02 Ogos 2010

59. Ijazah Silat Rohani Panglima Hitam.

Inilah saat yang paling bersejarah.Saat bilamana kami telah direstui oleh Mahaguru untuk menerima persilatan yang merupakan pakaian sebenar seseorang panglima silam.Kami akan dianugerahkan ijazah persilatan – silat rohani atau silat ghaib Panglima Hitam.

Setelah semua peralatan telah disediakan, kami semua bersiap-sedia untuk menerima ijazah.

(Saya telah terlupa apakah bahan-bahan yang kami semua perlu sediakan untuk menerima ijazah persilatan Panglima Hitam. Bahan-bahan yang diperlukan oleh para panglima selalunya berbeza di antara satu sama lain. Antara peralatan-peralatan yang masih aku ingat ialah secebis kain atau/dan benang yang berwarna putih, hitam, merah, kuning dll. Selain itu air embun, air telaga, air kolah masjid, air hujan, air kelapa dll. Juga sabut kelapa, tangkal kelapa, tempurung kelapa jantan, pangkal pelepah kelapa, tombong kelapa, daun kelapa dll. Serta buah limau nipis, limau purut, jadam, ingu, ijuk, lidi, jarum, paku, tahi besi dan berbagai-bagai lagi yang aku tidak berapa ingat lagi).

Kami juga diminta menyediakan sebilah pisau. Tidak perlu pisau yang besar. Yang kecil pun tak mengapa.Jadi aku membeli sebuah pisau lipat yang cantik dan kecil untuk diserahkan kepada tok.

Setelah membaca selawat kepada Nabi saw, membaca Qulhu dan al Fatehah, pengurniaan ijazah pun bermula seorang demi seorang. Wan yang pertama dan diikuti oleh aku.

Bila tiba giliran ku, tangan kanan aku berpegangan erat dengan tangan kanan Panglima Hitam. Kemudian tok pun berkata (kalau tak silap) setelah menyeru nama ku.

`Aku perturunkan kepada engkau ijazah persilatan dan kebatinan. Berjanjilah engkau menerima, menjaga dan menggunakannya untuk tujuan kebaikan’

Aku menjawab:`Aku terimalah ijazah persilatan dan kebatinan yang dato perturunkan kepada aku dan aku berjanji akan menggunakannya untuk mempertahankan diri ku, agama ku, bangsa ku dan negara ku’.

Itulah ikrar ku dan demikian jugalah ikrar rakan-rakan sebagaimana yang diajarkan oleh tok.

Kami cuba mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai keistimewaan Silat Rohani ini.

`Guru kita ialah Malaikat Maut’, tok menerangkan.`Setiap serangan kita termaktub kepada dua.Kalau tidak mati, patah. Jadi jangan buat gurauan. Kebatinan akan keluar pada bila-bila masa sahaja. Panglima-panglima yang berterbangan bersama cucu tahu bila mahu menggunakannya dan telah terlebih dahulu mengukur kekuatan lawan. Tentang ini tak payah tok ceritakanlah.Nanti cucu akan tahu sendiri’.

Bila istiadat penurunan ijazah telah tamat dan sembang-sembang sampai ke penghujung tok pun berkata:

`Malam nanti kita berlatih’

Bila tok pulang, Yim melanjutkan beberapa perkara yang kami tanyai. Pertama mengenai kenapa tok kata tidak akan penat dalam pertarungan.Jawab Yim.

`Bukan kita yang bertarung. Tok yang bertarung’.

`Bukan kita? Bagaimana?’

`Mereka bertarung dengan memakai jasad kita’.

`Kenapa tak letih?’

`Panglima ramai dan mereka akan bertarung bergilir-gilir.Bila seseorang panglima telah penat, panglima yang lain akan menggantikannya’.

`Berapa kekuatan pertarungan seseorang panglima?’

`Lebih kurang 16 orang’

Kami bertanya pula mengenai tugas pengapit.

`Bila kita berada dalam ancaman, pengapit kiri akan melaporkan kepada tok sementara yang kanan akan mengawal kita. Dalam sekelip mata tok akan sampai dan bersiapsiaga untuk mempertahankan diri kita’

`Pengapit juga akan menjaga kita dari sebarang ancaman sihir, tuju, serangan kebatinan jarak jauh dalam apa-apa keadaan jua sementara tok belum tiba. Tok memberitahu gabungan seramai kekuatan beberapa orang bomoh, (aku lupa jumlahnya) masih belum dapat menembusi benteng pertahanan pengapit’

Aku sangat gembira.Kawan-kawan ku juga.Ertinya kami kini iaitu setelah menerima ijazah persilatan, memiliki keampuhan dan benteng yang sukar untuk ditembusi oleh lawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan