23 Jun 2010

50. Ali Doyo

Malam ini kami cuba berinteraksi dengan budak nakal yang sedang meresapi tubuh Yim. Aku tidak pasti pula sudah berapa kali sebenarnya watak budak nakal ini meresapi tubuhYim. Selama ini kami tidak begitu serius melayaninya kerana dia memang seorang budak yang nakal yang leka bermain bagaikan seorang budak-budak. Jadi kami melayannya bagaikan betul-betul melayan seorang budak. Bayangkan Yim yang sudah berusia 23 tahun jadi seorang budak lelaki yang nakal dan kami terpaksa melayannya sebagai seorang budak.

Pada malam ini entah mengapa tergerak di hati ku mahu berbual dengan resapan budak nakal ini.Kalau Yim diresapi oleh watak yang pendiam, kami memang tidak mempedulikannya. Apatah lagi kalau Orang Payang.

`Awak ni siapa?’, aku bertanya.

Tapi budak nakal itu masih asyek bermain dan leka dengan dunianya.

`Mari sini! Mari sini!’, Wan berteriak bagaikan menjerit.Bila mendengar teriakan itu budak nakal itu lantas mendekati kami.

`Awak ni siapa?’, Wan bertanya kembali.

`Nama saya Ali Doyo’

`Ali Doyo?’, kami gelihati mendengar nama itu

`Ya’

`Umur awak berapa tahun?’

`Sebelas tahun’

`Kenapa awak datang ke sini?’

`Dato yang suruh’

`Dato?’

`Dato mana?’

`Panglima Hitam’

Bila menyebut Dato Panglima Hitam yang suruh,aku dan rakan-rakan menjadi sedikit terkejut kerana kami menyangka resapan yang datang tentulah Orang Payang.

`Kenapa Tok Itam suruh awak masuk ke dalam tubuh Yim?’, Piei bertanya.

`Sebab dia sedang diubat’

`Sedang diubat?’

`Ya!’

`Di mana?’

`Di rumah ini’

`Mana?’, Wan pula bertanya.

Ali Doyo lantas menunjukkan ke arah gelanggang silat kami.

`Siapa yang merawatnya?’

`Ramai’

`Siapa?’

`Tok Itam, Jebat, Mahsuri, Puteri Gunung Ledang dan ada lagi’

Kami semua terkebil-kebil mendengar informasi itu.

`Selalu Yim dirawat begitu?’

`Selalulah’

`Maksudnya, bila Yim dirawat, awaklah yang datang ke dalam tubuhnya?’,Piei bertanya. Dan Ali Doyo mengangguk. Penjelasan itu, memberikan kami satu kefahaman - Ali Doyo diarahkan memasuki tubuh Yim bila Yim dirawat.

`Kenapa dia suruh awak masuk ke dalam tubuh Yim’

`Takut Orang Payang yang masuk’

`Jadi budak nakal yang degil - tidak mendengar kata selama ini, awaklah?’, Wan bertanya bagaikan menyergah.

`Betullah!’

Lalu kami teringat beberapa kenangan sebelum ini, betapa nakalnya Yim sebagai budak yang selalu mengacau, mengganggu, membuat sibuk dan mengguraui kami yang semuanya sedang sibuk bertungkus lumus untuk mengambil peperiksaan STPM. Bila kami menjadi geram dengan keletahnya, kami cuba mengacah untuk memukulnya. Bila diacah Yim akan lari cepat-cepat sambil membuat muka penyet. Tapi hanya sekejap sahaja. Kejap lagi dia datang dan ganggu orang lain pula. Dia sebenarnya mahu kami melayannya bermain.

`Kadang-kadang Yim menjadi budak yang gagap dan bercakap pelat.Siapa itu?’, Dol pula bertanya.

`Itu Yimlah sendiri’

`Bukan diresapi?’

`Bukan’

`Kenapa dia jadi begitu?’

`Tak tahu’

`Bagaimana mahu kenal Orang Payang?’, Piei pula bertanya.

`Bila bukan saya yang datang, Orang Payanglah itu’.

`Kalau awak boleh datang, kenapa Orang Payang boleh datang juga?’

`Bila saya terlambat...dia akan mendahului..’, Ali Doyo menerangkan. `Tapi Orang Payang dah tak datang lagi. Begitu saya dengar tok kata’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan