03 Oktober 2009

27.

BATU PURBA KOTA GELANGGI.

Sejak perbualan panjang lebar di rumahku tempoh hari, aku menjadi cukup akrab dengan Norizan. Aku diserahkannya beberapa ayat untuk diamalkan bagi membolehkan Puteri Mahsuri dan suaminya menzahirkan diri mereka di hadapanku. Ayat-ayat tersebut adalah ayat yang diberikan oleh Puteri Mahsuri kepada Norizan untuk aku amalkan.
Semakin lama, kami menjadi semakin akrab, lebih-lebih lagi apabila Norizan memberitahuku fungsinya adalah membantuku sehingga semuanya menjadi kenyataan.
`Saya hanya bantu Cikgu sahaja’, dia menjelaskan.`Tapi sungguhpun begitu, bila berlaku peperangan, saya pun akan berperang juga’.
Aku kehairanan dengan penerangannya itu. Bagaimana pemuda cacat ini mahu berperang sedangkan berjalan pun mengeliat?
`Saya pun pandai bersilat juga’, dia meyakinkanku bila aku menampakkan keraguan.
`Awak belajar dengan siapa?’
`Dengan Panglima Hijau’.
`Panglima Hijau di Gunung Jerai?’
`Ya! Cikgu kenal dia?’
Aku tidak menjawab.Bila aku tidak menjawab, Norizan tiba-tiba ketawa mengelekek seperti selalunya. Aku bagaikan dapat mengesan tertawanya penuh dengan makna kerahsiaan.
Suatu hari kami berjalan di bandar untuk satu keperluan. Norizan membawa aku berjalan sehingga sampai ke sebuah gerai yang menjual buah-buahan. Norizan tiba-tiba kulihat menyapa seorang penjual buah – seorang wanita. Bagaikan mereka sudah lama berkenalan sebelum ini. Aku tidak mencampuri urusan mereka. Sebelum kami beredar pergi, tiba-tiba perempuan itu mendekatiku. Dia memberitahuku.
`Saya hairan dengan dia ini’.
`Kenapa?’, aku bertanya.
`Bagaimana dia tahu rahsia saya?’
`Rahsia? Rahsia apa?’, aku cuba mencungkil
`Rahsia pencak’
`Rahsia pencak?’
`Saya pernah dibawa melalui mimpi ke Gunung Jerai. Saya diajar bersilat’, perempuan itu menerangkan rahsianya. `Yang menghairankan saya, bagaimana dia tahu saya belajar bersilat di Gunung Jerai?’.
Aku untuk kesekian kalinya menjadi takjub dengan Norizan yang boleh mengetahui rahsia seseorang. Aku cuba mencungkil lebih jauh, lalu aku bertanya kepada perempuan penjual buah yang dalam lengkongan usia awal empat puluhan itu.
`Sejak bila awak kenal Norizan?’
`Baru beberapa bulan kebelakangan ini’, wanita itu menjawab.`Dia bukan sahaja kenal saya, tapi dia tahu juga saya tinggal di mana’
Maklumat yang diberikan oleh penjual buah-buahan itu menjadikan aku semakin tertarik untuk mengetahui rahsia dirinya. Lalu akan mengemukakan beberapa soalan. Norizan di sebelahku berdiri memerhatikan kami sambil tersenyum-senyum.Perempuan itu memberitahuku, bahawa pada usia dia di sekitar dua puluhan dahulu, dia memang memperolehi seni pencak melalui mimpi. Tapi itu adalah rahsia dirinya yang tidak dipecahkan kepada sesiapa jua. Dia belajar dari Panglima Hijau dan beberapa orang panglima yang lain sehingga tamat. Dia tidak tahu di mana lokasi yang tepat tempat dia belajar, tetapi yang dia pasti ialah di Gunung Jerai.Bila menyebut Gunung Jerai dan Panglima Hijau aku menjadi semakin faham mengenai rangkaian pertalian persilatan mereka berdua dan perkaitan dengan aku sendiri juga.
Sejak menyakini Norizan adalah pembantuku, aku sering membawanya ke sana ke mari terutama untuk urusan mendapatkan Quran lama yang diperintah oleh Tok Lat.Aku perlu mendapatkan Quran tersebut kerana selagi belum mendapatnya, selagi itulah aku tidak boleh menerima ilmu Tok Lat.

Atas urusan ini, aku telah diperkenalkan oleh Norizan dengan ramai lagi ahli-ahli Tasauf. Aku hairan memikirkan bagaimana dia yang hanya duduk memerap di pusat latihan orang-orang cacat di Sungai Serampang, tiba-tiba boleh tahu dan ingat dengan begitu jelas semua jalan, lorong dan simpang kanan dan kiri, menuju ke rumah orang-orang berkenaan dengan tidak silap samasekali. Bukan hanya di satu tempat, tetapi di beberapa tempat yang berbeza-beza. Di antaranya terletak di kawasan-kawasan perumahan yang aku sendiri pun tidak pernah pergi. Tapi kenapa dia begitu mudah mencarinya tanpa tersasul?
Aku hairan juga kerana Norizan bukan sahaja kenal, tapi cukup mesra dengan mereka semua. Bukan dengan si suaminya sahaja, tetapi bahkan dengan isteri dan anak-anak mereka. Bagaikan dia telah acapkali benar menziarahi mereka. Kalau benar, bila dan bagaimana? Bila dia pergi? Bagaimana dia pergi dan dengan siapa? Sedangkan Norizan adalah pemuda cacat, seorang penghuni cacat di sebuah pusat pemulihan orang-orang cacat yang keluar-masuknya bukanlah begitu bebas? Hairan!
Salah seorang kenalan Tasauf yang cukup mesra dengan Norizan ialah Abang Usop. Dalam usaha mendapatkan naskah Quran cetakan lama tersebut, pada suatu ketika musim banjir, aku pernah mengharungi jalan yang ampuh oleh air banjir sedalam satu hingga dua kaki, mengharung dengan kereta sejauh kira-kira 500 meter untuk sampai ke Tanjung Perak kerana dijangka pada Abang Usop ada Quran lama. Abang Usop mendakwa dia adalah titisan darah pahlawan Dato Bahaman. Aku mendapati Norizan sudah teramat akrab dengan keluarga Abang Usop, dan mereka anak-beranak sangat meraikan ketibaannya.
Terpegun juga aku melihat sambutan mesra yang mereka berikan terhadapnya.
Pada Abang Usop, Norizan mencadangkan supaya aku bertanyakan suatu makna dari mimpiku berkaitan dengan peristiwa dengan Tok Lat. Mimpi tersebut tidak kubukakan kepada Tok Lat. Norizan telah mentafsirkannya, tetapi dia mencadangkan supaya aku bertanya kepada Abang Usop kerana dia lebih tinggi Tasaufnya.Ditafsirkan oleh Abang Usop bahawa dari Tok Lat aku memang bertuah kerana akan memperolehi dua bahagian ilmu iaitu ilmu dunia dan ilmu akhirat. Tafsiran Abang Usop menjadikan aku semakin bahagia rasanya berdampingan dengan Tok Lat.
Bila aku menyatakan hasratku untuk mendapatkan Quran lama, ibu Abang Usop tiba-tiba mahu menyelidik mengenai mimpiku.Lalu aku menyebutkan beberapa petua dari mimpi iaitu mengenai kalimah-kalimah tertentu yang tidak tertulis di dalam lembaran. Aku tidak pasti, apakah tujuan dia menyelidik begitu, tetapi pada akhirnya dia berkata:
`Memang Mak Cik pernah mendengar kalimah seperti itu dan letaknya pun memang begitu’, dia meyakinkanku.
`Kami memang ada menyimpan Quran itu’ ibu Pak Usop bekata lagi.`Tapi entah berapa tahun yang lalu, tiba-tiba ada orang datang meminjam. Janji nak pinjam sebentar sahaja, tapi sampai sekarang tidak dipulangkan. Kami pun sudah lupa siapa orangnya’.
Aku cukup kecewa dengan berita itu.
Aku memang keletihan dalam usaha mendapatkan Quran lama tersebut. Aku pernah menggeledah surau di Makam Tegak tidak jauh dari rumah tok kepada isteriku. Pernah juga bertanya kepada beberapa orang pengamal Tasauf lain termasuk Tok Penghulu Malim. Tetapi semuanya menghampakan.
Ajaibnya, Quran yang dicari pada akhirnya aku dapati dari Tok Empat Zanum. Bila aku mendapati hanya Tok Empat Zanum sahajalah yang menyimpan Quran naskah lama tersebut, baharulah aku tahu kenapa nama Tok Empat Zanum selalu disebut-sebutkan oleh Tok Lat di hadapanku beberapa bulan yang lalu. Nama itu sering dibesar-besarkan di hadapanku.Rupa-rupanya adalah untuk membuka ghairah aku supaya pergi ke rumah Tok Empat Zanum dan melaluinya aku dipertemukan pula dengan Norizan yang memang diberikan tugas khusus terhadapku. Begitulah kesimpulanku apabila bagaikan dapat mencium rancangan Tok Lat.
Kesah bagaimana Tok Empat Zanum memperoleh naskah lama itu pun unik juga. Tok Empat Zanum menerangkan, Quran berkenaan sampai ke tangannya melalui suatu alamat yang mengisyaratkan supaya dia pergi ke masjid lama Sungai Serampang. Lantas dia pergi dan memang benar dia mendapati ada naskah Quran berkenaan yang letaknya sedikit tersisih dari naskah-naskah yang lain.
Bila aku menatap naskah Quran itu, membuka lembaran-lembarannya, aku menjadi terpegun juga kerana mendapati Quran tersebut memang memiliki kelainan dari segi grafik dan dekorasinya berbanding dengan Quran cetakan baru. Beberapa huruf dan kalimat tertentu yang banyak juga jumlahnya, dicetak dengan warna merah. Tentulah ada rahsianya di sebalik huruf dan ayat-ayat berwarna merah itu. Begitu juga ada banyak tanda-tanda merah yang dilakar oleh orang-orang yang mentalaahnya sebelum ini, atau oleh Tok Empat Zanum sendiri, pada tempat-tempat tertentu, yang tentunya ada rahsia-rahsia tertentu yang aku tidak ketahui sama sekali.
Pada kulit tebal bahagian dalam yang kosong tertulis tulisan jawi: Laillahailllah: Ahmad Rasul Allah: Allah Tolong Muhammad Tolong. Ada cop Pejabat Agama 14 Wataniah: -/H200 Moyang 15 April 1977.
Ada nama Moyang di situ.Moyangkah yang menjadi pemiliknya? Moyang ialah Tok Gajah! Itu aku sudah pasti.Ertinya Tok Lat telah merancang pertemuan aku dengan Norizan melalui Tok Empat Zanum, untuk mendapatkan Quran cetakan lama milik Moyang melalui Tok Empat Zanum?
Bila Quran lama sudah berada di tanganku, datanglah Tok Lat ke rumahku, lalu meminta aku menghapal sejumlah ayat-ayat tertentu dari naskah tersebut pada lembaran-lembaran tertentu, dan ditambah dengan sebahagian dari ayatnya sendiri. Apabila semua ayat-ayat berkenaan telah diserahkan, maka Tok Lat pun berkata kepadaku:
`Cikgu hafallah ayat-ayat ini dan jadikan wirid lepas sembahyang Subuh dan Maghrib’
`Panjang sangat Tok’, aku bagaikan memprotes kerana wirid yang telah sedia aku amalkan telah agak panjang.
`Jangan campurkan wirid Tok dengan wirid yang lain’
`Maksud Tok?
`Tinggalkan dulu wirid yang lain’
Pada masa yang lain Tok Lat memberikan kenyataan berikut kepadaku bersempena dengan kurniaan ayat-ayat tersebut dan ayat-ayat yang lain sebelum ini:
`Sekarang, ibarat sudah sampai di penghujung jambatan, Cikgu. Sudah suntuk. Sudah, tak boleh nak pergi lagi’
Kenyataan Tok Lat tersebut berpunca daripada kenyataan Tok Ayah Sohor kepadaku yang aku laporkan kepada Tok Lat.
`Awak ini, ayah tengok berada pada maqam keempat atau maqam kelima’
Tok Lat cukup gembira dengan maklumat mengenai makam diriku dari Tok Ayah Sohor itu.
`Cukuplah itu Cikgu’, Tok Lat berkata. `Tok senang dengan makam Cikgu itu.Tok tengok makam Cikgu meningkat dengan baik’
`Apa beza tingkat empat dengan tingkat lima tok?’, aku mahu mencungkil dengan lebih jelas rahsia makam hati dan nafsu yang ada tujuh tingkat kesemuanya.
`Cikgu tak usah berfikir begitu’, Tok Lat bersuara pantas bagaikan membantah.
`Tapi saya mengharapkan, kalau boleh, mahu sampai kepada tingkat ketujuh, tok’, aku bagaikan tidak berpuas hati dengan jawapan Tok Lat itu.
`Tingkat yang di atas akan datang dengan sendirinya, Cikgu’, Tok Lat menerangkan.`Ada orang, ilmunya meningkat, tetapi hatinya tidak meningkat.
Ada pula orang, hatinya meningkat, tapi ilmu pula tidak meningkat. Dia tak dapat ilmu. Tapi bagi Cikgu, tok lihat, sama-sama naik. Hati dan ilmu sama-sama meningkat’
Aku rasa gembira dengan penjelasannya itu, tapi masih juga belum begitu berpuas hati. Tok Lat barangkali menyedarinya, lalu dia berkata lagi.
`Makam empat dan lima, Cikgu, adalah makam untuk hidup bergaul dengan orang ramai.Macam toklah. Tok hidup sebagai orang biasa. Bila kita sampai kepada makam ketujuh, kita akan diberi pilihan samada untuk kekal atau kembali semula kepada makam kempat atau kelima. Tok Ayah Sohor memilih untuk kekal dengan makam keenam dan ketujuh, sebab itulah dia duduk begitu. Tok tak mahu duduk begitu.Tok suka bercampur dan bergaul dengan orang ramai. Sebab itulah tok turun semula kepada makam keempat’.
`Bila turun kepada tingkat empat, adakah turun darjat, tok?’
`Tidak, Cikgu! Makam yang kita telah sampai tetap kekal’.
Aku berpuas hati dengan penerangan dari Tok Lat itu.
Melalui Norizan juga, baharulah aku tahu bahawa selain Tok Lat dan Tok Ayah Sohor ada beberapa nama lagi yang terdiri dari orang-orang yang mati pada martabat makrifat. Di antara mereka ada yang telah aku kenali dan ada juga yang tidak aku kenali. Norizan memberikan cadangan supaya aku mengenali mereka apabila ada kelapangan.
Melalui maklumat Norizan tersebut tahulah juga aku, bahawa sesungguhnya ada satu jumlah yang agak mengejutkan, dari orang-orang yang aku kenali yang telah menempuh mati makrifat. Antara yang disebutkan yang aku kenali dengan rapat ialah Pak Him iaitu kawan karib Tok Lat sejak sekian lama – sejak puluhan tahun!
Termasuk juga Pak Tam yang menjadi bomoh terkenal di Pendang, Kedah. Termasuk juga Haji Abas, pakar membuat sarung parang dan keris. Termasuk juga Anjang suami isteri yang mengajar pencak silat.
Dengan Norizan kami pernah diperintahkan oleh Tok Lat masuk ke Gua Kota Gelangi, Jerantut atas satu tugas khas. Ini ekoran dari satu mimpi berkaitan dengan sebuah mahkota. Kebetulan kami pergi bukan pada waktu lawatan, dan oleh kerana itu tidak ada petugas yang akan membantu kami. Tetapi, dengan tidak diduga, pekerja yang menjaga tempat bersejarah berkenaan, tiba-tiba kasihan kepada kami berdua, lalu bersetuju membenarkan kami. Jadi dapatlah kami berdua menggeledah gua itu.
Bayangkanlah betapa sukarnya aku memimpin Norizan yang berjalan megeliat, meniti jalan berbatu yang kalau tersilap akan jatuh tersadung! Aku bagaikan terpaksa mendukung dan memapahnya beberapa kali pada beberapa tempat yang kritikal. Aku bersama Norizan berjaya menjelajah sampai ke penghujung trek dan membawa pulang empat ketul batu pada lokasi yang dipetakan oleh Tok Lat. Aku tidak tahu apa gunanya tapi dua biji darinya, diserahkan kepada Tok Lat sementara yang dua buah lagi aku menyimpannya.
`Dulu Mat Kilau sudah diminta mengambilnya, tapi dia tidak berjaya, Cikgu’, Norizan memberitahuku.`Begitu juga Dato Bahaman dan Tok Gajah’
Aku sendiri pun pada mulanya gagal juga.Kami gagal pada minggu sebelumnya. Setelah hampir separuh perjalanan, kami terpaksa berpatah balik, apabila Norizan meminta berbuat demikian kerana bertemu dengan benda sial. Ada sebuah lori yang penuh dengan khinzir berada di hadapan kami.Bila kami pulang dan melaporkan kepada Tok Lat dia nampak kesal juga tapi tidak komen apa-apa, tetapi meminta kami mencuba sekali lagi pada minggu hadapan.
Ketika di gua tesebut, aku sebenarnya teringin untuk mengambil lebih dari empat ketul batu yang terletak bagaikan di bawah sebuah pintu gerbang, tapi pada ketika itulah Norizan mengingatkan.
`Jangan tamak Cikgu! Jangan tamak! Jangan ambil orang punya!’
Demikianlah di antara keistimewaan Norizan. Keistimewaannya itulah yang menyebabkan Tok Lat memberitahuku, bahawa Norizan itu nampak sahaja cacat, tetapi sebenarnya tidak!
`Tok Lat dan Tok Ayah Sohor penting bagi Cikgu’ , demikian Norizan berpesan dengan bersungguh-sungguh kepadaku apabila aku mendapat arahan bertukar, bertugas di tempat lain sejauh kira-kira 250 kilometer dari tempat bertugas sekarang. Aku memberitahunya bahawa aku hanya akan pindah sendirian sahaja kerana mahu memastikan anak-anakku selesa belajar bagi membuat persediaan menghadapi peperiksaan SPM.
`Cikgu mesti berhati-hati’, Norizan mengingatkan. `Ada ujian Cikgu. Ada ujian untuk Cikgu. Cikgu akan mendapat ujian yang sangat berat. Perempuan cantik Cikgu. Perempuan cantik...’.
Norizan mengingatkan berkali-kali kepadaku mengenai cubaan-cubaan yang bakal menanti.
`Tapi Cikgu jangan risau.Walaupun Cikgu berada jauh dari isteri dan anak-anak, Cikgu nanti boleh terbang pulang untuk melihat isteri dan anak-anak.....’
Aku terkebil-kebil mendengar penegasannya samada mahu mempercayainya atau tidak.

3 ulasan:

  1. Assalamualaikum...

    Saya dan isteri telah lama mengikuti kisah saudara..cuma sekarang ini terpanggil untuk mencatatkan sesuatu di ruang kecil ini..saya akui setiap sesuatu memang benar dengan izinNya...adakah pengalaman ini benar2 terjadi kepada diri dan keluarga saudara?

    BalasPadam
  2. Waalaikummussalam.
    Terima kasih kerana sudi mengikuti kesah saya...
    Sesungguhnya kesah yang saya paparkan adalah kesah benar.Sudi-sudikanlah mengikuti sampai tamat kesahnya kerana ada message Tasauf yang hendak saya sampaikan. Semoga berguna bagi semua pencinta Tasauf.

    BalasPadam
  3. assalamualaikum...
    sy terpanggil untuk mencari info ttg kota gelanggi aapbila bapa kepada besan sy memberitahu beliau mat kilau menyuruh beliau mengambil pedang di gua kota gelanngi...semasa arwah mat kilau masih hidup.

    BalasPadam