19 Mei 2010

40. Ibu Rumah.

`Kalau nak kahwin’, tok bagaikan beramanat.`Carilah orang yang boleh dibuat ibu rumah’
`Ibu rumah?’
`Ya! Ibu rumah’ tok bernada tegas.`Tahu erti ibu rumah?’
Kami menggeleng-geleng.
`Ibu... apa-apa pun ibu.Ibulah yang paling utama, bukannya bapa. Cuba perhatikan...ibu kota, ibu negeri, ibu pejabat, ha...apalagi. Bukan bapa. Apa-apa pun berpusat kepada ibu.Ibulah yang menjadi seri dalam sesebuah rumah. Rumah nampak berseri begantung kepada ibu, bukan bapa. Ibu yang menjadi seri dalam rumah menjadikan rumah , aman bahagia dan berseri. Anak-anak akan terdidik dengan sempurna di bawah tangan ibu rumah. Kalau isteri tidak boleh menjadi Ibu Rumah, rumah akan layu, sepi dan tiada serinya. Jadi, kalau nak kahwin carilah seorang ibu rumah’
Demikian amanat dan nasihat tok kepada kami cucu-cucunya.
Dengan Zaharah Hamid, aku akhirnya gagal juga untuk memilikinya kerana langkah ku sudah agak terewat. Pada ketika kunjungan ku ke rumah Zaharah Hamid sewaktu cuti penggal pertama dahulu, dia mengaku kepada ku bahawa dia memang masih kosong. Yim lantas mendesak ku supaya pada kunjungan itu aku terus buat sahaja ikatan dengan disaksikan oleh neneknya. Neneknya nampak cukup ceria dan gembira dengan kunjungan ku itu. Tapi aku menolak cadangan Yim tersebut dengan mengatakan, nantilah dulu.
Dan kalimat nanti dulu rupa-rupanya membawa petaka. Pada hujung minggu berikutnya, ayah Zaharah Hamid iaitu Abdul Hamid bin Endol telah menjodohkan Zaharah dengan seorang Pembantu Pegawai FELDA. Menurut kata tok, Zaharah cuba menolak. Tetapi ayahnya bertegas kerana sebelum ini Zaharah telah memberitahu ayahnya selepas dikecewakan dalam satu percintaan `bahawa dia tidak akan bercinta lagi dan menyerahkan saja pilihan jodohnya pada tangan ayahnya’. Kalimat itu menyebabkan Zaharah terperangkap dengan kata-katanya sendiri walaupun hatinya telah bersedia menerima kehadiran ku. Demikian penjelasan dari tok.
Kemudian Yim memberitahu ku supaya menghubungi Siti Zaini binti Abdul Manaf yang mengajar di SRK.Assunta, Kuantan. Piei yang kecewa dengan Aminah diminta mengubungi Mek Su yang mengajar di SRK.Methodist, Kuantan.Kedua-dua nama ini muncul melalui ilham Tok Petanda.
Tetapi disebabkan kesukaran sistem perjalanan dan komunikasi pada waktu itu dan jarak yang jauh, kami berdua tidak dapat menghubungi nama-nama yang diilhamkan itu walaupun surat telah dikirimkan.
Beberapa tahun kemudian iaitu setelah aku tamat dari pengajian di universiti, dan melangsungkan pekahwinan dengan isteri ku sekarang, bila anak sulung ku bersekolah di SRK. Assunta, aku sempat mengenali Siti Zaini yang pernah dicalonkan untuk ku dulu . Tapi pada ketika itu, dia sudah berumahtangga.Namun aku tetap berpuas hati juga kerana sempat mengenali orang yang namanya pernah dicalonkan untuk dijadikan ibu rumah buat ku..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan