20 Ogos 2010

66. Silat Di Jeram Sungai

Oleh kerana persilatan kami telah semakin lincah, bersilat di dalam bilik di rumah telah tidak begitu sesuai lagi. Pergerakan menjadi terbatas. Walaupun pertarungan dalam jarak yang terhad masih boleh berlaku, tetapi kadang-kadang memerlukan kawasan yang lebih selesa untuk memudahkan kami bertempur secara bebas dan mendapat kepuasan berpencak. Oleh itu satu kawasan lapang yang terbuka begitu diperlukan. Tok menasihatkan kami supaya bertempur di atas bumi di kawasan lapang supaya persilatan menjadi semakin kemas. Berslat di bumi akan lebih mudah bagi ketibaan pergerakan pertarungan.

Setelah tercari-cari tempat yang sesuai, kami akhirnya pergi ke suatu kawasan yang agak lapang di dalam kebun getah Cina berdekatan dengan sebuah jeram dan anak sungai dekat Teras, Raub. Yim memulakannya dengan membuka empat penjuru gelanggang. Setelah selesai gelanggang sementara dibina, kami semua kucuali Yim – Toklah tentunya – menadah tangan seperti selalu bagaikan berdoa sambil kepala menengadah langit. Kami meminta secara bebas persilatan dari panglima-panglima yang telah kami terima ijazahnya.

Memang! Di atas bumi memang ada kelainan berbanding dengan di dalam rumah. Permintaan memang segera tertunai.Dalam tempoh yang cepat aku dengan Wan telah mula memencak dengan baik. Tapi kami tidak memohon silat pertarungan. Kami hanya memohon tari – sekadar untuk mengasuh kelancaran pergerakan badan.Tapi tari yang kami pohon ialah tari pencak pertarungan. Cuma bukan untuk bertarung. Aku tidak sempat untuk mengetahui setakat mana kehebatan Wan dan sejauh mana Piei dan Dol dapat memantapkan persilatan masing-masing. Aku hanya asyek dengan pencak ku sendiri, sambil menyepak-nyepak angin dengan kaki kanan dan kiri dan melepaskan pukulan-pukulan tangan ke arah udara kosong dalam seni pencak yang mengasyekkan. Aku kemudiannya memohon agar didatangkan pergerakan yang lebih cekang dan ganas dan pada ketika aku sampai kepada tahap persempadanan antara ada dan ketiadaan, Yim tiba-tiba berseru.

`Berhenti! Berhenti!!’

Lalu aku, Wan, Piei dan Dol serta merta memberhentikan pencak masing-masing iaitu secara spontan kami akan menyapu muka seperti selesai berdoa.

`Ngapa?’, Wan bagaikan memprotes.

`Ada orang datang!’

Yim lantas menunjukkan ke suatu arah di pinggir jeram. Kelihatan dua orang lelaki Cina sedang memandang ke arah kami. Aku tidak pasti apakah mereka sempat menyaksikan aksi pencak kami sebentar tadi. Aku sungguh kecewa kerana silat terpaksa ditamatkan.

Namun sesungguhnya aku dapat merasakan satu kepuasan bila berpencak di atas bumi. Alangkah seronoknya kalau kami memiliki sebuah gelanggang di atas tanah. Aku dapat merasakan kelainannya dan tentulah kami semua akan boleh bertarung dengan penuh kehebatan!

Pada waktu malam tok tiba seperti biasa dan di gelanggang rumah hijau kami berbincang mengenai pengalaman pada waktu siang tadi.Kali ini bukan Panglima Hitam tetapi ialah Panglima Gayung Lanang yang datang.Memang kadang-kadang bukan Tok Itam sahaja yang datang. Gayung Lanang adalah di antara panglima yang selalu juga datang.

`Tok tengok silat cucu berdua sudah semakin kemas’, tok merujuk kepada aku dengan Wan. Ertinya pada waktu di ladang getah tadi Tok Gayung Lanang hadir sama menyaksikan latihan kami.

`Kalau tak ada Cina tadi, sedikit sahaja lagi, cucu akan mendapat pergerakan sepenuhnya.Itupun sudah dekat sangat....’

Tok memandang ku.Kepada akulah yang dimaksudkan.Memang pada waktu latihan di ladang getah tadi, aku dapat merasakan persilatan ku telah semakin mantap – satu peningkatan tahap yang belum pernah lagi aku rasakan.

`Kalau sudah masuk sepenuhnya, cucu akan terbang....’, tok meneruskan.

`Ha?’, aku terkagum mendengar kalimat itu.Memang pun pada masa berpencak tadi,aku dapat merasakan tubuh ku telah begitu rengan.

`Lain kali cari tempat seperti itu lagi. Ajak cucu Rahim pergi cari tempat yang sesuai. Tempat seperti itu – ada anak sugai, ada air mengalir, di kawasan berjeram seperti di situ atau di kawasan yang ada air terjun, cucu akan cepat mencapai kepenuhan.Nanti pergi lagi ke tempat begini, biar cucu bersilat dan berpencak di atas batu-batu, dan melompat pula dari batu ke batu’

Aku, Wan , Dol dan Piei bagaikan terbeliak biji mata melihat kepada tok, seakan-akan sukar untuk mempercayainya.Lalu minda khayal ku membayangkan betapa atau bagaimana aksi aku akan melompat menginjaki untuk berpencak di atas batu-batan yang licin itu - dari batu ke batu?

`Silat kita adalah silat peperangan.Bila berlaku perang cucu semua akan diserahkan seluruh ilmu kebatinan. Pada ketika itulah cucu akan terbang. Dalam keadaan biasapun sebenarnya cucu memang boleh terbang, terutama kalau berdepan dengan ramai musuh. Tapi kalau cucu terbang, musuh masih dapat melihat cucu, dapat melihat ke mana cucu terbang’.

Kami seronok mendengar penerangan tok itu.

`Tok pun sama.Musuh dapat melihat kalau tok terbang. Tapi kalau persilatan guru,musuh tidak nampak guru terbang. Sedar-sedar terdengar gelak-hilai sahaja.Bila ditoleh, guru sedang berdiri di dahan pokok sambil ketawa berdekah-dekah’

`Kenapa guru tak boleh dilihat, tok?’

`Tersangat pantas! Persilatan guru tersangat pantas. Sebab itulah tok pernah beritahu dahulu, kalau di ibu kota, tak payah sesiapa bantu. Padan guru seorang diri sahaja’.

`Betulkah guru boleh ghaib, tok?’

`Cucu pun boleh ghaib!’,pantas tok menjawab.` Dalam masa peperangan cucu memang boleh ghaib untuk menyerang musuh’.

Sukar untuk dikhayalkan dan sukar juga untuk dipercayai. Tetapi pun jua, aku tersangat ingin untuk merasainya suatu hari nanti - bertempur menentang musuh negara sambil terbang ke sana ke mari untuk mengamuk dengan senjata di tangan – senjata yang menurut tok, mengatasi seluruh persenjataan musuh.

Sebelum balik tok menasihatkan kami supaya selalu menghadiahkan bacaan-bacaan ayat-ayat suci kepada roh-roh si mati samada yang mati baru atau yang mati lama.

`Lakukan pada setiap hari atau pada setiap lepas waktu solat’

Surah yang tok pesankan ialah al Fatehah, Qulhu dan al Maun dibaca sekali atau tiga kali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan