16 Jun 2010

48. Jadi Rebutan.

Selepas peristiwa Yim dibawa lari ke alam syaitan yang dinamakan Orang Payang yang kawasannya menurut tok adalah di sekitar air terjun di Kota Tinggi, Yim diserang pula oleh satu penyakit yang cukup aneh dan mistri. Penyakitnya sama dengan apa yang dihidapi oleh Saedah Mustari yang tidak mengenali kedua-dua ibu bapanya. Demikian jugalah Yim. Yim acapkali tidak mengenali kami lagi. Tapi kami telah dimaklumkan oleh tok, bahawa bila Yim diresapi, jangan pedulikannya. Jangan berinteraksi dengannya sehinggalah Yim sedar dengan sendirinya.

Apabila rumah telah dipagar oleh Tok Petanda, kami dipesan supaya Yim jangan dibenarkan berada di luar rumah terutama apabila Maghrib mula menjelma. Kalau Yim berada di luar rumah, dia mudah sahaja akan diresapi oleh Orang Payang.Dia akan rebah dengan tiba-tiba seperti dahulu dan bila hal ini terjadi, ada kemungkinan Yim sukar untuk dirawati.Tubuhnya yang diisi oleh Orang Payang dibimbangi akan terus lari ke dalam hutan dan kalau ini berlaku akan hilanglah Yim buat selama-lamanya. Bila hal ini terjadi, tergendalalah pelajaran pencak kami. Dengan demikian sudah past kami tidak akan sampai kepada taraf panglima dan seterusnya tidak mungkin mampu menjadi tentera pencak bagi mempertahankan negara jika berlaku tragedi seperti 13 Mei pada tahun 1980 nanti.

Oleh itu tok memberikan pesanan yang teramat penting, jagalah cucunya baik-baik!

Alhamdulillah kami sentiasa dapat pastikan untuk satu jangka masa berbulan-bulan lamanya, Yim tidak boleh keluar malam dan apabila Maghrib menjelma kami pastikan Yim berada di dalam rumah.

Anehnya, bila gangguan Orang Payang berakhir, Yim diserang pula oleh satu keanihan yang lain. Kalau pada waktu dahulu Saedah kadang-kadang jadi seperti budak-budak kecil demikianlah juga yang terjadi kepada Yim.

Hal tersebut berlaku dalam keadaan yang tidak semena-mena sahaja. Ketika kami sedang asyek bersimbang, Yim yang hadir bersama kami, tiba-tiba sahaja akan berubah watak. Dia tiba-tiba sahaja bagaikan seorang budak berusia di bawah sepuluh tahun.Dia berinteraksi dengan kami bagaikan seorang budak kecil dan terpaksalah kami melayaninya bagaikan melayan seorang budak.Dia suka bermain seperti budak-budak dan acapkali berada dalam dunianya sendiri.

Ada ketikanya Yim memiliki watak yang berlainan pula.Dia tiba-tiba menjadi seorang budak yang bercakap pelat, gagap dan bercakap lambat-lambat bagaikan budak baru belajar bercakap.Bila bersimbang dengan kami, terpaksalah kami berkomunikasi dengan sabar.

Tok memberitahu, sebagaimana sukarnya untuk memulihkan ingatan Saedah dahulu, demikianlah juga sukarnya untuk memulihkan ingatan Yim. Yim terpaksa dilayan dengan sebaiknya untuk memulihkan ingatannya. Kalau tidak dilayan dengan baik, ingatannya akan lambat pulih dan semakin lambat dipulihkan semakin besar peluang dia dilarikan ke alam Orang Payang. Bila semakin lama dia berkeadaan begitu akan semakin lambatlah kami boleh meneruskan latihan pencak.

Oleh kerana rumah telah dipagar, dan iblis tidak lagi dapat meresap ke dalam tubuh Yim, Orang Payang membuat gangguan secara lain pula. Pada ketika itu, Yim sedang meminati seorang gadis dari Slim Village bernama Emi. Inilah satu gangguan yang teramat hebat untuk kami atasi. Yim sentiasa sahaja diseru oleh Eminya sebaik sahaja Maghrib menjelma. Mereka berinteraksi hampir pada setiap malam dan melalui inilah minda Yim dikuasai oleh Emi.Emi yang berada di luar rumah mengintai melalui jaring besi di antara atap dan dinding akan sentiasa memujuk-rayu dengan menyatakan sayang, rindu dan ingin berkahwin dengannya.

Bila Yim mendapat gangguan sedemikian aku selalu menghembuskan ayat al Qursi kepada Emi.Bila aku tiup, Emi akan menghilangkan diri dan muncul pula di tempat lain, lalu menyeru-nyeru Yim supaya berinteraksi dengannya dari sana. Bila Yim pergi menghampiri Eminya, aku hembuskan lagi ayat al Qursi yang menyebabkan Emi beredar ke tempat lain pula. Bila keadaan ini berlaku berulang-ulang kali, Yim lalu melarang ku dengan bahasa gagapnya.

`Ka..mal...Ka..mal..Jaa..ngan.Jaa..nganlah tiup...’

`Kenapa?’

`Emi...Emi..nak..nak caaa...kap’

`Kenapa Emi lari bila Kamal tiup?’

Yim menggelengkan kepala.

`Cuba tanya Emi’, aku mengesyurkan.

Yim nampaknya mendapat jawapan dari Emi bila ditanya.

`Emi...kaa...ta.Maa..taanya peee...dihhh’

`Suruhlah dia masuk’, Wan pernah bergurau.

`Haaa...Emi...Maa..suklah’, Yim mempelawa

Sejurus Yim memberitahu, Emi tak boleh masuk.

`Kenapa?’, Dol bertanya.

Yim bertanya Emi sejurus kenapa dia tak boleh masuk. Yim menceritakan Emi memang tak boleh masuk.Sebelum ini Emi pernah mencuba beberapa kali untuk masuk ke dalam rumah dengan menggunting pagar ghaib yang berjaringan di sekeliling rumah bagaikan sarang labah-labah. Tetapi setiap kali digunting, akan diganti pula oleh pagar labah-labah yang baru.Emi akhirnya kecewa melakukan usaha yang sia-sia itu.

Pada suatu waktu ketika kami akan makan malam, Emi memberitahu Yim, di luar rumah ada Orang Payang sedang menunggu. Dia memberitahu kami, mereka mahu berjumpa dan mahu berinteraksi dengan kami selepas kami makan. Aku lalu berkata kepada Yim.

`Boleh Kamal tiup?’, maksudnya ialah meniup seperti dahulu iaitu dengan ayat al Qursi.

`Jaaa...ngan....Jaa...ngan’, Yim melarang dengan keras sambil menegaskan bahawa yang datang pada kali ini bukan yang biasa. Yang datang sekarang adalah orang yang sangat kuat dan tidak dapat dihalau dengan cara hembusan seperti dahulu. Yim melarang aku dari berbuat demikan kerana ini adalah orang yang berpangkat tinggi dan hanya akan mengundang bahaya.Lagipun mereka datang bukan mahu mengancam kami tapi datang atas satu keperluan.

Tidak lama selepas kami makan, Orang Payang itu pun tiba.

`Dengar baik-baik’, Orang payang itu bernada tegas.`Telah dua kali kami bagi peluang dan ternyata kamu melanggar perjanjian’

Nadanya yang tegas itu penuh ancaman.Memang pada waktu sebelum ini telah ada perjanjian antara Orang Payang dengan kami. Mereka telah memberitahu kepada kami beberapa syarat yang mesti kami penuhi untuk memastikan mereka boleh menggugurkan tuntutan untuk mengambil Yim. Perlanggaran perjanjian dibenarkan setakat tiga kali sahaja. Dua kali sebelum ini ialah, kami tidak boleh......

(Maaflah. Saya sudah lupa syarat-syaratnya.Maklumlah kesah 1970an)

`Sekali lagi’, Orang Payang itu bernada begitu tegas.`Kami beri peluang kepada kamu sekali sahaja lagi. Kalau kamu betul-betul sayangkan si Rahim, jagalah dia elok-elok. Kalau tidak, kami akan ambil’

`Untuk apa kamu sibuk-sibuk sangat untuk mengambilnya?’, aku memberanikan diri bertanya.

`Itu jangan tanya!’, bagaikan satu bentakan nada suaranya.

`Kami nak tahu juga!’, aku berkeras dan dengan kerana itu matanya cukup bersinar memandang ku.

`Dia sangat besar gunanya kepada kami’, mata yang bersinar garang itu bernada lebih keras memandang ku.

Setelah dua kali melanggar perjanjian, kami sangat berhati-hati supaya tidak melakukan kesilapan lagi. Tempoh diberi selama satu bulan untuk kami mematuhinya dan kalau terlanggar juga pantang dalam tempoh tersebut, aku tidak pasti apakah benar Yim akan menjadi milik mereka selama-lamanya.

Dalam tempoh tersebut, ingatan Yim masih belum dapat dipulihkan. Dia sangat sukar untuk memahami bahawa Emi yang mengganggunya pada hampir setiap malam adalah Emi palsu.Kami tidak ada pilihan melainkan terpaksa membawa Emi yang sebenarnya ke rumah hijau.Aku ditugaskan mengambil Emi di Sungai Way untuk dibawa ke rumah hijau.

Bila Emi yang sebenar berada di hadapan mata, baharulah Yim dapat membezakan mana satukah Emi yang sebenarnya, dan mana satukah Emi yang menyamar.

Emi cukup berjasa dalam memulihkaan minda Yim. Pada malam itu tok dipanggil dan tok terpaksa berterus-terang kepada Emi supaya memberikan simpati dan kasihan kepada cucunya.Kami semua juga bagaikan merayu simpati supaya Emi bersedia menerima Yim sebagai teman hidupnya. Ternyata Emi memang agak keberatan kerana dia bagaikan telah memiliki pilihan hati. Kami sangat mengharapkan semoga Emi sudi menerima Yim kerana kalau Yim dapat digoda lagi oleh Emi iblis, lambat-laun Yim akan hilang dari kami buat selama-lamanya dan dengan demikian barangkali hancurlah harapan kami untuk menjadi tentera pencak 1980.

Alhamdulillah.....Kami berjaya mematuhi syarat pantang-larang yang ditetapkan. Emi akhirnya menerima cadangan kami dan sejak itu Orang Payang tidak lagi mengganggu kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan