18 Ogos 2010

65. Berzikir

`Cucu-cucu semua kena berzikir’, tok memulakan bicara pada waktu ketibaannya pada awal malam tadi. Ini adalah respons kepada kualiti persembahan silat di majlis pengantin sewaktu persandingan Yim dengan Emi.

`Cucu semua perlu berzikir untuk meningkatkan darjat persilatan.Silat cucu berdua, tok tengok bagus’

Tok memandang kepada aku dan Wan.

`Tapi cucu Wan dahsyat sungguh, tok’, aku membuat komentar.

`Memang begitulah’,tok memberi reaksi.`Cucu semua sedang berlumba-lumba. Sedang bersaing sesama sendiri. Hari ini cucu ini lebih tinggi, hari esok mungkin cucu pintas pula. Begitulah keadaannya. Siapa yang bersungguh-sungguh dia akan terus maju dan meningkat. Selepas berzikir nanti, silat cucu semua akan menjadi lebih tangkas lagi’, tok memberi jaminan.

Tok lantas memandang kepada Pei lalu berkata.

`Tok tengok hari itu, cucu asyek berguling sahaja. Kenapa?’

Piei terkerinying.

`Takut?’, tok bertanya.Piei mendiamkan diri. Silat Dol dengan Piei tempoh hari memang mengecewakan sebab Piei sentiasa menggulingkan dirinya sebelum sempat bertempur.

`Tak apalah’, tok terus bersuara apabila Piei mendiamkan diri.`Lepas ini cucu semua perlu berzikir pula’

`Zikir apa tok?’

`Zikir Allah Allah.Macam selalu juga’

`Bila mahu dimulakan?’

`Terserah kepada cucu’

Kami lantas berpandangan sesama sendiri.Tok memberitahu zikir perlu dibuat selama 24 jam. Boleh dibuat secara bersambung-sambung untuk mencukupkan jumlah 24 jam. Boleh juga dibuat dua kali iaitu 12 jam sekali buat. Boleh juga dibuat terus-menerus selama 24 jam.

Setelah berbincang, kami membuat keputusan untuk membuat dua kali sahaja iaitu selama 12 jam sekali berzikir. Kami diminta menutup semua tingkap dan pintu rumah semasa berzikir dan diminta memilih lokasi masing-masing. Aku memilih di bilik belakang bersebelahan dengan gelanggang dan Piei bersama ku. Dol dan Wan memilih di bahagian dapur yang agak rendah supaya tidak panas apabila tiba waktu tengah hari nanti.

Sejak jam 8.00 pagi tadi kami telah mula berzikir dan dijangka akan berakhir 8.00 malam nanti.

Aku tidak pasti jam sudah pukul berapa sekarang. Tapi panas dari bahang atap zinc sudah mula terasa. Aku percaya tengahari kian menjelma. Dalam keadaan mata tertutup rapat, tentulah aku tidak dapat menduga dengan pasti pukul berapa sebenarnya sekarang.

Dalam tangan setiap orang daripada kami tergengam sekepal nasi pulut. Ini yang tok pesankan. Kami tidak tahu untuk apa. Nasi pulut di dalam genggaman kedua-dua belah tangan yang dikepal terasa semakin keras sekarang.

Sejak sekian lama aku tidak bergerak walau sedikitpun dari kedudukan bersila. Aku tidak tahu apakah boleh bergerak atau tidak sewaktu bertapa ini. Aku terlupa untuk bertanya tok. Jadi aku memutuskan untuk tidak mengalih sila kerana khuatir pertapaan akan terbatal. Akibatnya terpaksalah aku menanggung rasa kebas dan bisa di betis yang semakin lama semakin tidak terperikan.

Lidah ku tidak berhenti-henti menyebut kalimah Allah Allah Allah sejak jam 8.00 pagi tadi. Sehingga kini aku tidak pasti sudah berapa jumlahnya dan aku pula tidak bertanya berapakah jumlah yang diperlukan. Boleh jadi jumlah tidak penting. Mungkin yang penting ialah jangka masanya atau mungkin juga dalam jangka masa yang ditetapkan akan mencapai jumlah yang diperlukan.

Nafsu dan tekad ku sewaktu membuat pilihan bertapa terus menerus selama 12 jam, pada waktu itu adalah berada pada tahap keyakinan dan keazaman yang tinggi akan dapat melaksanakan dengan mudah pertapaan terus-menerus tersebut. Tetapi apabila tiba pada saat sekarang, bisa dan kebas pada betis, peha dan pinggang menyebabkan aku sedikit menyesal dengan keputusan yang telah dibuat kerana aku sedar untuk menamatkan pertapaan yang mungkin baharu satu pertiga perjalanan, adalah satu misi yang bagaikan mustahil.

Ya! Allah, hati ku bagaikan merayu.

Aku bagaikan tidak terderita lagi. Bisa dan kebas pada betis bagaikan tidak dapat ditahan lagi. Namun untuk bergerak walau sedikit pun aku tidak berani kerana khuatir akan membatalkan zikir.

Ya! Allah! Tolonglah! Aku merayu lagi di hati sambil lidah terus menyebut Allah Allah Allah.

Aku berusaha menggagahkan semangat dan jiwa. Aku cuba bergelut dengan keazaman yang tinggi untuk terus berzikir bagi menamatkan tempoh yang ditetapkan. Tapi dalam keadaan betis yang teramat bisa dan kebas itu, aku bagaikan hampir menyerah kalah.

Ya Allah. Tolonglah hamba mu ini. Aku merayu belas bantuan. Aku merayu belas ihsan. Dalam keadaan serba tidak ketahuan itu – iaitu antara untuk membatalkan sahaja atau meneruskan ketabahan yang tiada tara bagi meneruskan; tiba-tiba aku terdengar suara memberi salam.

`Assalamualaikum’

Aku menjawab di dalam hati.

`Cucu....Cukuplah... Cukup...’

Aku tahu itu adalah suara dari tok.

Alhamdulillah. Terasa bagaikan terlepas dari satu siksaan yang amat menderitakan.

`Mari semua ke mari!’

Tok memberi perintah dari gelanggang di sebelah. Aku mencelikkan mata. Pandangan ku terus kepada Piei. Aku lihat dia menyapu mukanya yang bermisai tebal itu. Bila kami berpandangan aku dapat melihat wajah yang cukup lega terpamir darinya.

`Huuuuu!’, dia meluahkan sebuah keluhan sambil menggeleng-geleng pantas. Bergetaran kepalanya oleh gelengan pantas itu. Kami berdua lantas menuju ke gelanggang. Di situ tok telah sedia menanti dalam sila panglimanya.

`Pergi panggil cucu yang kat bawah sana’, tok memberi perintah. Wan dan Dol yang agak jauh berada di bawah sudah tentu tidak sedar bahawa tok telah tiba dan zikir boleh ditamatkan.

Tok memandang ku dengan senyuman. Aku tidak tahu apakah erti senyumannya itu. Bila aku melihat jam di tangan ku, waktu menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Ertinya kami semua telah berzikir selama empat jam tiga puluh minit.

Bila kami semua telah berkumpul, tok lantas bersuara.

`Alhamdulillah. Cucu semuanya telah berjaya’

`Berjaya?’, kami bertanya serentak.

`Berjaya!’, jawab tok.

Kami berpandangan sesama sendiri. Bagaimana begitu? Sedangkan kami seharusnya berzikir terus-menerus selama 12 jam, tapi baru empat jam lebih telah dikatakan berjaya.

`Walaupun cucu berzikir cuma empat jam lebih, tetapi nilainya sama dengan 12 jam’, tok menerangkan.Kami kehairanan. Tok faham akan kehairanan kami, lalu tok menerangkan seterusnya.

`Cucu berzikir di sini dan dato-dato semua berzikir di sana. Zikir dari dato-dato semuanya adalah untuk cucu, Jadi cukuplah jumlah 12 jam’

Kami cukup gembira dan lega mendengar penjelasan itu.

`Cucu semua memang tabah’, tok memberikan pujian.`Tok dulu gagal dalam zikir yang pertama. Lalu guru suruh tok berzikir semula. Tapi cucu semuanya berjaya. Syabas!’

Kami sungguh gembira mendengarnya

`Berapa lama tok bertapa dulu?’

Aku bertanya kerana menurut kefahaman ku seseorang yang mahu mencapai darjat seorang panglima perlu melalui zikir dalam pertapaan. Dan inilah yang sedang kami lalui.

`Enam tahun’

Wah! Selama enam tahun bertapa! Enam tahu bertapa baru bergelar Panglima Hitam.

`Tapi cucu semua tidak perlu buat macam dato-dato. Kalau nak bertapa macam dato, mana ada masa?’

Tok meminta dikumpulkan nasi pulut yang kami genggam. Kami letakkan di atas sebuah pinggan.

`Tadi semuanya lembut’, tok bersuara.`Sekarang semuanya sudah keras. Kalau dibaling ke didinding pun bagaikan membaling batu.Bagus!’

Tok mengambil pinggan tersebut dan mambacakan sesuatu. Selepas itu dihembuskannya.Bila siap dibacakan tok berkata.

`Ambil masing-masing punya dan makan’

`Makan?’, kami berkeriau. Maklumlah nasi pulut telah menjadi keras dan bulat bagaikan buah guli tentulah teruk mengunyahnya.

`Makan!’, tok memberi perintah.

`Untuk apa?’, Piei bagaikan tak puas hati diminta memakan nasi pulut yang telah keras bagaikan batu itu.

`Untuk ketahanan dalam badan’

Tok seterusnya memberi arahan supaya di adakan satu lagi sesi berzikir. Lalu pada minggu berikutnya, kami berzikir bagi kali yang kedua. Pada kali ini aku melakukannya dengan lebih mudah dan bersemangat kerana tok mengatakan tidak mengapa beralih sila apabila terasa teramat bisa dan kebas di betis.

Zikir pada sesi kedua tidaklah selama sesi yang pertama. Kerana baharu sekitar hampir tiga jam, tok telah menyeru supaya menamatkan zikir. Bila kami telah berkumpul tok lantas bertanya.

`Sekarang tok mahu tanya, di mana zikir cucu sekarang?’

Kami kurang mengerti.

`Pada minggu yang lalu, cucu berzikir di lidah’, tak menerangkan.`Bagaimana pada kali ini.Di mana zikir?’

Kami lantas berdiam sebentar. Kami cua berzikir seperti tadi, Lantas tiba-tiba Wan bersuara.

`Di kepala’

`Cucu?’

Pertanyaan tok kepada ku, aku jawab dengan jawapan yang sama. Ternyata selama beberapa waktu pada saat-saat akhir berzikir, kepala ku terasa bagaikan berat kerana rupa-rupanya aku berzikir di kepala – tidak lagi di lidah. Demikian jugalah pengakuan Piei dan Dol.

`Dulu zikir di lidah. Sekarang zikir di kepala, bukan?’

Dan kami mengakuinya.

`Bila cucu berzikir lagi pada masa hadapan, zikir akan beralih pula ke hati’, tok menerangkan selanjutnya.`Kita mahu zikir berjalan serentak – di lidah, di kepala dan di hati. Dan pada akhirnya yang kekal ialah di hati’

.

2 ulasan: