11 Ogos 2010

62. Kesah Dengan Tok Bomoh Umar

Tok Bomoh Umar mempunyai hubungan yang agak akrab dengan kedua-dua ayah dan ibu ku.Sejak sedari kecil lagi aku telah kenal tok bomoh ini kerana dia selalu datang ke rumah ku. Bila ibu atau keluarga di rumah ku sakit, kadang-kadang dialah yang dipanggil untuk berubat.
Cara perubatannya berbeza dengan orang lain kerana dia menggunakan jin. Dalam istilah tempatan dipanggil Berubat Berjin.Sebelum jin dipanggil, tok bomoh ini akan mengusapkan seluruh tubuhnya dengan asap keminyan sambil membaca mentera-mentera tertentu. Kemudian dia menyelubungkan dirinya dengan sehelai kain batik untuk menutup mukanya. Dalam asap keminyan yang berkepul-kepul itulah tubuhnya akan diresapi oleh jin.
Tanda jin sudah tiba ialah dengan nyanyian atau bunyi-bunyi tertentu. Lenggok tubuh pun berubah iaitu akan bergoyang-goyang perlahan. Tok bomoh Umar terkenal dengan perangai jahatnya iaitu apabila berlaku sengketa dengan sesiapa dia mudah sahaja menggunakan senjata yang amat ditakuti oleh semua iaitu tuju. Bila musuhnya kena tuju biasanya akan membawa maut.
(Tuju ialah serangan secara ghaib iaitu tembakan dari jarak jauh dengan jarum atau paku atau garam.Orang yang tidak mengamalkan pendinding atau pelimun diri akan dapat dituju)
Apabila tubuhnya diresapi jin, kadang-kadang dalam berinteraksi ada istilah-istilah yang tidak dapat difahami oleh semua orang. Cuma orang yang rapat dan selalu berdampingan dengan jin-jin tersebut sewaktu melakukan perubatan dapat memahaminya. Selain memahami bahasa/istilah jin, orang tersebut perlu juga tahu bagaimana memberhentikan jin yang meresapi tubuh Tok Bomoh Umar apabila bercakap yang bukan-bukan atau meminta yang bukan-bukan. Bila dia meminta yang bukan-bukan atau bercakap merepek tak ketahuan,untuk memaksanya meneruskan perubatan, berikanlah kepadanya naskah al Quran atau surat Yassin.Bila tersentuh dengan naskah ayat-ayat suci tersebut, jin akan terus menggigil dan bergetaran dan bertempik `kurrrrr!!!’, dan selepas itu dia akan meneruskan perubatan.
Pada waktu itu aruah ayah ku menjadi penjaga kedai syarikat di kampung ku.Oleh sebab itu Tok Bomoh Umar yang juga salah seorang pemegang saham, selalulah datang ke rumah ku untuk membeli barang-barang keperluan.Oleh kerana jarak kampung ku dengan kampungnya agak jauh – lebih kurang 7 kilometer – dan sistem pengangkutan yang tidak ada selain dengan berjalan kaki atau berperahu, selalulah Tok Bomoh Umar bermalam di rumah ku. Ini menjadikan hubungan keluarga ku dengannya menjadi lebih erat berbanding sewaktu aku masih kecil dahulu. Lantaran itu aku dengan Tok Bomoh Umar menjadi mesra.
Sambil berbual-bual dia bertanya pada ku mengenai hal-hal kerja ku yang mengajar di SMJK(c) Chung Ching, Raub.
`Awak mengajar di sekolah Cina, tak takutkah Kama?’ ( Pada waktu itu Raub adalah kawasan black area dan hubungan kaum Cina-Melayu belum begitu baik. Maklumlah tahun 1977/78 iaitu cuma beberapa tahun sahaja selepas Tragedi 13 Mei 1969 – hubungan kaum masih belum begitu baik.Orang-orang Cina di sana masih lagi dipengaruhi oleh fahaman kuminis)
`Tak!’, aku menjawab dengan tegas.` Kita tak buat salah buat apa takut?’
`Anak-anak murid tak nakal?’
`Nakal dan tak mendengar kata!’, jawab ku.Lantas akan menceritakan kesah bagaimana seorang guru bernama Cikgu Aminullah yang mengajar Bahasa Melayu – pada ketika itu berusia 40 tahun – benjol dahinya ditumbuk oleh seorang anak muridnya. Aku terangkan juga kepadanya kesah yang diceritakan kepada ku mengenai cikgu-cikgu Melayu yang perempuan kadang-kadang dipeluk dari belakang oleh murid-murid sewaktu menulis di papan hitam.
