19 Julai 2010

56. Mengesan Jejak Pahlawan.

`Pakai tali pinggang merah supaya kalau berlaku apa-apa dalam perjalanan biar cucu semua terbang nanti’, begitu pesan tok malam tadi.

`Dan jangan lupa zikir sepanjang masa’, tok menambah kata.

Kami dalam perjalanan sekarang.

Kami menyusuri jalan Pantai Timur Tanah Melayu - dari Pekan menghala ke Rompin dan terus ke Mersing dan Kota Tinggi untuk mengesan jejak panglima di bahagian selatan.

Sewaktu perjalanan dari Pekan ke Rompin, Wan yang aku tidak pasti sehebat mana kecekapannya memandu, telah mengambil selekoh dengan begitu laju. Kereta kami tiba-tiba bagaikan hilang pertimbangan kerana kedua-dua tayar di sebelah kanan terangkat.Kami dapat merasakannya.

Tapi aku tidak pula terasa cemas. Entahlah. Entah mengapa. Agaknya kerana keyakinan memakai tali pinggang merah. Selain dari itu, perjalanan kami memang diiringi. Ramai panglima berterbangan bersama kami – bersiap-siaga mengawasi kami. Begitulah kata Yim kerana dia dapat melihat kehadiran dato-dato panglima.

Di Kota Tinggi Yim meminta kami berhenti sebentar di suatu kawasan yang ada sebuah pintu gerbang lama. Tempat tersebut telah penuh dengan semak-samun. Tapi tidak ada makam yang hendak diziarahi. Yim cuma memberitahu di tempat inilah letaknya sejarah Panglima Alang Daik.Kami merakamkan kenangan di situ.

Di JB kami tiba menjelang malam dan menginap di sebuah hotel menghadap ke Pantai Lido.Pulau Singapura terbentang di hadapan.Tidak ada perbualan pada malam itu.Tok pun tak datang kerana menyedari kami semua kepenatan.

Pada keesokan harinya kami dengan menjadikan Dol sebagai pemandu pelancong, kerana dia pernah bekerja di Singapura, mengambil jalan-jalan pintas untuk sampai ke makam Tuan Syed Nuh.Di makam Tok Syed Nuh kami menghadiahkan al Fatehah dan Qulhu. Sewaktu sedang asyek mendengar informasi mengenai beberapa kesah ajaib mengenai makam itu yang diterangkan oleh penjaga makam, Yim tiba-tiba berkata.

`Engkau nak minta apa, Mal?’

`Minta?', aku tercengang.`Minta apa?’

Aku memang tidak faham. Tapi sebelum ini memang pernah aku dengar, apabila menziarahi makam-makam yang mulia dan suci, makam para wali Allah umpamanya, kita dibolehkan memohon keberkatan.

`Minta apa-apalah!’, Yim berkata seterusnya.

`Siapa yang suruh?’

`Dialah!’

`Siapa?’

`Toklah!

`Tok Syed Nuh?’

Yim mengangguk.

`Dia ada?’

`Ada!’

Aku terkagum kerana orang yang kami ziahari dan menghadiahkan ayat-ayat suci sebentar tadi, meminta aku menyatakan hajat. Aku tak sempat berfikir lama.Spontan aku menjawab.

`Makrifatullah! Ketajaman makrifah’

Yim lantas beredar untuk bertanya kepada rakan-rakan yang lain pula.

Pada malamnya Tok Syed Nuh datang bersembang-sembang dengan kami di hotel mengenai pelbagai perkara.Pada ketika itu ada ura-ura makamnya akan dialih atau dirobohkan oleh Kerajaan Singapura.Tapi tok tidaklah memberikan komen apa-apa. Cuma dia mengharapkan usaha itu tidak menjadi kenyataan.

Dari Singapura kami bertolak ke Melaka dan terus ke Pulau Besar dengan menaiki bot tambang di Umbai. Di Pulau Besar kami menziarahi makam Sultanul Auliya Sheikh Ariffin dan makam-makam purba yang lain. Pada malamnya Panglima Puteh sampai.Bila kesah ura-ura merobohkan makam Syed Nuh kami bincangkan dengan Panglima Puteh yang makamnya terletak di Pulau Besar, dia memberitahu Singapura akan mendapat bencana kalau niat ini diteruskan. Walau bagaimanapun menurutnya, dato-dato semua sedang mengusahakan supaya rancangan ini akan gagal.

Keesokan harinya pada sebelah pagi sehingga menjelang tengahari kami menggeledah di pulau mistri yang dikunjungi oleh pencari-pencari mistik itu. Pada sebelah petang baharulah kami berkesempatan menziarahi makam Panglima Puteh.Makamnya begitu panjang dan itulah pertama kali aku melihat kubur yang begitu panjang. Batu nesannya dibalut dengan kain kuning sebagaimana kebanyakan makam-makam yang lain juga. Sampai sekarang aku tidak pasti kenapa penghormatan dan anggapan kemuliaan dilakukan sedemikian rupa kepada tokoh-tokoh yang dianggap mulia? Aku juga tertanya-tanya siapa-siapakah pula yang melakukannya dan untuk apa? Kami menghadiahkan al Fatehah kepada roh Panglima Puteh dan sekalian aruah di perkuburan di situ.

Ketika akan meninggalkan makam tersebut, Yim tiba-tiba bersuara.

`Balik dulu’

Aku lantas bertanya Yim.

`Engkau bercakap dengan siapa?’

`Tok’

`Dia ada?’

`Ada’

Lantas aku mengucapkan ucapan yang sama seperti Yim walaupun aku tidak melihatnya.

Di Melaka kami menziarahi Makam Hang Kasturi dan Hang Jebat.Hang Jebat hadir bersama dan kami merakamkan sesi bergambar bersamanya. Sesiapa yang bermata `tajam’ tentu dapat melihat tubuh Yim adalah Hang Jebat dalam gambar itu. Kemudian kami pergi sebentar ke Telaga Hang Tuah. Kami membawa pulang airnya kerana menurut tok, selain air zam-zam, air telaga Hang Tuah juga sangat besar khasiatnya untuk tujuan perubatan.Begitu juga air telaga Mahsuri di Langkawi.Kedua-dua telaga ini dikatakan airnya tidak pernah kering walaupun semua telaga lain telah kering dimusim kemarau yang pernah melanda negara sebelum ini.

Selepas itu kami terus bertolak pulang ke Raub.

Menurut cadangan tok, selepas ini, kami akan melakukan trip ke Utara dan Pantai Timur pula untuk mengesan jejak pahlawan silam di sebelah sana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan