07 Julai 2010

53. Cincin Pembisa.

Tok menjanjikan kami akan dikurniakan pula cincin pembisa seorang sebentuk.Cincin tersebut bila dipakai, kami diminta supaya jangan mudah marah. Banyakkan bersabar kerana kalau kami marah dan menampar sesiapa, pembisanya boleh mambawa maut. Menurut kata tok, bisa yang terlepas tidak ada penawarnya lagi.
Cincin tersebut akan dihantar terus ke rumah.Gurulah yang akan mengambilnya iaitu akan menerima hantaran secara ghaib. Pada malam itu guru datang buat pertama kalinya khas untuk menerima hantaran tersebut. Dia berpesan apabila tiba masanya jangan sesiapa pun turun ke tanan sebelum cicin tersebut sampai ke tangannya. Kami bersedia untuk mematuhi.
Ketika itu jam kira-kira 10.00 malam. Jalan raya di hadaan rumah sudah agak sepi.Guru kemudian turun ke tanah dan kami berdiri di muka pintu.Kami melihat guru sedang bersedia menerima suatu hantaran. Sejurus kemudian kami melihat guru bagaikan menangkap sesuatu dan oleh kerana itu kami menyangkakan guru telah menerima pemberian tersebut. Lantas kami semuanya turun ke tanah.Bila kaki kami menjejaki bumi, kami tiba-tiba melihat guru sedikit kelam-kabut.
`Terlepas!’, guru bagaikan berteriak.
Kami tercengang.
`Kenapa cucu turun cepat sangat?’, guru menyoal kami.Kami tidak menjawab.
Guru nampaknya bagaikan mencari-cari sesuatu di atas bumi dan dicelah-celah rumput.
`Cari!’, guru memberi perintah.
Lalu kami berempat terus mencari.Meraba-raba di celah-celah rumput, di balik apa-apa sahaja yang memunkinkan tertutupnya cincin tersebut dari pandangan kami. Jenuh juga mencarinya tapi tidak juga dijumpai cincin yang dicari.
`Tok rasa mungkin tenggelam di dalam tanah’, tok bersuara.
Kami bagaikan tak mahu percaya.Masakan sampai tenggelam.Mungkin terlalu laju kut – maklumlah pertukaran dari alam ghaib ke alam zahir.
`Ada penggali?’, guru bertanya.
Piei segera pergi ke bahagian belakang rumah kerana kami memang tahu ada sebatang cangkul tuan rumah di situ. Bila cangkul telah dibawa ke hadapan, Piei terus mengais-ngais tanah dan rumput dengan cangkul itu. Sejurus guru berteriak.
`Nanti dulu!’
Dan bila Piei berhenti, guru lalu membongkok. Sejurus meraba-raba tanah yang telah dicangkul itu, guru pun berteriak.
`Ha! Ini dia!’, dan guru ternyata gembira dengan apa yang ditemuinya. Ada sesuatu yang bergelumang dengan tanah di tangannya. Bia diamti memang sebentuk cincin.
`Cari lagi!’, guru memberi perintah. Wajah guru nampak ceria dan berseri.Kami pun mulai menjadi yakin bahawa memang ada cincin yang dijanjikan.
Dan kami mencari lagi. Meraba-raba di atas tanah dan dicelah-celah rumput. Wan menggantikan tugas Piei menguis-nguis tanah dengan cangkul.Tapi sehingga hampir jam 11.30 malam cuma dua bentuk sahaja yang diterima. Lampu pintu depan, mentol 40 watt ternyata tidak cukup terang untuk memudahkan tugas kami.
Bila telah kepenatan, guru memutuskan supaya mencari lagi pada bagi besok.Dan pada pagi esok memang awal-awal lagi guru telah tiba.Kami mencari dan anehnya dapat ditemui dengan mudah sahaja dua bentuk cincin lagi. Jauhnya beza pencarian waktu malam dengan siang. Cahaya siang memang memudahkan penemuan.
Dan pada pagi itu guru meminta izin kami untuk merasa naik kereta. Maklumlah orang pada zaman dahulu mana ada kereta. Pada ketika itu cuma Wan sahaja yang ada lesen. Jadi tugas dialah membawa guru bersiaran di jalan menuju ke Kampung Melayu Sempalit. Aku dengan Piei duduk di kerusi belakang. Seronok juga tengok pengalaman guru naik kereta.
Kereta itu – Toyota (aku sudah lupa modelnya) - kami beli khas untuk tujuan kembara ke Singapura, Johor, Melaka dan Pulau Besar bagi mengesan jejak pahlawan silam. Akulah yang paling banyak sahamnya iaitu membuat bayaran muka melalui pinjaman koperasi guru. Pinjaman tersebut juga untuk keperluan pembiayaan kembara. Wan menyanggupi untuk membayar ansuran bulanan. Demikianlah pengorbanan demi mencapai hasrat dato-dato mahu mejadikan kami sebagai pengganti Hang Tuah Lima Bersaudara.
Kami tidak dapat menangguhkan lagi kerana Tok Itam telah beberapa kali mencadangkan demikian terutama bagi menziarahi Tok Habib Noh yang tinggal sendirian di Singapura berbanding dengan kebanyakan yang lain-lain yang berkumpul di persekitaran Gunung Jerai.
`Kasihan dia duduk sendirian di Singapura. Pergilah jenguk’
Kami akan memulakan kembara tak berapa hari sahaja lagi.
(Cincin tersebut terbukti tidak ada penawar bisanya – kalau mahu/boleh dipercayai – ialah apabila kakak ipar ku acapkali tidak sedar diri kerana diresapi oleh makhluk yang tidak diketahui samada yang liar atau belaan. Dia acapkai pengsan dan terpaksa dipanggil dukun untuk memulihkannya.
Pada suatu ketika aku berunjung ke rumah abang ku. Nak jadi kebetulan bila menjelang Maghrib dia tiba-tiba tidak sedar diri seperti yang sering berlaku kepadanya. Abang ku memberitahu ku mengenai kaka ipar ku itu. Aku lantas ke bilik tidur dan menghampirinya yang sedang terbaring di atas katil. Lalu aku bertanya:
`Kenal aku?’
Kak ipar ku itu tidak mengatakan kenal atau sebaliknya tapi sekadar ketawa yang memang menyeramkan.
`Kenal siapa aku?’, aku bertanya sekali lagi dengan nada keras.Tapi kakak ipar ku itu terus ketawa. Ketawa mempersendakan ku. Air mukanya yang semacam dan ketawa hilainya menyebabkan aku menjadi marah disamping terasa keseraman.Spontan aku melepasan satu tamparan ke pipinya. Bila terkena dia lalu menjerit:
`Aduh! Aduh! Aduh!’.
Kami semua memerhatikan sahaja.Kemudian aku melihat kaka ipar ku menyapu-nyapu pipinya. Dan sebentar kemudian dia pun bersuara.
`He! Kenapa perit pipi ini?’
Abang ku menjawab mengatakan aku telah menamparnya. Sejak itu rasa-rasanya sampailah sekarang kakak ipar ku itu tidak pernah lagi mengalami sakit seperti itu – jatuh tak sedar diri.
Beberapa malam selepas aku menampar kakak ipar ku itu, aku bermimpi berada di tingkat atas sebuah bangunan. Aku mendapati Awang Ghafar berada di situ. Dia diberitakan sedang berada dalam keadaan yang sangat marah kerana anak kesayangannya yang bernama Khalil teah mati dibunuh. Bila dia ternampak aku dia terus sahaja meluru kepada ku kerana mengetahui akulah yang telah membunuh anak kesayangannya itu. Adik perempuan ku yang ada bersama pada saat itu diserang ketakutan lantas lari lentang pukang meninggalkan ku. Aku turut menjadi cemas dan gementar lalu turun dari tingkat atas sambil berundur menuruni anak-anak tangga sambil mengawasi Awang Ghafar yang matanya berkilau dan bersinar mahu menyerang ku. Bila sampai di bawah aku tidak berundur lagi.Aku menanti ketibaan Awang Ghafar.Tapi anehnya dia tidak pula menyerang ku. Cuma matanya sahaja yang bersinar dan memancar-mancar)
Awang Ghafar ialah jiran di sebelah kanan rumah ayah ku.K ami memang tahu dia ada membela hantu raya dan entah apa-apa lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan