13 September 2010

72. Ijazah Restu Guru

Yim telah memberitahu, sampailah masanya guru pula yang datang untuk memantapkan batin dan jiwa. Yang datang ialah Guru Ketiga.

`Tok datang untuk memantapkan batin dan meningkatkan pencak’, Guru Ketiga menerangkan.`Cucu semua perlu berzikir’.

`Di mana tok?’

`Di sini. Di hadapan tok’

Sebelum ini Yim telah memberitahu kami,kalau jiwa kita masih belum bersih kita akan jadi mengelabah bila berzikir di hadapan guru dan akan berlaku ha-hal yang kadang-kadang memalukan. Di hadapan guru kita menjadi lemah tanpa upaya kita mengawalnya. Kalau tidak terjadi demikian – ertinya kalau jiwa telah bersih dari kekotoran dan kekejian, semuanya akan berjalan dengan baik dan teratur bahkan cantik jadinya.

Di hadapan Guru, Piei diminta berzikir. Tok duduk dalam silanya dengan telunjuk kanannya tegak berdiri sambil matanya terpejam. Tok berada dalam kusyuk dan konsentrasi. Zikir Allah, Allah secara lisan dilisankan oleh Piei.Mulanya baik dan jelas sebutan lisan kalimah suci terebut, tetapi sejurus kemudian Piei tiba-tiba tidak dapat menyebutnya dengan baik. Kepalanya sahaja yang terhangguk-hangguk bagaikan kepala itik serati sedang berjalan, tetapi tidak ada lisan kalimah yang terzahir. Nampak begitu ketara Piei dalam kepayahan untuk menyebutnya. Akhirnya Guru meminta Piei berhenti.

Sampai pula giliran Dol.Seperti Pei juga, pada mulanya kalimah dapat dilisankan tetapi sejurus kemudian, lafaz Allah bertukar bunyinya.Dol bukan sahaja sukar untuk menyebut kalimah Allah tetapi kalimah tersebut bertukar bunyi bila dizahirkan.

`All...All..la...la...lah...lahhh...ella....ell..ell..lll..lllaaa...llllaaaah’

Bila upacara berzikir telah selesai,Guru Ketiga lantas memberi komen. Piei dan Dol diminta segera bertaubat di atas dosa-dosa yang lalu.

Aku diberi komen oleh Guru Ketiga sama seperti Wan dan kami mengakhiri upacara berzikir dengan gerak badan dan cara yang sama.

Pada mulanya aku berzikir secara lisan dengan sebutan kalimah yang baik. Lama-kelamaan zikir di lidah bertukar ke otak dan serentak dengan itu dalam keadaan mata terpejam, aku dapat merasakan seluruh anggota tubuh ku bagaikan bergerak. Pada mulanya aku menyangkakan akan membuka pencak tetapi dengan tidak di sangka-sangka, tangan kanan ku menghulur ke depan ke arah Guru Ketiga. Tangan ku lantas menyambut tangan Guru yang sedia menanti huluran tangan ku. Kami berjabat tangan dan selepas itu aku membuka mata ku. Aku melihat Guru Ketiga dengan senyumannya yang manis memandang ku.

`Bagus!’ begitu pujinya.

`Siapa yang bersungguh-sungguh, dia akan mendapatnya’, dia berkata seterusnya.

Demikianlah juga Wan yang menamatkan zikir dengan cara yang sama seperti ku.

Yim memberitahu sewaktu dia berzikir di hadapan Guru dahulu – di tempat tok, dia mengakhirkan zikir dengan laungan azan.

`Selepas zikir dengan tok, cucu-cucu semuanya akan mendapat ujian’, Guru Ketiga berkata lagi.

`Ujian?’, Wan bertanya dan wajah kami semuaya sertamerta diselubungi kebimbangan.

`Ujian macam mana, tok?’, aku tak sabar ingin tahu.

`Macam-macam’

Dan wajah Guru Ketiga yang manis dalam senyuman memandang kami seorang demi seorang.

`Mungkin bergaduh. Mungkin kemalangan...’

Kami lantas berpandangan sesama sendiri. Terasa juga gementarnya bila mendengarnya.Lebih-lebih lagilah bila bersabit dengan kemalangan.

`Selepas ini cucu-cucu juga akan diberikan mimpi. Sekarang pun atok tahu, ada di antara cucu telah mula diberi mimpi. Bila mendapat mimpi jangan ceritakan kepada sesiapa pun, kecuali kepada dato-dato sahaja’.

Seperti selalunya kami memang menyediakan kueh-mueh, air manis dan/atau kadang-kala air tawar sahaja untuk dinikmati bersama tok.Pada kali ini kami menyediakan Rootbeer. Kami mempelawa guru menjamah.Tiba-tiba guru berkata dengan kalimat yang amat mengejutkan.

`Tok tak makan’

`Tak makan?’, spontan Piei bertnya.Piei agak terkilan kerana dialah yang menjadi penajanya pada kali ini.

`Tok sudah kenyang?’, Dol pula bertanya.

`Tok memang tak makan’, Guru Keiga menegaskan lagi.

Kami tercengang dengan penjelasan tok itu.Aku lantas bertanya.

`Kenapa?’

`Tok memang tak makan’

Kami terkelip-kelip.

`Kalau begitu,minum sahajalah’, aku mempelawa ramah.

`Tok pun tak minum’

Kami kian terkejut. Tak makan dan tak minum? Kami berpandangan sesama sendiri.Tiba-tiba Wan bertanya.

`Kalau tak makan dan tak minum, bagaimana? Tok tak laparkah?’

Tok sekadar tersenyum.

`Makam tok ke atas, tak makan dan tak minum’, tok memberikan penjelasan. Wajah kami yang kecewa dipandangnya.

`Kejap lagi, cucu panggilah panglima.Biar mereka makan’

Selepas kata-kata itu,tok pun meminta izin untuk pulang. Kami amat tergamam dengan peristiwa yang tidak pernah terfikir itu.Kanapa tok yang di dalam martabat Guru dan Mahaguru tidak makan dan tidak minum?

Pada masa itu aku tidak mendapat jawapannya.

(Setelah aku menelaah Ihya dan Sirrul Asrar, aku mengesyaki mereka adalah dalam martabat tertinggi. Orang-orang pada martabat tertinggi mendapat syurga tertinggi - tanpa madu, susu dan istana – martabat Zat semata-mata. Waallah huaklam. Itulah keyakinan aku dulu berdasarkan dua buah kitab tersebut)

2 ulasan:

  1. huh best2..bestnya baca pengalaman tuan blog...

    kepada yang baru mengikuti tulisan tuan blog disyorkan baca dari awal...kisahnya memang dibuat bersiri supaya lebih jelas dan menarik pengalaman itu dipaparkan...
    tak adil terus komen dengan hanya baca sekerat dan tanpa tau tujuan sebenar arah penulisan tuan blog..

    saya harap tuan blog tidak membocorkan jalan cerita dlm jawapan di komen2..biar jadi jelas semuanya episod demi episod..menanti lagi episod seterusnya...thanks

    BalasPadam