28 Februari 2010

9. Ayak Gunung.

Telah ramai panglima datang mengunjungi kami untuk berkenalan setelah siap latihan pencak.Panglima yang mula-mula sekali sampai ialah Laksamana Hang Tuah dan diikuti oleh Hang Jebat dan selepas itu baharulah saudara-saudaranya yang lain. Mereka berlima datang bersempena kami dirancangkan menggantikan mereka lima bersaudara. Demikian keterangan Tok Itam. Semuanya ini adalah rancangan dari guru.

Tok Itam memberitahu kami, pada suatu hari guru teringin untuk melihat cucu-cucunya yang bakal menggantikan Hang Tuah lima bersaudara itu. Tok Itam memberitahu, guru tidaklah perlu pergi ke Raub, ke rumah hijau kami, tetapi memadai melihat pada anak mata Panglima Hitam sahaja dan dapatlah dia melihat seorang demi seorang cucu-cucu Panglima Hitam.

Sambil duduk-duduk bersimbang itu, kami minum-minum dan makan-makan kueh-kueh yang kami beli pada siang tadi. Selalunya kami menyediakan air Sarsi atau Rot Beer. Ada kalanya Fanta. Oleh kerana kami tidak memiliki peti sejuk, jarang-jaranglah kami minum air bersama ais.Memanglah lebih nikmat minum air bersama ais terutama sewaktu badan masih berpeluh walaupun pada tengah malam. Pada malam ini Piei tiba-tiba terilham menyediakan ketul-ketul ais untuk dicampurkan ke dalam air minuman.

Bila Panglima Hitam meminumnya, dan pada malam itu ialah Root Beer, tok tiba-tiba spontan memberikan reaksi.

`Sedapnya! Sejuk!’, dia memuji.`Macam ayak gunung!’

Kami tersenyum dengan gelagat tok.Tok memang menggunakan dialek Kedah, maklumlah panglima dari negeri Kedah yang masyhur itu.

`Ambil dari mana?’,tok bertanya.

`Kami beli ais’, jawab Piei.

`Apa? Aaa...es?’, tok tercengang.

`Air batu’, Piei menjelaskan. Piei lalu mengambil ketul-ketul ais dari gelasnya lalu memberikan satu daripadanya kepada tok.

`Oooo’, tok baru faham bila memegang ketul air batu itu.`Ayak keras ya? Sejuk! Macam ayak atas gunung!’

Tok duduk di atas tilam spam yang tadinya kami gunakan sebagai pelapik badan sewaktu aktiviti jatuh bergulingan di atas lantai. Hamdilah yang paling memerlukannya kerana tak cukup tangkas dalam beraksi, hingga menyebabkan bahunya melecir terhempas pada lantai papan yang keras dalam latihan minggu yang lalu.Ini menyebabkan Hamdi enggan untuk melakukannya lagi. Malam ini dia ternyata semakin kurang memberikan tumpuan.Dia enggan samasekali melakukan jatuh bergulingan walau disuruh beberapa kali oleh tok.

Tok kelihatan menghenjut-henjutkan punggungnya sambil duduk di atas tilam itu.

`Lembut’, dan tok masih berhenjut-henjut.`Macam tempat duduk raja-raja’, tok berkata lagi.

Kami sekadar tersenyum.Kami sedar pada zaman dahulu mana ada tilam spam seperti sekarang? Pada zamannya tok memberitahu tidak ada apa-apa kemajuan seperti sekarang. Tidur cuma di atas lantai bilah atau lantai batang pinang yang dibelah empat atau di alas dengan kulit kayu. Rumah pun sekadar pondok-pondok yang ketahanannya untuk beberapa tahun sahaja.Bila buruk atau rosak, mereka pergi ke dalam hutan semula untuk meramu dan bergotong-royong mendirikan pondok yang baru. Semua komponen membuat rumah boleh didapati dengan senang dari dalam hutan.

Pada suatu ketika sebelum ini, tok meminta izin untuk berjalan-jalan di dalam rumah dan melintasi peti television yang sedang terpasang.Aku cukup geli hati bila tok berhenti di sisi peti television lalu memegang peti TV tersebut sambil mengintai-ngintai di bahagian belakangnya. Dia begitu kehairanan melihat sebuah peti yang boleh bersuara dan bergambar hidup itu. Spontan tok berkata.

`Pandai Portugis ini’, tok berkata sambil cuba menggoncang-goncangkan peti tv itu. `Boleh berbunyi! Ada gambar pula tu! Macam ada orang!’

Begitulah tok. Tok sentiasa merujuk kepada Portugis bila bercakap mengenai teknologi moden. Yang paling menggelikan hati ialah tok menggelarkan besi terbang apabila merujuk kepada kapal terbang.

`Bagai nak gamat tok bila melihat ada besi boleh terbang’, tok mengingatkan kesahnya bila pertama kali melihat kapal terbang.`Tok panggil semua tok-tok yang lain. Berkeriau semuanya mendongak melihat ada besi terbang’

Dan kami tergelak dengan kesah yang tok ceritakan.

Satu ketika kami bercakap mengenai orang sakit. Lalu Piei berkata:

`Selepas diperiksa, nampaknya terpaksalah orang itu di masukkan ke dalam rumah sakit’.

Tok tiba-tiba terkejut.

`Ha! Masuk ke mana?’

`Ke rumah sakit’

`Rumah sakit?’, tok tercengang.`Orang dah sakit? Masukkan pula ke dalam rumah sakit? Tak pasal-pasal dapat dua kali sakit!’

Kami semua geli hati. Terpaksalah Piei dan Wan bersusah-payah menerangkan konsep rumah sakit. Bila diterjemahkan istilah hospital, tok terdiam.Tok tak berapa berani menyebutkan istilah itu. Samalah juga dengan telefon, lampu letrik, radio, seterika dan sebagainya. Semua istilah tersebut begitu asing bagi tok dan bila dia sebutkan kami akan ketawa beramai-ramai.Supaya tidak ditertawakan, tok selalu menyebut `benda itu’,` `benda yang boleh bercakap dari jauh tu’, bagi telefon, `peti yang ada gambar itu’, bagi tv.

Apa jua produk moden tok sentiasa kaitkan dengan Portugis – `pandai Portugis ini’. Agaknya tok mungkin tidak dapat membezakan penjajah-penjajah yang lain seperti Inggeris yang datang kemudiannya. Tetapi mengenai Belanda tok tahu pula kerana tok mengatakan dia mati dalam peperangan melawan Belanda.

`Tok terkena peluru’, Tok Itam menerangkan.`Tapi tok bukanlah mati serta-merta. Bila terkena peluru, tok jatuh demam dan seminggu kemudian, tok meninggal dunia.Ertinya tok mati bukanlah kerana peluru Belanda, tetapi kerana demam’

`Di mana kubur tok?’, aku bertanya. Hasrat di hati, kalau ada kuburnya mahu juga aku menziarahnya.

`Sudah hilang. Sudah beratus tahun...Tak dapat dicari lagi’, tok menerangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan