28.
TENGKU PUTERI NORMALA.
Tok Lat meminta aku sendiri sahaja yang pergi untuk berkenalan dengan titisan Iskandar Zulkarnaen. Aku sebenarnya berasa hairan juga kerana sudah beberapa kali, Tok Lat tidak pernah dapat bersamaku dalam perjalanan seperti ini. Sudah beberapa kali perancangan telah dibuat atau dijanjikan olehnya untuk bersama kemana-mana sebelum ini, tetapi tidak pernah lagi terlaksana. Berbeza dengan Tok Penghulu Malim, berbeza dengan Do Din, berbeza dengan Bakar, berbeza dengan Tok Empat Zanum dan Aziz atau Haji Rahim yang Tok Lat dapat pergi bersama-sama mereka. Dengan aku dan isteriku, entah mengapa Tok Lat belum pernah lagi berkesempatan. Entahlah. Dan...aku memang agak kecewa.
Dengan aku sentiasa sahaja ada aral; aral dari Tok Lat, sehingga aku yang dahagakan pengalaman-pengalaman misteri, sentiasa sekadar mendengar cerita-ceritanya sahaja dari orang-orang lain atau dari Tok Lat sendiri. Cerita-cerita mengenai mereka yang pernah dibawa oleh Tok Lat untuk bertemu dengan beberapa nama-nama orang lama yang besar dalam sejarah , atau orang-orang yang aneh dan memiliki keajaiban. Hairan juga aku memikirkannya, kenapa aku sentiasa sahaja terlepas peluang? Isteriku pun sama. Dia terkilan juga. Kami berdua sebenarnya memang tersangat ingin untuk mengalami suasana pergi ke mana-mana bersama Tok Lat untuk mengalami sendiri pengalaman misteri.
Aku pada mulanya menyangka akan masuk ke dalam sebuah hutan atau mendaki gunung untuk bertemu dengan titisan Iskandar Zulkarnaen tersebut, tetapi amatlah menakjubkan, titisan yang kucari itu tidak tinggal di dalam hutan atau di dalam gua atau di puncak gunung, tetapi sebaliknya tinggal di sebuah kampung iaitu di Kampung Geliga, Kemaman, Terengganu.
Tok Lat telah menyerahkan sekeping kertas A4 kepadaku dan di situ siap tertulis namanya, nama bapanya dan nama ibunya. Namanya ialah TENGKU PUTERI NORMALA INDERA KAYANGAN BINTI ZAINUN YANG KETUJUH. Aku kehairanan juga bila menatap nama yang sedikit ganjil tersebut dan siap pula dengan nombor telefon rumahnya.Tok Lat berpesan, sebelum pergi mengunjungi rumah di alamat berkenaan, aku diminta menghubungi melalui telefon terlebih dahulu.Itulah pesanan untukku.
Setelah memberi salam kepadanya melalui telefon rumahnya, aku lalu berkata:
`Bolehkah saya bercakap dengan Tengku Puteri Normala Indera Kayangan binti Zainun Yang Ketujuh?’, aku meminta keizinan dari suara di hujung gagang.Siap aku baca pada kertas A4 tersebut, nama yang panjang dan aneh itu kerana tidak sempat menghafalnya.
`Siapa ini?’, aku ditanyai oleh satu suara perempuan.
`Saya diminta menghubungi Tengku Puteri Normala melalui telefon’
`Kenapa?’
`Saya diminta mengunjungi rumahnya. Tetapi sebelum saya dibenarkan pergi berkunjung, saya diminta menghubunginya terlebih dahulu melalui telefon’
`Siapa ini?’, aku didesak lagi supaya memperkenalkan diri.
Aku memberitahu namaku dan di mana aku tinggal.
`Siapa yang suruh?’
`Tok Lat’
Suara di hujung gagang diam sebentar.
`Siapa?’,aku ditanyai lagi.
`Tok Lat! Tak kenalkah?’
Suara di hujung talian terdiam lagi.Aku lantas mendesak bagaikan tidak ada kesabaran.
`Bolehkah saya bercakap dengan Tengku Puteri Normala?’
`Ooo. Mala’, suara perempuan itu diam sejurus.`Mala tak ada’.
`Habis dengan siapa saya bercakap sekarang?’
`Dengan kembar dia’.
`Kembar dia?’, aku terkejut.`Kalau begitu bagaimana saya boleh bertemu dengan Tengku Puteri?’
Persoalan yang aku kemukakan itu mendorong munculnya satu temujanji. Lalu aku bersama isteri dan anak-anak bertandang pada suatu hujung minggu ke rumah yang alamat lengkap telah diberikan. Tidak susah mencarinya kerana rumahnya di tepi jalan menuju ke Kuala Kemaman. Kami dipersilakan masuk oleh seseorang yang membahasakan dirinya Along. Along ketika itu ditemani oleh adik-adiknya yang masih di sekolah rendah sementara ibunya berjualan kueh di pasar Kemaman.
Along lantas menerangkan latar diri dan keluaranya. Dia adalah anak sulung yang dilahirkan kembar bersama adiknya. Adiknya telah dibawa ke alam lain dengan izin ibunya dan kini telah berumahtangga dan memiliki beberapa orang anak. Ayahnya telah meninggal dunia sejak beberapa tahun yang lalu. Ayahnya adalah seorang pengamal Tasauf dan olehkerana itu Along banyak bercerita mengenai kesah hidupnya diselang-selikan dengan huraian Tasauf. Mengejutkanku kerana Along masih belum berumahtangga walaupun usianya telah melebihi tiga puluh tahun. Secara rengkas dia menggambarkan dia adalah mangsa penipuan seorang lelaki dan inilah yang menghancurkan nama baiknya.
`Lambatlah lagi Cikgu untuk bertemu dengan Mala’, Along memberitahu bila aku tidak sabar-sabar lagi untuk mengetahui dan berkenalan dengan Tengku Puteri tersebut.
`Sekarang musim orang pergi menunaikan fardhu haji telah tiba.Mala akan bertolak ke Mekah, Cikgu.Jadi lepas musim hajilah baharu boleh berjumpa’.
`Lambatnya...Siapa yang cakap begitu?’
`Mala sendirilah! Dia yang memberitahu Along begitu’
`Bila dia bertolak?’
`Tak lama lagi.Melalui penerbangan pertama’
`Penerbangan pertama?’, aku terkejut.` Dia pergi ke Mekah naik apa?’, aku tersangat ingin mengetahui bagaimana kembar Along yang berada di alam lain pergi ke Mekah.
`Naik kapal terbang!’
`Kapal terbang?’, aku semakin terkejut.
`Kapal terbang apa?’, isteriku pun terkejut juga. Sangkaan kami tentulah dia akan naik kapal terbang di alam ghaib.
`Kapal terbang MAS’
`Ha?’
Aku dengan isteriku berpandangan.Keliru juga pemikiranku.
`Jadi Tengku Puteri tinggal di mana?’
`Di Bukit Puteri’
`Di Kuala Terengganu?’
Along mengangguk. Aku cuba memikir-mikir. Bukit Puteri adalah satu kawasan di atas bukit menghadap laut. Aku memang tahu tempat itu. Walaupun tidak pernah mendaki ke puncaknya, tapi aku selalu lalu-lalang dengan kereta di hadapannya. Tiba-tiba timbul satu ilham.
`Kalau Tengku Puteri tinggal di Bukit Puteri, apa salahnya kalau saya pergi sahaja ke Kuala Terengganu sekarang, dan terus sahaja boleh bertemu dengannya?’
`Ooo. Tak boleh begitu, Cikgu!’
`Kenapa?’
`Sebab Mala tidak boleh dilihat oleh manusia biasa’
Aku bersama isteri terus bertambah keliru.
`Jadi kalau tidak boleh dilihat oleh orang biasa, bagaimana dia naik kapal terbang?’, isteriku cuba memerangkap Along.
`Sedangkan orang lain tak nampak dia...’, tambahku pula.
`Dia boleh zahirkanlah dirinya, Cikgu.Nampaklah dia sebagai seorang orang biasa’
Kami terdiam sekarang. Bila mendengar maklumat itu, aku teringat kesah kakak dua pupuku yang aku panggil Abang Pisah. Ketika dia akan melahirkan anaknya yang pertama dia mendapat alamat bahawa anaknya akan diambil oleh orang buniyan. Dia diminta supaya memberikan keizinan, tetapi Abang Pisah tidak sekali-kali mengizinkannya. Dan bila sampai masa bersalin, Abang Pisah rasa cukup kecewa kerana dia bersalin di dalam mimpi. Bila dia bangun pada waktu pagi, dia mendapati kandungannya memang telah tiada.
Malamnya Abang Pisah diberi alamat, bahawa anaknya adalah seorang lelaki dan selamat berada dalam jagaan sepasang suami isteri dan dijadikan anak angkat keluarga bunian tersebut.
Kesah Abang Pisah kehilangan anak diambil bunian menjadi kesah yang menjadi bualan pada tahun 1960an dahulu di Lubuk Paku. Walaupun demikian, hubungan Abang Pisah dengan anaknya tidak putus. Dia selalu bertemu di dalam mimpi.Apabila anaknya telah berusia kira-kira lima tahun, berlakulah satu sejarah baru. Ibu bapa angkat bersama anaknya telah menzahirkan diri semasa berkunjung ke rumah Abang Pisah. Suami Abang Pisah yang bernama Long Derani, pada mulanya dapat melihat dan berinteraksi dengan mereka tetapi setelah beberapa pertemuan, dia bercakap celupar, melahirkan rasa geram dengan kecantikan orang buniyan. Sejak itu dia tidak lagi boleh melihat kehadiran keluarga angkat anaknya.
Pada masa-masa tertentu, Abang Pisah selalu mendapat ole-ole pemberian dari ibu bapa angkat anaknya.Kadang-kadang buah-buahan disangkutkan di hujung bendul walhal pada ketika itu bukan musim buah-buahan. Kadang-kadang ikan sungai. Kadang-kadang sayur-mayur.
Aku pernah bertanya kepada Abang Pisah mengenai anaknya sewaktu Abang Pisah berkunjung ke rumah ibuku setelah lebih sepuluh tahun tidak bertemu. Abang Pisah memberitahuku, anaknya pada waktu itu sedang belajar di Kuliah Sultan Abu Bakar, Padang Polo, Pekan.
Suatu waktu, ibu dan bapa angkat anaknya mempelawa Abang Pisah berkunjung ke kampung bunian mereka. Abang Pisah menceritakan kepadaku dia berjalan kaki menghulu Sungai Pahang dan bila sampai ke Tanjung Datuk, dia melihat sendiri ada sebuah jambatan merentasi Sungai Pahang. Berjalanlah mereka menyeberangi Sungai Pahang tersebut, kerana di seberang sanalah terletaknya perkampungan bunian.
Selama tiga hari tiga malam orang-orang kampung menjadi ribut dan gempar kerana kehilangan Abang Pisah.Mereka berusaha menggunakan perkhidmatan beberapa orang bomoh untuk mengesan di mana Abang Pisah berada, tetapi tidak berjaya. Abang Pisah yang berada di kampung bunian, sebaliknya dilayan dengan penuh selesa oleh keluarga angkat anaknya.
Pada suatu petang Jumaat, Abang Pisah tiba-tiba kehairanan mendapati ada di kalangan orang-orang bunian mengumpulkan dalam kuantiti yang banyak pelbagai hasilan kampung terutamanya pisang, jantung pisang, ulam-ulaman, lada, buah labu, kundur, ubi dan keledek. Lalu dia bertanya kepada mereka mahu buat apa dengan buah pisang yang banyak ini?
`Nak jual’, jawab mereka.
`Jual ke mana?’
`Pekan sehari’
Abang Pisah terkejut juga kerana mendapati orang bunian juga ada konsep pekan sehari sebagaimana manusia biasa. Lalu dia bertanya lagi kerana tergerak di hatinya ingin juga pergi sama, melihat pekan sehari orang buniyan.
`Di mana pekan sehari itu?’
`Di Maran!’
`Maran?’, Abang Pisah keliru apabila nama Maran disebut.
`Maran yang mana?’
Orang-orang buniyan tersebut tersenyum, lantas menerangkan bahawa Maran yang dimaksudkan ialah bandar Maran yang letaknya sejauh kira-kira 15 kilometer dari Lubuk Paku. Bandar Maran letaknya di antara bandar Kuantan ke Temerloh menuju ke Kuala Lumpur.
Pada suatu malam ibu dan bapa angkat anaknya ada keperluan untuk mendapatkan rebana bagi satu keperluan perubatan. Rebana tersebut cuma dapat diperolehi di kampung orang bunian di Paloh Hinai. Jadi mereka terpaksalah pergi ke Paluh Hinai. Abang Pisah dipelawa untuk ikut serta.
`Nak pergi dengan apa?’, Abang Pisah bertanya. Dia menyangkakan tentulah pergi dengan bot atau perahu kerana tidak ada jalan raya yang memungkinkan mereka naik kereta.
Mereka mengajak Abang Pisah supaya mengikut mereka menuju ke satu tempat lapang. Bila sampai, ada sebiji talam yang besar terhampar di atas tanah.Ibu dan bapa angkat anaknya terus masuk ke dalam talam itu.
`Baca selawat nabi tiga kali’, Abang Pisah diperintahkan sebelum naik ke dalam talam itu.Lalu Abang Pisah membaca selawat dan selepas itu dengan bismillahirrahmanirrahim dia melangkah masuk ke dalam talam itu.
Dia sedikit tertanya-tanya dan ternanti-nanti apa yang akan berlaku. Alangkah terkejutnya Abang Pisah, sejurus kemudian talam itu terangkat ke udara dengan sendirinya. Tidak ada sebarang enjin yang dihidupkan. Tidak kelihatan pula adakah sesiapa atau apa-apa kuasa yang menggerakkannya. Talam itu naik semakin tinggi dan bila sampai ke atas pucuk pohon-pohon kayu rimba, lalu bergeraklah ke arah hadapan menghiliri Sungai Pahang untuk perjalanan ke Paluh Hinai yang jauhnya kira-kira 60 kilometer.
`Abang nampak dengan jelas dalam terang bulan rumah orang-orang kampung. Abang tahu juga bahawa abang telah menempuh Kampung Melayu, Kampung Sungai Duri, Kampung Salong, Mambang dan seterusnya sehinggalah sampai ke Paluh Hinai’, Abang Pisah menceritakan pengalaman ajaib itu. Aku, adik-adikku dan abangku mendengar dengan terpegun. Begitulah juga emak dan ayah.
`Bila talam terbang itu mahu berhenti, ia rupa-rupanya tak ada brek’, Abang Pisah menyambung ceritanya dengan diikuti sedikit ketawa kecil geli hati. `Rupa-rupanya ia langgar sahaja kepada rumah yang hendak dituju. Berdegum bunyinya. Terkejut juga, abang. Lepas itu baharulah turun ke bawah’
`Tak rasa takut?’, aku menyoal kerana maklumlah berdiri di atas talam, dalam udara terbuka. Tak ada dinding dan tak ada pula tempat berpegang.
`Tak!’, jawabnya.`Seronok! Cuma bila nak berhenti saja, cemas sedikit’.
Bila upacara perubatan di kampung buniyan telah selesai, baharulah Abang Pisah dihantar kembali ke rumahnya.Semua orang kampung terkejut kerana tiba-tiba sahaja Abang Pisah pulang. Pulangnya tidak pula disedari sebagaimana perginya tidak diketahui. Apa pun semua orang gembira dan seronok. Seronok kerana Abang Pisah telah selamat kembali, dan seronok pula mendengar kesahnya yang pelik tetapi benar itu.
Apakah Tengku Puteri Normala juga spesis yang sama seperti anak Abang Pisah yang dibela oleh ibu bapa angkat orang buniyan? Jika berdasarkan kesah Abang Pisah itu, apakah tidak mungkin Tengku Puteri Normala juga berada di dalam alam bunian? Mungkin!
Assalamualaikum,
BalasPadamMohon maaf kerana tergerak hati saya ingin bertanya, terasa macam pelik sikit... kenapa macam masih lagi leka dengan alam manusia, alam jin alam keduniaan.
saya bukan nak kata apa tapi berdasarkan penulisan saudara ini, banyak tertumpu kepada perkara mistik... memang banyak cerita pelik tetapi benar namun adakah kita ingin berada disana selamanya?
Saya memohon maaf bebanyak kalau perkara ini melukakan hati saudara tapi saya terpaksa beritahu... ramai saya jumpa orang leka dialam ini kerana syok dapat jumpa bunian, ada keris cincin tempayan dan sebagainya... dalam leka beginilah matlamat utama kita (Allah Taala) hilang...
saya betul betul memohon maaf kerana terpaksa memberitahu
Waalaikummussalaam.
BalasPadamTerima kasih kerana saudara sudi membalas kunjungan saya ke blog saudara.
Sebenarnya ini adalah kesah yang telah saya lalui dalam menjalani ranjau-ranjau perjalanan...
Alhamdulillah.Ada message saya untuk pencinta Tasauf. Saudara mungkin tidak memerlukannya.
Namun kalau saudara sudi, ikutilah kesah ini sampai ke mana akhirnya.
Dengan saudara, saya sesungguhnya mungkin memerlukan satu saat bicara.
salam,
BalasPadamutk pelita di dlm kaca...
saya meminati kisah saudara
teruskan menulis
tanpa nama,
BalasPadamTerima kasih
Salam, tuan. saya sangat berharap kita akan berjumpa suatu hari nanti. Aamin
BalasPadamBila tiba saat Allah takdirkan, insyaallah...
BalasPadammungkin talam ni klu dilihat dialam manusia kelihatan spt ufo...betul ka..hehe..
BalasPadamteruskan menulis..best
assalamualaikum, keluarga saya mmg berasal dari kampung berkat di maran, luit, lubuk paku dan sekitarnya. ayah moyang saya bernama haji ahmad dan isteri kedua beliau ialah orang bunian. sampai hari ni, masih ada saudara mara yang didatangi oleh puak bunian. zaman dahulu kala, menurut to ki saya, kalao kenduri kendara deme pakei pinggan mangkuk bunian ajer :D
BalasPadam