13 Mac 2010

14. Siapa Yim?

Yim menerangkan bahawa ada di kalangan panglima telah diminta oleh guru untuk mencari cucu pilihan masing-masing untuk dibawa ke alam mereka bagi diajar berpencak.Inilah yang berlaku selama bertahun-tahun kepada Yim dan rakan-rakannya.

Yim menceritakan bagaimana saat pertama dia berkenalan dengan tok. Dia lari meninggalkan rumah kerana tidak sanggup lagi menanggung perangai panas baran ayahnya. Dia lari meninggalkan Alor Star dan akhirnya menumpang sebuah lori yang dalam perjalanan ke selatan. Bila sampai di Muar dia meneruskan perjalanan yang tak ketahuan mengikut kakinya.

`Tok berkenan kepadanya kerana dia tidak mencuri’, begitu kata Tok Itam.`Tok ikuti dia.Tok tahu dia cukup lapar dan dahaga. Tapi dia tidak mencuri.Dia menghilangkan hausnya dengan hanya meminum air aip di tepi jalan’, demikian Tok Itam menerangkan sejarah bagaimana Yim menjadi cucu kesayangannya.

Bertahun-tahun Panglima Hitam meneliti kesesuaian cucu kesayangannya itu untuk diambil bagi diberi latihan persilatan.

Pada ketika itu Yim baharu sahaja tamat sekolah rendah. Setelah keletihan dalam perjalanan dia tertidur di sebuah bangsal tempat memesen getah. Badan yang letih setelah perjalanan yang begitu jauh serta perut yang lapar menyebabkan dia tertidur dengan lenanya tanpa mempedulikan nyamuk yang berkenduri besar pada sepanjang malam tersebut.

`Bangun! Bangun!’, Yim tiba-tiba terdengar seruan pada pagi-pagi subuh itu. Yim yang masih belum puas tidur tidak menghiraukan seruan itu.

`Cucu! Cucu! Bangun....’, terdengar lagi seruan itu.Suara yang terdengar begitu lembut dan penuh kasih sayang.

Yim lalu mencelikkan matanya sedikit. Dalam keadaan mata yang masih mengantuk itu, dia agak sukar untuk mencelikkan mata. Tapi dia tetap berusaha. Dia tidak melihat apa-apa.Kabus pagi agak tebal dan kegelapan masih berkuasa.Lalu dia cuba melelapkan matanya kembali. Ketika hampir terlayang, dia terdengar sekali lagi seruan.

`Cucu....Bangun....!’

Bila terdengar sekali lagi suara itu, Yim baru perasan bahawa dirinya sedang diseru. Dia lantas duduk. Matanya memandang ke hadapan. Dia bagaikan terlihat satu objek seakan-aka sebuah bayang yang kabur. Dia mengamati lagi. Rupa-rupanya semakin diamati semakin jelas bayangan itu. Akhirnya pandanganya semakin jelas dan terang. Ada satu lembaga yang besar dan tinggi berpakaian hitam seluruhnya sedang berdiri di hadapannya.

Itulah saat pertama Yim melihat Panglima Hitam.Tok Itam menenangkan Yim dan mengatakan dia tidak usah bergusar hati kerana dia berada dalam perlindungan. Panglima Hitam mengatakan dia akan menjaga keselamatannya.Yim akhirnya dipungut oleh seseorang ketika dia berjalan di pinggir jalan lalu dijadikan anak angkatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan