22 September 2010

74. Pukulan Angin

Sebentar tadi Tok Itam dipanggil ekoran dari peristiwa aku diserang oleh anak murid ku sendiri. Tok datang dan menceritakan detik bersejarah yang aku lalui pada kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Pada pagi-pagi lagi sebelum ke sekolah, aku dapat merasakan dada ku begitu berdebaran. Aku tidak mengerti apa-apa. Dada ku terasa sebak dan cemas. Selepas habis membincangkan jawapan bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia di Tingkatan 3A iaitu kertas peperiksaan Pertengahan Tahun, aku masuk pula ke Tingkatan 3D iaitu kelas akulah sendiri yang menjadi guru tingkatannya. Aku masuk dengan maksud yang sama iaitu untuk membincangkan jawapan.

Tidak sampai pun sepuluh minit, tiba-tiba seorang murid lelaki yang kecil sahaja tubuhnya membuat bising yang mengganggu penerangan ku. Berkali-kali aku tegur, tapi berkali-kalilah dia tetap berdegil. Akhirnya aku menjadi hilang sabar lantas pergi mendekatinya lalu melepaskan tamparan. Dia sempat menutup pipinya. Meradang oleh tindakannya itu, aku lantas melepaskan tamparan ke kanan dan ke kiri pipinya beberapa kali.

`Tar! Tar! Tar!’

Tapi dia tidak apa-apa sebab pipinya dilapisi oleh kedua-dua belah tangannya yang menutupi pipinya. Cuma hidungnya sahaja yang kemerahan. Alu lantas memberi amaran kepadanya supaya jangan membuat gangguan lagi.

Aku meneruskan penerangan soalan demi soalan. Tak sampai lima minit kemudian, kawan baiknya yang bertubuh sasa yang berada di kerusi di belakangnya, tiba-tiba sahaja bertempik dengan kuatnya mengeluarkan jeritan dan kata-kata yang tidak aku fahami. Kawan-kawannya semua tertawa dengan kerenahnya itu.

Mendengar jeritan yanga bagaikan disengajakan itu, aku yang memang sentiasa dalam keadaan tegang bila berada di kelas yang sangat bermasalah itu, terus tidak dapat mengawal emosi. Aku lantas meluru dengan lajunya dan bila sampai di sisinya, budak lelaki yang sasa itu sedang mengumpulkan sepenuh tenaga di lengannya yang nampak kejang serta tergenggam erat dan cukup bersedia untuk bertindak menyerang ku. Ini bukan kali pertama atau kedua dan ketiga dia bersikap begitu. Ini kali keempat. Sebelum ini dia memang ketawa menyindir dengan begitu bangga apabila aku tidak bertindak. Tapi pada kali ini kesabaran ku terhadapnya telah melebihi sempadan.

`Tar!!!’, aku lempang pipi kanannya menandakan aku bukan takut untuk bertindak selama ini.

Dan pada saat dia bangun.......

Aku terpaksa merujuk kepada Yim mengenai bagaimanakah semuanya berlaku. Aku terasa badan ku bergerak dan kaki kanan ku melangkah ke belakang.Aku terdengar bunyi deruman dan dentuman yang kuat. Aku terasa badan ku duduk sedikit memereng dan senget. Aku terasa kedua-dua belah tangan ku sedang mendepang luas menunggu.....

Budak lelaki Cina yang berusia hampir 17 tahun itu aku lihat bangun dari satu kejatuhan sambil menggosok-gosok pipinya. Matanya memang cukup layu tidak bersinar memandang wajah ku. Melihatnya bangun dan tidak menyerang aku dan terus menuju ke kerusinya, aku lantas berkata:

`Kenapa tidak serang?’, dan dia terus duduk sahaja di kerusinya.

Aku dapat merasakan suasana kelas menjadi cukup sepi dan sunyi. Aku dapat merasakan hampir 80 biji mata – lelaki dan perempuan – sedang menyaksikan adegan kami berdua. Guru muda berbadan kecil yang selama ini lembut, suka memberi perangsang dan nasihat dan kemudiannya berwatak tegas dan kadang-kala keras, sedang mengapikan anak murid yang berbadan sasa tetapi telah dijinakkan - yang aku tahu selama ini memang memperlekeh, mempersenda dan mempermainkan ku.

(Murid berkenaan bernama Lee Soon Ngen. Tingkatan Tiga D adalah kelas tercorot – kelas murid-murid malas belajar, babil dan degil. Semua guru-guru yang mengajar di kelas ini sejak dari tingkatan satu lagi tahu masalah kelas ini. Akulah tiba-tiba diberikan tanggungjawab sebagai guru kelas. Pada awal tahun iaitu pada bulan Januari keadaan cukup bagus. Aku berjaya menyuburkan perangsang dan motivasi kepada mereka untuk belajar bagi mencapai kejayaan dalam Peperiksaan SRP. Bila masuk bulan-bulan yang berikutnya kenakalan dan kedegilan mereka tidak lagi dapat ditawarkan dengan motivasi dan nasihat. Bila sampai tahapnya aku mulai marah. Pendekatan marah pada mulanya berjaya, tetapi lama kelamaan tidak lagi berkesan. Marah ku sekadar mendapat mainan terutama oleh Lee Soon Ngen yang berbadan tegap dan sasa. Dia sering mempamerkan lengannya yang kejang dan kemas itu kepada rakan-rakanya di hadapan ku. Acapkali juga dia mempamerkan teknik-teknik seni mempertahankan diri ala kungfu kepada rakan-rakannya – juga di hadapan ku yang mungkin disengajakan. Sesungguhnya ada banyak siri-siri kesabaran antara aku dengannya sebelum ini. Entah mengapa dia bagaikan mahu menguji keberanian ku selama ini dan oleh kerana itu perlahan-lahan di hati ku teringin untuk memberi satu pengajaran. Kalau tidak dengan persilatan tok, aku akan menghadapi serangannya dengan teknik Buah Pukul/Lian yang aku pelajari dari bapa saudara ku. Aku tidak tahu apakah yang akan berlaku kalau aku menahan serangannya dengan buah lian. Secara teori, dari segi fizikal aku mungkin kalah dan cedera. Tetapi kalau aku dapat melepasi serangan mautnya dia mungkin cedera sebab akan menerima kombinasi serangan pantas kiri dan kanan bertubi-tubi. Tapi yang aku pasti pertarungan akan berlanjutan jadinya kerana dia seorang anak muda yang banyak stamina...Johan dalam berlari dan melempar cakera. Jika terjadi demikian, kecohlah SMJK(C) Chung Ching, hebohlah Raub dan Negeri Pahang)

`Kasihan kepada budak itu’, tok berkata.

`Tokkah yang membantu cucu pagi tadi?’

Aku bertanya kepada Panglima Hitam.

`Tok datang dengan Awang’, Tok Itam memberitahu.

`Kalau dia serang cucu lagi, Awang pula nak bertindak. Awang nak sepak dia biar dia melambung, terpelanting sampai keluar kelas’

Aku terpegun mendengar kata-kata tok itu. Aku cuba membayangkan Lee Soon Ngen akan terlambung keluar kelas oleh serangan Panglima Awang. Tapi Lee Son Ngen tidak melawan selepas dia dijatuhkan.

Tok lalu menarik kembali pembisa yang dilepaskannya kepada budak Cina itu.

`Ada tiga tingkat pukulan angin’, Yimmenerangkan apabila tok telah balik.`Engkau telah melepaskan pukulan angin tingkat pertama’

`Kalau tok tak tarik pembisanya, apa akan berlaku Yim?’

`Dia akan menanggung bisanya dan kemudiannya akan jadi barah.Lama-kelamaan akan mati’.

`Tak ada penawarkah?’

`Cuma engkau sahaja yang boleh menawarnya.Orang lain tak boleh’

Yim menerangkan – melalui ilham - bahawa sewaktu di Tingkatan 3D tadi, aku telah memberikan dua tamparan. Tamparan pertama dengan belakang tangan kanan ku.Lee Soon Ngen yang sudah cukup bersedia dengan seluruh kekuatan berkumpul di lengannya lantas bangun dan sepantas kilat menumbuk muka ku. Aku menepis dengan tangan kiri dan diikuti oleh serangan angin dari tangan kanan ku. Bila Lee Soon Ngen jatuh tersembam di lorong barisan meja di hadapan, aku lalu bergerak setapak ke belakang untuk menunggu serangan selanjutnya. Tapi dia bangun dengan tidak melawan.Menurut Yim dada Lee Soon Ngen sakit juga kerana terkena penjuru meja sewaktu dalam proses jatuh sebelum tersebam di atas lantai.

`Pukulan angin tingkat pertama,mangsa tidak mati serta merta.Mungkin sebulan atau dua bulan kemudian dia akan mati juga’, Yim menerangkan

`Kalau tingkat kedua?’

`Tingkat kedua, mukanya akan merah dan lebam. Dia akan mati beberapa minit kemudian. Tetapi kalau terkena pukulan angin tingkat ketiga, mukanya akan hitam seperti arang dan akan mati serta merta’

Itulah ujian buat ku. Cuma aku seorang sahaja yang diuji secara bergaduh. Wan, Dol dan Piei diuji dengan kemalangan. Wan semasa di USM sewaktu menuruni bukit dengan Vespanya, bertembung dengan sebuah halangan (aku lupa apa halangannya). Tapi dia selamat dengan cantiknya. Tubuhnya berpusing di udara dengan satu gerak akrobaik dan jatuh terpacak di jalan raya. Piei tersembam sewaktu mengambil selekoh dengan Honda Cub 70cc sewaktu pulang ke rumah hijau untuk bertemu dengan kami setelah dia ditukarkan ke SMK.Jerantut. Dua belah sikunya berdarah. Dollah yang paling dahsyat. Dia jatuh terduduk setelah basikal yang dikayuhnya bertembung dengan sebuah kereta pada waktu gelap subuh apabila pulang dari berkawal di rumah Pengurus HSBC. Dia mendapat 8 jahitan di punggung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan