16 Ogos 2010

64. Selamat Pengantin Baru.

Jodoh Yim dan Emi akhirnya tiba juga. Emi menyahut cinta Yim tapi yang sebenarnya, kamilah yang begitu bersungguh-sungguh mengharapkan terjadinya demikian demi matlamat mewarisi kesinambungan persilatan Melayu pakaian panglima dan demi Tahun 1980, kalau berlaku perang.

Di rumah ayah Emi sekarang. Di Slim Village, Slim River. Malam. Jam 9.00 malam

Ada tetamu yang tidak diduga datang.Tidak juga diundang.Seorang lelaki dalam usia awal empat puluhan. Sederhana sahaja tubuhnya, bermisai tebal dan berkulit hitam.Dia tentunya mempunyai hubungan yang agak rapat dengan keluarga ini – mungkin juga waris terdekat, kerana keramahan, kemesraan dan kelantangan bicaranya.

`Ada orang bersilat pengantin nak bagi malu kawan!’, lelaki itu meneruskan bicaranya yang lantang itu. Bicaranya seperti tadi juga - begitu sinis untuk didengar. Kami – aku, Yim,Wan, Piei dan Dol terpaksa menahan telinga.

`Silat depan pengantin sepatutnya bukan silat mahu bergaduh. Silat depan pengantin ialah silat persembahan yang lemah-lembut rentaknya. Ini tidak! Sesetengah silat itu bagaikan mahu bergaduh. Bagaikan nak tunjuk handal, nak bagi malu kawan!’

Dia berkata lagi. Kata-katanya itu memang ditujukan kepada pasangan silat aku dengan Wan.Silat aku dengan Wan memang dilangsungkan dalam keadaan yang keras dan penuh ketegangan.Malam sebelum kami ke Slim Village kami berempat telah terlebih dahulu ditaklimatkan oleh tok.Tok memberi pesanan-pesanan tertentu.Untuk aku dengan Wan, tok meminta kami berdua memohon pergerakan silat yaang ganas dan cekang secekang-cekangnya. Ada beberapa bacaan tertentu diminta oleh tok, dibaca di tepi gelanggang sebelum memulakan pencak pengantin iaitu selawat, fatehah dan qulhu. Semua ini bermaksud untuk memastikan silat dapat dipencakkan dalam bentuk yang kemas kerana kami berempat pada waktu itu belum begitu mantap lagi pergerakannya.

Persilatan aku dengan Wan memang hebat. Setelah kami selesai membuka langkah sembah, bila kami masuk sahaja ke gelanggang,Wan bagaikan tidak sabar membuka pencak pertarungannya. Aku yang menggunakan silat Hang Tuah, terus menjadi berangsang dan kami terus bertempur.

Itulah pengalaman pertama bagi ku menggunakan persilatan yang cukup luar biasa – silat rohani.Wan aku dapati tersangat luar biasa persembahannya.Dia menyerang dengan sangat hebat dan tangkas sehingga sangat berkuasa menguasai suasana, sehingga aku samasekali tersekat untuk mara ke hadapan lalu sentiasa terpaksa bersikap defensif - berundur untuk menahan asakannya yang bagaikan amukan seekor gajah yang naik minyak.Dalam berundur mempertahankan diri itulah aku terdengar jeritan:

`Lari budak-budak! Lari! Lari!’

Di hujung telinga – sayup-sayup – terdengar lagi suara.

`Undur budak-budak! Undur!`

Dan memang ada keributan dan keriuhan.Dan dalam kehebatan berundur itu, aku tiba-tiba dapat merasakan rusuk kiri ku telah terkena satu sepakan yang kuat. Aku memang tersentak dengan serangan yang teramat dahsyat itu sedangkan latihan pada malam tadi, Wan ternyata dapat aku tundukkan. Aku masih teringat ada dua libasan kaki kanan ku mengenai tepat bahagian kiri mukanya. Tapi kenapa pula pada kali ini Wan terlalu hebat? Persilatan siapa yang dibukanya?

`Saya pernah tengok satu silat pengantin Wak’, lelaki itu berbicara lagi dengan suara lantang seperti tadi juga. Ayah Emi memang orang Jawa yang cakap Jawanya memang masih pekat.

`Saya ternanti-nanti, bila nak mula bersilat.Langkah sembahnya cantik. Tari pencaknya cantik juga, tapi bila bertemu lawan, dia asyek mengguling-gulingkan dirinya’

Wajahnya penuh sindiran kepada Piei.

`Saya ternanti-nanti bila nak bertukar buah serangan. Asyek menari sahaja. Bila dekat dengan lawan, dia berguling. Bila berdekatan dengan lawan dia berguling. Kalau melihat tarinya, hebat benarlah. Bagikan tak sanggup lawan merapatinya’

Aku dapat melihat wajah Piei kemerah-merahan.

`Wak tahu apa jadi?’, dia tiba-tiba bertanya kepada Wak .Wak memerhatinya dengan rasa ingin tahu.

`Asyek berguling, berguling, akhirnya sampai ke dalam lembah’

Dan meledaklah ketawanya.

`Bila dia bangun, badanya basah oleh air lembah’

`Busuk melantunglah jadinya!’, Wak bersuara.

`Baru padan dengan muka dia!’

Dan diikuti oleh ketawa mengelekek olehnya dan Wak.Piei berwajah makin memerah.Yim yang sejak sedari tadi sekadar menundukkan wajahnya dan tidak berkata apa-apa bagaikan tidak mendengar, aku dapati beredar perlahan-lahan menuruni tagga rumah meninggalkan suasana.

Aku, Wan,Piei dan Dol melihat Yim meninggalkan suasana di antara kami. Aku tidak tahu kenapa. Tapi kami berempat terus tinggal dalam suasana itu mendengar lelaki itu berterusan mempersendakan persilatan yang kami persembahkan pada tengahari tadi sewaktu persandingan Yim dengan Emi. Entahlah. Aku tidak tahu perasaan ku samada marah, malu atau terhina dengan sindiran yang bertalu-talu itu.

Memang aku pun hairan kenapa Piei sewaktu bersilat dengan Dol, persembahannya tidak seperti sewaktu latihan pada malam sebelumnya. Malam sebelumnya dia bersilat dengan agak kemas bersaingan dengan Dol, tapi bila persembahan di majlis silat pengantin, dia asyek berguling sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan