13 Oktober 2009

30.

PENJAGA TUJUH PETALA BUMI

Balik dari satu perjalanan jauh, aku bersama isteri membuat keputusan untuk membeli nasi goreng sahaja sebagai makanan malam kerana agak keletihan untuk memasak. Sebenarnya kami memang jarang-jarang berbuat demikian dan jarang juga makan di restauran atau di gerai-gerai makan kecuali bila betul-betul perlu. Ini bukan disebabkan soal menjimatkan belanja sahaja, tetapi disebabkan oleh terutamanya soal kebersihan dan kesucian. Kami sekeluarga sebenarnya sangat berhati-hati dalam soal makan-minum.

Soal kebersihan makanan kadang-kadang boleh saja berpandukan penilaian Kementerian Kesihatan yang meletakkan gred-gred A, B dan C kepada premis-premis yang menjual makanan, sebagai penanda sesebuah premis menjamu selera samada bersih atau sederhana dan sebaliknya. Tetapi kebersihan bukanlah satu-satunya syarat untuk menentukan kualiti rezeki Allah yang akan masuk ke dalam perut. Ada elemen lain yang lebih perlu dititiberatkan iaitu soal kesucian.Kesucian ialah merujuk kepada samada halal,makruh dan haramnya. Ini adalah bidang ilmu syarak yang kalau diketahui, tahulah bahawa sesuatu yang nampaknya bersih belum tentu suci dan halal.
Apabila telah dekat dengan rumah, kami selalunya akan membeli beberapa bungkus nasi goreng untuk di makan di rumah bersama-sama. Untuk seramai enam mulut, biasanya memadailah tiga atau empat bungkus sahaja kerana cuma aku dan anak lelakiku sahaja yang kuat makan.

Waktu itu Maghrib telah hampir menjelang.Mungkin dalam tempoh tiga puluh minit sahaja lagi akan berkumandanglah azan. Sedang duduk sendirian di kerusi menunggu pesanan, aku tiba-tiba tertarik kepada seorang lelaki yang berseluar panjang dan berbaju kemeja lusuh sedang berjalan perlahan-lahan menyusur dari meja ke meja. Lelaki itu pada pendapatku bukanlah seorang lelaki biasa berdasarkan penampilannya. Cara dia bergerak dari meja ke meja, dengan sebuah beg lusuh yang digalasnya menarik perhatianku.

Orang-orang yang nampak aneh sedemikian, aku pernah dinasihati oleh Atuk di Raub dahulu supaya selalu berhati-hati. Atuk berkata:

`Wang di dalam poket cucu katakanlah cuma ada RM30.00 sahaja. Orang seperti itu tiba-tiba meminta sejumlah RM30.00 juga. Apa cucu nak buat?’

Atuk diam sebentar.Mata kami direnung seorang demi seorang.

`Katakanlah cucu sedang dalam perjalanan untuk balik ke rumah. Atau cucu masih dalam perjalanan jauh. Duit tersebut cukup untuk membeli teket bas dan belanja makan sahaja. Apa cucu nak buat? Nak beri atau tidak?’, Atuk bertanya. Mendesak jawapan dari kami - Aku, Piei, Dol dan Wan - tapi semuanya sekadar mampu tersenyum dan tersengih macam kerang busuk saja. Tak ada jawapan.

`Kalau cucu nak beri, nak beri semuakah? Atau sekadar banyak mana?’, Atuk bertanya lagi. Kami diminta memberikan jawapan. Keluarlah berbagai-bagai jawapan dari kami semua.Bila jawapan mengatakan beri RM10.00 atau RM20.00 sahaja, Atuk berkata:

`Dia minta tiga puluh ringgit! Bukan sepuluh atau dua puluh ringgit!’

Kami terkelip-kelip.

`Yang paling ditakuti ialah kalau-kalau Nabi Khidir yang datang menguji cucu’, Atuk mengingatkan.

Aku sesungguhnya sentiasa teringat dengan pesanan Atuk itu dan cukup berhati-hati kalau-kalau bertemu dengan peristiwa seumpama itu.

Dalam duduk-duduk itu, aku mengawasi lelaki itu. Aku sudah dapat mengagak lelaki tua itu pasti akan sampai juga ke mejaku kerana memang dia perlahan-lahan seakan-akan bergerak menuju ke arah mejaku. Terkaanku memang tepat sekali.Sejurus kemudian dia pun sampai.

Dia tidak memberi salam bila sampai di sisiku, tapi menghulurkan beberapa helai keratan akhbar lama.Aku mengambilnya lantas membaca tajuk-tajuk rencana dan melihat gambar-gambar yang terpapar. Aku tidak tahu mengenai siapakah kesah-kesah itu, tapi beritanya adalah berkaitan dengan kesah rumah setinggan yang dirobohkan oleh Majlis Bandaran dan pembersihan semak-belukar serta penarahan bukit sewenang-wenangnya untuk pembangunan. Mereka diperintahkan berpindah ke tempat lain. Apakah orang tua ini terlibat dengan kesah ini? Aku tidak pasti, tapi tidaklah aku bermaksud mahu bertanya. Orang tua itu nampaknya menadah tangan memohon belas-kasihanku. Orangnya memang sudah tua, dalam sekitar usia tujuh puluhan, berkulit hitam tapi nampak tenang.

Pada ketika itu tiba-tiba pesananku telah pun siap.Jadi terpaksalah aku terlebih dahulu membayar harga pesanan. Bila baki dipulangkan oleh penjual itu, tinggallah baki di tanganku sebanyak RM2.00 sahaja. Aku merasakan RM2.00 tersangat sedikit untukku berikan kepada lelaki tua itu. Aku berhajat untuk memberi lebih daripada itu, tetapi dompetku tertinggal di dalam kereta pula. Aku pandang ke arah kereta. Ah! Agak jauh.Lalu terpaksalah aku berikan RM2.00 sahaja untuknya.Sebaik sahaja wang berpindah tangan, diapun bertanya padaku.

`Tahu siapa yang menjaga tujuh petala langit dan tujuh petala bumi?’.

Aku amat tersentak dengan soalan yang tidak disangka-sangka itu. Aku tidak tahu jawapannya secara khusus. Tentulah malaikat yang menjaganya! Tapi siapakah nama malaikat itu? Aku tidak ada jawapan yang pasti. Oleh kerana tidak tahu siapakah yang setepatnya, aku lalu memberikan jawapan yang umum.

`Allah Taala lah’

Dia tidak memberikan sebarang komen. Aku pula tidak bertanya apa-apa lagi. Dia kemudiannya mengadu kepadaku.

`Saya sudah lama dalam kesakitan’

Aku mengamati wajahnya. Aku tertanya-tanya apakah orang tua ini akan meminta bantuanku untuk mengubat sakitnya?

`Sentiasa sahaja saya terpaksa berpindah-pindah. Duduk sekejap di sini, kena pindah. Duduk sekejap di sana, kena pindah’

Aku menyangka dia mahu menyorot kembali mengenai kesah setinggan yang diarahkan berpindah setelah rumah mereka diroboh sebagaimana kesah dalam akhbar lama yang dibawanya itu. Lalu aku bertanya.

`Sudah berapa kali kena pindah?’

Dia diam sahaja. Soalanku tidak diacuhkan.

`Pindah ke mana?’, aku bertanya lagi.

Dia tidak menjawab juga soalanku, sebaliknya berkata.

`Sakit saya... Sakit..’, dia bagaikan merintih.

Aku tidak faham maksudnya. Sakit bagaimana? Sakit apa?

`Pak Cik tinggal di mana?’, aku cuba menjadi bertambah ramah.

Dia tidak juga menjawab soalanku sebaliknya menyeluk poket atas bajunya. Ada sebuah buku cacatan yang kecil dan nipis yang telah agak kumal. Di dalamnya ada helaian-helaian kertas kecil.Dia mencari-cari. Bila terjumpa apa yang dicari, dia lantas menyerahkan kepadaku. Selepas menyerahkan, dia pun beredar pergi. Aku menatap kertas kecil itu. Ada cop nama siap dengan alamatnya sekali.Namanya Ali bin Embong, Kg. Paya, xxxxxxx, xxxxxxx . Aku tahu di mana letaknya tempat itu yang memang berada dalam persekitaran tempat tinggalku. Tapi aku juga tahu bahawa alamat itu adalah alamat lama. Alamat puluhan tahun yang lalu. Pada zaman sekarang, semua rumah di Kampung Paya telah didaftarkan nombornya. Aku tidak mungkin dapat mencari alamat itu lagi.Jadi siapa orang ini? Aku menoleh mencarinya semula. Dia nampaknya seperti tadi juga, berjalan perlahan-lahan menyusuri meja. Tidak tergerak pula di hatiku untuk menjejakinya bagi mengetahui dan mengenalinya dengan lebih lanjut. Lalu berjalanlah aku menuju ke kereta untuk pulang ke rumah.

Di dalam kereta, isteriku dan anak-anak tidak putus-putus bertanya mengenai kesahku dengan lelaki tua itu. Mereka telah mengesan sejak sedari awal lagi, bahawa lelaki itu bergerak dalam proses memang melangkah menghala kepadaku. Sebagaimana sewaktu kami sekeluarga di Pulau Pinang dulu juga, sewaktu aku dan isteri berusaha mendapatkan rawatan sakit tradisi kami dari seorang kawan. Ada kesah yang seakan-akan serupa. Tetapi tidak terjadi kepadaku, sebaliknya kepada isteri dan anak-anakku. Aku sekadar melihat dari dalam kereta di pinggiran jalan – dalam kesibukan orang ramai berpapasan, aku dapat melihat dengan jelas, sasarannya tetamu misteri tersebut adalah kepada isteriku. Tetapi yang di Pulau Pinang itu adalah orang perempuan.

Samalah juga di bandar Macang, apabila orang yang diberi julukan ibu oleh kalangan dalam persekitaran Tok Lat, Tok Ayah Sohor dan Tok Penghulu Malim. Aku memang berhasrat untuk berkenalan bila mendapat khabar mengenainya. Dia sedang duduk bersila di sisi sebuah bangunan di bandar Macang.Penuh dengan kotak di sekitarnya. Dia duduk di atas kotak kertas yang dileperkan. Dia bagaikan berada di sebuah rumah kotak kertas kerana ada tempat berbaringan di dalamnya. Sekilas tafsiran, semua orang berkata, itu orang gila.Bila aku dengan anak-anak mendekatinya, dia lantas berseru.

`Mari! Mari! Mahu jumpa ibu, ya?’, nadanya ceria dan gembira.

Aku sampai terlebih dahulu. Bila sampai isteriku dan anak-anak bersalam-salaman dengannya. Orangnya nampak masih kemas dan muda. Rasa-rasaku dia dalam usia akhir 40an atau awal 50an. Duduk dalam sila panglima.Berbaju dan berseluar panjang kuning seluruhnya.

`Nampak saja duduk macam ini’, ibu itu bersuara. Ibu adalah Che Siti Wan Kembang, itulah identiti yang diberikan kepadaku oleh orang-orang yang dalam persekitaraan Tok Lat.

`Mata manusia sahaja melihat ibu begini’, dia menjelaskan.`Tapi sebenarnya tidak...’

Aku dengan anak-anak dan isteriku duduk beralaskan tumit sambil mendengar bual bicaranya.

`Orang sangka ibu orang gila’, ibu melanjutkan.`Orang kata ibu gila. Tapi mereka tak tahu...’

Ibu – Che Siti Wan Kembang bagaikan mahu membersihkan dirinya dari prasangka yang salah. Aku memang percaya akan adanya kesah-kesah penyamaran seperti ini. Lalu aku memang sentiasa berhati-hati. Aku berharap akan sentiasa dapat membezakan antara orang yang betul-betul gila dengan orang yang berpura-pura gila.Insyaallah.

`Anak nak pergi ke Pulau Melaka?’, ibu tiba-tiba membuat lawaan. Aku terkejut.

`Pulau Melaka?’

`Ya’

`Pergi dengan siapa?’

`Dengan ibulah. Ibu bawa!’

`Buat apa?’

`Saja! Jalan-jalan.Bukan jauh.Dalam sepuluh minit sampailah...’

Anak-anakku terkelip-kelip melihatku. Isteriku selamba sahaja. Dalam keadaan tiba-tiba seperti itu, aku agak sukar untuk membuat keputusan. Pulau Melaka letaknya di mana? Kampung tempat tinggal Tok Guru Nik Azizkah? Atau di Pulau Langkawi? Atau di mana? Aku tidak bertanya pula.Tapi pada ketika itu tergambar di kotak fikiranku, Pulau Melaka adalah Pulau Besar!

Rasa khuatir pun ada. Kalau aku pergi, bagaimana pula dengan anak-anak dan isteriku? Lagi satu persoalan, dan ini lebih besar isunya, kalau aku pergi, apakah yang akan berlaku kepadaku? Dan pergi dengan apa? Mana mungkin ibu ada kenderaan? Kalau tidak ada kenderaan, bagaimana? Wah! Begitu banyak kekhuatiranku. Dalam keadaan serba-salah dan serba tak kena itu, ibu tiba-tiba bersuara.

`Tak percayalah, tu...Takutlah, tuu...’

Aku sekadar tersenyum.Sebelum beredar aku menghulurkan RM10.00 dan ibu menerimanya.

Bila sampai ke rumah Tok Ayah Sohor aku ceritakan kesah bertemu dengan Cik Siti Wan Kembang.Tok Ayah Sohor tidak memberikan komen apa-apa tetapi memberitahu sudah lama Cik Siti Wan kembang tidak berkunjung ke balaisahnya.

Keesokan harinya aku menceritakan kesah bertemu lelaki tua tersebut kepada Tok Lat.

`Dialah penjaga tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, Cikgu’, Tok Lat menerangkan.Aku tercengang. Aku tiba-tiba menjadi begitu kesal apabila mengetahui misteri siapa lelaki tua itu. Kenapa pada petang semalam aku tidak mengambil kesempatan dengan orang tua itu? Apalah salahnya kalau aku mempelawanya ke rumah? Apalah salahnya? Aku terasa sungguh kesal.

`Bertuah Cikgu dapat bertemu dengannya!’, Tok Lat berkata seterusnya.

`Dialah yang tertinggi sekali.Bila Cikgu telah bertemu dengannya, bererti selepas ini Cikgu akan bertemu pula dengan orang-orang yang lain kerana semua yang lain-lain adalah di bawahnya’

Aku menjadi gembira pula dengan maklumat itu.

`Wali Allah kah, tok?’

`Tentulah, Cikgu’

`Apa sebab dia kata dia sakit, tok?’

`Kiasan, Cikgu’, Tok Lat menjawab dengan pantas.` Kiasan mengenai bumi. Bumi yang sudah diceroboh sesuka hati oleh manusia’.

Aku diam sahaja. Aku percaya Tok Lat tentunya akan melanjutkan penjelasannya.

`Hutan dan semak sudah habis diterangkan. Bukit-bukit telah ditarah dan diratakan. Lembah pula telah ditimbuni. Sakitlah dia!’

`Kenapa dia yang sakit?’

`Sebab dia yang jaga! Jadi dialah yang merasa sakitnya’

`Sakit...Sakit badankah, tok?’

`Bukan!’, tegas dan mendalam suara Tok Lat. `Sakit perasaan. Sakit hati dan jiwa!’

Aku cuba meresapi penjelasan Tok Lat tersebut.

`Berpindah-pindah ke sana ke sini, apa pula maksudnya?’

`Banyak sangat tempat yang dipinda-pinda Cikgu’, Tok Lat menjawab dengan pantas seperti tadi juga.`Cikgu tengoklah sendiri, mana ada tinggal lagi, tempat-tempat yang ada kawasan semulajadi di tempat kita ini? Semuanya habis dipinda-pinda. Tak ada lagi hutan dan lembah. Bukit-bukit kecil pun habis ditarah dan diratakan. Ke mana lagi makhluk lain nak duduk?’

Aku termenung sejurus. Aku memproses maklumat yang ditafsirkan oleh Tok Lat itu.Atas nama pembangunan! Ya, atas nama pembangunan dan kemajuan! Manusia dengan sewenang-wenangnya merosakkan alam sekitar.

Menurut pendapatku sebahagiannya didesak oleh sifat tamak haloba. Atas nama kemajuan dan pembangunan, ada pihak-pihak tertentu yang tamak haloba mendapat untungnya. Atas nama pembangunan dan kemajuan, alam sekitar habis diteroka.Tidak cukup tanah datar dan tanah lembah - paya ditimbuni. Tidak cukup tanah lembah, baran dan paya - bukit ditarah dan diratakan.Kemudian naiklah bangunan-bangunan batu yang sesetengahnya menjadi pencakar langit.

Semua yang tersebut adalah harta benda bentuk baru, menggantikan tanah yang telah tinggal sedikit. Lalu di atas tanah yang tinggal sedikit ini dibangunkan harta-harta modal berpuluh bahkan beratus juta nilainya yang kebanyakannya terkumpul kepada para kapitalis. Rakyat biasa sekadar menjadi penonton sahaja, tapi tetap juga berbangga kerana mendapat pembangunan dan kemajuan.Berulanglah kesah Pak Kaduk: menang sorak kampung tergadai.

Kemudian atas nama kemajuan dan pembangunan bandar, rakyat kemudiannya dihalau dari kawasan-kawasan perbandaran walhal di atas tanah itulah rakyat bawahan hidup selama berpuluh tahun membasah peluh, keringit dan air mata membangunkan negara – menjadi pekerja bawahan membina rumah dan bangunan, membina parit dan longkang dan berbagai kemudahan infrastruktur untuk pembinaan bandar-bandar baru. Mereka sengaja dibiarkan dengan status setinggan dan tidak dibenarkan memiliki tanah yang mereka telah duduki sejak puluhan tahun. Bila tidak diperlukan lagi dan telah tua, mereka dihalau begitu sahaja. Habis manis sepah dibuang.Inilah bencana kapitalisme yang diamalkan dalam sistem dunia! Termasuk oleh orang-orang Melayu di Tanah Melayu! Lalu jika begitu, di manakah sistem Islamnya? Dimana amalan Islamnya? Bahkan bila dipersoalkan lebih jauh, di manakah sisa imannya?

Akibat yang lain ialah banjir kilat. Ke mana lagi air mahu bertakong, kalau semua lembah dan lurah, paya dan dangau telah dipenuhi oleh hutan batu-bata?

Sesungguhnya sifat tamak haloba kapitalisme, membawa pelbagai bencana. Inilah yang berbeza dengan sistem Islam yang memperjuangkan nilai-nilai keinsanan dan kemanusiaan: belas-kasihan, kasih-sayang, simpati, bertimbangrasa dan sebagainya. Orang-orang yang berjasa kepada proses pembangunan negara, apatah lagi kalau telah tua, kalau dalam keadilan Islam, sesungguhnya akan mendapat hak-hak yang setimpal, tetapi demikianlah yang terjadi apabila negara di pimpin oleh pemimpin berjiwa kapitalis. Bila berjiwa kapitalis, lalu meluncur keluarlah jiwa Islamnya! Lalu di manakah sisa imannya?

Demikianlah erti sakit dan kesakitan yang boleh aku tafsirkan berdasarkan apa yang diluahkan kepadaku oleh lelaki tua semalam setelah diperjelaskan oleh Tok Lat!

`Waktu tok balik dari Kedah bersama Bakar dulu’, Tok Lat membuka cerita lain pula.`Tok Ayah Bidin berkata kepada tok. Bolehlah kita balik abang.Bolehlah kita balik sekarang, sebab sudah ada orang yang ganti tempat kita’

Aku terkebil-kebil seakan-akan kurang faham atau sengaja tak mau mengerti.Balik yang diistilahkan itu bermaksud kembali iaitu kembali ke negeri asal sebagai warganegara akhirat.Dengan makna lain ialah kembali kepadaNya.Mati!

`Sudah lama kita menanti nak balik, abang’, Tok Lat berkata lagi mengajuk kata-kata Tok Ayah Bidin. `Sekaranglah baru boleh. Begitu Tok Ayah Bidin berkata kepada tok. Tok pun jawablah.Memanglah adik, kita sudah ada pengganti. Bolehlah kita balik...’

Aku terkebil-kebil lagi.Tok Lat menyalakan Benson. Kemudian dia menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya dan meletakkannya di atas meja kecil di hadapannya. Sambil itu dia mengesat mukanya dengan tuala mandi yang tersidai di atas bahunya.

Tok Lat memang selalu memakai cermin mata hitam apabila berjalan kerana dia tidak tahan dengan cahaya silau panas terik matahari.

`Tok sudah puas, Cikgu’, Tok Lat mengeluarkan rahsia hatinya.`Tok sudah lama sangat memegang tugas ini. Tok Ayah Bidin pun sama. Jadi rasanya sudah sampailah masanya untuk tok balik’

Pilu juga hatiku bila mendengar suara hati Tok Lat itu. Orang tua ini di sebalik nampak bagaikan sihat, tetapi dia sebenarnya mengidap sakit lelah.Ada beberapa kali dia diserang oleh sakit tersebut, sehingga bagaikan hilang nyawanya. Kami – anak-anak buah dan teman-temannya – pernah beberapa kali gempar dan berkumpul apabila Tok Lat diserang sakit lelah yang kronik sejak akhir-akhir ini.

Pada suatu ketika, Tok Lat bagaikan akan pergi. Itulah sakit yang paling kronik berbanding sebelum ini. Aku berada di sisinya dan kami yang hadir – Encik Husin, Pa, Ketti isterinya (isteri yang dulu telah meninggal) dan isteriku - menyangka dia akan pergi, tapi ternyata belum juga waktunya. Tok Lat sendiri pun menjadi hairan kenapa dia belum boleh kembali. Lalu Tok Lat berkata kepadaku pada suatu waktu yang lain.

`Tok sudah serahkan semua kepada Cikgu, tapi kenapa tok tak boleh balik lagi?’, mataku direnung.`Agaknya kerana tok belum bocorkan rahsia, siapa diri tok yang sebenarnya’

Dan Tok Lat diam sebentar lagi. Wajahnya memang ternyata kesal sekali. Dia memerhatikanku dengan lembut dan meredup.

`Baiklah. Sekarang tok beritahu Cikgu’ Tok Lat berkata dengan tenang.Mataku direnungnya lagi. Aku menanti bicara selanjutnya.

`Toklah Imam Rasul’, Tok Lat menerangkan dengan nada tegas tetapi lembut.

Imam Rasul? Aku tidaklah terkejut dengan rahsia itu. Tok Lat sebenarnya telah memberitahuku tentang rahsia itu.Telah lama dahulu. Rupa-rupanya dia telah terlupa, lalu terpaksalah dia mengulanginya sekali lagi. Menurut huraiannya sebelum ini, semua orang-orang kerohanian yang sampai kepada paras ilmu sepertinya adalah Imam Rasul. Termasuklah juga Tok Ayah Bidin. Bukan Moyang sahaja iaitu bukan Tok Gajah sahaja yang diberi jolokan sebagai Imam Rasul. Cuma Tok Gajah mengatasi semua yang lain dalam sayumbara kerohanian untuk berada pada kedudukan nombor satu. Bila dalam suasana perang melawan Inggeris pada akhir kurun ke 19 dahulu, ditambah perkataan perang oleh rakan-rakannya, lalu masyhurlah gelaran Imam Perang Rasul kerana Tok Gajahlah yang menjadi pemimpin dalam peperangan tersebut.

Imam Rasul ialah tafsiran kepada hakikat Allah dan Muhammad. Allah adalah Tuhan, Muhammad sebagai Rasulullah.Di atas dua konsep Zat dan Sifat, Allah dan Muhammad, Tuhan dan Rasul bagi seluruh hakikat kemanusian, muncullah Imam Rasul bagi yang sampai kepada ketinggian kerohanian.Demikian Tok Lat memperincikan konsep Imam Rasul.

`Sakit tok ini, Cikgu, tidak ada sesiapa pun yang boleh mengubatinya’, Tok Lat pernah memberitahuku beberapa ketika sebelum ini.Memang kepada akulah tempat Tok Lat mencurahkan jiwanya sejak sekian tahun ini. Mencurahkan sejarah hidupnya, pengalamannya dan ilmunya.Walaupun ilmu yang Tok Lat kupaskan kepadaku teramat berat untuk aku memahami dan mengingatinya, tapi bila sampai masanya, dia kata aku akan faham semuanya, akan ingat degan baik dan jelas apa-apa yang telah lalu yakni apabila aku telah ’terbuka’.

`Hanya orang yang darjatnya lebih tinggi dari tok sahajalah yang boleh mengubatnya’, Tok Lat berkata lagi dengan nada bagaikan kecewa.

`Tok Ayah Bidin?’, aku tiba-tiba bertanya.

`Tak boleh. Dia rendah daripada tok’

Dan sesungguhnya memang begitu mengejutkanku, apabila Tok Lat tiba-tiba di serang oleh suatu sakit lelah yang amat kronik dan tenat sebelum subuh yang dia sendiri menjangkakan akan mati, aku mengusahakan satu kesembuhan sambil mengusap-ngusap dada dan belakangnya secara bersahaja tanpa sesiapa pun menyedarinya selain isteriku,Tok Lat tiba-tiba berangsur-angsur pulih...

4 ulasan:

  1. salam, saudara adakah N.khidir masih hidup lagi?

    BalasPadam
  2. Nabi Khidir menurut apa yang saya fahami, beliau bukanlah Nabi yang memimpin mana-mana umat pada mana-mana zaman, tetapi Nabi yang muncul secara khusus kepada orang-orang terkhusus pada mana-mana zaman.
    Jalan hidup secara bertasauf mengharuskan pertemuan; terutama apabila pada martabat iman kasyafi.
    Soal masih hidup atau mati; roh tidak mengalami kematian...

    BalasPadam
  3. Salam,
    AlHamdulillah...ketemu juga kita akhirnya...

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum.
    Sdr.LadingEmas,
    Alhamdulillah...ketemu juga kita akhirnya.
    Saya sebenarnya masih agak tertanya-tanya. Benar-benarkah? Bagaimana dan bila ya...
    Sekian.Wassalamualaikum.

    BalasPadam