11 Mac 2010

13. Bila Mati.

`Bila kita mati, kita kenal dan tahu siapa-siapakah yang melawat kita’, tok menerangkan.

Tajuk ini dibualkan apabila kami memberitahu tok mengenai kematian anak pak imam masjid Daerah Raub yang mati lemas di Jeram Besu. Itulah satu-satunya anak pak imam tersebut, seorang pelajar lelaki dari sebuah sekolah menengah – kalau tak silap Sekolah Menengah Mahmud - yang berkelah bersama rakan-rakannya. Dengan itu terbukalah kesah bila mati – bila kita mati nanti.

`Tapi kita tidaklah pula tahu bahawa pada ketika itu kita sebenarnya telah mati’, tok meneruskan penerangannya.

Kami mendengar penjelasan tok dengan penuh perhatian.Maklumlah kesah yang kami percaya tok telah mengalaminya sendiri.

`Sewaktu jenazah kita dimandikan’, tok berkata seterusnya.`Kita akan berkata kepada diri sendiri.Kasihan rupanya orang kepadaku. Dimandinya aku. Begitulah juga sewaktu dikafankan. Kita akan lihat sendiri tubuh kita dikafankan’

`Tapi tok, ketika itu kita tahu tak kita sebenarnya telah mati?’

`Tidak!’, dan tok memandang kepada Wan yang bertanya.

`Cuma kita merasakan orang kasihan kepada kita apabila kita melihat diri kita dimandikan dan dikafankan’

`Heran ya?’

`Kita melihat diri kita sendiri tetapi tidak pula kita tahu bahawa kita telah mati’, tok melanjutkan huraiannya.

`Ketika tubuh kita disembahyangkan dan dimasukkan ke dalam keranda, kita masih lagi melihatnya. Tetapi apabila sampai masa untuk mengusung keranda, ketika pak imam berseru al Fatehah di tangga, pada ketika itulah kita tidak melihat lagi dan tidak mengetahui apa-apa....’

Kemudian tok meneruskan bicaranya.

`Tahu bila kita tersedar?’

Kami semua terkebil-kebil.

Tok lalu menerangkan bahawa ketika antara sadar dengan tidak sadar, kita terdengar bagaikan suatu keriuhan dan suara-suara yang tidak begitu jelas.Seolah-olah kita bagaikan terkhayal. Ketika itu kita bagaikan seolah-olaah antara mimpi dan jaga. Dalam suasana begitulah tiba-tiba nama kita diseru.

`Ya Abdul binti Aminah’, misalnya. Tiga kali nama kita diseru dan cukup kali ketiga kita pun sedar sepenuhnya – bagaikan terbangun dari tidur. Pada ketika itulah kita akan tertanya-tanya di manakah kita sekarang kerana ketika kita terbangun – macam bangun dari tidur juga - kita tidak lagi berada di tempat biasa.Masa itulah kita mendapati kita berselimut dengan kain kapan dan ronga-ronga hidung dan mulut disumbat dengan kapas.Pada ketika itulah baharulah kita sedar, bahawa kita telah mati’

Kami semua diam dan sangat keseraman dengan kesah yang amat menyeramkan itu.

Tok menerangkan bahawa kita memang mendengar bacaan talqin dari pak iman di atas kubur. Apabila bacaan talqin telah siap, sebaik sahaja tujuh langkah orang-orang di perkuburan meninggalkan kita, pada saat itu kita akan mendengar satu suara memberi salam.

Tok menerangkan bahawa sebelum Munkar dan Nankir tiba untuk soalan kubur, yang datang terlebih awal ialah al Quran. Al Quran datang dengan memberi salam dan akan menemani kita. Selepas al Quran diikuti oleh amalan baik. Al Quran duduk di bahagian kepala kita dan amalan baik duduk disebelah kanan kita. Kita menjadi sangat tenteram dengan al Quran dan amalan baik.Ini bagi roh yang baik.

Amalan jahat berupa sejenis makhluk yang sangat menjijikkan.Makhluk yang menjijikkan dan berbau busuk mengaku dialah diri kita yang selama di dunia kita tidak menjaganya dengan baik dan sekarang dia datang untuk menemani kita.Kita menjadi teramt takut serta benci kepadanya dan tidak mahu dia menemani kita, tetapi kita tidak mampu menghalaunya. Hal ini berlaku kepada manusia yang tidak hidup berpandukan ajaran Islam.

Bila semuanya sudah tiba, pada ketika menanti ketibaan Munkar dan Nankir, kita akan berada dalam kesunyian yang tidak ada tolok bandingnya.Tidak ada apa-apa bunyi dan suara pun. Pada masa itu ketika menunggu.....kita akan berada di puncak resah dan gelisah. Bahkan di puncak ketakutan dan keseraman.

Kalau roh yang jahat, Munkar dan Nankir akan datang dengan terlebih dahulu memberikan satu tempikan suara yang sangat menakutkan lebih dahsyat dari bunyi halalintar membelah bumi!

Bagi yang beramal soleh, mereka tetap tenang dan tenteram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan