02 Mac 2010

10. Menghantar Haruman Ke Kubur.

Dan bila bercakap soal ziarah kubur, tok memberi pesanan supaya menziarahi kubur selalu .

`Bila cucu menziarahi kubur, atau bila lalu di kawasan perkuburan, cucu jangan lupa beri salam’.

Pada ketika itu aku belum pernah lagi memberi salam bila sampai ke kawasan perkuburan Islam dan tidak pun tahu bahawa umat Islam yang masih hidup dianjurkan supaya memberi salam. Pada ketika itu aku belum lagi dapat memahami erti mati dan tidak begitu mengetahui bahawa alam kubur adalah juga alam penghidupan.

`Apa kelebihannya?’, Dol bertanya.

`Bila cucu bagi salam, cucu umpama menghantar harum-haruman yang sangat wangi ke alam perkuburan’.

`Caranya?’, Dol bertanya lagi.

`Macam biasa juga. Assalamualaikum ya ahlul kubur!’, tok berkata.`Atau boleh juga `assalamualaikum waliwalidaiyya. Tapi selepas beri salam, cucu kenalah jawab sendiri pula salam itu’

`Jawab macam mana?’

`Waalikummussalam warahmatullahi wabarokaatuh’

`Kenapa jawab sendiri pula?’, Wan bertanya.

`Sebab cucu tak dengar jawapan mereka!’

Kami mengangguk mendengar penerangan itu dan di dalam hati ada keazaman untuk melakukannya.

`Beri salam tiga kali’, tok berkata lagi.`Si mati di dalam kubur adalah umpama orang yang berada di dalam kehausan di padang pasir. Apabila cucu menghadiahkan al Fatehah atau Qulhu kepada mereka, umpama cucu menghadiahkan air kepada orang yang sedang kehausan. Bayangkan betapa besarnya pahala yang akan cucu perolehi’, tok bagaikan berceramah.

`Tiap-tiap orang ahli kubur akan mendoakan untuk cucu’. Tok menambah.

`Bila hadiah dari cucu sampai kepada mereka, mereka sangat bergembira dan saling bertanya siapakah orang yang memberikan hadiah itu, anak siapakah dia dan akan mendoakan pula untuk cucu.Bayangkan betapa besarnya rahmat untuk cucu didoakan oleh roh-roh si mati yang tak terkira ramainya’

`Apa yang mereka doakan tok?’

`Mereka mendoakan supaya orang yang menghadiahkan doa dan Qulhu atau al Fatehah dan sebagainya akan cepat mati’

`Ha!’, kami semua tersentak.

`Tak mahulah begitu’, Dol bagaikan membantah. Tok Itam tersenyum.

`Yang sebenarnya cucu’, tok memulihkan perasaan kami.`Orang yang mati muda, adalah lebih baik bagi mereka sebab tidak sempat banyak membuat dosa. Tidak ramai orang yang panjang usianya bertambah amalnya. Yang ramainya adalah semakin panjang umurnya semakin banyak berbuat dosa dan maksiat. Maka sebab itulah didoakan supaya orang yang baik-baik tidak panjang usianya kerana dikhuatiri banyak membuat dosa’

Kami terdiam mendengar penjelasan itu. Ada juga logiknya. Agaknya sebab itulah bila seseorang itu mati mendahului rakan-rakan yang lain dikatakan `Tuhan sayang kepadanya sebab itulah diambilnya’.

`Lagi satu perkara cucu’, tok berkata lagi.`Orang beriman tidak suka lama-lama tinggal di dunia ini’

`Kenapa?’

`Dunia adalah penjara bagi orang beriman...’

`Penjara?’

`dan surga bagi orang-orang kafir. Tahu kenapa?’

Kami sekadar berdiam diri.

`Orang beriman memang rasa terpenjara’ tok melanjutkan.`Sebabnya, dengan mati roh yang terpenjara di dalam jasad akan bebas – bebas untuk kembali meninggalkan penjara badannya dan dunianya yang sempit.Kembali kepada Tuhan dan alam yang maha luas’.

Tok merenungi kami.

`Sebaliknya, orang-orang kafir sangat seronok dengan kehidupan dunia. Mereka seronok menjamu nafsu mereka. Ini menunjukkan bahawa tanda iman ialah tidak menyukai kehidupan dunia tapi sebaliknya menyukai akhirat’.

Kami mendengar sambil menghadham juadah rohani itu.Dunia bukan tempat yang perlu rasa asyek dan terpesona.Biarkan orang-orang kafir sahaja begitu.Orang Islam sentiasa perlu merasakan dunia ini adalah penjara yang perlu ditinggalkan, tetapi mestilah dengan menyediakan perbekalan yang secukupnya.

Sungguh seronok mendapat tip agama dari orang yang telah menempuh alam kematian ini.Begitu fikirku dan barangkali begitu jugalah teman-teman yang lain.

`Kalaulah ada anak durhaka’, tok berkata lagi.Kali ini isu yang lain pula.`Atau katakanlah cucu sendiri durhaka....Tapi bukan tok suruh begitu ya?’

Tok lalu memandang kami dengan senyumaan.Kemudian menyambung.

`Katakanlah cucu tersilap, lalu durhaka dengan emak.Belum sempat cucu meminta ampun, tok nak tanya, masih bolehkan cucu meminta ampun kepada emak cucu?’

Kami terkebil-kebil.Tidak tahu apa nak jawab.Ibu telah meninggal duni, jadi bagaimana mahu meminta ampun? Kalau minta ampun pun, ibu sudah tidak ada lagi atau telah menjadi mayat di telan bumi! Jadi bagaimana mahu meminta ampun? Menyelinaplah rasa takut yang bukan kepalang.Perlahan-lahan hatiku berdoa semoga aku tidak menjadi anak yang durhaka kerana anak yang durhaka haram mencium baunya syurga.

`Boleh tak minta ampun daripada orang yang telah meninggal dunia?’, tok menyoal lagi.

Aku memandang Wan.Wan juga memandangku.Piei duduk mewajah lantai. Kami hanya mampu berdiam diri.

`Boleh....!’, Tok menjawab sendiri.

Jawapan tok menyebabkan kami bagaikan tersentak.Bagaimana? Tapi apa pun, sepatah perkataan tok tadi memberikan harapan yang setinggi gunung.

`Cucu pergilah ke kubur emak..’

Kami terkebil-kebil menanti penjelasan selanjutnya.

`Dan minta ampunlah di situ’

`Dia tahukah tok?’

`Tahu! Dia tahu dan dia dengar..Banyak-banyakkanlah hadiahkan al Fatehan dan Qulhu dan doakanlah untuk mereka.Ramai orang tak tahu perkara ini’.

Dan tok memandang wajah kami yang kembali berseri dan cukup berpuas hati dengan penerangannya itu.

`Sebenarnya cucu, setiap orang yang nak mati, biasanya telah mengampunkan dosa semua orang-orang yang tersayang.Lebih-lebih lagilah kalau ibu dan bapa....Jadi tak payahlah risau’

Kami cukup berpuas hati dengan penjelasan dari tok itu.Rupa-rupanya bagaikan tidak ada erti perpisahan atau persempadanan antara yang hidup dengan yang mati. Roh di alam barzakh tetap tahu siapa-siapakah yang melawat mereka dan mendoakan mereka.Yang terputus ialah suara dan pandangan mata dari orang yang hidup terhadap yang mati.Demikian tok menerangkan selanjutnya.

Begitulah keadaan kami, cucu-cucu Panglima Hitam. Selepas berpencak, kami akan bersembang.Tok akan bercerita dan berkesah.Sambil minum-minum ayak gunung dari jenis-jenis air yang disebutkan tadi atau samada Pepsi Cola atau Coca Cola, FN, Orange dan sebagainya sambil juga makan-makan, Tok akan sentiasa memberikan nasihat agama dan ceramah kepada kami. Kadang-kadang tok menceritakan kesahnya pada zaman yang lalu. Panglima Hitamlah yang sentiasa datang kerana dia melatih kami pencaknya. Ada juga ketikanya panglima-panglima yang lain ingin berkunjung.Tok Itam akan memberitahu kaami bila ada mana-mana panglima lain yang ingin berkunjung.Kadang-kala kami sendiri yang meminta panglima berkenaan untuk datang kerana ada kalanya kami ingin menyelongkar sejarah dan kesah-kesah mereka semasa hidup di dunia dahulu.

Antara yang kami panggil ialah Panglima Harimau Berantai yang sejarahnya kami ketahui melalui filem, dan cedera sehingga buta matanya dalam pertarungan. Dan bila dia datang memang dia dalam keadaan buta.Kami juga pernah memanggil Tok Janggut untuk mengetahui kesahnya, betulkah dia yang digantung oleh Inggeris.Ini berpunca dari kesah bilamana Tok Itam menerangkan bahawa Tok Janggut tidak mati di tali gantung. Tok Itam menerangkan, memang benar Tok Janggut tercedera dalam pertempuran dengan Inggeris tetapi dia dapat melarikan dirinya jauh ke dalam hutan. Yang digantung oleh Inggeris sebenarnya adalah seekor kambing jantan....yang dinampakkan zahirya menyerupai Tok Janggut.

Lantaran maklumat yang Tok Itam sampaikan, lantas kami panggil Tok Janggut yang pekat dengan dialek Kelantan untuk mengesahkannya. Tok Janggut menerangkan selepas cedera, dia memang melarikan diri jauh ke dalam hutan dan akhirnya terkumpul bersama dato-dato yang lain.

Begitulah juga kesah Hang Tuah. Dia sebenarnya memang ghaib setelah kecewa dengan kematian Hang Jebat.

Pada akhir perbualan pada malam-malam seumpama malam itu, tok meminta kami membuat lawatan menziarahi Makam Habib Noh di Singapura, melawat Pulau Besar iaitu pulau nostalgia persilatan Hang Tuah lima bersaudara, menziarahi makam panglima-panglima di selatan dan di Melaka iaitu perjalanan dari Raub ke Singapura ikut jalan Mersing Johor Baharu, terus ke Pulau Besar dan Melaka. Tok meminta kami membuat perancangan untuk perjalanan menjejaki kesan datuk-datuk panglima.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan