti yang aku nantikan, kerana makhluk yang meresapi Saedah ternyata tidak berani menentang Panglima Hitam.Aku dapat menyaksikan betapa Panglima Hitam berdiri dalam langkah pencaknya bersiap sedia untuk menghadapai apa jua bentuk serangan. Langkah-langkah pertahanan dan serangan itulah yang diajarkan kepada ku sebelum ini dan aku berasa cukup bangga melihat tok menggunakannya dalam proses perubatan.

Bila makhluk tersebut tidak berani melawan, maka bermulalah rawatan pemulihan. Malam itu juga Saedah dimandikan. Pada hari siang pendekatan yang dibuat oleh tok ialah memulihkan minda Saedah. Berlakulah interkasi berbentuk psikologi untuk menarik minda Saedah dari terus dibuai oleh bujukan makhluk ghaib yang menguasai mindanya.

Pendekatan psikologi sepanjang tiga hari dua malam tersebut mencapai tahap pemulihan bila Saedah tiba-tiba terjerit:

`Mak!!’, diikuti dengan pelukan dan tangisan terhadap ibu tersayang. Itulah kalimat yang telah hilang dari perkamusan mindanya sejak lebih dari satu bulan yang lalu.

02 Jun 2010

44. Yim Diresapi.

Maghrib kian menjelang.Aku sedang bercadang untuk mandi pada ketika kami semua sedang bersimbang, dan Yim tiba-tiba jatuh terbaring.Ini sudah entah kali ke berapa. Nasib baiklah keadaan ini berlaku hanya pada menjelang petang dan pada waktu malam.Nasib baiklah tidak berlaku pada waktu siang, pada masa Yim sedang bekerja. Kalau berlaku di tempat kerjanya tentulah keadaan menjadi begitu haru. Tentulah kesah Yim yang sedang elok duduk-duduk bersimbang atau berdiri, tiba-tiba jatuh pingsan dan tidak sedarkan diri, menjadi bualan ramai orang.

Yim sebenarnya tidak sakit. Dia sihat seperti biasa. Boleh berjalan, berbual dan bergurau senda seperti biasa.Cuma yang anehnya, dia akan tiba-tiba tumbang.Bila tumbang dia tidak akan sedar akan dirinya. Sejurus kemudian dia akan bangun dan duduk diam-diam tanpa berbicara walau sepatah pun. Bila melihat keadaannya begitu, kami akan mengakuri nasihat Tok Petanda iaitu biarkan sahaja dia begitu. Jangan diganggu kerana menurut tok pada waktu itu Yim diresapi oleh makhluk lain.

Tetapi pada kali ini aku, Wan dan Piei bercadang untuk cuba berinteraksi dengn makhluk yang meresapi Yim.

`Siapa awak?’, Wan bertanya bagaikan menyergah.

Yim yang duduk bagaikan orang yang sedang termenung memandang Wan. Tapi dia tidak bersuara.

`Siapa awak? Kami nak kenal!’, Piei pula bertanya. Tapi reaksi Yim tetap juga seperti tadi. Cuma matanya sahaja yang terkelip-kelip tapi bersinar tajam memandang kepada Piei.

`Cakaplah! Bolehlah kita berkenalan...’, aku pula bersuara bagaikan merayu.

`Jangan tanya kami siapa!’, tiba-tiba dia bersuara dengan keras. Nada suaranya, bagaikan suara seorang perempuan.

`Apa salahanya kita berkenalan’, Wan cuba memujuk.Tapi `dia’ yang berada di dalam tubuh Yim tidak memberikan sebarang reaksi.

`Cakaplah siapa kamu!’, aku bagaikan mendesak.Matanya beralih kepada ku pula dan nampak semakin bersinar.Ternyata dia tidak senang dengan desakan ku itu.

`Cakaplah!’, Piei pula bersuara. Nada suaraPiei sedikit keras.

`Kami kata jangan tanya, jangan tanyalah!’, dan suara itu memang keras bagaikan membentak. Suara yang keras itu membuatkan kami tersentak.Kami berpandangan sesama sendiri.Antara geram, curiga, khuatir dan takut.

`Kita baca Yassin’, aku membuat cadangan. Aku pun berani-berani takut juga.

`Engkau bacalah!’, Wan membuat cadangan. Wan tahu aku memang hafal surah tersebut. Aku lantas membaca:

`Yaasinnn....’

Bila aku mula membaca, Yim nampaknya mula menutup telinganya.

`Wal Quraa nil hakim...’

Dan kami melihat dia yang di dalam tubuh Yim mengemaskan lagi pekupan tangan menutup telinganya.

`Innaka laminalmursalin.....’

Dan bila habis ayat tersebut tubuh Yim pun hampir nak tumbang.

` Alaa siraatim mustaqim......’

Dan tubuh Yim pun terus tumbang.

Aku seronok dengan apa yang terjadi. Aku rasa telah beroleh kemenangan Wan dan Piei juga nampak gembira.

Sejurus kemudian Yim pun pulih seperti biasa.