`Habis kalau nakal seperti itu awak buat bagaimana?’
`Kalau sudah tak tahan sabar, kena lempanglah’, aku menjawab dengan jujur.
`Nanti mak bapak dia marah?’
`Kalau bapak dia datang, lagi bagus’, aku bergurau.
`Kenapa?’
`Lempang bapak dia pulak!’, aku terus bergurau.Tok Bomoh Umar memandang ku dengan muka berkerut dan tajam. Dia nampaknya bagaikan terkejut. Dia nampaknya tidak faham bahawa aku sebenarnya bergurau.
`Kalau lempang anak, tak padan lawan.Lempak bapaknya baru sesuai’, aku terus bergurau sambil ketawa. Tok Bomoh Umar tak mahu ketawa. Dia bagaikan tidak faham bahawa aku sedang bergurau dengannya.
`He! Jangan main-main!’, dia bernada tegas.Dia terus-menerus merenung ku dengan tajam. Tak berkerdip matanya. Tiba-tiba dia berkata dengan tegas.
`Mari bawak tangan ke sini! Nak tengok?’
`Tangan?’, aku tidak mengerti.
`Hulur tangan itu ke sini!’
Aku dengan jujur menghulurkan tangan kanan ku. Aku tidak berperasangka apa-apa terhadapnya kerana hubungan yang akrab dengannya. Lagipun dia menganggap aku dan adik-beradik ku bagaikan anak-anak atau adik-adiknya sendiri. Tok Bomoh Umar lantas memegang dengan kedua-dua belah tangannya, tangan kanan ku.Dia memicit-micit tapak tangan ku. Kemudian dia meminta tangan yang kiri. Aku menghulurkan. Dia melakukan seperti tadi juga.Memicit-micit. Aku tidak mengerti maksudnya. Sejurus kemudian dia memandangkan ku dengan wajah takjub dan berkata sambil tangan ku masih dipicit-picit dan diurut-urut juga.
`Patutlah....’, dia bersuara sepatah dan tangan ku terus di picit-picit.
`Awak ini banyak betul pembisa’, katanya lagi. Aku tiba-tiba terpegun
Dan tangan ku terus dipicit-picit lagi.
`Tengok ini’, dia berkata seterusnya.Aku melihat kepada tangan ku yang masih di picitnya. Tapi aku tidak mengerti apa-apa.
`Hooo...Banyak!Banyak! Bermacam-macam jenis pembisa. Pendinding pun banyak’
Sejurus dia begitu dan kemudian dia meletakkan tangan ku.
`Patutlah awak berani. Penuh dengan pembisa’, dan dia merenung mata ku pula.
`Orang nak tuju pun, payah kena.Tinggi ilmu awak ini...Tinggi...’
Aku terkebil-kebil. Tapi aku faham maksudnya.Aku telah menerima ijazah dari Panglima Hitam yang bererti seluruh ilmu Panglima Hitam telah menjadi pakaian ku.
`Awak tinggi pada Ayah Cik lagi’, dia membandingkan dia dengan diri ku.`Cuma Ayah Cik darjat tua’.
Sebulan selepas menerima ijazah dari Panglima Hitam, baharulah aku dan rakan-rakan menerima ijazah dari Hang Tuah. Selepas menerima ijazah dari Hang Tuah aku berkesempatan balik ke kampung dan kebetulan Tok Bomoh Umar datang ke rumah ku. Dia tiba-tiba meminta untuk melihat tangan ku lagi seperti dahulu. Oleh kemesraan yang terjalin di antara kami, aku membiarkan tangan ku dianalisisnya lagi. Aku pun seronok juga mahu mengetahui apakah hal-hal yang boleh ditekanya setelah menerima ijazah dari Hang Tuah pula.
`Wah! Bertambah pulak’, Tok Bomoh Umar terkejut dan dia terus membelek-belek tangan ku seperti dahulu.`Bertambah lagi! Banyaknya....Bisa-bisa belaka....’
Aku sekadar tersenyum.
Sebulan selepas menerima ijzah Hang Tuah, kami menerima pula ijazah dari Hang Jebat. Kemudian silat saudara-saudaranya begitulah seorang demi seorang. Lepas itu menerima pula ijazah dari panglima-panglima yang lain - pagi seorang, petang seorang dan malam seorang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan