10 Ogos 2010

61. Yassin Ganti Hamdi.

Yim sedang lena dimuka pintu. Baring di atas lantai papan tanpa tikar. Begitulah kami orang-orang bujang di rumah hijau. Bila penat kadang-kadang boleh lelap begitu sahaja di atas lantai.

Aku juga sedang berbaringan tapi sudah terjaga. Tiba-tiba telinga ku terdengar sebuah motosikal tiba. Bunyi enginnya telah aku kenali Bunyi engin Yamaha 125 cc sudah pasti Yassin yang sampai. Yassin juga adalah seorang cikgu.Tapi dia mengajar di kampungnya sendiri iaitu Ulu Dong. Yassin adalah di antara rakan-rakan yang memang mesra dengan kami dan acapkali datang bersembang. Bila dia pergi ke bandar Raub dia pasti singgah di rumah kami pada masa perjalanan balik ke rumahnya di Pamah Kulat.

Entah kenapa Yassin yang sampai di muka pintu tiba-tiba menyergah Yim yang masih lena. Dia menepuk punggung Yim sambil menyergah

`Apa tidur..di mukaa pintuuuu...nnn niiii....!!’

Belum pun habis dengan sempurna kata-katanya, Yassin menjadi sangat terkejut, bilamana kaki Yim tiba-tiba membentuk satu lengkaran libasan kilat betul-betul hampir menyentuh pipi kiri Yassin. Cuma selapis tipis kulit bawang sahaja memisahkan pipinya dengan libasan maut itu.

`Lain kali jangan buat macam ni!’, Yim yang sedang dalam pencak serangan mengingatkan.Ternyata dia betul-betul lena hingga tidak menyedari ketibaan Yassin yang sempat menggurauinya.

Pucat lesi wajah Yassin mendapat ancaman yang tidak diduga itu. Masuklah Yassin ke dalam rumah dengan wajahnya yang masih pucat.

`Engkau datang dari mana?’, Yim menyapa ramah.

`Dari bandar’

`Lain kali jangan bergurau begitu’, Yim memberikan pesanan

`Aku tak sangka pula begitu...Macam Dicky Dzzulkarnaen pula’, kata Yassin dalam ketawar hambar menyembunyikan keterkejutannya merujuk kepada seorang aktor persilatan dalam filem-filem seni pertarungan Indonesia pada era 1970an.

Setelah bersembang hal-hal biasa, Yassin lalu membuka hasratnya.

`Aku tahu engkau orang memang bersilat di dalam rumah’..

`Macam mana engkau tahu?’, aku bertanya.

`Aku dengar sendiri. Aku dengar bunyi yang gamat di dalam rumah. Aku berhenti di tepi jalan pada malam-malam minggu. Aku tahu engkau orang tengah bersilat’

`Dengarkah?’

`Dengar...’

Aku dengan Yim berpandangan sesama sendiri.

`Tapi kalau boleh aku pun nak ikut sama’, Yassin bagaikan merayu.

Patutlah pada beberapa kali malam-malam minggu pada masa yang lalu, Yassin telah menyebabkan kami tidak dapat berlatih. Beberapa kali dia datang pada waktu Maghrib dan hampir 12.00 malam baru dia pulang. Rupa-rupaya dia memang sengaja menanti kami memulakan latihan. Tapi kami tidak akan berlatih selagi ada orang lain. Silat kami adalah silat rahsia. Kami tidak mahu diketahui oleh sesiapa jua.

Aku tidak pasti apakah Yassin boleh diterima untuk berpencak, tapi Yim telah memberikan motivasi kepadanya dengan memberikan beberapa maklumat yang kian menarik minat Yassin. Sambil bercerita itu Yassin memang sungguh terkejut sehingga menjadi bulat matanya melihat Yim membuat demonstrasi dua kali libasan kepada tiang rumah yang berbentuk empat persegi. Bunyi libasan kakinya kepada tiang kayu bersegi itu memang hebat, sedangkan kakinya tidak jadi apa-apa.Ternyata dia tidak samasekali merasa sakit.

`Silat ini bukan untuk gurauan’,Yim berkata.

Yassin masih bagaikan tidak mempercayai penglihatan matanya kepada aksi Yim sebentar tadi.

Dan bila perkara ini dirujuk kepada tok, tok nampaknya bersetuju menerima Yassin sebagai cucunya. Tapi tidaklah pada taraf persilatan kami. Dia diberi Silat Tapak 4 sahaja.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan