10 April 2010

27. Panglima Monyet

Inilah panglima yang paling sukar untuk datang. Telah berkali-kali Yim cuba memanggilnya tetapi dia tetap enggan. Malu, begitu kata Yim. Namun kami tidak berputus asa. Kami tetap berusaha memanggilnya dengan membuat persiapan menyediakan makanan kegemarannya. Akhirnya Panglima Monyet datang juga.
Bila Panglima Monyet datang, kami dapati dia tidak duduk sebagai seorang panglima. Dia tidak duduk dalam sila panglima. Sebaliknya dia duduk dalam sila biasa sahaja. Sejurus bersimbang, dia pun mula mahu menggaru badannya. Pada mulanya dia berusaha untuk tidak menggaru – sekadar menggosok-gosok. Tetapi akhirnya dia terpaksa akur dengan desakan semulajadinya. Dia menggaru juga.
`Inilah yang tok tak mahu datang ini’, dia bersuara merendah diri. Suaranya memang halus sahaja.
`Malu!’, dia mengaku.
`Tak boleh tahan.Gatal!’, dan dia menggaru-garu persis seekor monyet juga.Garu pipi, garu lengan, garu kaki dan berulang-ulang kali pula.
`Jemput makan, tok’, aku mempelawa.
Dengan malu-malu Panglima Monyet lantas mengambil sebiji pisang mas yang masak menguning. Dia mengoyakkan kulitnya. Bila semua kulit telah terkoyak, dia lantas memakan isinya.
Sambil makan-makan itu kami terus berbual-bual. Dia menceritakan dia telah terkena sumpahan oleh sebab mungkir janji. Dia telah mengadakan satu perjanjian dengan Puteri Gunung Ledang, tapi ada satu janji yang dia tidak dapat tunaikan yang menyebabkan Puteri Gunung Ledang murka dan enggan memaafkannya lalu disumpahnya.(Sayangnya saya terlupa kesah detailnya)
`Tak bolehkah dipulihkan?’, aku bertanya dengan penuh simpati.
`Tak boleh’
`Puteri Gunung Ledang kan ada bersama di tempat tok?’
`Dia tak mahu maafkan....’
`Jadi sampai bila tok akan jadi begini?’
Panglima Monyet menggeleng-geleng.Aku cukup bersimpati kepadanya.
Tok Panglima Monyet seterusnya menceritakan kehidupannya dalam kehidupan seekor moyet.Tapi tidaklah memakan makanan yang kotor seperti seekor monyet. Bentuk fizikalnya sahaja seperti monyet sedangkan yang selainnya masih seperti manusia biasa iaitu tetap berjwa kemanusiaan.Cuma dia tidak makan seperti manusia.Tabii makannya adalah seperti monyet.
`Tok selalu termasuk habuk di dalam mata’, tok menerangkan latar sosiobudaya kehidupannya.
`Kalau cucu termasuk habuk di dalam mata’, Panglima Monyet menerangkan.`Cucu bacalah begini supaya habuk keluar:
Awang kenit-Awang kenit
Tolong buangkan habuk dalam biji mata aku,
Kalau engkau tak buang habuk dalam biji mata aku,
Aku picit anak engkau sampai mati.
Pada malam itu aku memang mengidap sedikit batuk. Dan aku selalu terbatuk sewaktu berbual-bual itu. Bila aku terbatuk, Tok Panglima Monyet lalu berkata:
`Kalau batuk cucu baca begini:
Hai batuk-batuk
Mengapa kau jadi batuk
Kalau engkau ibu batuk
Keluarlah engkau dari tubuh aku, supaya aku tidak jadi batuk.
Hampir habis satu sikat pisang mas di makan oleh Tok Panglima Monyet, walaupun kadar kehadirannya cuma sekitar sepuluh minit. Dia keberatan untuk berbual lama walaupun kami mendesaknya kerana malu kepada tabiinya yang suka menggaru
Menurut Yim, silat Panglima Monyet sangat merbahaya. Dalam persaingan persilatan di kalangan murid-murid di tempat tok, silat Panglima Monyet jarang dibenarkan untuk dibuka pencaknya. Selain disebabkan seni silat tersebut mirip kehaiwanan dan kurang mempamerkan ketinggian seni, tapi amat merbahaya sebab dia pantas mengelak dan akan melompat ke atas kepala musuh untuk melancarkan serangan mautnya.
Saingan yang menarik bagi persilatan ini ialah silat Panglima Naga Mengaum dan Gagak Di Rimba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan