09 Mac 2010

12. Akar Putus Sendiri.

`Tok diperintahkan oleh guru untuk mengumpulkan semua panglima-panglima, pendekar-pendekar dan pejuang-pejuang serta penunggu tanah air’, demikian tok memberikan maklumat mengenai misinya sejak dahulu hingga sekarang.

`Kita sedang cari mana lagi yang lain-lain’, Tok Itam berkata merujuk kepada panglima-panglima dan pejuang tanah air yang lain, yang berserakan muncul silih berganti zaman berzaman di seluruh tanah air. Pada waktu itu (1977) menurut senarai nama-nama yang Yim terangkan, panglima dan pendekar yang terkumpul baru dalam sekitar 40 orang.

`Ramai lagikah tok?’, Wan bertanya

`Ramai lagi’

`Bila berperang nanti apakah semuanya akan terlibat tok?’

`Mesti!’, tok bernada tegas.`Inilah yang sedang tok usahakan. Bukan panglima dan pendekar sahaja, tapi semua!’

`Semua?’

Kami terkebil-kebil kerana tidak memahami maksud semua itu. Tok lalu menjelaskan.

`Cucu tak tahu’, tok berkata seterusnya.`Ada orang pada zaman dahulu yang pergi bertapa dan sampai sekarang terus-menerus kekal dalam pertapaan’

`Sampai sekarang?’, Piei terkejut.

`Sudah beratus-ratus tahun?’, Wan pula terkejut.

`Ya! Sampai sekarang’, tok terus bernada tegas.`Di antara mereka ada yang telah bersebati dililit oleh akar-akar kayu. Tidak dikenali lagi. Tapi bila sampai masanya nanti, akar-akar tersebut akan putus dengan sendirinya. Mereka akan terbang keluar lalu mengamuk membunuh musuh-musuh negara’

Kami terkelip-kelip mendengar maklumat yang tidak dijangka samasekali itu. Tidak terlintas sedikit pun di dalam minda, ada orang yang bertapa mengamalkan ilmu kebatinan sehingga ke peringkat tidak kembali lagi. Benarkah? Tapi aku tidaklah bertanya kepada tok maklumat yang lebih lanjut walaupun tok mengatakan di dalam hutan di sebelah ulu kampung kelahiranku pun ada orang yang dia maksudkan. Merekalah pejuang-pejuang tanah air.

`Cucu semua bila tamat silat tok nanti, bolehlah belajar silat Hang Tuah pula’, tok membuat cadangan.

`Silat tok bila boleh tamat?’, aku bertanya.

`Lambat lagi’

Aku pun menjangkakan memang lambat lagi sebab pada tahap sekarang baru latihan fizikal. Baru memantapkan langkah. Aku teringat pesanan tok sewaktu latihan, tari silat tok lembut tetapi pantas. Sewaktu latihan tok selalu memperingatkan langkah latihan bagi tari silatnya lembut bagaikan lenggang tari inang.

`Tari inang sebenarnya adalah tari silat’ begitu kata tok.

`Tapi bila Panglima Hitam marah, tari inang akan berubah menjadi tari yang tangkas dan ganas’,tok berkata seterusnya.

Dan tok lalu berdiri membuka pencaknya.Kami semua sama-sama menyaksikan tari silatnya yang tangkas penuh dengan serangan kaki dan tangan yang cukup merbahaya. Serupalah sebagaimana yang Hamdi pernah melihat silat Megat Terawis dan silat Hang Jebat pada suatu malam dulu yang menyebabkan terbongkarlah kepada aku rahsia persilatan Yim.

`Bila bertemu musuh, tok pesankan begini’ kata tok setelah selesai menunjukkan seni persilatannya yang tangkas, ganas dan merbahaya itu.

`Berkat pengajaran guruku Panglima Hitam, engkau tidak akan dapat menewaskan aku’, begitu amanat tok. Kami lantas menghafal pesanan itu.

`Tapi silat tok yang tadi lain macam nampaknya!’, Wan tiba-tiba memprotes bagaikan tidak berpuas hati.

`Tak sama dengan yang tok ajarkan kepada cucu’, aku pula menambah kata.

Tok Itam tersenyum.

`Tok ada dua jenis silat.Yang cucu tengok tadi ialaah silat luar biasa’

`Silat luar biasa?’

Kami terkebil-kebil mendengar penjelasan tok.Ini bererti silat yang tok ajarkan kepada kami hanyalah silat biasa kerana langkah silat kami teratur satu-satu sedangkan silat yang tok tunjukkan sebentar tadi bagaikan kakinya tidak berjejak di bumi dan kedua-dua belah tangannya menerawangi udara bagaikan kipas berputaran. Kaki dan tangannya tangkas mangkas, lincah dan pantas.

`Tapi ingat, jangan sekali-kali mencari musuh’, tok berpesan seterusnya..

`Kalau musuh yang mencari?’

`Cubalah elakkan’.

Tok memberi pesanan selanjutnya supaya sebelum tidur membaca al Fatehah dan tepuk bantal tiga kali.

`Nanti cucu akan dengar bunyi tapak kaki musuh yang datang. Tum! Tum! Tum! Satu batu lagi cucu sudah terjaga’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan