06 Jun 2010

45. Pergi Penggarang.

Disebabkan Yim tidak akan sembuh selagi Saedah tidak pulih dari sakitnya – demikian kata tok - menyebabkan aku terpaksa pergi ke Penggerang. Aku pergi bersama Yim pada suatu cuti persekolahan dengan menaiki bas.

Dari Johor Baharu kami terpaksa merentasi kota raya Singapura untuk sampai ke Woodlands.Dari sana kami terpaksa menaiki bot untuk sampai ke Penggarang. Sewaktu di atas bot, aku cukup risau dengan Yim yang berada di birai bot, berbual dengan rancak seperti biasa dengan penumpang-penumpang lain.

Terpaksalah aku dalam diam-diam, bertindak bagaikan pengawal peribadi menjaga keselamatannya. Aku depangkan tangan di belakangnya untuk mempersiapkan satu tindakan segera, kalau Yim tiba-tiba jatuh pingsan. Aku cukup khuatir kalau-kalau sewaktu berdiri di birai bot itu, apa akan jadi kalau tiba-tiba Yim jatuh tak sedarkan diri? Apa kata kalau Yim jatuh ke dalam laut? Tidakkah ini akan merosakkan segala-galanya? Dan kalau ini berlaku, tidakkah ini suatu kemalangan yang amat merugikan bagi aku dan rakan-rakan? Kalau Yim jatuh ke dalam laut, siapakah yang susah? Tentulah aku sendiri juga. Dan kalau apa-apa berlaku kepadanya, tidakkah musnah persiapan aku untuk menghadapi 1980?

Dan inilah yang sangat merisaukan ku di sepanjang perjalanan bot itu. Selagi tidak tiba ke destinasi yang dituju, selagi itulah aku dilanda kerisauan. Aku terpaksa sentiasa dalam keadaan berwaspada mengawasi keselamatannya sedangkan Yim sendiri sebaliknya tidak risau apa-apa! Tetap rancak dan riuh-rendah berbual dengan penumpang yang baru dikenalinya.

(Sebenarnya pada ketika itu aku terlupa bahawa Yim hanya diresapi oleh makhluk asing/syaitan hanya pada waktu malam sahaja terutama pada permulaan senja)

Alhamdulillah. Kami selamat sampai ke rumah yang dituju.

Saedah memang tidak kenal sesiapa. Dia seperti budak yang tidak mengerti apa-apa ketika kami sampai. Bila ditanya dia jawab bagaikan cara budak-budak kecil menjawab soalan. Bila tidak ditanya dia diam sahaja. Walaupun begitu, keadaan ini jauh lebih baik berbanding keadaan sebelum ini. Menurut ibunya, sebelum ini Saedah dikatakan tidak berinteraksi samasekali dan sentiasa berdiam diri dan garang. Dia mendawa dia adalah nenek.Inilah kemajuan perubatan Tok Itam sebelum ini walaupun akibatnya cucu kesayangannya mendapat bencana.

Malamnya sewaktu perubatan akan dijalankan, aku mamastikan pada kal ini Yim dalam keadaan yang lebih kemas dan bersedia. Aku memperingatkanya supaya jangan alpa dan pastikan memakai tali pinggang merah. Pastikan jangan lupa berzikir. Malangnya sebaik-baik sahaja tok akan dipanggil, dalam asap keminyan yang berkepul-kepul Yim tiba-tiba mengadu sakit perut dan dengan tergesa-gesa terpaksa menanggalkan tali pinggang merah. Terpaksalah perubatan ditangguh sebentar.

Sewaktu Yim pergi ke tandas, aku keluar dari rumah sebentar. Aku menjadi geram kerana meyakini ini adalah ancaman. Lantas aku membuka pencak Panglima Hitam.Aku membuka pencaknya dengan semangat perjuangan dan hati yang geram.Tapi pencaknya hanya sedikit sahaja yang aku baru pelajari kerana persilatan pun masih belum sampai ke mana. Baru hanya beberapa bulan yang waktu belajarnya cuma pada malam-malam minggu sahaja. Itupun kalau tidak ada gendala. Tapi aku tetap berpuas hati kerana dapat melepaskan geram ku melalui langkah pencak Panglima Hitam.

Selepas itu Tok Itam cuba dipanggil lagi. Aku teramat khuatir kalau-kalau berulang sekali lagi peristiwa tadi atau tok gagal dipanggil. Alhamdulillah. Bila tok memberi salam, aku cukup gembira. Aku meyakini, tok memiliki kehebatan untuk menentang makhluk yang meresapi badan Saedah.

Bila tok tiba, berlakulah pertembungan antara Tok Itam dengan makhluk yang meresapi Saedah.Tapi tidak ada pertembungan ganas seperti yang aku nantikan, kerana makhluk yang meresapi Saedah ternyata tidak berani menentang Panglima Hitam.Aku dapat menyaksikan betapa Panglima Hitam berdiri dalam langkah pencaknya bersiap sedia untuk menghadapai apa jua bentuk serangan. Langkah-langkah pertahanan dan serangan itulah yang diajarkan kepada ku sebelum ini dan aku berasa cukup bangga melihat tok menggunakannya dalam proses perubatan.

Bila makhluk tersebut tidak berani melawan, maka bermulalah rawatan pemulihan. Malam itu juga Saedah dimandikan. Pada hari siang pendekatan yang dibuat oleh tok ialah memulihkan minda Saedah. Berlakulah interkasi berbentuk psikologi untuk menarik minda Saedah dari terus dibuai oleh bujukan makhluk ghaib yang menguasai mindanya.

Pendekatan psikologi sepanjang tiga hari dua malam tersebut mencapai tahap pemulihan bila Saedah tiba-tiba terjerit:

`Mak!!’, diikuti dengan pelukan dan tangisan terhadap ibu tersayang. Itulah kalimat yang telah hilang dari perkamusan mindanya sejak lebih dari satu bulan yang lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan