29.
NAIK KERETA KUDA TERBANG!
Aku menguji Along mengenai batu-batu permata pemberian Tengku Puteri Normala yang diberikan melalui Tok Lat. Along mengesahkan, semua yang tersebut adalah benar pemberian Tengku Puteri Normala. Along dengan tepat dapat menentukan yang mana satu milik isteriku, yang mana satu milik Kak Long, Kak Ngah dan Kak De. Untuk anakku yang bongsu, Along memberitahu, akan ada juga pemberian dari Tengku Puteri nanti, samalah seperti yang dijelaskan oleh Tok Lat sewaktu menyerahkan pemberian tersebut lebih satu bulan yang lalu. Tapi Along tidak tahu apa-apa mengenai misi Tengku Puteri denganku sekeluarga di sebalik pemberian-pemberian tersebut.
Along yang tadinya masuk ke ruang dalam rumah, keluar semula. Tangannya menatang satu dulang minuman. Setelah dia menuangkan tea o ke dalam cawan dan mempersilakan kami minum, aku pun berkata:
`Apa tujuan Tengku Puteri mahu berdampingan dengan saya?’.
Aku cuba mencungkil maklumat dari Along. Tentulah Along lebih arif kerana dia adalah kakak kembar Tengku Puteri Normala.
`Along sebenarnya tak tahu apa urusan Mala dengan Cikgu’, Along menjawab jujur.`Itu urusan Mala dengan Tok Lat.Tapi urusan dengan Along, Mala memberitahu Along, dia sudah menemui orang yang dia cari untuk membantu Along, membantu emak dan adik-adik’
`Membantu Along?’, aku kehairanan.
`Ya!’
`Apa masalahnya?’, aku bertanya lebih jauh.
`Cikgu lihatlah sendiri keadaan kami di sini’, Along menunjukkan persekitaran rumah ibunya itu yang kecil dan agak uzur. Ruang tamu tempat kami berbual sekarang, kecil sahaja dan tidak ada apa-apa peralatan yang canggih atau baru. Apa yang ada ala kadarnya saja. Set kerusi rotan yang lama, TV 16” yang sudah ketinggalan zaman dan sebuah almari yang sudah berusia lanjut. Jelas kepadaku keluarga ini berada dalam kehidupan yang agak terhempet.
`Mak bekerja menjual kueh. Along pula tak ada kerja tetap.Adik-adik masih kecil dan sedang bersekolah’, Along menjelaskan. Wajahnya mempamerkan harapan yang tinggi untuk kehidupan yang lebih baik.
`Mala tahu semua ini dan dia mahu menolong Along sekeluarga’,tambahnya kemudian.
Melihat persekitaran rumah dan perisiannya, memanglah jelas bahawa keluarga ini berada pada tahap keluarga miskin. Ayah Along yang dahulunya adalah seorang anggota polis, telah lama meninggal dunia. Sejak ketiadaan ayah mereka, ibunyalah yang menyambung mata pencarian dengan berjualan kueh-mueh di pasar Kemaman. Along sekadar membantu emaknya dan kadang-kadang membuat kerja mengambil upah membuat pakaian kanak-kanak.
`Tapi...persoalannya, kenapa Tengku Puteri pilih saya?’, aku menyatakan sedikit rasa kemusykilan.Bukan tidak sanggup. Aku memang sentiasa bersedia dalam hal-hal kebajikan di jalan Allah.
`Sebab Cikgulah yang Mala lihat orang yang boleh dipercayai’, Along menjawab tegas dan pantas.
`Kenapa?’
`Sebab pada zaman sekarang bagaikan tidak ada lagi orang yang berhati lurus dan mulia, Cikgu! Sangat susah untuk mencari orang yang betul-betul amanah serta boleh dipercayai’
Aku sedikit terapung mendengar penjelasan itu.Mungkin benar dan mungkin tidak. Tapi untuk mencari orang yang berhati lurus, dalam zaman sekarang memanglah terlalu susah. Manusia pada hari ini majoritinya seolah-olah beragama di lidah sahaja. Khianat-mengkhianati, dengki-mendengki, iri-hati, tipu-daya dan dendam-mendendam adalah lumrah. Sejak Ilmu Tasauf terpinggir dari persada ilmu, orang-orang Melayu kurang memberikan perhatian kepada soal-soal menjaga kesucian hati. Niat belajar agama pun bermacam-macam. Demikianlah juga niat mengajar.Kalau pandang pada zahirnya memang nampak bagus! Lebih-lebih lagilah kalau berpandukan kepada tutur bicara semata-mata. Mulut manis dan ramah, tapi hati di dalam tak siapa tahu. Kata orang dulu-dulu `mulut manis bagaikan madu, tapi hati pahit bagaikan hempedu’.
Along lantas menceritakan beberapa peristiwa sebelum ini bagaimana usaha Mala untuk membantu Along sekeluarga menjadi sia-sia oleh angkara orang yang diberi amanah berlaku khianat.Kalau tidak oleh angkara tersebut, sudah pasti Along sekeluarga akan sentiasa menerima saraan dari Mala.
Suatu masa dahulu, aku pernah juga mendapat gambaran jiwa persis sedemikian dari seorang pengamal perubatan tradisional, Pak Hamidi namanya yang tinggal di Cengal Teras. Pak Hamidi pernah menawarkan kepakaran perubatannya untuk diserahkan kepadaku.
`Saya telah telek hati semua orang-orang di tempat Cikgu bekerja’, kata Pak Hamidi merujuk kepada kawan-kawan sekerjaku.`Tapi tak ada seorang pun yang layak untuk memegang amanah ini. Semuanya memiliki hati yang bermasalah dan tidak boleh dipercayai. Cuma Cikgu seorang sahaja yang layak. Jadi, Cikgu carilah kacip pinang dan bawalah kepada saya’.
Perkenalanku dengan Pak Hamidi bermula bila aku, pada suatu waktu dulu, tiba-tiba diterpa oleh beberapa penyakit. Selain sakit pinggang yang menjadi sakit zaman-berzaman, aku tiba-tiba mendapati diriku seakan-akan di serang kencing manis.Tanda-tanda awal telah pun ada. Pada masa yang sama aku juga bagaikan mendapat sakit darah tinggi. Apabila bangkit dari tidur dalam keadaan tergesa-gesa atau tergopoh-gapah, aku dapati dunia bagaikan berpusing. Anehnya apabila aku merujuk kepada doktor perubatan, aku didapati normal. Tidak ada kencing manis.Tidak ada darah tinggi dan tidak ada pusing mata.
Pada masa itu aku telah mulai dapat merasakan bahawa kesihatanku sudah semakin merosot. Aku sudah sedikit kurus. Menjadi kebiasaan bagiku, suka memicit-micit daging pejal pada hasta dan lenganku dan aku selalunya bergembira kerana mendapati diriku masih kemas dan pejal. Tapi selepas berusia 38 atau 39 tahun, bila aku memicit daging-daging pejal di hasta dan lenganku, aku mendapati tubuhku sudah tidak sekemas dahulu lagi. Aku bagaikan sudah kehilangan daging pejal. Sebaliknya daging pada hasta dan lengan terasa lembik dan lembut.
Berdebar-debar dadaku bila menyedari perubahan itu. Terasa sedih juga di hatiku kalau-kalau aku akan meningglkan isteri dan anak-anakku yang masih kecil pada usia tersebut, sedangkan anakku yang sulung baru sahaja masuk ke alam persekolahan. Apa akan berlaku kepada anak-anakku sedangkan isteriku hanyalah seorang suri rumah? Alangkah mencabarnya kehidupan isteriku nanti untuk menyara hidup anak-anak seandainya aku dijemput kembali menemui Ilahi.
Dalam tempoh itulah aku tiba-tiba mendapat mimpi. Aku bermimpi dirawat oleh seseorang yang menggunakan besi berani dan kacip pinang. Bila mengalami mimpi tersebut, fahamlah aku alamatnya. Aku mengenali seorang bomoh yang pernah aku berurusan dengannya sewaktu anak keduaku diserang penyakit kayap ular. Bomoh itulah yang memberikan rawatan sehingga pulihlah anakku.Itulah Pak Hamidi.
Segera aku menemui Pak Hamidi di Cengal Teras untuk mendapatkan ikhtiar bagi memulihkan kesihatanku setelah doktor mengesahkan aku tidak mengidap sebarang penyakit. Dengan mengamalkan petua dan formula yang diberikan, alhamdulillah aku diizinkan pulih dari tanda-tanda sakit kencing manis, pusing mata dan darah tinggi. Sejak itulah aku agak akrab dengan Pak Hamidi.
Tidak lama selepas itu, Pak Hamidi bertugas sebagai pengawal keselamatan di tempat aku bekerja.Tempat aku bekerja yang letaknya di kelilingi hutan belantara, terlalu banyak gangguan iblis dan makhluk halus.Hampir pada setiap minggu ada sahaja pelajar yang diserang histeria. Bila Pak Hamidi mula bertugas di tempat kerjaku – dia sebenarnya sengaja dibawa bertugas ke situ – dia menjadi faktor yang sangat berkesan mengawal gangguan makhluk halus yang sering mengganggu pelajar.
Ada satu rahsia yang Pak Hamidi tidak bocorkan kepada sesiapa kecuali kepada aku sendiri iaitu kesah `harapkan pagar, pagar makan padi’. Ada seorang warden yang mengambil kesempatan terhadap pelajar-pelajar perempuan yang selalunya diserang histeria pada waktu tengah malam. Pak Hamidi memberitahuku, warden itulah punca bencana.Dia berselindung di sebalik menggunakan kebolehan merawat untuk mengambil kesempatan. Dialah pembawa bencana dan dialah yang menjadi perawatnya. Oleh sebab itulah histeria tidak dapat ditamatkan.
Pak Hamidi memberitahuku, dia meminta warden itu berhenti dari sifat-sifat busuknya itu iaitu mengambil kesempatan terhadap pelajar-pelajar perempuan yang diserang histeria. Akibat tegurannya, Pak Hamidi dicabar oleh warden itu lalu berlakulah pertembungan secara kerohanian. Bila warden itu berjaya ditundukkan, Pak Hamidi memberi ancaman kepadanya.
`Kalau awak ganggu lagi pelajar-pelajar di sini, saya akan bocorkan rahsia awak kepada pihak pentadbiran dan orang ramai’
Demikianlah kesah gunting dalam lipatan. Warden berkenaan yang juga salah seorang tenaga pengajar memang ada banyak kesah-kesah yang mencurigakan mengenai dirinya dengan pelajar perempuan. Ramai orang mengesyaki angkara onarnya, tetapi gagal untuk dibawa ke tengah pengadilan.Setelah pihak pentadbir dapat diyakinkan, warden berkenaan akhirnya diarahkan memohon untuk berpindah tinggal menyewa di luar. Sejak itu redalah sedikit masalah histeria.
Walaupun onar dari warden tersebut telah berjaya ditamatkan, tetapi kawasan tersebut masih terdedah kepada alam sekitarnya yang memang banyak gangguan dari makhluk halus. Pak Hamidi yang telah pun berhenti dari menjadi pengawal keselamatan, membuat tawaran kepadaku untuk menyambung tugasnya.
`Saya telah telek hati semua orang-orang di situ, Cikgu. Saya telah baca hati-hati mereka. Tapi tak ada yang layak. Untuk tugas-tugas seperti ini Cikgu, hati mesti bersih dan suci. Ini amanah Allah’
Kacip pinang yang Pak Hamidi gunakan untuk keperluan perubatannya, memang hebat. Apabila seseorang terkena gangguan, bila kacip tersebut diselitkan pada celah antara ibu jari kakinya lalu diapitkan, tidak ada sesiapa yang boleh menahan kesakitannya. Kalau makhluk yang merasuk masih berdegil, Pak Hamidi akan memulaskan lagi gandar kacip itu, dan apabila semakin dipulas, kesakitan akan berganda. Tidak ada makhluk halus yang mampu bertahan. Dalam keadaan biasa pun – ertinya dalam keadaan tidak sakit pun, kita tidak mampu menahan bisanya apabila diperlakukan demikian. Pak Hamidi kadang-kadang menggunakan telunjuknya sahaja, bagi menggantikan kacip apabila bertembung dengan pesakit yang perlu dirawat dalam keadaan yang tidak diduga.Telunjuk jari Pak Hamidi yang dikepit di celah jari kaki bila dipusing-pusingkan, bisanya seperti bisa kacip juga.
Pak Hamidi sesungguhnya merupakan salah seorang perawat tradisional yang hebat dan berjasa kepada masyarakat. Tetapi apabila anaknya yang belajar sekolah pondok di Petani selalu memberi hujah-hujah syariat kepadanya, aku mendapati Pak Hamidi termakan oleh hujah-hujah anaknya itu. Aku tidak sangka Pak Hamidi tidak berupaya mempertahankan pendiriannya. Sejak itu Pak Hamidi tidak lagi menggunakan kacip dan besi berani, dan mulai kehilangan kuasa perubatan. Akibatnya tidak ramai lagi pengunjung ke rumahnya.
Sejak Pak Hamidi menawarkan ilmu perubatannya untuk diperturunkan kepadaku, sejak itulah aku tidak pernah lagi mengunjunginya kerana aku tidak berminat untuk menjadi perawat tradisional, atas imej bomoh dan dukun.Aku pula kemudiannya berpindah ke tempat lain. Sejak berpindah, aku sudah cukup lama kehilangan berita mengenainya. Baru-baru ini aku mendapat khabar dari anaknya yang kebetulan bertemu di sebuah sekolah, ayahnya sudah uzur dan terlantar. Siang malam terpaksa memakai lampin. Aku sedih dengan berita itu. Semoga aku dapat menziarahinya nanti.
`Membantu Along?’, aku agak hairan dengan tugas yang diamanahkan oleh Tengku Puteri Normala.
`Bagaimana?’
Along lantas menceritakan bahawa sebelum ini ada orang-orang yang pernah diamanahkan tetapi berlaku mungkir janji dan khianat. Kepada mereka diserahkan sejumlah wang oleh Tengku Puteri, tetapi wang tersebut tidak sampai kepada Along, sebaliknya habis dikebas oleh mereka. Along memberitahuku Tengku Puteri hanya dapat membantu mereka melalui perantara. Tengku Puteri tidak dapat memberikan bantuan secara langsung kerana syaratnya mesti melalui perantara. Setelah beberapa kali usaha demikian gagal kerana berlakunya pecah amanah, Tengku Puteri mulai berhati-hati memilih manusia.
`Mala sekarang agak sibuk, Cikgu. Dunia semakin tidak menentu’.
`Apa kaitan dunia dengan Tengku Puteri?’, aku ingin tahu.
`Mala pun ada tugas-tugasnya juga...’,
`Tugas apa?’, aku begitu ingin tahu.
`Kalau kita di dunia ini, Cikgu, macam persatuan Bulan Sabitlah. Mala akan bertugas di Palestin nanti’
Aku tiba-tiba teringat kesah orang buniyan di Bukit Lindungan tempat tinggalku seperti diterangkan oleh Norizan. Mereka juga sedang giat membuat persiapan menghadapi suasana perang yang bakal berlaku.
`Sekarang Mala sibuk pula membuat persiapan untuk ke Mekah tak lama lagi. Jadi mungkin Mala agak susah untuk bertemu dengan Cikgu dalam masa terdekat ini’, Along berwajah sedikit muram.
Aku mengikuti juga perkembangan musim haji. Penerbangan pertama dijangka dalam tempoh tidak lebih tiga minggu sahaja lagi dari sekarang.
`Sungguhpun demikian, Cikgu boleh cuba juga untuk memanggil Mala. Manalah tahu kalau-kalau dia boleh meluangkan masa untuk datang sebab Along memang sangat-sangat memerlukan wang’, Along berkata seterusnya.
Lalu Along menerangkan cara-cara untuk cuba memanggil Mala. Along meminta aku menyediakan hamparan kuning. Sediakan juga set cawan tembikar kerana kalau mahu menghidangkan Tengku Puteri dengan minuman, dia tidak minum di dalam gelas kaca. Along berpesan supaya membaca al Fatehah, memberi salam dan menyeru Tengku Puteri supaya datang dan tunggulah sehingga 12.30 minit malam pada malam Jumaat, sebab Tengku Puteri tidak akan datang selepas masa itu. Kalau Tengku Puteri datang, dia akan tiba dengan sejumlah pengiring dan pengawal. Pengawal dan pengiringnya akan tunggu di luar rumah, sementara Tengku Puteri mungkin bersama suaminya akan masuk ke dalam rumah.
`Mala juga ada Pajero, Cikgu’, Along memberikan maklumat selanjutnya.
`Pajero?’, aku tergamam mendengar berita itu. Isteriku pun sama. Anak-anakku pun begitu terpegun.
`Pajero warna merah.Kalau Cikgu tiba-tiba terserempak dengan Pajero warna merah plet Terengannu, nombor pendaftaran TXXXX (dulu aku ingat nombornya), itulah kereta suami dia’.
`Maksud Along, suaminya ada kenderaan di muka bumi ini?’
`Ya! Itu kenderaan di atas dunia, Cikgu. Tapi di alam sana, mereka memiliki kuda terbang – kereta kuda terbang’.
Kuda terbang? Aku mula membandingkan dengan kesah Abang Pisah. Abang Pisah dalam pengalamannya dahulu menaiki talam terbang. Orang buniyan tempat Abang Pisah kunjungi, menggunakan kenderaan talam terbang. Ini barangkali tentulah kerana mereka adalah golongan rakyat biasa.Jadi kenderaan mereka tentulah tidak sehebat dan secanggih kenderaan Tengku Puteri Normala dari darjat raja. Tentulah jauh bezanya.
`Cikgu pun nanti, bila Mala akan membawa Cikgu ke tempatnya, Cikgu akan dijemput dengan kereta kuda terbang’
Wow! Aku terjerit. Anak-anakku memandang kepadaku dengan wajah cukup ceria dan seronok.
`Betulkah, Along?’, aku memohon kepastian.
`Mala beritahu begitu’
`Saya seorang sahajakah?’
`Semua sekali, Cikgu. Akak, Kak Long, Kak Ngah dan Kak De serta adik!’, Along berkata dengan yakin.
Bila maklumat itu disampaikan, anak-anakku nampak cukup ceria dan gembira. Berseri-seri wajah mereka. Naik kereta kuda terbang, siapalah yang tak mahu! Kesah-kesah sedemikian cuma ada di dalam kesah fantasi, kesah dewa-dewi zaman antah berantah, kesah alam kayangan pada zaman dahulu kala.Kini semua kesah-kesah itu hanyalah dianggap sebagai kesah dongeng.
Tapi apakah benar kesah sedemikian adalah suatu realiti di alam tempat kediaman Tengku Puteri Normala? Apakah ianya akan benar-benar menjadi realiti untuk aku sekeluarga nanti? Entahlah.
Salam,bolehkah tuan sentuh tentang isu Imam Mahdi.Adakah syeikh Muhammad bin Abdullah as Suhaimi itu bakal Imam Mahdi? Mungkin Tok Lat atau... ada jawapannya. Apa pandangan tuan tentang Abuya Ashaari. Adakah ia pemuda bani tamim? Apa pula peranan tuan dalam perang akhir zaman ?
BalasPadamAssalamualaikum.
BalasPadamtanpa nama,
sabarlah.Saya ada jawapan mengenai hal ini tapi nantilah.Kesah-kesah dalam pengalaman saya secara tidak langsung adalah proses kepada jawapan persoalan akhir zaman.
Selain membaca kesah saya, terokalah esei-esei saya yang terdahulu juga.Akan ada munafaatnya.
Bila habis pengkesahan, kita akan pergi kepada bicara yang lebih fokus dan serius iaitu Kebangkitan Melayu dan Islam dalam perang akhir zaman. Insyaalah..Itulah waktu yang sesuai untuk diskusi ilmu, minda dan jiwa.
Sekian, Wassalam.
Salam.Tuan, Saya sebenarnya berminat untuk mendalami ilmu Tasauf. Saya merasakan jiwa saya masih kosong tanpa ilmu ini. Bolehkah tuan beritahu saya nama guru2 yg sesuai untuk Saya mempelajari ilmu ini..
BalasPadamtanpa nama,
BalasPadamUntuk mencari guru tasauf, biasanya jadikan hadis ini sebagai panduan:`Barangsiapa mengenal dirinya bahawasanya mengenal ia akan Tuhannya'.
Tanyalah kepada orang-orang tua. Kadang-kadang orang tua berkenaan tidak kita sangka samasekali...
Guru Tasauf kadang-kadang seorang guru tarekat, kadang-kadang seorang pakar perubatan tradisional, kadang-kadang seorang guru silat atau kadang-kadang seorang yang dituduh mengajar ajaran sesat! Tapi awas! Memang ada ajaran sesat dan tarekat sesat.Juga bomoh dan guru silat sesat!
Saya cadangkan saudara perhalusi Ilmu Sifat 20 terlebih dahulu. Rujuk Bertamu Ke Rumah Wali dalam siri kesah saya sebagai tipnya. Fahami dahulu fardhu ain dan bidang syariat dan istiqamah dalam amal.
Kalau jumpa Ihya Ulumiddin (sila rujuk ulasan: Bertemu Orang Tua Purba). Kalau tak silap Jld 1 atau 2 ada panduan mengenai solat yang mengintegrasikan zahir dan batin. Ihya Ulumiddin sangat penting sebelum melangkah jauh...
Ikhlaskanlah niat, mintalah dengan Allah Taala untuk dipertemukan dengan guru yang anda maksudkaan. Insyaallah, Allah Zat Yang Maha Memperkenankan Doa.
Sekian.Wassalam.