27 Julai 2010

58. Silat Rohani.

Agak lama – berbulan-bulan menguruskan kesah Yim dan Orang Payang. Dengan begitu berbulan-bulanlah latihan silat Panglima Hitam tergendala.

Penghujung tahun 1977 masa berpencak begitu terganggu sebab kami berlima diancam oleh berbagai-bagai gangguan – bomoh Bukit Tajau, Bomoh Jerantut, Bomoh Penggarang dan yang lebih dahsyat ialah Orang Payang. Kami beranggapan inilah ujian untuk kami sebelum muncul sebagai panglima, sebagaimana pernah diramalkan oleh seseorang yang boleh memanggil syeikh pada waktu awal-awal perkenalan dengan tok dahulu, bahawa di Negeri Pahang akan muncul tak lama lagi enam orang panglima.

Bila Saedah telah dapat dipulihkan ingatannya, baharulah Yim juga dapat dipulihkan. Walaupun demikian, tok berpesan supaya cucunya itu tetap perlu dijaga jiwanya.Jangan biarkan dia susah hati.Jangan biarkan dia dalam lamunan, kerana kalau jiwanya terganggu, kemungkinan penyakit lamanya akan berulang kembali.

Bila keadaan telah menjadi aman, bila semua halangan, gangguan atau ujian tersebut telah dapat diatasi, dan bila ziarah pahlawan silam telah selesai dilakukan, baharulah kami semua ada masa yang selesa untuk menyambung latihan pencak.

Kami bersama Panglima Hitam sekarang setelah sekian lama tidak ada masa untuk berada dalam suasana seperti ini.

`Tok telah mengadap Mahaguru’, tok memulakan bicara.`Tok memohon supaya cucu-cucu semua dikurniakan silat rohani’.

Tok Itam memberikan kenyataan yang mengejutkan kami. Tapi tentulah teramat menggembirakan tentunya.

`Tiga kali tok mengadap Mahaguru. Tok berikan berbagai-bagai alasan. Yang paling utama ialah masa untuk belajar seperti dahulu sudah tak ada lagi’.

`Betul tok’, aku menyokong.

`Kalau cucu berjaya masuk ke universiti pada tahun ini, tentulah bertambah sukar’, Wan pula menyokong dengan begitu gembira akan saranan tok itu.

`Sebab itulah tok mengadap Mahaguru. Kalau belajar silat biasa, bila nak habis?’

Kami teramat gembira dengan perkembangan terbaharu kini.Ini tuah berganda.Belajar silat dengan tok adalah tuah kerana tok mengatakan silatnya yang kami pelajari dahulu walaupun hanyalah sebuah silat biasa, tapi sukar untuk ditundukkan oleh lawan. Kini kami dianugerahi pula silat luar biasa, tentulah bertambah ampuh jadinya.

Keputusan STPM sebenarnya baharu sahaja diketahui. Wan mendapat dua principal dan dua subsidiary iaitu B bagi Bahasa Melayu, C bagi Sejarah Malaysia dan subsidiary bagi Sejarah Islam dan Geografi. Keputusan tersebut melayakkannya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Aku pula dapat B bagi Bahasa Melayu dan E bagi Sejarah Islam, tetapi tidak cukup subsidiari kerana gagal dalam Geografi walaupun Kertas Am dapat 3 dan lulus subsidiari dalam Sejarah Malaysia. Keputusan ku itu mungkin tidak layak untuk menyambung pelajaran walaupun aku mencuba juga membuat permohonan. Piei bernasib malang sekali.

Teman-teman kami sewaktu menyewa rumah hijau pada permulaan bertugas di Raub dahulu telah membawa haluan masing-masing. Jonet menjadi perintis dan perangsang kami kerana terus sahaja berjaya melanjutkan pelajaran di USM. Bakar pula telah berumahtangga dengan Cikgu Rozita dan hidup bahagia di rumah sewa mereka.

`Tok beritahu juga Mahaguru, gelanggang di dalam rumah menyakitkan sehingga cucu Hamdi keluar sebelum ini. Jadi Mahaguru pun nak kenallah cucu-cucu semua yang akan dianugerahkan silat rohani’.

`Jadi dia nak datangkah tok?’

`Tidak. Belum sampai masanya lagi. Tapi dia tengok cucu-cucu semua melalui mata tok’

Kami terkagum dengan penerangan itu. Betapa hebatnya Mahaguru boleh melihat kami semua melalui mata Panglima Hitam.

`Kalau cucu diberikan silat rohani nanti, bagaimana dengan silat tok sebelum ini?’ aku cuba mendapatkan kejelasan.

`Tinggalkan sahaja’, Tok Itam menjawab.`Bila sudah mendapat silat ini, cucu semua tidak memerlukan lagi silat itu. Cucu semua akan jadi macam cucu Rahimlah’.

`Maksud tok?’

`Tak payah berlatih seperti dahulu. Cuma niat dan berdoa sahaja meminta persilatan’

Kami cukup gembira. Yim dalam apa-apa jua keadaan lengkap dengan sistem serangan dan pertahanannya. Dalam sekelip mata sahaja dia boleh memencak sehingga ke paras maksima.Kami memang mengaguminya dan bagi kami, Yim seakan-akan tidak ada tandingannya!

`Cucu Rahim ada pengapit, tok. Apakah kami juga akan mendapat pengapit seperti cucu tok itu?’

`Sama’, tegas nada suara tok.

Kami memandang tok dengan hati gembira.Setahu kami – tok juga yang menerangkan – bahawa tok pun ada pengapit di kanan dan di kirinya. Pernah dalam suatu keperluan – sebenarnya beberapa kali - untuk mencari/mengetahui sesuatu, tok mengutuskan pengapitnya pergi dan sejurus kemudian kami mendapat jawapan-jawapan yang kami kehendaki.

Demikianlah juga Yim sewaktu saat mula berkenalan dahulu. Dia mengutuskan pengapit kanannya kepada seseorang – dalam konteks waktu itu ialah Zaharah Hamid – dan melaluinya disampaikan khabar kepada pengapit kiri yang langsung kemudiannya menyampaikannya kepada Yim.

Melalui proses seperti itu kami dapat mengetahui apa yang sedang berlaku atau dilakukan oleh seseorang.

`Kalau cucu tak percaya cucu ada pengapit, cucu boleh uji. Bila cucu menerima silat rohani nanti, pergilah berjalan di kawasan yang banyak daun-daun yang kering. Cucu berjalanlah dengan pantas. Berlari pun tak apa. Kemudian cucu berhentilah dengan tiba-tiba.Nescaya cucu akan dengar bunyi daun kering bagaikan masih dipijak walaupun cucu telah berhenti’

`Tak bolehkah kami melihat mereka?’, Wan bertanya.

`Bila sampai masanya, dato-dato pun boleh dilihat.Insyaallah’

`Bagaimana pula mengenai perubatan, tok? Bolehkah kami berubat macam cucu Rahim?’, Dol bertanya.

`Perubatan tak ada.Tapi cucu boleh mengubat diri sendiri terutama semasa atau setelah bertempur. Bila cucu cedera, cucu boleh berubat sendiri. Atau kalau semasa bertarung cucu terkena pembisa oleh serangan musuh, cucu boleh berubat sendiri’.

`Bagaimana caranya?’

`Niatkan sahaja’

Tok Itam seterusnya menerangkan keistimewaan silat rohani berbanding silat biasa.

`Cucu semua sungguh bertuah kerana akan dianugerahi silat ini. Kalau sebelum ini cucu sendirilah yang bersilat dan berhempas-pulas untuk menundukkan musuh, tetapi sekarang cucu-cucu cuma perlu berniat dan berzikir sahaja. Dengan berzikir cucu akan memberi ruang kepada para panglima yang sedang berterbangan yang sentiasa bersiap-siaga untuk membantu cucu. Cucu tidak akan berasa penat bila bertembung musuh. Cucu cuma berasa penat apabila semua musuh telah ditewaskan’

Kami bertambah kagum jadinya.

`Sekarang tok nak tanya.Silat siapa yang cucu mahu?’

`Maksud tok?’

`Tok boleh ijazahkah silat tok, kalau cucu mahu. Tapi kalau cucu mahu Silat Hang Tuah boleh juga. Silat Jebat, pun boleh’

Kami lantas berpandangan sesama sendiri. Menurut keterangan Yim sebelum ini, inilah tiga persilatan panglima Melayu yang terhebat.Masing-masing ada kelebihan dan kehebatan tersendiri.

`Cucu mahu tanya, kalau cucu terima ijazah dari tok, apakah cucu semua akan menerima juga ijazah persilatan dan panglima-panglima yang lain?’

`Cucu akan terima semuanya’

`Maksud tok?'

`Bukan silat Hang Tuah dan Hang Jebat sahaja?’

Tok Itam mengangguk.Mendengar maklumat itu aku merasakan bagaikan bakal memiliki seluruh kekuatan panglima.

Tok Itam kemudiannya lantas memberikan beberapa arahan supaya kami menyediakan beberapa barang dan peralatan yang diperlukan bagi menerima ijazah persilatannya yang merupakan silat rohani pertama yang kami bersetuju dijadikan sebagai permulaannya.

2 ulasan:

  1. Tak kena gaya dapat la jin dampingan, dapat lah antu raya...itu semua penghandalan dunia....hasbiallah nikmal wakil, nikmal maula nikmannasir.

    BalasPadam