20 Februari 2010

6. Silat Tapak Empat.

Yim memberi pilihan kepada kami berlima apakah mahu belajar Silat Tapak Empat.Silat Tapak Empat adalah silat yang boleh menghadapi serangan ramai musuh sekaligus. Silat Tapak Empat masa belajarnya tidaklah begitu lama.Dijangkakan dalam tempoh tiga bulan sahaja sudah tamat. Memandangkan masa yang agak terbatas dan kesibukan, Yim mengesyurkan silat tersebut sahaja.

Kami terlebih dahulu meminta Yim menunjukkan kepada kami teknik pertarungan Silat Tapak Empat untuk membolehkan kami membuat penilaian.Bila ditunjukkan, kami memang begitu tertarik dan kagum. Silat Tapak Empat memiliki teknik serangan yang hebat. Juga teknik bertahan yang mantap. Permainannya pelbagai. Ada cara merendah dan juga meninggi. Pergerakannya juga lincah.

`Kalau dibandingkan dengan silat panglima, mana yang lebih hebat?’, Piei bertanya.

`Ooo.Tentulah Silat Panglima’, Yim menjawab segera.

`Tapi Silat Panglima banyak sangat, Yim’.

Yim merenungku.Mungkin kurang pasti.

`Panglima ramai! Mana satu yang sesuai untuk kami? Megat Terawiskah? Panglima Hitamkah? Atau Silat Hang Tuahkah?’

`Mana-mana pun boleh’, Yim menjawab.

`Sama sajakah?’

Yim merenungku lagi.

`Maksudnya sama-sama hebatkah silat-silat panglima tersebut?’

`Ooo. Tidak’

`Silat panglima mana yang paling hebat?’, Wan pula bertanya.

`Hang Jebatlah’, Yim menjawab dengan tegas.

`Hang Tuah?’, aku menyoal.

`Hebat! Tapi Hang Jebat ganas dan garang!’

`Kalau dibandingkan dengan Silat Panglima Hitam?’, Dol pula bertanya.

`Panglima Hitam pantas dan lincah’

Itulah tiga panglima yang terhebat menurut keterangan Yim. Lebih hebat berbanding dengan Silat Megat Terawis, Megat Panji Alam dan beberapa lagi nama yang disebutkan.

`Kalau untuk menghadapi suasana seperti 13 Mei Yim, mampukah Silat Tapak Empat menghadapinya?’, Piei inginkan kepastian.

`Oooo tak boleh. Silat Tapak Empat adalah untuk pertarungan biasa sahaja. Untuk berperang perlulah Silat Panglima’

Bila mendengar informasi begitu, kami ternyata lebih meminati Silat Panglima berbanding Silat Tapak Empat.

`Tapi ada masakah?’, Yim mempersoalkan kami bila mendapati kami lebih meminati Silat Panglima. Menurutnya Silat Panglima akan mengambil masa bertahun-tahun sedangkan Yim pula ternyata belum cukup terpikat dengan Raub. Dia berminat untuk berhijrah ke mana-mana sahaja menurut peluangnya dalam kerjaya.Tugasnya sebagai Pengawal Keselamatan di Hong Kong Bank cumalah untuk sementara sahaja iaitu sementara belum mendapat peluang yang lebih baik.

Kami berbincang sesama sendiri sekali lagi setelah mendengar suara hati Yim. Namun pada akhirnya kami memilih Silat Panglima kerana ternyata lebih sesuai untuk menghadapi suasana persis 13 Mei. Aku sendirilah yang paling banyak memberikan pandangan dan cadangan kerana sebelum ini telah mendengar nama kiai-kiai yang hebat dalam peperangan di zaman kominis seperti Kiai Salleh dari muridnya Abu bin Darasan.Selain itu nama-nama Kiai Selamat dan Kiai Pilus yang banyak menurunkan ilmu kepada orang-orang yang handal dan berilmu di tempatku. Bapa saudaraku yang mengajarku Silat Lian pun bukan kepalang banyaknya ilmu kepahlawanan selain Cikgu Abdul yang tok aki aku, Tok Aki Bakar berikan jolokan pongkar ilmu kerana banyaknya memiliki ilmu yang handal-handal.Semua ini mempengaruhi jiwaku untuk mempengaruhi rakan-rakan supaya memilih Silat Panglima.

Wan, Dol dan Piei pun bersetuju dengan cadanganku. Cuma Hamdi yang agak ragu-ragu dan tidak memberikan jawapan yang pasti.Apa pun dia ikut sahaja rancangan kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan