18 September 2010

73. Pertarungan Kebatinan.

Seperti yang diberitahu pada siang tadi, Guru Ketiga datang lagi pada malam ini. Kedatangannya pada malam ini adalah khas bagi memastikan kemantapan dalam persilatan setelah tadi siangnya dimampatkan dengan zikir bersamanya.

`Malam ini semuanya telah dibukakan kepada cucu’, tok berkata.`Malam ini cucu boleh bertarung sesama sendiri. Tok nak tengok sampai setakat mana sekarang kebolehan cucu berpencak dan bertempur sesama sendiri’

Tok berkata sambil berjalan berlegar-legar di keliling gelanggang di dalam rumah hijau itu. Guru Ketiga nampaknya lembut dan tenang.Walaupun pada malam ini nampak seolah-olah tugasnya adalah berat iaitu untuk melihat hasil kesaktian tugas pada waktu siangnya tadi, tapi dia nampak tetap tenang mengatur langkahnya. Ketara benar perbezaannya dengan watak panglima yang kadang-kadang berwatak tegas, keras dan garang terutama Hang Jebat atau Wan Ndik.Guru Ketiga nampak lembut dan memang lemah-lembut, tenang dan berhati-hati

Piei dan Dol diminta beraksi terlebih dahulu. Lantas mereka berdua menadah tangan memohon dianugerahkan persilatan. Sejurus kemudian aku dapat menyaksikan Dol nampaknya memencak dengan langkah-langkah yang cukup mantap dan kemas. Tangannya juga kelihatan kemas dan tangkas sambil sekali-sekala menepuk pehanya. Aku melihat bentuk silat yang dibukanya barangkali silat Hang Jebat atau Hang Tuah kerana kedua-dua persilatan tersebut mempunyai banyak ciri persamaan.

Sejurus sahaja kemudian Piei juga memencak dengan tangkas dan garang. Aku bagaikan tidak pernah melihat Piei berpencak sekeras dan segarang itu. Aku tidak dapat menduga silat siapakah yang dibukanya tetap berat sangkaan ku, dia membuka pencak Panglima Serban Hijau yang memang menjadi kesukaannya.

Aku menjadi cukup berangsang dan bersemangat melihat aksi Dol dan Piei yang sedang saling serang-menyerang dan sepak-menyepak itu.Mereka bertempur dengan cukup ganas bagaikan mereka benar-benar bermusuhan. Wan nampaknya terangsang juga. Guru Ketiga yang berdiri di sebelah kanan ku nampak tenang sambil meneliti pertarungan yang berlangsung dengan sengit itu.

Aku tahu guru mengawasi takut kalau-kalau pertarungan menjadi semakin ganas kerana kalau telah mencapai tahap ganas tertinggi; menurut penjelasan Yim sebelum ini, pemencak akan terbang. Dinding rumah papan akan menjadi lembut bila dilanda tubuh pemencak yang berada di kemuncak seni dan dengan demikian terpaksalah kami akan memaku kembali dinding yang robek seperti sebelum ini apabila para panglima bertempur mempamerkan aksi pertarungan mereka. Inilah barangkali yang sedang diamati oleh guru kerana menurut Yim kalau sudah `terisi’ sepenuhnya, tidak akan ada kemampuan mana-mana panglima sekalipun untuk mengawalnya. Cuma Guru dan Petanda sahaja yang boleh menyekatnya.

Sejurus Guru Ketiga membiarkan Dol dan Piei beraksi dengan kemas dan tangkas itu. Sama-sama tangkas dan kemas. Sama-sama serang-menyerang dan sama-sama balas-membalas serangan. Menurut Yim/tok juga, apabila terkena sebarang serangan secara automatis permainan taraf panglima akan menjadi kian ganas. Sejurus memerhati dan mengamati dengan saksama, akhirnya Guru Ketiga meluru ke hadapan lantas menyapu belakang Piei dan Dol sambil berkata:

`Cukup cucu! Cukup!’

Piei dan Dol lantas mengaminkan tangan ke muka masing-masing.

`Bagus!’, puji Guru. Aku pun menunjukkan ibu jari tanda hebat kepada Piei yang sekilas pandang memandang ku.

`Bagaimana?’, Guru Ketiga bertanya kepada Dol dan Piei.

Piei dan Dol tersenyum puas. Tergambar air muka kepuasan pada wajah mereka. Tidak pernah lagi sebelum ini mereka berpencak dan bertarung dengan sedemikian sengit. Sesungguhnya aku belum pernah melihat permainan mereka berdua sehebat seperti sekarang.

`Atuk tengok, cucu berdua sudah cukup bagus. Tok bangga!’

Piei dan Dol tersenyum riang. Aku lantas menunjukkan tanda jempul sekali lagi kepada mereka berdua. Aku melihat aksi mereka tadi dengan sediikit rasa gusar dan khuatir, seolah-olah aku bagaikan tidak lagi mampu untuk menghadapi kehebatan taraf persilatan mereka.

`Ha! Cucu berdua pula!’, Guru Ketiga memberi perintah kepada aku dengan Wan.

Perintah yang dinanti-nantikan itu aku sahut dengan semangat yang cukup tinggi membara. Segera aku masuk ke gelanggang dengan diikuti oleh Wan.Dada ku ada sedikit rasa berdebaran kerana aku tahu Wan tentunya akan cukup hebat pada malam ini. Kalau Dol dan Piei yang selama ini nampak agak lemah, tetapi pada malam ini telah menjadi begitu hebat, tentulah Wan yang memang telah sedia hebat akan pasti mempamerkan kehebatannya yang maksima. Inilah yang sedikit menggusarkan ku.

Namun aku segera menjadi insaf dan tabah; tidak perlu gusar! Aku perlu membuang seluruh kegusaran itu. Aku tidak perlu gusar kepada kehebatan lawan! Inilah yang dato-dato yang membimbing persilatan selama ini sering berpesan.

`Jangan gentar kepada kehebatan lawan walaupun nampak garang, tangkas, lebih besar atau lebih tinggi. Silat rohani dato-dato merentasi semua sempadan ini. Tidak ada beza samada besar atau kecil dan tinggi atau rendah’, begitu Jebat meperingatkan.

Aku menadah tangan memohon silat yang ganas – itu yang dipesan oleh Guru Ketiga. Aku memohon silat dari panglima yang hebat iaitu Panglima Awang. Sejurus kemudian aku dapat merasakan seluruh tubuh ku telah mengalir satu sentuhan seni yang cukup memberangsangkan. Lantas aku dengan Wan saling berhadapan dan rupa-rupanya tidak mempunyai masa bertangguh lagi, dengan tangkas kami saling melancarkan serangan sepakan. Berlakulah sepak-menyepak, tepi-menepis, elak-mengelak, tendang-menendang dan parang-memarang dengan hebatnya. Dalam satu pergelutan pertarungan jarak dekat yang amat pantas dan hebat itu, aku tiba-tiba terasa tubuh ku terpusing ke belakang oleh satu asakan yang cukup kuat bertenaga dan dalam sekelip mata aku dapat merasakan hujung jari kaki Wan sempat menyerang aku dari arah belakang di celah kelangkang sehingga menyentuh telur ku.

`Aduh!’, aku terjerit di dalam hati. Aku terasa cukup sakit walaupun itu cuma satu sentuhan yang sedikit.

Aku teringat pesanan tok, kalau sakit oleh terkena serangan, boleh diminta pada saat itu juga untuk mengeluarkan kesakitan itu. Cepat-cepat aku memohon kesembuhan. Wan pada ketika itu berada dalam jarak kira-kira tiga meter di hadapan.

Tiba-tiba tangan ku bagaikan bergetaran.Kedua-dua belah tangan ku tiba-tiba berada di bahagian bawah perut sambil nafas ku syuhud lalu perut ku dikempiskan dan seretak dengan itu nafas mengesak. Aku bagaikan meluahkan sesuatu dengan hembusan nafas kepada Wan melalui kedua-dua belah tangan yang terdampar. Wan tiba-tiba ku lihat bagaikan menyangga dengan kedua-dua belah tangannya - bagaikan sedang menampan sesuatu. Bergetaran dan bergoncangan kedua-dua belah tangannya bagaikan orang yang menggigil kesejukan. Aku mengulangi sekali lagi teknik yang sama dan sekali lagilah tangan Wan bergetaran.

`Jangan minta permainan batin!’, Guru bersuara.

`Cucu ta minta, tok!’, aku membantah. Memang aku tidak meminta permainan batin, tapi sekadar meminta kesembuhan.

Aku lantas melangkah seperti biasa tetapi bukan dalam langkah pencak.Badan ku terasa panas. Aku menjadi semakin geram dan berangsang.Bila sampai di tepi dinding aku tiba-tiba melepaskan rasa geram ku lalu menendang dinding dengan belakang kaki ku.

`Bruuummmm!!’, lima keping papan dinding rumah hijau jatuh ke tanah. Beberapa keping yang lain bergantungan sambil berayun-ayun menanti jatuh. Cahaya gelap malam di luar menerpa ke dalam rumah.

`Jangan ikutkan panas! Tenang cucu! Tenang’, Guru Ketiga memberi teguran.

Sejurus kemudian aku berpencak kembali dan kami telah berjaya melaksanakan satu tanggungjawab pertarungan yang cukup hebat untuk beberapa jenak sebelum Guru menepuk dan merangkul aku dengan Wan tanda supaya menamatkan persilatan.

Sambil berehat setelah badan dibasahi peluh, Guru Ketiga berkata:

`Malam ini memang dibukakan semuanya untuk cucu, termasuk kebatinan’

`Tapi cucu tak minta, tok!’, aku bagaikan masih berusaha mempertahankan diri dari dipersalahkan.

`Kebatinan memang dibuka’, tok menjelaskan.`Bagaimana rasa cucu tadi?’, tok bertanya kepada ku.

`Cucu telah pernah meminta gerak permainan batin sebelum ini, tok.Seronok!’

`Cucu?’, Wan pula ditanya.

`Sejuk!’, Wan mengaku. `Sejuk tangan cucu, bagikan terkena air batu’

Tok tersenyum.

`Permainan batin cuma dibuka pada malam ini sahaja. Selepas ini akan disimpan kembali. Tapi dia tetap bersama cucu pada sebarang waktu bila-bila diperlukan’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan