05 Ogos 2010

60. Latihan Silat Rohani

`Baca Istighfar dulu’, tok memberikan arahan.Kami mengakurinya.

`Baca al Fatehah’, arahan seterusnya

`Baca Qulhu’

`Selawat Nabi tiga kali’

Kami mematuhinya.

`Lenggak sedikit kepala ke langit. Angkat tangan tinggi-tinggi.Pejam mata’, arahan seterusnya diberikan.

`Kemudian niat di dalam hati. Ya Allah Ya Tuhan ku. Datangkanlah di aku, turunkanlah di aku, gerakkanlah seluruh aggota tubuh badan, kaki dan tangan ku persilatan yang aku terima dari Panglima Hitam dengan berkat pertolongan Allah di dalam kalimah Laillahaillallah Muhammadarasulullah dengan kalimah Allah, Allah, Allah...Zikir!’

Kami berzikir.

Demikianlah yang kami lakukan. Pada permulaannya teramat sukar untuk mendapat pergerakan yang dihajati kerana tangan dan kaki begitu keras bagaikan batang kayu. Berjurus-jurus menadah tangan, jangankan kaki dan betis, tangan dan jari-jemari tetap tidak bergerak. Tidak bergerak sedikitpun. Tok membimbing dengan sabar sambil meminta supaya dilembutkan tangan dan kaki dan mempertebalkan zikir.

`Kosongkan! Kosongkan!’, begitu tok berpesan.

`Pertebalkan! Pertebalkan!’

`Kusyukkan! Kusyukkan! Kosongkan! Kosongkan! Yang ada hanya Allah! Zikir....’

Inilah yang menjadi latihan kami sehingga secara perlahan-lahan tangan mulai bergerak.Mulanya jari-jemari sahaja yang terasa. Lepas itu tangan mulai bergerak perlahan-lahan, tapi tetap keras dan kaku kerana kami tidak tahu mahu ke arah manakah gerakannya. Bila tangan bergerak, kaki pula sepatutnya bergerak sama.Tapi berjurus-jurus kaki kami tetap keras dan kaku.

Selepas tangan agak lancar pergerakannya, baharulah kaki yang keras bagaikan tiang tadinya, mulai bergerak.Kemudian badan dan semua anggota tubuh membentuk satu gerakan seni pencak secara perlahan-lahan.

Beberapa malam latihan diteruskan sehinggalah pada akhirnya kami pergi ke rumah manager Hong Kong Bank tempat Yim bertugas pada waktu malam. Rumah tersebut memiliki kawasan padang rumput yang lapang. Kami menjadi begitu selesa berlatih di situ – boleh bergerak bebas ke mana-mana memantapkan pergerakan bukan sahaja kaki dan tangan tapi boleh melompat dan menghambur lalu jatuh berguling-gulingan secara bebas.

Pada mulanya cuma gerakan akrobatik dan selepas itu datanglah satu gerakan seni silat yang indah. Kami boleh meniatkan untuk permainan latihan yang lembut, atau sederhana atau tangkas dan garang.

Setelah langkah silat Pangima Hitam terbentuk , melalui beberapa sesi latihan akrobatik dan pencak sendirian, latihan pertarungan pun bermula. Regu bagi ku ialah Wan sementara Dol ialah dengan Piei. Piei dan Dol menjadi serasi kerana kedua-duanya agak lambat mendapat sentuhan seni.Sementara aku dengan Wan adalah regu yang cepat mendapat sentuhan seni yang tangkas. Kami tidak boleh bertukar pasangan kerana Piei dan Dol tidak dapat menyaingi kami kerana terbukti bila dicuba,mereka tidak mampu menandingi kami berdua.

Inilah regu dalam latihan dan regu yang akan mempersembahkan silat sewaktu perkahwinan Yim dan Emi di Kampung Lintah, Slim Village tak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan