03 Julai 2010

52. Tali Pinggang Merah.

Tok telah menjanjikan akan memberikan kepada kami setiap seorang satu ayat/azimat benteng diri yang pelbagai guna.

Yim telah memilikinya.

Ianya boleh dibawa untuk berperang dan bila dipakai akan memiliki kehebatan yang hanya diketahui dan dirasai oleh pemakainya. Dikatakan peluru tidak akan mengenai kami yang memakainya.Begitulah juga senjata-senjata lain tidak akan singgah ke badan kami.

Bila memakainya kami juga akan terdinding dari semua serangan sihir. Kalau kami telah terkena sihir ianya boleh dijadikan penawar bagi melumpukan sihir tersebut apabila dipakai. Hantu, syaitan, pontianak,jin, polong, pelesit dan apa-apa jua makhluk yang jahat tidak akan berani mendekati dan mengganggu kami apabila kami memakainya.

Bila ayat berkenaan diberikan kepada kami, kami perlu menjadikannya seperti tali pinggang yang dibaluti dengan kain bewarna merah. Ayat berkenaan perlu dibalut dengan plastik terlebih dahulu dan selepas itu baharulah dimasukkan ke dalam kain merah yang dijahit kemas untuk dijadikan tali pinggang.

Dengan dilapisi oleh plastik, azimat/tali pinggang berkenaan boleh dibawa masuk ke dalam bilik air dan tidak mengapa dipakai walaupun waktu sedang membuang air kecil/besar kalau tidak mahu atau tidak berpeluang menanggalkannya.

Tok Serban Hijaulah yang memiliki ayat ini dan dialah yang akan menyediakan untuk kami semua. Untuk mendapatkannya, Yim telah diminta supaya pergi ke satu tempat, dan di sana Yim akan bertemu dengan Serban Hijau yang akan menyerahkan kepadanya.

(Ada laluan-laluan tertentu di seluruh negara yang menjadi bagaikan lebuh perjalanan dato-dato panglima.Pada jalan-jalan tersebut Yim boleh bertemu dengan mereka untuk menerima apa-apa yang dijanjikan)

Yim pergi pada sebelah siangnya seperti diarahkan dan menerimanya. Ada empat kesemuanya. Pada malamnya Tok Serban Hijau datang untuk merasmikan pemberian tersebut. Ada beberapa pesanan dan syarat yang diberikan. Antara yang dipesan ialah jangan dilangkahi kerana apa yang tertulis di dalamnya adalah ayat-ayat suci al Quran. Tali pinggang tersebut perlu sentiasa di letak di tempat yang tinggi. Pada setiap malam Jumaat perlu dibaca al Fatehah dan Qulhu dan perasapkan dengan keminyan.

Selepas Tok Serban Hijau balik, Laksamana Hang Tuah pula datang. Tidak banyak bual-bicara selain Hang Tuah juga menjanjikan pemberiannya bila sampai masanya.Hang Tuah tiba-tiba menyatakan hasratnya untuk melihat pemberian dari Tok Serban Hijau. Aku lantas menghulurkan milik ku yang berada dalam lipatan kertas selebar satu inci dan panjangnya kira-kira enam inci.

Aku tiba-tiba berasa cukup gementar apabila Laksamana Hang Tuah mahu membuka lipatannya kerana Tok Serban Hijau memberi pesanan tadi.

`Jangan sesiapa membukanya’.

`Kenapa?’, aku bertanya

`Buta;’, tok menjawab segera.`Sesiapa yang cuba membukanya nescaya matanya akan menjadi buta.

Aku lantas menghalang HangTuah yang mahu membukanya.

`Tok Serban Hijau kata, tak boleh buka, tok.Nanti buta...’

Laksamana Hang Tuah mengangguk. Tapi aku tahu tok memang meminta izin terlebih dahulu.Bila lipatan telah dibuka terhamparlah satu tulisan jawi yang tersangat indah tulisannya. Ada rajah berpetak-petak berbentuk empat segi, bulat dan tiga segi. Ada simbul-simbul yang aku tidak fahami. Aku pernah terlihat rajah-rajah dan bentuk-bentuk persis demikian di dalam kitab Tajul Muluk. Semua tulisan al Quran dan rajah-rajah berwarna merah semuanya.

Mata ku terasa sakit dan panas bila melihatnya. Demikian juga rakan-rakan ku.Sekejap sahaja kami melihatnya. Tidak lama kemudian Laksamana Hang Tuah menutupnya kembali.

`Tak boleh lama’, tok berkata.`Pening..’

`Cucu pun....’, kami berkata serentak.

Dan kami rasa sungguh bersyukur mendapat kurniaan yang sangat bernilai itu.

Sewaktu Yim memegang badan Saedah Mushtari untuk memberikan rawatan, Yim terlupa memakai tali pnggang merahnya dan barangkali itulah sebabnya dia menerima bencana dari Orang Payang dan Tok Bomoh Penggerang.

(Kesah tali pinggang merah ini ada saya sentuh dalam kesah RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA pada bab 4 di bawah tajuk QURAN CACAT. Orang tua yang sakit dalam kesah tersebut telah sembuh dan mendapat beberapa amanat istimewa dari orang-orang yang menziarahi di dalam mimpinya)

Saya tidak pasti apakah sumpah Serban Hijau benar-benar berlaku kalau membuka tanpa keizinannya. Namun demikian, kepada sesiapa yang menyukai resiko, kalau ada sesiapa yang berani mahu cuba membukanya munkin boleh saya izinkan. Tali pinggang tersebut adalah antara koleksi barang-barang antik dalam koleksi saya)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan